Hikayat Penerang Hati

Jilid I

Muka surat 51 hingga 60

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 51/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 51/93

upah kepadanya apakala tampak penglihatan hamba. Tetapi jika berkekalanlah jua buta hamba melainkan tiadalah payah hamba memberi upahan kepadanya. Akan sekarang sungguh pun ia telah bersumpah mengatakan hamba telah baik maka pada pihak hamba mengakulah hamba masih buta lagi kerana tatkala hamba tiada tampak dahulu bolehlah hamba melihat berbagai-2 perkakas dan barang-2 di dalam rumah hamba. Pada halnya sekarang tiadalah dapat hamba memandang suatu apa pun yang di dalam rumah hamba itu. Setelah didengarlah oleh hakim akan perkataan perempuan itu hartilah ia akan maknanya seraya tertawa gelak-2 lalu membuang bicara itu. Demikianlah halnya sambil menyelam minum air adanya.

Ceritera 71 Darihal ayam sabung dengan garuda

Teks tiada di dalam manuskrip

Ceritera 72 Darihal kuda perang dengan tukang kilang

Sekali persetua adalah seekor kuda perang telah dipeliharakan oleh seorang soldadu. Maka dengan sebab tua umurnya dan lemah anggotanya lalu dijualkan oleh soldadu itu kepada seorang kepala kilang. Maka tatkala dirasai oleh kuda itu akan penat lelah ia memusing kilang itu lalu menangislah ia mengenangkan perubahan nasibnya dan teringatlah ia akan kesenangan dan masyhur yang telah diperolehnya dahulu itu. Kemudian berkatalah ia kepada tukang kilang itu Hai tuanku adalah yang hamba ini dahulunya beberapa kali telah menghadapi peperangan yang besar-2 dan adalah hamba memakai baju besi yang berantai-2 dari kepala sampai ke ekor hamba. Maka bila-2 hamba balik adalah sedia seorang gembala menuntun hamba dan menggosok badan-2 hamba serta melayani makan minum hamba. Akan sekarang tiadalah dapat hamba menceriterakan betapakah kemasyghulan hamba hendak membandingkan pekerjaan memutar kilang ini dengan pekerjaan perang itu dan betapakah dapat hamba menyukakan pekerjaan ini.

Syahadan setelah didengarlah oleh tukang kilang akan perkataan kuda itu lalu dibalasnya katanya Hai kuda janganlah dikenangkan kesenangan dan kesukaan zaman purba kala itu kerana adalah kebanyakan makhluk yang di dalam dunia ini merasai mujur malang nasibnya terkadang-2 beroleh kemuliaan dan terkadang-2 beroleh kehinaan. Maka apakala

Mukasurat 52/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 52/93

didengarlah oleh kuda itu akan perkataan tukang kilang itu diamlah ia tiada berkata-2 dengan dukacitanya. Demikianlah halnya jika kita beroleh kebesaran dan kemuliaan serta kekayaan itu tiadalah boleh kita takburkan melainkan hendaklah kita syukurkan dan jika kita jatuh ke dalam kehinaan serta kemiskinan itu tiadalah boleh kita bimbangkan melainkan hendaklah kita sabarkan kerana keadaan dunia ini seperti perkataan arif batu besar berguling turun dan batu kecil merayap naik adanya.

Ceritera 73 Darihal musang dengan kera

Sebermula adalah seekor kera telah menari-2 dan melompat-2 bertandak di hadapan khalayak perhimpunan binatang-2. Maka jenaka kera itu sangatlah memberi kesukaan kepada binatang-2 yang banyak. Oleh itu lalu digelar oleh mereka itu akan dia menjadi raja bagi segala binatang yang di dalam dunia ini dan duduklah ia memerintahkan binatang-2 itu dengan aman sentosanya.

Syahadan timbullah dengki di hati seekor musang akan kemuliaan dan kebesaran kera itu. Maka pada suatu hari berjumpalah ia dengan sekeping daging di dalam sebiji perangkap. Kemudian pergilah ia kepada kera itu. Serta sampai berkatalah ia katanya Ya Tuanku adalah hamba ini telah berjumpa dengan sekeping daging tetapi tiadalah hamba ambil lagi kerana hamba taruh bagi Tuanku oleh kerana sekalian pendapatnya harta karun itu sepatutnya bahagian raja belaka. Setelah itu diajaknya kera itu pergi ke tempat itu akan mengambilnya.

