Hikayat Raja Budiman

Muka surat 11 hingga 20

Mukasurat 11/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 11/129

tiada menaruh negeri negara dan tiada menaruh ayah bonda sahaja sahaya keluar menjelma mari daripada lubang buloh maka berkata raja naga Hai budak kundang aku segeralah engkau pergi ambil cermin mata aku di dalam terletak dahulu kepala tempat tidurku maka budak kundang itu pun segeralah berlari-2 mengambil cermin mata itu diserahkannya kepada naga telah dipakainya oleh raja naga itu teruslah matanya maka tampaklah usul asal kejadian anak naga emas itu telah nyata dipandangnya maka ia pun berkata Hai anak naga emas engkaulah nenek negeri negara Serendah Sekebun Bunga ayah engkau bernama Raja Budiman dan bonda engkau bernama Tuan Puteri Permaisuri saudara engkau bernama Lela Muda maka raja naga itu pun segera memeluk mencium anak naga emas itu seraya berkata Untunglah badan ayah sekali ini kerana ayah pun sudah tua barangkali hayat maut dinihari tengah malam maka anak naga emas itu pun mengakulah kemudian raja naga pun segeralah memanggil sekalian rakyat bala tenteranya di dalam pusat Tasik Pauh Janggi telah itu tetaplah ia menjadi raja besar di situ dengan bersuka-2an makin sehari makin besar antara beberapa lamanya pecahlah culanya jadi kepala tujuh kemudian raja naga pun terlalu kasih sayang akan anak naga emas itu [tiada] pernah bercerai barang sehari demikianlah selama-lamanya.

Alkisah maka tersebutlah perkataan Raja Budiman yang tinggal di pintu kuala itu telah sudah naga emas itu hilang daripada pandangannya maka ia pun kembalilah masuk ke dalam negeri duduk di dalam Balai Rong balai besar sehari-2

Mukasurat 12/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 12/129

lali dengan bermain-2 anakanda baginda Lela Muda. Maka dengan hal yang demikian baginda pun sudahlah tiada pernah pergi mendapatkan Tuan Puteri Yang Keenam. Maka mereka itu sekalian pun sudahlah menaruh sakit hati sebab tiada datang itu maka pada suatu hari mereka sekalian pun muafakat maka kata Tuan Puteri yang sulung Hai adikku Tuan Puteri Yang Kelima apa bicara kita baginda ini tiada perduli kepada kita ia lali dengan puteri bongsu juga esok hari marilah kita pergi mengadap baginda itu maka Puteri Kelima pun sukalah menurut perkataan Puteri Sulung telah sudah berkata-2 itu masing-2 pun bersiap pergi mandi bersikat dan minyak dan memakai dengan selengkap pakaiannya serta memakai bauan sambil membawa seorang suatu bungkusan berisi makanan dan pisau sebilah seorang dipegang di tangan sama-2 berjalan menuju pintu istana dengan melenggang tabur bayam dan langkah tukal kajang kemudian berjalan itu sepada adangan dua sampailah ke halaman balai besar lalulah terpandang kepada baginda dari jauh ia pun sudah memanggil Ayuhai adik semangat abang silalah naik dekat kekanda apakah yang kekurangan di mahligai adinda ceterelah tuan boleh kekanda tahu. Maka Puteri Keenam pun naik duduk dengan seribu hormat mengadap baginda seraya berdatang sembah tiada apa yang kurang Tuanku ada pun adinda datang ini sangat rindu dendam pada kekanda lama sangat sudah kekanda tiada pernah berangkat pada istana patik Yang Keenam patik sangkakan Tuanku gering inilah patik membawa makanan pada Tuanku maka kata baginda baiklah adinda semangat kekanda lalu disambut bungkus itu maka berkata pula mereka itu sekalian adinda datang ini kerana sangat suka

