Hikayat Raja Budiman

Muka surat 111 hingga 120

Mukasurat 111/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 111/129

juga Dewa Kecik pun bertitah kepada bendahara suruh bawa bendera putih didirikan di tengah medan peperangan itu. Maka bendahara pun segeralah pergi mengerjakan seperti titah Dewa Kecik itu.

Adapun pada tatkala itu Lela Muda dan Dewa Kecik Cintamani pun datanglah daripada seorang naga itu. Telah bertemu dengan Dewa Keenam di jalan. Maka kata Dewa Sulung: Hai encik orang muda antara kedua. Adapun sahaya sekalian ini sepenuh salahlah kepada orang muda [menyelanya] benang putih ikut encik orang muda hendak warna pun sahaya mengikutlah semuanya.

Hatta pada ketika itu Selamat Tandang Desa dengan Awang Sibuncui pun bangkit daripada tempatnya serta dilihatnya mamak bendahara ada berjalan di situ. Maka berlari-2lah ia datang hendak menetak mamak bendahara maka terpandanglah kepada Lela Muda maka segera dilarangkannya seraya berkata: Hai Awang janganlah ditetak lagi orang kerana perang kita sudah selesai.

Maka dengan seketika itu juga Selamat pun berlari pergi mengadap Lela Muda. Maka kata Selamat Tandang Desa: Ayuhai tuanku batu kepala patik. Ini orang muda mana datang membantu kita. Patik hamba tua tiada kenal. Maka jawab Lela Muda: Ayuhai Abang Mat itulah adik sahaya Anak Naga Emas yang duduk di pusat tasik Pauh Janggi. Dahulu menjadi naga

Mukasurat 112/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 112/129

sekarang sudah menjadi manusia maka dialah datang membantu kita berperang Abang Mat.

Maka dengan serta merta Selamat Tandang Desa pun rebah di kaki Dewa Kecik Cintamani sambil dipeluk dan dicium seraya berkata: Ampun tuanku beribu-2 ampun. Sekali-2 patik hamba tua tiada mengenal duli yang maha mulia harapkan diampun juga. Maka Dewa Kecik Cintamani pun tersenyumlah lalu berkata: Tiada mengapa Abang Selamat sebab kamu tiada kenal. Duduklah Abang Selamat baik-2 memeliharakan abangku Lela Muda. Apa-2 hal kemudian hendaklah engkau beritahu aku. Maka sembah Selamat Tandang Desa: Baiklah tuanku.

Maka akan dewa yang keenam pun bersiaplah di balai penghadapan hendak mempersilakan Lela Muda kedua naik ke balai maka ia pun turun pergi menyambut Lela Muda dipersilakan naik. Maka Lela Muda pun naiklah ke balai itu bersama-2 dengan Dewa Kecik Cintamani serta sampai lalu duduk di hadapan Raja Tua.

Maka berkata Dewa Kecik Cintamani: Hai ayahanda pada perkiraan anakanda sudah patut padanlah Abang Lela Muda ini dengan Kak Tuan Puteri Bongsu Kecik Selenggang Cahaya itu. Sahaja ayahanda suka hendak mencari gaduh beri binasa negeri ayah. Kemudian hari baiklah ayahanda bela perihara di atas abang sahaya

Mukasurat 113/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 113/129

Lela Muda ini. Jikalau diperbuat tiada ketahuan lagi kelak anak naik negeri ini anak jijak pan menjadi padang jarak padang terkukurlah negeri Gunung Dua Belas ini menjadi segara hijau. Tiadakah ayahanda ketahui bahawa sahayalah yang bernama Anak Naga Emas menjadi raja di pusat Tasik Pauh Janggi.

Telah didengar Raja Tua maka baginda pun ketakutanlah melihat kelakuan Dewa Kecik Cintamani itu seraya berkata: Baiklah anak ayah semangat ayah ayahanda peliharalah saudara tuan itu baik-2 dahulu ayahanda tiada tahu. Telah sudah berkata-2 maka keduanya pun turunlah daripada balai besar itu berjalan bersama-2. Telah sampailah ke pertengahan jalan maka kedua pun berpeluk berciumlah masing-2 pulang ke tempatnya.

Adapun akan Dewa Kecik Cintamani telah sampai pada sarungnya lalu masuk ke dalamnya. Maka kembalilah rupanya seperti sediakala. Maka ikan-2 dan naga-2 pun masing-2 pulanglah seperti rupa yang lama lalu terjun ke dalam laut mengikut rajanya Anak Naga Emas itu.

Adapun orang di dalam negeri itu baharulah tahunya bahawa Anak Naga Emas itu yang berperang membantu Lela Muda. Maka sekalian pun hairanlah. Adapun akan Lela Muda telah pulang adiknya Anak Naga Emas itu maka ia pun kembalilah ke mahligai

Mukasurat 114/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 114/129

mendapatkan isterinya Tuan Puteri Bongsu Kecik Selenggang Cahaya serta sampai lalu naik duduk dekat tuan puteri itu.