Arkian berjalanlah kera itu dengan lalinya pergi kepada perangkap itu. Maka apakala dipegangnya akan daging itu terkenalah ia perangkap itu. Dengan hal yang demikian marahlah ia akan musang itu kerana membawa ia ke perangkap itu dengan sengajanya. Maka dijawablah oleh musang itu katanya Ya kera adakah patut semacam engkau dan seperti akal engkau itu boleh menjadi raja di atas kami sekalian. Maka jikalau engkau bijaksana adakah mahu engkau menerkam makanan itu dengan tiada dilihat marabahayanya dahulu. Setelah itu berjalanlah musang itu dan ditinggallah kera itu di situ. Demikianlah halnya tiap-2 yang bingung meskipun raja nescaya dicucuk orang jua hidungnya adanya.

Mukasurat 53/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 53/93

Ceritera 74 Darihal kuda perang dengan penunggangnya

Sekali persetua adalah seorang peperangan amatlah kasih sayang akan seekor kudanya. Maka di dalam suatu peperangan itu dipeliharanyalah akan dia dengan sepertinya kerana pada perasaannya kuda itulah rakannya yang menolong akan dia di dalam sakit senangnya seperti melepaskan Dia daripada marabahaya. Maka di dalam tempoh peperangan itu diberinyalah akan dia makanan daripada rumput kering dan gandum dengan secukupnya.

Hatta setelah selesailah peperangan itu maka diberilah oleh soldadu itu akan dia memakan sekam serta dipakainya akan dia mengangkat kayu api dri hutan dan membuat pekerjaan yang berat-2 serta dipukulnya akan dia yang amat sangatnya. Selang tiada berapa lama di belakang itu berbangkitlah suatu peperangan yang lain. Telah berbunyilah trompet memanggil soldadu pergi berlawan. Maka dipakaikannyalah akan baju rantai kepada kudanya itu dan memakailah ia baju zirahnya serta lain-2 kelengkapan perang.

Syahadan setelah naiklah soldadu itu bertunggang di atas kudanya maka kuda itu pun rebahlah [tertungkam] ke bumi oleh keberatan. Kemudian berkatalah kuda itu kepada tuannya katanya Hai tuanku hendaklah engkau sekarang pergi berperang dengan berjalan kaki dan tiadalah hamba terbawa akan tuan hamba lagi oleh kerana tuan hamba telah menjadikan hamba seperti keldai memakan sekam dan betapakah boleh tuan hamba mengharapkan keldai itu menjadi kuda peperangan. Setelah didengarlah oleh soldadu itu akan perkataan kudanya maka diamlah ia tiada terperikan lagi seraya berjalan pergi berlawan dengan sesalnya yang amat sangat. Demikianlah halnya sesal dahulu jadi pendapatan. Sesal kemudian tiada berguna adanya.

Ceritera 75 Darihal perut dengan anggota

Sebermula adalah pada suatu masa marahlah segala anggota kepada perut kerana berlelah lelehlah yakni berpenat-2lah anggota itu mencari rezeki mengisi akan nafsu perut itu seraya berkata Hai perut apakah pasalnya kami sekalian tiada berhenti membuat pekerjaan mencari nafkhah akan mengenyangkan temolok engkau tak dan akan engkau itu tiadalah membuat suatu apa hanyalah berdiam sahaja akan menerima barang makanan dengan makmur dan kelimpahannya.

Syahadan dijawablah oleh perut itu katanya jika sekiranya kebajikan itu semata-2 bagiku terlebih baiklah engkau sekalian berhenti daripada usaha. Maka daripada tarikh itu diamlah segala anggota itu tiada hendak mencari apa-2 akan menanggung

Mukasurat 54/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 54/93

perut itu. Kemudian sekalian tubuh badan itupun letih lesulah tiada [berdaya] lagi. Maka tangan kaki mulut mata serta lain-2 anggota itu pun menyesallah dari sebab kebodohannya tetapi sesal itu sia-2lah sahaja oleh telah terlambat. Demikianlah halnya sebab marahkan tikus padi dibakar dan marahkan nyamuk kelambu dibakar akhirnya kita jua yang kecewa adanya.