Mukasurat 13/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 13/129

di dalam hati oleh mendengarkan kekanda telah mendapatkan seorang putera laki-2 yang sangat baik rupa parasnya. Adalah adinda mendengar perkataan orang tua-2 apakala seorang raja yang besar beroleh seorang putera patutlah dipanggil ahli al-nujum yang tujuh disuruh lihat paduka anakanda itu bertuahkah atau celaka maka jawab baginda baiklah adik telah sudah berkata-2 itu maka sekalian pun bermohonlah pulang ke rumahnya telah sampai lalu disuruh kundangnya pergi memanggil Nujum Ketujuh maka budak itu pun segeralah berlari-2 telah sampai ke pintu pagar maka iapun berkata Wahai To’ Nujum Tujuh titah dipanggil oleh Tuan Puteri Keenam dengan segera disuruh datang telah didengar oleh sekalian nujum maka mereka itu pun segeralah mengambil tongkat seorang suatu lalu berjalan yang tua dahulu dan yang lagi enam di belakangnya antara beberapa lama berjalan itu maka sekalian pun sampailah ke dalam istana Tuan Puteri Keenam maka Tuan Puteri Sulong pun berkata Wahai To’ Nujum Tujuh jika raja memanggil To’ Nujum hendak melihat untung tuah celaka puteranya itu katalah celaka anaknya itu kami boleh beri upah seorang seribu ringgit pada hari To’ Nujum sudah balik dari Balai Rong marilah terima wang itu sudah berkata-2 itu masing-2 pun pulanglah ke rumahnya maka esok pagi-2 maka baginda pun menyuruh budak kundangnya memanggil Nujum Ketujuh bawa dengan segera maka budak kundang itu pun berlari-2lah telah sampai dari jauh lagi ia pun menyeru katanya Wahai To’ Nujum Ketujuh titah Tuanku menyuruh panggil bawa ke balai dengan terus ketika tib-2 temaranya maka To’ Nujum pun segeralah mencapai bungkus lalu digalas ambil tongkatnya seorang sepotong lalu berjalan

Mukasurat 14/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 14/129

baharikara dahulu dan Nujum Keenam ikut belakang sepada dengan dua sampailah ke pintu kota lansong ke hadapan balai besar maka apabila dipandang oleh baginda lalu ditegurnya dipanggil masuk naik ke balai maka sekalian pun baiklah duduk beratur mengadap baginda seraya berdatang sembah dipanggil Tuanku beribu-2 ampun apalah sebab patik hamba yang hina titah dipanggil; ini kerana patik ini orang tua bumi berlaung papan sudah memanggil yakni rumah kedudukan patik menghalaukan patik dan tua keramat memanggilkan patik yakni seorang sudah hendak mati seorang sudah hendak mati esok lusa maka titah baginda Wahai To’ Nujum kami ini sudah mendapat putera hendak disuruh To’ Nujum lihat anak kita Lela Muda itu anak bertuah atau celaka dan kesaktiankah atau tiada maka nujum sekalian pun berkata Baiklah Tuanku bolehlah patik lihat untungnya maka ia pun membukakan tip temaranya dibuka selapis terkena pada tuah yang besar dibuka dua lapisan terkena pada yang lebih besar tuahnya hingga tiga lapisan itupun terkena pada tuah yang besar juga dicarinya pada yang celaka tiada berjumpa maka titah baginda Segeralah kata To’ Nujum apakah yang dicarinya begitu lama maka sembah Nujum yang dusta Ampun Tuanku beribu-2 ampun sembah patik harapkan diampun jikalau bohong turus patik ini bohonglah patik mohonkan ampun dan maaf Tuanku juga banyak-2 kepada patik ada pun paduka anakanda yang bernama Lela Muda itu jikalau ditaruh di dalam negeri ini nescaya negeri terbakar dengan tiada berapi karam tiada berair menjadi padang

Mukasurat 15/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 15/129

jarak padang tekukur alamat negeri hendak sunyi senyap maka kata baginda Baiklah To’ Nujum sambil bangkit masuk ke dalam istana mengambil kain baju memberi persalinan kepada To’ Nujum maka sekalian pun bermohon pulang paling kiri tersenyum paling kanan pun tersenyum kerana sangat suka hatinya beroleh persalinan itu maka tinggallah seorang lagi nujum yang muda itulah sudah nujum bahari kara itu pulang ia pun berdatang sembah angkat tangan jari sepuluh terjunjung atas kepalanya Ampun Tuanku beribu-2 ampun sembah patik harap diampun ada pun paduka anakanda itu Lela Muda jikalau Tuanku buang daripada negeri ini nescaya Tuanku menolak tuah kerana sangat bertuah anakanda terus ke langit yang tujuh lapis telah sudah berkata-2 itu lalu bermohon pulang maka Nujum Yang Keenam pun pergilah menerima ringgit seorang seribu kepada Tuan Puteri Keenam telah sudah masing-2 pulang ke rumahnya membawa ringgit itu sukalah anak isterinya beroleh wang itu dan nujum yang muda pulang ke rumahnya dihempaskan bungkusan tib temaranya berlarilah bininya pergi angkat bungkusan itu tiada berisi maka isterinya pun berkatalah Orang pulang membawa ringgit seorang seribu jika seorang ini apalah dibawa maka jawab suaminya Apalah yang hendak aku bawakan tib temara inilah yang ku bawa jika bagaimana sekali pun adalah bia pembeli tembakau pada malam ini maka sahut isterinya Mika bawa itu pun haram juga jika sudah demikian engkau berilah talak aku hendak bercerai ia juga pada ini malam sambil ia memegang pinggang lakinya dengan meminta talak maka To’ Nujum pun lari datang bininya diikut juga