Telah selesailah pekerjaan peperangan itu maka Dewa Kecik pun turunlah ke medan peperangan itu diambilnya tanah sekepal dicita kesaktiannya lalu dilambung tanah itu ke udara maka dengan seketika itu juga turunlah hujan air mawar janggi menyiram segala mayat yang di medan itu. Maka sekalian yang mati itu pun hiduplah semula masing-2 pulanglah menuju negeri empat puluh empat buah dunia kayangan itu.

Adapun akan di dalam negeri Gunung Dua Belas pun terlalu ramai seperti sediakala dagang senteri keluar masuk tiada berhenti selama Lela Muda duduk di dalam negeri itu. Maka Selamat pun berkata pada Awang Sibuncui: Hai Awang pergilah engkau lepaskan Raja Pertegal itu daripada dalam batu. Maka Awang pun segeralah pergi. Telah sampailah kepada tempat kapal itu lalu ia berkata: Berkat guru tua guru muda [ha] kesaktian aku terbukalah batu itu dengan sendirinya. Maka pada waktu akhir kalamnya maka batu itu pun terbukalah pulang pulih seperti sediakala. Maka kata Awang: Hai Raja pergilah barang ke mana suka hati raja kami sudah lepas guna kami. Maka Raja Pertegal pun berlayarlah mana sekehendak hatinya.


Muka surat 115/129

Alkisah maka tersebutlah perkataan Lela Muda duduk di dalam negeri Gunung Dua Belas. Antara sebulan lamanya lepas daripada berperang itu duduk bersuka-2an di dalam mahligai dengan Tuan Puteri Bongsu Kecik Selenggang Cahaya.

Pada suatu hari maka kata Lela Muda: Ayuhai adik semangat abang urat rambut batu kepala abang. Marilah kita mengadap Seri Paduka Ayahanda di balairung balai besar. Maka tuan puteri pun bersiaplah memakai selengkap pakaian yang indah-2 dan memakai bau-2an narwastu sangatlah harum baunya seperti ambar kesturi. Telah sudah lalu berangkatlah pergi mengadap Raja Tua. Telah sampai lalu naik duduk. Maka pada tatkala itu baginda pun sedang ramai dihadap orang di atas singgahsana yang keemasan.

Telah permaisuri Ratna Gemala Dewi melihat anakanda baginda datang itu lalu dipeluk dicium keduanya seraya berkata: Anak bonda semangat bonda apalah khabar tuan berdua datang ini mengadap ayahanda bonda. Maka sembah Lela Muda: Ampun ayahanda dan bonda. Adapun akan anak pada esok hari hendak bermohon balik ke negeri Serendah Sekebun Bunga mengadap paduka ayahanda Raja Budiman kerana lamalah sangat sudah anakanda tinggalkan negeri dan seperti adik Bongsu Kecik Selenggang Cahaya pun

Mukasurat 116/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 116/129

jikalau ayahanda membenarkan patik pohonkan dahulu bersama-2 pergi.

Maka jawab baginda bawalah anakanda adikmu itu serta baginda berpesan kepada anaknya katanya Baik-2 tuan bertaruhkan diri kepada kekandamu ini kerana tuan masih budak lagi tiada pernah berjalan jauh.

Telah sudah berkata-2 maka Lela Muda pun bermohonlah pulang ke mahligainya. Telah sampai lalu duduk makan minum menyukakan hari tuan puteri itu. Telah sudah makan lalu beradu seketika hari pun sianglah lalu bangun basuh muka kedua laki isteri.

Adapun akan Raja Tua telah pagi-2 hari lalu bangun keluar ke balai besar sambil bertitah menyuruh himpunkan rakyat bala tentera menteri hulubalang. Maka dengan seketika itu datanglah semuanya ke balairung balai besar mengadap Raja Tua. Maka titah Raja Tua Hai menteri hulubalang rakyat bala tentera sekalian sebab pun kami memanggil kamu sekalian kami hendak menyuruh hantarkan anak kami Lela Muda dan Puteri Selenggang Cahaya ke negeri Serendah Sekebun Bunga. Maka sekaliannya pun bersiaplah menanti Lela Muda di hadapan mahligai itu.

Adapun akan Awang Sibuncui telah pagi-2 hari ia pun berkatalah kepada sekalian dayang-2 itu demikian katanya: Ayuhai kak dayang dan cik dayang jikalau hendak pergi bersiaplah boleh abang curi bawa. Maka sekalian dayang-2 pun bersiaplah dengan kesukaannya kerana

Mukasurat 117/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 117/129

hendak pergi sangat.

Adapun akan Lela Muda telah bangun itu maka ia pun keluarlah dicampakkan geliganya itu. Maka dengan seketika itu juga menjadi sebuah mahligai emas kemuncak intan lengkap dengan hamparan permaidani yang indah-2 di dalamnya. Maka Lela Muda pun membawa tuan puteri naik ke atas mahligai itu diiringkan dayang-2 semuanya seperti bunga kembang sepadang.