Ceritera 76 Darihal Dewata dengan kera

Sekali persetua adalah pada suatu masa dikeluarkanlah oleh Dewata yang mulia raya suatu kenyataan kepada sekalian binatang-2 yang di dalam rimba belantara menyuruhkan masing-2 menunjukkan anaknya kepadanya. Maka di dalam pertunjukan itu jikalau didapati anak siapa-2 yang terlebih indah daripada sekaliannya bolehlah diberi hadiah yang banyak dan permata-2 ratna mutu manikam kepada ibu bapanya. Maka apabila didengarlah oleh segala mergastua yakni binatang-2 yang berkaki empat akan kenyataan itu berhimpunlah masing-2 ke tempat yang telah ditetapkan itu. Maka di dalam ramai-2 itu datanglah seekor kera membawa anaknya memek hidungnya dan botak kepalanya serta huduh rupanya mempersembahkan anaknya itu kepada Dewata itu serta memohonkan hadiah yang tersebut di dalam kenyataan itu.

Syahadan ramailah binatang-2 tertawa gelak-2 dan bertepuk tangan melihatkan kera itu menunjukkan anaknya kepada Dewata itu. Dengan hal yang demikian berkatalah kera itu dengan gembira dan dahsyat perkataannya katanya Hai tuan-2 sekalian adapun yang hamba tunjukkan anak hamba kepada Dewata ini bukanlah hamba harapkan tentu ia memberi hadiah itu kepada anak hamba oleh kerana keelokannya sekadarkan adalah yang anak hamba ini pada pandangan hamba tiadalah bandingnya di dalam alam dunia ini dan terlebih pula indahnya daripada yang lainnya dan terlebih mulia daripada anak tuan-2 itu. Maka senyaplah binatang yang lain-2 itu mendengarkan perkataan kera itu. Demikianlah halnya adapun anak yang diterbitkan daripada perut itu jika buruk sekali pun nescaya eloklah jua kepada mata ibu bapanya seperti kata arif siapakah mahu [menghujankan] garamnya adanya.

Mukasurat 55/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 55/93

Ceritera 77 Darihal janda dengan dayang-2nya

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang janda yang terlalu amat kaya serta dengan elok parasnya telah diam di dalam sebuah rumah yang besar serta dengan beberapa orang dayang-2nya yang muda-2 belaka. Maka akan resmi yakni perangai janda itu daripada anak daranya lagi sangatlah pencuci. Oleh yang demikian selama sudah ia berumah sendiri itu bertambahlah bersihnya hingga licin licau [di tanah] rumah.

Arkian adalah adat janda itu menjagakan dayang-2nya pada setiap pagi akan membuat pekerjaan apakala berkokok ayam. Dengan hal yang demikian sangatlah kesusahan hati dayang-2 itu oleh tersangat banyak pekerjaannya. Kemudian dibunuhlah oleh mereka itu akan ayam jantan yang di dalam rumah itu kerana ialah yang menggerakkan tuannya. Maka setelah terbunuhlah ayam itu makinlah bertambah-2 lagi kesusahan mereka itu oleh kerana tatkala janda itu tiada mendengar kokok ayam lagi maka digerakkannyalah mereka itu akan membuat pekerjaan pada setiap tengah malam. Demikianlah halnya sebab takutkan hantu terpelukkan bangkai adanya.

Ceritera 78 Darihal sewah dengan helang dan merpati

Sekali persetua adalah beberapa ekor burung merpati telah dihidupi oleh seorang tukang. Maka pada tiap-2 hari datanglah seekor helang yang amat besar menyambar burung itu seekor sehari. Dengan hal yang demikian sangatlah ketakutan merpati itu akan dia. Kemudian dipanggillah oleh merpati seekor helang sewah akan menjaganya.

Kalakian akan helang sewah itu setelah lepaslah ia masuk bercampur gaul dengan kawan merpati itu lalu dibunuhnyalah akan dia yang tiada tepermanai banyaknya di dalam sehari terlebih daripada setahun disambar oleh helang itu. Kemudian baharulah diketahui oleh merpati akan kebengisan perangai sewah itu dan lama kelamaannya habislah merpati itu dibahan yakni dibunuh oleh sewah itu. Demikianlah halnya menghilangkan ubatan itu suatu penyakit yang terlebih bisa daripada sekaliannya adanya.