Mukasurat 16/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 16/129

maka nujum itu lari menyorok di dalam perdu buluh isterinya cari tiada berjumpa maka isterinya pun pulanglah ke rumahnya dimasak nasi seorang dirinya hari pun sudah jauh malam maka ia pun tidurlah dan nujum itupun keluarlah daripada perdu buluh lalu pulang ke rumahnya dibuka pintu perlahan-2 langsung ke dapur lalu dibuka periuk diseluk nasi di dalam periuk itu dimakan perlahan-2 di dalam itu isterinya pun bangkit ditangkap pinggang suaminya tiada terlepas dengan teriak menangisnya minta talak maka kata lakinya Mika pasanglah pelita dahulu jika sudah lepas makan sekarang bolehlah aku beri talak mika maka isterinya pun segeralah memasang pelita dan diberi makan suaminya kerana ia hendak bercerai telah makan nasi lalu basuh tangannya makan sirih maka [kata] isterinya Segeralah beri talakku maka jawab lakinya nantilah dahulu sama tua aku hendak ajar sekalian fasal-2 itu supaya sama tua boleh tahu ada pun Nujum Enam yang membawa ringgit seorang seribu itu memakan upah kepada Tuan Puteri Keenam menyuruh katakan anak raja itu celaka aku lihat bertuah jadi aku tiada mahu berbuat bohong di hadapan raja. Seribu ringgit itu berapa harilah kita hendak makan jika diketahuinya kelak matilah kita dibunuhnya habis sampai kepada anak cucu cicit kita. Telah sudah berkata-2 itu maka kata nujum itu Engkau ambillah talak hang. Maka jawab bininya Jika demikian aku tiada mahulah talak dengan demikian maka hari pun sudah jauh malam keduanya datang sejuk lalu tidur.

Alkisah maka tersebutlah perkataan Tuan Puteri Yang Keenam telah sangatlah

Mukasurat 17/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 17/129

ia menaruh khianat hatinya pada Tuan Puteri Bongsu Permaisuri dan pada Lela Muda. Ada pun di dalam enam orang puteri itu tuan puteri yang tengah lebih sedikit kasih di hati Raja Budiman maka pada suatu hari Tuan Puteri Keenam pun muafakat hendak buat sakit kerana Raja Budiman itu selama mendapat putera tiada pernah datang. Telah sudah berkata-2 itu maka Tuan Puteri Tengah pun sudahlah berbuat sakit kemudian diperintahkan oleh Tuan Puteri Sulung. Maka pada suatu hari Tuan Puteri Sulung pun memanggil seorang dayang-2nya disuruh pergi mengadap Raja Budiman minta dipersilakan mari di rumah Tuan Puteri Tengah kerana ia sedang mendapat sakit terlalu sangat maka budak kundang itu pun berlari-2 pergi ke Balai Rong Seri. Maka Raja Budiman pun sedang bermain-2 dengan puteranya Lela Muda. Maka dayang itu pun berdatang sembah Ampun Tuanku beribu-2 ampun harapkan diampuni kiranya sembah patik hal Tuanku dipanggil oleh Tuan Puteri Sulung kerana paduka adinda Tuan Puteri Tengah dapat sakit terlalu sangat menanti hari sahaja akan mati. Maka Raja Budiman telah mendengar sembah dayang itu maka ia pun segeralah masuk ke dalam istana membawa anakanda baginda diserahkan kepada bondanya telah itu maka ia pun berjalanlah antara sepada dengan dua sampailah ke rumah Tuan Puteri Enam. Maka Tuan Puteri serta memandang Raja Budiman datang itu ia pun segera mengambil minyak ilmu pengasih dibubuh pada kepalanya Tuan Puteri Tengah telah sudah maka Tuan Puteri Sulung pun berlari-2 datang mengadap Raja Budiman persilakan naik ke mahligai sambil berkata Cubalah kekanda lihat

Mukasurat 18/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 18/129

adinda Tuan Puteri Tengah itu sakit terlalu sangat maka Raja Budiman pun segera masuk dekat dilihat sungguhlah sakit itu lalu diangkat kepala Tuan Puteri Tengah diriba serta dipangku seraya berkata Wahai adinda semangat kekanda urat rambut batu kepala kekanda emas merah cahaya mata abang sakit sangatkah tuan maka dengan beberapa pujuk cumbunya.