Telah habis naik semuanya dicita Lela Muda akan kesaktiannya dan mahligai itu pun berjalanlah sendirinya. Telah sampai di tepi hutan. Maka menjadi terang benderanglah sekalian hutan-2 itu ditebas dan ditebang oleh segala rakyat-2 yang berjalan dahulu itu terlalu riuh dan ramai berjalan itu. Maka sambil berjalan itu masing-2 pun memungut buah-2an dan bunga-2an dipersembahkan kepada tuan puteri. Dan ada yang dapat anak kijang dan rusa dan pelanduk dan napuh dipersembahkan kepada Tuan Puteri Selenggang Cahaya. Maka tuan puteri pun terlalu sukanya bermain-2 di dalam hutan itu di mana berjumpa welahar dan sungai maka sekalian pun singgah mandi.

Antara tiga hari dan tiga malam berjalan itu maka sampailah di negeri Padang Kecik. Hari pun malam dan sekalian rakyat bala tentera pun berhentilah masing-2 membentang khemahnya.

Mukasurat 118/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 118/129

Adapun akan segala dayang-2 yang di dalam mahligai itu. Telah tiga hari malam maka sekalian pun bermainlah bermacam-2 permainan kerana hendak melipurkan hati tuan puteri itu. Maka burung inderabayu pun bernyanyilah terlalu merdu bunyinya dua belas ragam nyanyinya itu oleh sebab hendak menghiburkan hati tuan puteri itu. Barang siapa yang mendengarnya masing-2 pun hairan tercengang-2 serta lali dan lupa akan dirinya. Adalah suaranya itu seperti bunyi bangsi seruling dan buluh perindu. Telah jauh malam baharulah berhenti semuanya tidur berkaparan tiada sempat mengambil bantal oleh sangat mengantuk berjaga itu.

Hatta seketika tidur hari pun sianglah dan sekalian pun bangkit basuh muka serta makan sirih. Adapun Lela Muda telah bangun pagi hari basuh muka dan makan sirih seraya berkata kepada tuan puteri: Abang hendak naik ke kayangan mendapatkan Tuan Puteri Cahaya Bulan. Maka kata tuan puteri Baiklah abang tetapi janganlah abang lama di sana lambat adik menanti di sini. Maka jawab Lela Muda Sekejap sahaja tuan lalu bangkit seraya berkata kepada Selamat Tandang Desa: Ayuhai Abang Mat marilah kita berdua naik ke kayangan. Maka jawab Selamat Baiklah tuan silalah patik ada mengiring di buri.

Mukasurat 119/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 119/129

Maka Lela Muda pun segeralah mengeluarkan sebiji manik geliga dicitanya dan dengan seketika itu juga jadilah sebuah kapal terbang. Maka ia pun turunlah dari atas mahligai itu lalu naik ke atas kapal itu berdua dengan Selamat. Kemudian diasapnya kapal itu dengan kemenyan putih. Maka kapal itu pun terbanglah menuju pintu kayangan langsung masuk ke dalam negeri Bintang Beralih langsung ke mahligai Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan.

Maka Lela Muda pun turunlah dari atas kapal itu naik ke mahligai. Telah dilihat oleh Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan akan Lela Muda sudah datang itu maka tuan puteri pun segera bangkit lalu memegang tangan Lela Muda dibawa masuk ke dalam mahligai lalu diberi makan sirih.

Maka kata tuan puteri Apalah khabaran abang pergi ke negeri Gunung Dua Belas itu dan seperti hajat abang itu sudahkah diperolehinya. Maka jawab Lela Muda Dapatlah sudah adik seperti yang dihajatkan abang itu. Bersiaplah adik mari kita mengadap ayahanda Raja Sang Nata.

Maka turunlah kedua laki isteri pergi mengadap ayahanda Raja Sang Nata serta sampai lalu duduk keduanya menyembah baginda itu. Maka segera ditegur oleh Raja Sang Nata Bilalah anakku

Mukasurat 120/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 120/129

sampai. Maka jawab Lela Muda: Hari inilah ayahanda anakanda sampai.

Telah terdengar kepada permaisuri Siti Mahdewi akan Lela Muda datang laki isteri itu maka ia pun segera keluar datang memeluk Lela Muda dan Tuan Puteri sambil diciumnya

Maka kata Raja Sang Nata Apalah khabaran anakanda pergi ke negeri Gunung Dua Belas itu adakah sampai seperti hajat anakku itu. Maka jawab Lela Muda: Bolehlah maka datang balik mengadap ayahanda. Jikalau boleh anak hendak mintalah Tuan Puteri Cahaya Bulan ini hendak dibawa pulang ke negeri Serendah Sekebun Bunga mengadap ayahanda bonda di sana.

Maka jawab Raja Sang Nata Bawalah tuan adikmu seraya bertanya Bilakah tuan hendak berjalan. Maka sahut Lela Muda Esok harilah anakanda berjalan. Telah sudah berkata-2 maka ia pun pulanglah ke mahligai serta sampai lalu naik duduk makan minum bersuka-2an. Telah hari malam maka beradulah kedua laki isteri dan Selamat pun beradulah dengan Cik Dayang Suka. Tiada berapa lama beradu itu hari pun sianglah lalu bangunlah basuh muka.

Adapun akan Raja Sang Nata telah hari siang lalu keluar dihadap orang. Maka titah Raja Sang Nata: Hai