Hikayat Penerang Hati

Jilid I

Muka surat 71 hingga 80

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 71/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 71/93

singa akan perkataan babi itu perkenanlah ia. Dengan hal yang demikian berdamailah kedua ekor binatang itu serta bersahabat dan berkasih-2an selama-lamanya. Demikianlah halnya sebelum sampai ajal dan maut timbullah berbagai-2 akal adanya.

Ceritera 104 Darihal tikus dengan dekan

Sebermula adalah pada suatu masa berbangkitlah suatu peperangan yang amat dahsyat dan tiada berputusan di antara dekan dengan tikus. Maka di sebelah menyebelah yakni kedua pihaknya banyaklah mati dan luka dan darah pun mengalirlah di bumi seperti air bah. Maka di dalam peperangan itu sentiasalah ketewasan di sebelah pihak tikus. Dengan hal yang demikian berfikirlah tikus-2 itu. Ada pun sebab ketewasan itu adalah kerana mereka itu ketidaan panglima hulubalang dan pahlawan yang digelarkan supaya memerintahkan mereka itu. Maka oleh pun selalu mereka itu mendapat kebinasaan kerana kurang latihan askarnya.

Arkian setelah mustaidlah yakni lengkaplah sekaliannya dan askar-2 tikus itu pun telah berlatih belaka. Maka panglima-2 itu pun lalulah berkirim khabar kepada dekan-2 itu mengajak mereka itu berperang. Kemudian kedua-2 pihak pun keluarlah ke medan peperangan beratur bersaf-2. Maka dilihatlah oleh sekalian hulubalang pahlawan tikus itu akan kepalanya dengan batang padi supaya dapat dikenal akan mereka itu oleh askarnya.

Hatta apakala tampillah kedua pihak itu berdempuk yakni berdekat maka beramuk-2lah mereka itu. Seketika lagi [ditandillah] yakni ditempuhlah oleh dekan-2 akan askar tikus itu. Dan di dalam sebentar itu jua segala tikus-2 itu pun pecahlah perangnya serta lari cerai berai balik ke dalam lubangnya. Maka akan segala panglima hulubalang tikus itu tiadalah dapat masuk ke lubangnya oleh sebab mahkota-2 batang padi yang terlilit di kepalanya itu. Dengan hal yang demikian dapatlah ditawani oleh dekan-2 itu akan mereka itu serta dimakannya. Demikianlah halnya jikalau terlebih kemuliaan dan kemegahan seorang manusia itu nescaya terlebih banyak lagi marabahaya ke atasnya adanya.

Mukasurat 72/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 72/93

Ceritera 105 Darihal rusa yang buta sebelah matanya

Sebermula adalah seekor rusa telah buta sebelah matanya. Oleh itu sentiasalah ia pergi meragut rumput di tepi batu-2 yang berdekatan dengan pantai lautan. Kerana pada fikirannya bolehlah ia selamat di situ daripada kecederaan. Maka tatkala ia ada di tepi lautan itu dihalakannya matanya yang celik itu ke sebelah daratan supaya dapat melihat akan pemburu atau anjing-2 perburuan yang barangkali datang menghambat akan dia. Dan matanya yang buta itu dihalakannya ke sebelah lautan. Oleh pada sangkanya daripada pihak itu tiadalah sesuatu marabahaya yang akan merosakkan dia.

Arkian pada suatu masa adalah beberapa orang yang bermain-2 di dalam sebuah perahu berdayung melalui dekat dengan pantai lautan itu. Maka apakala terpandanglah mereka itu kepada rusa itu lalu berdayunglah ia datang merapat kepadanya. Setelah hampirlah sudah semakan peluru senapang yakni sejauh yang boleh sampai peluru lalu ditembaklah oleh orang perahu akan rusa itu dan kenalah peluru itu di kepalanya lalu tembus ke pangkal tengkuknya.

Syahadan rebahlah rusa itu ke tanah dengan bernafas panjang seraya meratap yang terlalu amat sangatnya dan siapa-2 yang mendengarkan ratapan itu amatlah belasnya katanya Amboi sungguhlah diriku ini binatang yang amat celaka dan tiada beruntung. Maka sentiasalah aku menjaga dan mengingati akan marabahaya yang datang dari sebelah daratan. Sebab itulah aku pergi ke pantai lautan oleh mengharapkan beroleh sentosa dan selamat daripada marabahaya dan rupanya di sini terlebih pula kecederaannya. Setelah itu singgahlah orang-2 perahu itu serta naik ke darat menyembelih rusa itu. Demikianlah halnya janji yang tertulis di lohmahfuz tiadalah dapat disimpangkan meskipun duduk di dalam peti besar adanya.

