Hikayat Raja Budiman

Muka surat 31 hingga 40

Mukasurat 31/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 31/129

sampai kaki kuda itu ke tanah maka Selamat Tandang Desa pun sampailah pada tempat kuda itu lalu berkata Apakah sebabnya tuan patik tengah terbang maka turun ini. Maka kata Lela Muda Hai Abang Selamat aku ini sangat dahaga air yang di dalam kendi itu sudah habis cubalah Abang Selamat pergi minta air pada kampung orang itu. Maka Selamat pun berlari-2 masuk kampung itu maka dilihatnya sangat permai kampungnya Nyiur Baharu duduk umbinya dan pisang baharu menabur anak dan pinang tengah mengurai mayang di dalamnya ada sebuah rumah. Maka oleh Selamat lalu dituju kepada rumah itu telah sampai pada penjuru masuk lalu diseru oleh Selamat Ayuhai Encik tuan rumah berturut-2 dua kali tiada siapa menyahut. Maka Selamat pun marah lalu dilompatnya pintu masuk telah lepas ke dalam maka ianya pun pergi ke pintu rumah itu. Telah didengar oleh nenek kebayan bunyi orang ia pun keluar dilihatnya adalah Selamat Tandang Desa maka kata nenek kebayan Hai cucuku hendak ke mana tuan ini. Maka jawab Selamat Tandang Desa Cucu datang ini hendak minta air barang sedikit maka sahut nenek kebayan ambillah cucu di dalam telaga itu nenek tiada pernah lagi jual air. Maka Selamat pun mengeluarkan kendi suasa bertampok emas maka kendi itu pun terpandanglah pada nenek kebayan maka segeralah ia minta kendi itu katanya Hai cucuku berilah kendi itu boleh aku beri air di atas rumah adalah sedap sedikit

Mukasurat 32/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 32/129

cucu hendak minum. Maka Selamat Tandang Desa pun segeralah memberikan kendi itu kepada nenek kebayan. Maka kendi itu langsung disimpan oleh nenek kebayan maka ia pun balik mendapatkan Selamat Tandang Desa serta katanya Hai cucuku segeralah pergi panggil tuanmu itu yang empunya kendi ini bawa ke rumah nenek orang tua ini jikalau cucuku tiada mahu panggil orang itu kendi ini mahallah nenek pulangkan balik maka merataplah Selamat Tandang Desa dibukanya pintu masuk berlari dia pergi mendapatkan tuannya Lela Muda. Telah sampai maka katanya ampun tuanku patik beribu-2 ampun jikalau tuan patik tiada mahu pergi ke rumah nenek kebayan kendi kita itu tiada dipulangkan. Maka Lela Muda pun segeralah pergi ke rumah nenek kebayan telah dilihat oleh nenek kebayan Lela Muda sudah datang maka ia pun berkata Ayuhai cucuku semangat nenek urat rambut batu kepala nenek patut nenek bergerak mata rupanya cucuku hendak mari ke rumah nenek silalah cucuku naik ke rumah buruk orang tua ini maka Lela Muda pun berangkat naik ke atas rumah itu maka nenek pun segeralah pergi mengambil corong emas lalu diunjukkan kepada Lela Muda katanya Silalah cucuku santap sirih nenek. Maka jawab Lela Muda Cucu mari ini pun sahaja hendak makan sirih nenek barang sekapur. Maka nenek kebayan pun segeralah bangkit membentang dan menggantung tirai kelambu tilam permaidani telah

Mukasurat 33/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 33/129

sudah siap maka kata nenek kebayan Aduhai cucu semangat nenek marilah cucu buang lenguh kebas di dalam tempat peraduan nenek ini kerana cucu berjalan jauh letih badan tiada larat. Maka Lela Muda pun segeralah bangkit masuk ke dalam peraduan nenek kebayan dan nenek pun segeralah pergi ke dapur bertanak gulai rendang tumis telah masak semuanya maka dibubuh ke dalam hidangan kemudian maka diambil pula sepucuk jarum dicucuk pada tiap-2 nasi itu yang melintang sama melintang yang membujur sama membujur. Maka beraturlah awan pada nasi itu merak bersambung lalat berpukas kerbau berlaga gajah berjuang. Telah sudah beratur nasi itu lalu diangkat. Maka nenek pun segeralah membangunkan Lela Muda katanya Ayuhai cucuku silalah bangkit santap nasi. Maka Lela Muda pun bangkit basuh tangan lalu santap nasi sesuap dua suap ketiga suap lalu sudah basuh tangannya santap sirih sekapur. Maka nenek pun segera keluar ke dapur dimasak nasi satu gerengseng nasi muat tiga gantang telah masaklah lalu dibubuh nasi itu ke dalam kecah semuanya sekali lalu dipanggil Hai cucuku yang hitam berkilat silalah mari makan nasi. Maka Selamat pun datang duduk bersila panggung di cekak nasi itu dua tiga kali habis tumpah nasi itu Selamat pun sudah lalu basuh tangan maka ianya pun minum air pula habis air nenek satu tempayan tapak gajah setelah selesai daripada makan