Ceritera 79 Darihal jenjulung dengan paus serta seluang

Sebermula adalah pada suatu masa berbangkitlah suatu peperangan

Mukasurat 56/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 56/93

yang amat dahsyat di antara jenjulung dengan paus. Maka di antara sebelah menyebelah yakni kedua pihak mereka itu pun banyaklah mati dan luka. Maka di dalam tengah beramuk-2kan yang terlalu hebohnya sekonyong-2 datanglah seekor ikan seluang yang kecil mengangkatkan kepalanya di dalam ombak lautan itu seraya berkata jikalau sekiranya redalah kedua pihak mereka itu menjadi akan dia orang tengah yang mendamaikan perkelahian itu melainkan bolehlah didamaikannya dengan senangnya.

Hatta setelah didengarlah oleh seekor jenjulung itu maka berkatalah ia katanya Hai binatang yang kecil lagi hina redalah kami terbunuh sekaliannya di dalam peperangan ini asalkan jangan engkau bercampur di dalam hal kami kerana tiada [hangga] yakni tiada layak bagimu memasuki dan menengahi akan peperangan kami ini. Setelah didengarlah oleh seluang akan nista jenjulung itu diamlah ia tiada terkata-2 lagi. Demikianlah halnya hendaklah kita memintakan diri kita jangan sampai seperti pipit menelan jagung akhirnya tersengkang di rengkungnya adanya.

Ceritera 80 Darihal layang-2 dengan ular di dalam mahkamah

Sekali persetua adalah seekor burung layang-2 telah mengembara ke negeri yang lain. Kemudian lalu bersaranglah ia di tembok sebuah mahkamah yakni tempat menyelesaikan bicara-2 kerana ia terlalu perkenan diam berdekatan dengan manusia. Kemudian bertelurlah ia tujuh biji serta menetaskan tujuh ekor anaknya. Maka di dalam tembok mahkamah itu adalah seekor ular telah membuat tempat kediamannya.

Hatta setelah terbanglah layang-2 itu pergi mencari makanannya maka menjalarkan ular itu dari lubangnya pergi memakan anak layang-2 itu. Maka tatkala baliklah burung itu didapatinya akan sarangnya telah hampa dan anak-2nya telah lenyap lalu merataplah ia yang amat sangat katanya Wahai nasib sampailah diriku orang dagang sungguh pun aku diam di tempat segala makhluk mengharapkan beroleh keadilan melainkan aku jua sahaja yang terkena aniaya. Setelah itu terbanglah ia ke sana ke mari menghiburkan dukacitanya itu. Demikianlah halnya masakan ikhtiar itu boleh melawan takdir jangankan berdekatan manusia walau di dalam peti besi sekali pun masakan lepas adanya.

Mukasurat 57/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 57/93

Ceritera 81 Darihal dua biji takar

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa berlaku musim hujan. Segala air-2 sungai pun besarlah hingga sampai mengalir ke tebingnya. Maka hanyutlah dua biji takar dekat-2 di dalam sebuah sungai yang deras. Di dalam itu adalah sebiji takar tanah dan sebiji takar tembaga.

Hatta sambil hanyut itu berkatalah takar tanah kepada takar tembaga itu katanya Hai sahabatku undurlah tuan hamba sedikit oleh terlalu bimbang hamba kerana persentuklah hamba dengan tuan hamba nescaya remuk redamlah hamba tambahan pula bukanlah jodonya hamba berdamping dengan tuan hamba. Setelah itu jauhlah takar tembaga itu. Demikianlah halnya sama setaraf itulah melayak bersahabat dan berkasih-2an adanya.

Ceritera 82 Darihal gembala kambing dengan serigala

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang gembala kambing telah berjumpa dengan seekor anak serigala yang baharu jadi di dalam sebuah padang. Diambillah oleh gembala itu akan dia serta dibawa balik ke rumahnya dan dipeliharakannya. Setelah besarlah binatang itu lalu diajarnya mencuri anak biri-2 yang di dalam kawan biri-2 orang yang hampir di situ.