Ceritera 106 Darihal gembala biri-2 dan lautan

Sebermula adalah seorang gembala biri-2 pergi membawa biri-2nya memakan rumput di dalam suatu padang di tepi sebuah lautan. Maka di dalam ia duduk menjaga biri-2nya itu terpandanglah ia akan air lautan itu terlalu beningnya seperti air di dalam dulang. Oleh yang demikian terbukalah nafsunya yakni berniatlah ia hendak

Mukasurat 73/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 73/93

belayar membawa dagangnya.

Syahadan setelah pulanglah kembali biri-2 itu ke rumahnya lalu dijualkannya segala biri-2nya itu. Maka duit yang didapatinya daripada harga binatang-2 itu dibelikannya pula dagangan daripada buah kurma dan lain-2nya serta dengan sebuah kapal. Kemudian apakala genaplah sekalian kelengkapannya lalu belayarlah ia di dalam kapalnya hendak berniaga ke pulau-2 yang di sebelah lautan negerinya itu dengan melalui lautan tadi. Maka dipelayarannya itu turunlah taufan yakni ribut yang amat besar dan ombak lautan itupun mengalunlah seperti gunung rupanya menimpa kapalnya dan oleklah kapal itu yakni bergulinglah kapal itu seperti gasing. Setelah dilihatnya oleh gembala biri-2 itu akan hal kapalnya hendak terbalik lalu dicampakkannya sekalian dagangan ke dalam lautan itu. Kemudian dilarikannya kapal itu menuju ke pelabuhan negerinya dan sampailah ia ke situ dengan selamatnya di dalam kapalnya yang hampa itu.

Hatta apakala sampailah ia ke negerinya lalu dijualkannya pula kapalnya itu dan duitnya itu dibelikannya dua tiga ekor biri-2. Dengan hal yang demikian baiklah ia membuat pekerjaannya yang asal. Maka pada suatu hari pergilah ia membawa biri-2nya itu memakan rumput ke padang yang di tepi pantai lautan itu seperti sediakala. Tiba-2 bertemulah ia dengan seorang pengembara lalu di situ. Maka berkatalah orang itu kepada gembala biri-2 itu katanya Amboi teduhnya lautan ini seperti air di dalam kolam dan jika belayar di dalamnya alangkah senangnya. Maka disampuklah yakni disahutlah oleh gembala biri-2 akan perkataan itu katanya adalah dahulu lautan ini seperti itulah jua tenangnya. Akan tetapi tatkala hamba belayar di dalamnya dengan membawa dagangan buah kurma turunlah ribut yang amat besar hingga habislah hamba mencampakkan dagangan hamba ke dalamnya. Maka sekarang pun telah tenanglah pula ia semula kerana hendak memakan buah kurma lagi. Setelah didengar oleh orang itu akan perkataan gembala biri-2 itu lalu tertawalah ia gelak-2. Demikianlah halnya sebab tukang tak pandai dikatakan beliung tumpul sebab nasib tiada dikatakan laut yang jahat adanya.

Ceritera 107 Darihal keldai dengan ayam serta singa

Mukasurat 74/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 74/93

Sebermula adalah seorang benara telah memeliharakan seekor ayam jantan dan seekor keldai. Maka pada suatu hari duduklah kedua ekor binatang itu bersama-2 di dalam suatu halaman tiba-2 datanglah seekor singa yang terlalu amat laparnya mengendap di sisi halaman itu kerana hendak menangkap keldai itu. Dan pada tatkala singa itu hendak melompat mematahkan keldai itu bertepuklah ayam itu seraya berkokok. Setelah didengarlah oleh singa akan kokok ayam itu terperanjatlah ia serta berpaling lari dengan sekuat hatinya.

Arkian apakala dilihatlah oleh keldai akan singa itu lari bungkang balik oleh ketakutan mendengarkan kokok ayam itu datanglah beraninya lalu dikejarlah akan dia kerana hendak dihentamnya yakni dibunuhnya. Maka belum pun berapa jauh keldai itu mengejar berpalinglah pula singa itu serta datang menerkam keldai itu seraya mematahkan dia. Setelah matilah keldai itu lalu dimakannya akan dia. Demikianlah halnya orang yang beralah itu jangan ditubi jikalau ia melawan tentu bersungguh hati adanya.

Ceritera 108 Darihal perawan penjual susu dengan takar susunya

Sekali persetua adalah seorang perawan anak seorang si peladang menjunjung sebiji takar yang penuh berisi dengan susu kerana hendak dibawanya balik ke rumahnya dari kandang lembunya. Maka sambil berjalan-2 itu berfikirlah ia di dalam hatinya demikian manakala aku jual susu ini segala duit-2 yang ku dapati itu kelak ku belikan tiga ratus biji telur ayam. Kemudian ku eramkan telur-2 itu. Semalang-2ku menetas jua dua ratus lima puluh biji. Maka yang lain-2 itu habislah tembelang yakni [sambang].