Mukasurat 34/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 34/129

itu nenek pun memberi sebiji bantal maka Selamat pun berbaring di muka pintu itu antara beberapa lamanya hari pun sudah jauh malam bangkitlah Lela Muda pergi dekat Selamat seraya berkata perlahan-2 Ayuhai Abang Selamat semangat sahaya bangkit abang mari kita pergi ke mahligai yang rendah itu mustahillah tiada tuannya. Maka Selamat pun bangkitlah lalu berjalan turun bersamalah dengan Lela Muda pergi ke mahligai itu langsung naik ke atas bilik yang sunyi pentas yang tinggi dan Selamat itu tinggal pada satu tingkat yang di bawah lali bermain dengan segala dayang-2. Maka dayang-2 tua pun berkata Wahai Encik Selamat Tandang Desa silalah mari kita bermain-2 congkak sekalian dayang-2 pun berkatalah seorang demi seorang mengajak bermain juga maka Selamat pun lalilah bermain riuh rendah dengan segala dayang-2 itu. Maka tiap kali Selamat bermain-2 itu seorang lepas seorang lawan bermain Selamat juga yang alah tiada pernah menang barang sekali jua pun. Maka ianya pun geramlah rasa hati ini lalu ditamparkan muka seorang dayang tua serta kena tampar itu habislah pecah gambar itu bersemburan tembikarnya. Maka Selamat pun sangatlah terkejut serta sudah diketahuinya rahsia itu maka habislah ditamparkan tiap-2 gambar itu habis berpenceraian. Maka jin yang di dalam gambar itu pun habis terbang. Maka tinggal seorang lagi gambar itu di dalam pentas yang tinggi tengah duduk dipujuk oleh Lela Muda Ayuhai adik semangat abang urat rambut batu kepala abang emas merah cahaya mata abang seri negeri

Mukasurat 35/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 35/129

mahligai hati abang. Maka Selamat pun sudah ketahui rahsia itu maka ia pun pergi duduk mengadap melihat kelakuan Lela Muda memujuk gambar itu. Maka didengar oleh Selamat hal Lela Muda itu sudah jiwanya dan mabuk lali dengan memujuk gambar itu. Maka ia pun datang menerkam langsung ditamparkan muka gambar itu habis pecah bersemburan maka jin di dalam itu pun terbanglah. Maka baharulah diketahui oleh Lela Muda gambar itu dengan perbuatan jin maka ianya pun tinggal berdua dengan Selamat duduk bertutur kata Untunglah kita tiada dirasuk oleh jin itu telah sudah berkata-2 lalu pulang balik keduanya ke rumah nenek kebayan naik perlahan-2 langsung tidur. Telah siang pagi hari bangkit basuh muka makan nasi dan minum air. Telah sudah selesai makan itu balik pula duduk berbaring-2 di atas bantal sandaran memandang ke atas. Maka terpandanglah ia kepada suatu barang bersampul kain putih tergantung kepada tulang bumbung rumah nenek kebayan itu. Maka kata Lela Muda Ayuhai nenek semangat cucu apakah barang yang tergantung pada tulang bumbung itu. Maka jawab nenek kebayan Wahai cucuku itulah sebiji gong keramat terlalu besarnya kerana nenek duduk seorang di dalam dunia ini pada negeri Padang Kecik ini jikalau nenek sakit demam mati hidup maka berbunyilah gong keramat itu suaranya lantas naik ke atas kayangan maka turunlah tuan puteri melihat nenek. Maka jawab Lela Muda Ayuhai nenek bolehkah cucu hendak pukul barang sekali maka sahut nenek kebayan Ayuhai cucuku janganlah