Alkisah maka tersebutlah perkataan anak naga emas yang duduk di pusat Tasik Pauh Jinggi. Maka dengan berkat kesaktiannya maka ia pun dapatlah tahu akan Tuan Puteri Tengah telah berbuat sakit hendak mendatangkan khianat atas saudaranya Lela Muda maka anak naga emas itu pun berkata Jika ada sungguh berkat kesaktian datuk nenek aku barang turunlah kiranya penyakit yang sungguh-2 hati atas badan Tuan Puteri Tengah yang duduk membuat-2 sakit telah sudah ia berkata-2 itu dan mencita gemala hikmatnya maka Tuan Puteri Tengah pun dapatlah sakit sungguh-2 hati habis [ajud] dengan anggotanya kurus kering tubuh badannya jika tiada kerana kulit larilah tulang menjadi huruharalah di dalam istana Tuan Puteri Keenam maka Raja Budiman pun sangatlah susah hatinya duduk bertunggu siang dan malam dengan berendam air mata kerana sangat belas dan kasihan dan kasih sayangnya pada Tuan Puteri Tengah itu kerana sudah terkena minyak seribu hikmat yang disapu pada kepala tuan puteri itu dengan demikian maka kepala tuan puteri lalu diletakkan di atas bantal seraya bertitah Raja Budiman Hai Temenggung Laksamana ku ini dan tandil pergilah tabuh

Mukasurat 19/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 19/129

gendang dan berkerah menghimpunkan segala rakyat bala tentera kita semuanya maka Temenggung pun segeralah mengerjakan seperti titah raja itu maka dengan seketika itu juga sekalian rakyat bala tentera seisi negeri Serendah Sekebun Bunga datang berhimpun penuh sesak di dalam Balai Rong Seri maka Raja Budiman pun bertitah kepada sekalian raja-2 dan orang besar-2 dan orang kaya-2 Siapa-2 yang cekap membuat ubat menolong Tuan Puteri Tengah sakit sangat itu maka sekalian mereka itu pun segeralah membuat ubat masing-2 dengan kepandaiannya maka dibubuh ubat makin sangat bertambah kuat sakitnya maka Raja Budiman pun bertitah Hai adik tengah semangat abang adik tengah sakit ini terlalu sangat apalah yang ada adik tengah rasa ingin hendak makan. Maka sahut Tuan Puteri Tengah Wahai abang sangatlah adinda idamkan dengan beberapa ingin hendak makan burung inderabayu. Bunyi suara Tuan Puteri itu pun di dalam rengkung juga. Telah didengar oleh Raja Budiman maka ia pun segeralah keluar ke balai lalu memanggil sekalian rakyat bala tenteranya disuruh mencari burung inderabayu. Maka jawab sekalian mereka itu seorang demi seorang jangankan Tuanku patik hendak mencari burung itu mendengar nama burung inderabayu itu pun tiada pernah. Maka baginda pun segera berlari-2 ke mahligai Tuan Puteri Tengah diangkat kepalanya lalu diriba seraya berkata Ayuhai adik semangat abang jangankan rakyat hendak mencari burung itu mendengar namanya pun tiada pernah maka sahut Tuan Puteri Tengah Wahai abang jikalau tiada dapat burung inderabayu hampirlah gerangan adik ini akan mati baiklah abang suruhkan anak kita Lela

Mukasurat 20/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 20/129

Muda pergi mencari burung itu kerana adik sakit ini mengandung putera jikalau kita beroleh anak kelak bukankah saudara ia jua berkata-2 itu putus-2 suaranya. Maka baginda pun segeralah keluar ke Balai Rong Seri langsung mendapatkan puteranya Lela Muda seraya berkata Hai anak ayah semangat ayah urat rambut batu kepala ayah seri negeri sebab tiada orang lain hendak suruh melainkan anakkulah pergi mencari burung inderabayu kerana bonda tengah sakit idamannya hendak makan burung inderabayu kerana ia mengandung putera jikalau selamat puteranya kelak bolehlah menjadi saudara kepada anak ayah maka sembah Lela Muda Rupanya ayah tiada kasih sayang kepada anak di manalah anakanda hendak cari burung itu mendengar namanya pun belum pernah maka kata Raja Budiman Hai anakku pergi juga engkau cari burung itu jikalau tiada dapat janganlah engkau pulang ke negeri Serendah Sekebun Bunga jika anakku balik nescaya aku bunuh serta sulakan kepalamu di pintu kota gerbang darah engkau hendak ku buat sintuk kota dan dagingmu akan perjamuan anjing lela perjangga dan tulang engkau ku timbunkan di penjuru kota. Telah didengar oleh Lela Muda akan titah ayahnya terlalu murka maka ia pun tunduk menangis dengan bercucuran air matanya jatuh ke ribaannya seperti buah bemban masak dan seperti manik putus pengarang bagai embun di hujung rumput seraya berdatang sembah Ayuhai ayah semangat anak jikalau ada lagi belas kasihan ayah kepada anak ini sahaja anak pohonkan seekor kuda hijau kesaktian itu maka kata baginda Jangankan seekor kuda hijau itu negeri ini pun sahaja hendak ke serah beri