Hatta setelah pandailah serigala itu maka pada suatu hari berkatalah ia kepada gembala itu katanya Akan sekarang telah sudahlah tuanku mengajar hamba ilmu mencuri dan akan hamba pun telah mahirlah dengan latihan tuanku itu. Di dalam itu banyaklah tuanku beringat takut kambing tuanku sendiri kelak kehilangan. Maka tatkala gembala itu mendengarkan perkataan serigala itu bimbanglah ia. Demikianlah halnya jangan diajar anak harimau memakan daging tak dapat daging yang lain kita kelak dipatahkannya adanya.

Ceritera 83 Darihal ketam dengan ibunya

Sebermula adalah seekor ketam dengan anaknya telah mendiami suatu pantai lautan. Maka pada suatu hari merayaplah anak ketam itu berkeliling ibunya. Maka apakala dilihatnya oleh ibunya akan dia berjalan serong lalu berkatalah ia katanya Hai anakku

Mukasurat 58/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 58/93

mengapakah engkau berjalan serong tiadakah boleh berjalan lurus dan jikalau tiada dibiasakan berjalan lurus nescaya selama lamanya pun tentulah engkau di dalam yang demikian itu.

Hatta dijawablah oleh anaknya katanya Hai ibuku segala perkataan itu benarlah belaka. Akan tetapi jikalau bolehlah ibuku mengajar hamba berjalan lurus nescaya bolehlah hamba turuti. Kemudian dicubalah oleh ibu ketam itu berjalan tegak dengan terhempar-2 dan terpusing-2. Akan tetapi sia-2lah sahaja oleh ia sendiri pun berjalan serong. Maka tertawalah anak ketam itu gelak-2 melihatkan kelakuan ibunya itu. Demikianlah halnya teladan itu pengajaran terlebih utama daripada kekerasan adanya.

Ceritera 84 Darihal bapa dengan dua anaknya yang perempuan

Sekali persetua adalah pada suatu masa seorang peladang telah beranak dua orang anak perempuan. Setelah besar anaknya itu lalu dikahwinkannyalah seorang dengan tukang kebun dan seorang dengan tukang menempa bata. Maka tiada berapa lama di belakang itu pergilah peladang itu melawat anaknya yang bersuamikan tukang kebun itu bertanyakan perkhabaran anak menantunya dan hal kehidupan mereka itu. Maka dijawablah oleh anak itu Ya ayahku di sebelah pihak hamba laki isteri adalah di dalam sihat dan aman belaka. Akan tetapi adalah suatu kehendak hamba jikalau kiranya bolehlah hujan itu mencucurkan rahmatnya pada tiap-2 hari tentulah bertambah-2 kesukaan kami supaya pulihlah tanam-2an disiraminya. Setelah habis berkata-2 kembalilah peladang itu ke rumahnya.

Hatta tiada berapa lama di belakang itu pergilah ia ke rumah anaknya yang berkahwin dengan tukang bata itu. Setelah sampai lalu bertanyalah ia kepadanya seperti pertanyaan yang tersebut di atas itu. Maka jawab anaknya itu Ya bapaku pada sekarang tiadalah suatu kekurangan kepada kami sekadarkan suatulah sahaja maksud kami jikalau bolehlah matahari itu selalu memancar-2kan sinarnya sangatlah sukacita kami supaya keringlah bata-2 kami itu. Setelah didengarlah oleh peladang akan masing-2 kehendak anaknya itu mengeluhlah ia sambil berkata Hai anakku

Mukasurat 59/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 59/93

jikalau kakakmu berkehendakkan hujan dan engkau berkehendakkan panas yang manakah aku hendak doakan. Kemudian kembalilah peladang itu ke rumahnya tiada mencampuri dengan salah suatu kehendak anaknya itu. Demikianlah halnya banyak [hudang] banyaklah garamnya banyak orang banyaklah ragamnya adanya.