Mukasurat 36/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 36/129

dipukul kerana nenek tiada apa sakit demam jika didengar oleh Tuan Puteri Bongsu Kecil Cahaya Bulan turunlah ia mari melihat nenek jika tiada sakit demam tentulah nenek kena marah oleh tuan puteri. Telah didengar oleh Lela Muda pura-2 ia hendak merajuk. Maka kata nenek kebayan Cucuku hendak pukul juga nantilah dahulu nenek hendak cari buah mabuk dimakannya tiada mati telah dapat lalu pulak diambil pula beras kunyit sedikit lalu digiling. Maka disapukan pada segenap tubuh badannya kemudian diambilnya pula sehelai tikar buruk pada bangsal lesung indik dengan berlapuk sekam pada tikar itu lalu digulung serta ditaruh pada hulu kepala tidurnya. Maka katanya Ayuhai cucuku semangat nenek pergilah pukul gong besar itu. Maka Lela Muda pun terlalu suka langsung berlari naik ke atas para maka dibuka sampul gong itu lalu dipukul berturut-2 sepuluh kali maka bunyi gong itu pun melintas sampai ke atas kayangan terdengarlah pada telinga Tuan Puteri Bongsu Cecil Cahaya Bulan. Ada pun tuan puteri pada ketika itu tengah duduk menekat di pintu maling serta terdengar bunyi gong lalu terlepas papan pemidang daripada tangannya maka ianya pun segeralah bangkit lalu memanggil dayang-2 tua dan muda disuruh berhimpun semuanya Cik Dayang Siti dan Sikembang Bunga Cina dan Cik Dayang Suka Bersiaplah kita kerana kami telah mendengar gong besar keramat di rumah nenek kebayan pada negeri Padang Kecik entah pun nenek itu sudah mati marilah kita mengadap paduka ayahanda raja sang nata di balai peseban agung langsung berjalan diiringkan

Mukasurat 37/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 37/129

oleh sekalian dayang telah sampai ke hadapan ayahnya lalu dipanggil dekat serta dicium senafas seraya bertitah Anak ayah semangat ayah urat rambut batu kepala ayah emas merah cahaya mata ayah seri negeri mahligai hati ayah apalah yang kekurangan pada anak ayah jikalau ada ayah hendak beri jikalau tiada ayah hendak cari. Maka sembah Tuan Puteri Bongsu Kecil Cahaya Bulan Tiada apa kekurangan ayah sekadar-2 anak mengadap ayah hendak turun ke dalam dunia pada negeri Padang Kecil kerana gong besar keramat di rumah nenek kebayan berbunyi entahkan sudah mati gerangan nenek kebayan itu. Maka titah ayahnya raja sang nata Silalah anak ayah semangat ayah tetapi janganlah bermain di sana kerana banyak orang-2 yang kesaktian di dalam dunia kerana anakku sudah bertunang dengan Sheikh Ali ayah pun tiada berani menentang mata Sheikh Ali itu orangnya amat perkasa tetapi ayah pun kurang suka padanya ia orang pelik mukanya amat hitam sebelah dan putih sebelah. Maka Tuan Puteri Bongsu Kecil Cahaya Bulan pun segeralah balik ke mahligainya lalu memasuk sekalian pakaian baju layang yang boleh diterbang maka lalulah terbang dengan sekalian dayang-2nya riuh rendah sepanjang jalan langsung lepas ia dari awan dan mega sampailah pada tali angin yang bernama [... Kancing] dan lalu sampai kepada awan yang biru. Ada pun Lela Muda pada ketika itu sedang duduk di pintu maling di rumah nenek memandang ke langit maka terpandanglah kepada orang yang terbang di dalam awan itu. Maka kata Lela Muda Ayuhai nenek apakah barang yang terbang itu jikalau burung bukannya seekor jikalau kumbang bukan seekor jikalau tuan puteri

Mukasurat 38/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 38/129

bukannya seorang maka jawab nenek kebayan Ayuhai cucuku itulah Tuan Puteri Bongsu Kecil Cahaya Bulan. Maka Lela Muda pun disuruh nenek duduk sembunyi di dalam gulung tikar buruk pada kepalanya dan Selamat Tandang Desa disuruh lari ke dalam taman dan nenek segeralah disapu tubuh badan dengan bedak kunyit telah sudah ia pun baring dan selimut dimakan buah mabuk maka tiada mati dan ianya pun terhantar selaku mati sungguh rupanya. Kemudian tuan puteri yang terbang itu pun sampailah hinggap pada pohon nyiur gading langsung turun pada pohon limau manis tempat permainannya serta masuk pada rumah nenek kebayan maka dilihatnya nenek itu selaku orang sudah mati bertudung dengan kain putih sambil dibuka kain itu maka kata tuan puteri Wahai kak dayang sakit nenek ini sudah lama rupanya lihatlah pada segala tubuhnya itu sudah kuning. Maka tuan puteri pun lalu mengeluarkan sebiji [jambul] berisi air mawar di dalam lentang sanggulnya disiramkan pada seluruh tubuh nenek itu maka nenek pun baliklah hidup seperti sedia lama seraya berkata Amboi cucu semangat nenek lama juga nenek tidur. Maka kata tuan puteri Tidur apakah nenek sudah mati. Maka kata nenek Patutlah nenek berjumpa dengan segala malaikat mati lama dan mati baru. Maka tuan puteri pun pergi ke dapur masak rendang tumis dan gulai hendak memberi nenek makan sesuap nasi dengan gopoh gapah kelakuannya telah masak lalu diangkat di dalam hidangan diletak di hadapan nenek kebayan sambil mengajak ia makan bersama-2. Maka nenek tiada mahu kerana sangat letih tubuh badannya maka santaplah dengan gurau sendanya. Telah selesai daripada makan itu

Mukasurat 39/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 39/129

lalu naik duduk di atas buaian emas dengan berbuai-2 adalah sepada dengan dua maka terpandanglah tuan puteri kepada tikar buruk di kepala tidur nenek lalu disuruh ambil hendak dibasuh kerana nenek sakit muntah berak buih di situ. Maka inang tua pun segeralah bangkit menarik tikar itu. Maka kata nenek kebayan usahlah diambil tikar itu tempat nenek memerap pisang oleh inang itu digagah tarik juga maka dirasanya tikar itu terlalu berat. Maka nenek pun sangat ketakutan pucat berseri mukanya. Ada pun Lela Muda duduk di dalam gulung tikar itu pun berkatalah di dalam hatinya [Beryang-2] pada dewata berkat kesaktian aku sungguh minta hilanglah rupaku ini barang menjadi seekor kucing emas kuku suasa matanya intan. Setelah itu maka ia pun menjadilah seekor kucing keluar melompat dari dalam gulung tikar itu maka dipandanglah oleh tuan puteri segeralah disuruh tangkap pada inang tua baharu hendak ditangkap oleh inang maka kucing itu pun datang hendak mengigit maka ketakutanlah inang itu lalu di panggil tuan puteri sendiri disuruh tangkap maka kucing itu pun apabila ia memandang tuan puteri itu datang ia pun berdiam dirinya maka kata tuan puteri Amboi putih kak semangat sahaya urat rambut batu kepala minta kak sendirikah menangkap putih kak maka kucing itu pun mengiau serta ditangkap oleh tuan puteri lalu dibawanya naik atas buaian emas serta berbuai-2 diatas pangkuannya ada sepada dengan dua maka tuan puteri pun berkata wahai putih kak hendak

Mukasurat 40/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 40/129

makan tuan maka kucing itu pun mengiau maka tuan puteri pun segera mengambil pinggan emas dibubuh nasi telah sudah lalu disuap maka kucing itu pun mengelengkan kepalanya kerana tuan puteri tiada makan maka kata tuan puteri Amboi putih hendak makan bersama kak kah putih maka kucing itu pun mengiau maka tuan puteri pun suap nasi satu suap pada kucing dan satu suap ia sendiri telah selesai daripada makan itu lalu duduk bersuka-2an dan nenek kebayan pun baharulah sihat segala tubuh badannya dan hari pun sudah petang maka segala dayang-2 pun muafakat semuanya hendak pergi bermain ke dalam taman bunga lalulah pergi mereka itu sekalian dengan riuh rendah bersuka-2an mengutip segala bunga-2an telah dilihat oleh Selamat Tandang Desa ianya pun bersangat kesaktiannya minta dirinya menjadi seekor burung sewah siraja wali terbang masuk ke dalam taman hinggap pada pohon bunga melur dengan memurangkan bulunya di dalam itu maka datanglah seorang dayang bernama Cik Suka telah dilihat seekor burung itu maka ianya pun datang mengendap burung itu lalu ditangkapnya dan dibubuhnya dalam kandung kainnya telah sudah maka dikutip bunga-2an ditudungkan burung itu telah sudah maka ianya pun pergi di kolam tempat permandian dengan bersuka-2an mandi maka segala dayang-2 yang lain semuanya mandi melainkan ia seorang juga yang tiada mandi oleh sebab takutnya meninggalkan burung itu kalau terlihat pada orang lain.