Ceritera 85 Darihal pencuri dengan ibunya

Sekali persetua adalah seorang budak telah mencuri sekepala kitab pelajaran daripada rakannya. Maka akan kitab itu dibawanya balik serta diserahkannya kepada ibunya. Setelah dilihatlah oleh ibunya akan pendapatan anaknya itu sukacitalah ia tiadalah dimarahi akan dia. Kemudian oleh budak itu dicurinyalah sehelai kain selimut dan diberikannya jua kepada ibunya. Maka tatkala itu [dibangsanglah] yakni disuruhlah oleh ibunya mencuri lagi. Dengan hal yang demikian budak itu pun besarlah. Maka pada suatu ketika pergilah ia mencuri barang-2 yang berharga daripada rumah seorang kaya dan tertangkaplah ia di situ serta [disengkalingkan] orang tangannya ke belakang. Kemudian diheret orang akan dia ke penyalang yakni tempat membunuh dan ramailah orang menontonnya. Di dalam itu ibu pencuri itu pun adalah bersama-2. Sambil berjalan sambil menampar muka dan menumbuk dadanya dengan tangisnya.

Kalakian datanglah fikiran di hati pencuri itu akan kurang ajaran ibunya itu. Kemudian dilaungnyalah akan ibunya katanya Hai ibuku silalah rapat ke mari kerana adalah suatu perkara yang hendak ku bisikan ke telingamu. Setelah hampirlah ibunya lalu digigitnyalah telinga ibunya itu sehingga putuslah. Maka tatkala itu marahlah ibunya akan dia sebab [di...nya]. Maka jawabnya katanya Hai ibuku jikalau engkau telah memarah dan memukul akan daku tatkala aku membawa kitab pelajaran kepadamu dahulu nescaya tiadalah aku terkena heret ke tempat penyalang ini dan tiadalah pula aku beroleh kematian yang aib. Maka dengan hal yang demikian itu tinggallah ibunya di situ tertungguk menekup telinganya dengan kesakitan dan akan pencuri itu digantung oranglah sehingga mati. Demikianlah halnya jika hendak melentur buluh seyogianya daripada rebung lagi adanya.

Mukasurat 60/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 60/93

Ceritera 86 Darihal orang tua dengan malaikat maut

Sebermula adalah seorang yang amat miskin telah mendapat kehidupannya dengan memotong kayu api di dalam hutan pada tiap-2 hari. Maka pada suatu hari sudah dipotongnya seberkas kayu lalu dipikulnyalah hendak dibawa jualan ke bandar. Maka oleh sangat penatnya di dalam perjalanan yang jauh lalu dihempaskannyalah kayu itu di tengah jalan dan duduklah ia di atasnya serta memanggil malaikat maut minta ambilkan nyawanya oleh tiada tertanggungnya lagi akan azab sengsara kemiskinannya itu.

Arkian sekonyong-2 hadirlah malaikat maut itu di hadapannya seraya bertanya Hai orang tua apakah pasalnya engkau memanggil akan daku. Maka terkejutlah si miskin itu dengan ketakutan seraya berkata menjawab akan pertanyaan malaikat maut itu dengan gementar kaki tangannya sambil mengangkat berkas kayu itu katanya sebab pun hamba menyeru tuan hamba itu kerana minta tolong mengangkatkan berkas kayu ini ke atas bahu hamba. Setelah itu berjalanlah orang tua itu dengan tiada menoleh ke belakang lagi. Demikianlah halnya di dalam sebelum [berdimpuk] dengan marabahaya banyaklah orang yang berani. Akan tetapi apakala berhampir jaranglah yang mara ke hadapan adanya.

Ceritera 87 Darihal pohon kayu dengan duri

Sebermula adalah sebatang kayu yang lurus telah berkata dengan sombongnya kepada duri katanya Hai sang duri yang engkau itu sekali-2lah menjadi pergunaan kepada siapa-2 pun. Tambahan pula dibencinya akan dikau yang tiada terhingga. Maka yang aku ini sangatlah banyak pergunaan kepada manusia dan merata-2 tempat adakah dipakainya akan daku seperti membuat bumbung dan tiang serta lain-2nya.

Arkian setelah didengarlah oleh duri akan perkataan kayu itu dijawabnyalah katanya Hai temanku jikalau engkau kenangkan di dalam hatimu akan tajamnya kapak serta gergaji yang akan memotong engkau tentulah terlebih suka engkau menjadi duri daripada menjadi kayu. Maka apakala didengarlah oleh kayu akan balasan duri itu dukacitalah ia. Demikianlah halnya terlebih baik duduk di dalam kedaifan yang tiada berhutang daripada kaya yang banyak bersangkutan adanya.

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50