Hatta ku peliharakan anak-2 ayam itu. Setelah besarlah sudah lalu ku jual ke kedai. Maka pada waktu itu harga ayam pun terlalu mahal jadi dapatlah aku wang yang terlalu banyaknya. Dengan hal yang demikian pada akhir tahun itu adalah hak aku [sendiri] cukup boleh membeli pakaian yang indah-2. Maka setelah sampailah pada hari raya ku pakailah pakaianku yang telah ku beli itu serta berjalanlah aku di dalam majlis orang-2 ramai itu.

Arkian setelah dilihatlah oleh teruna-2 yakni orang muda-2 akan daku

Mukasurat 75/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 75/93

inginlah hatinya hendak bersenda gurau dengan daku. Tetapi siapa-2 yang hampir hendak bercumbu itu tiadalah aku endahkan dan apakala dipadankan oleh mereka itu akan daku sukakah atau tiada bersuamikan salah seorang mereka itu. Maka tiadalah ku sahut perkataannya melainkan ku gelengkan kepalaku alamat tiada suka dan benci mendengar perkataan mereka itu.

Kalakian dengan hal yang demikian perawan itupun lalulah menggelengkan kepalanya menggayakan geleng yang hendak diperbuatnya kelak di dalam majlis angan-2 itu. Sekonyong-2 takar yang dijunjungnya itu pun jatuhlah dan habis [melayau] yakni [melimbang] susu itu di atas tanah. Maka dengan sebentar itu jua segala angan-2 yang di dalam dadanya itupun lenyaplah dan berlarilah ia pulang ke rumahnya dengan tangisnya. Demikianlah halnya adapun kerajaan angan-2 atau [manjanir] yang di dalam fuad kita itu terlebihlah besarnya daripada segala kerajaan yang di dalam dunia ini adanya.

Ceritera 109 Darihal tikus-2 bermesyuarat

Sebermula adalah pada suatu masa berhimpunlah segala tikus-2 yang di dalam dunia ini bermesyuarat hendak mencari akal supaya mengetahui akan kedatangan kucing-2 yang menghampiri hendak menangkap mereka itu. Maka di dalam mesyuarat itu masing-2 pun adalah mengeluarkan ikhtiar. Ada yang begini ada yang begitu. Maka di antara ikhtiar-2 yang banyak itu ditetapkanlah menggantung genta yakni loceng di leher tiap-2 kucing kerana gelung geling bunyi genta itu dapatlah diketahui akan kedatangan kucing-2 hendak menangkap mereka itu dan bolehlah mereka itu bersembunyikan dari ke dalam lubangnya.

Kalakian setelah tetaplah mesyuarat itu lalu berfikirlah pula mereka itu siapakah yang [cekap] hendak menggantungkan genta di leher kucing-2 itu. Maka apakala keluarlah muafakat itu masing-2 pun diamlah tiada seorang pun yang berani membuka mulutnya menyanggup akan membuat pekerjaan itu. Setelah itu masing-2 pun kembalilah ke lubangnya. Demikianlah halnya jika tiada boleh menyampai tiadalah berguna membuat suatu apa pekerjaan adanya.

Mukasurat 76/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 76/93

Ceritera 110 Darihal serigala dengan anjing

Alkisah adalah seekor serigala telah berjalan-2 di dalam sebuah kampung. Tiba-2 bertemulah ia dengan seekor anjing yang terlalu amat gemuknya serta besar. Maka di tengkuk anjing itu adalah terbelit suatu rantai dan punca rantai itu adalah terpaku pula kepada suatu tunggul kayu menjadi kandungnya supaya tiada boleh berjalan jauh.

Hatta apakala dilihatlah oleh serigala akan anjing itu di dalam hal demikian lalu bertanyalah ia katanya Hai taulanku siapakah yang memberi makan akan dikau ini makin terlalu gemuknya. Akan tetapi diberinya pula engkau suatu pekerjaan menarik tunggul kayu ini.

Syahadan dijawablah oleh anjing itu akan perkataan serigala itu katanya Hai sahabatku. Adapun yang mengikat tunggul kayu ke leher aku ini iaitu tuan aku yang memberi makanan kepada aku. Maka berkatalah pula serigala itu katanya bahawa barang disimpangkan oleh Dewata yang mulia raya akan daku dan akan sahabat-2ku daripada terkena yang demikian itu kerana berat rantai dan tunggul kayu itu memadalah akan jadi balasan makanan yang diberi oleh tuan engkau itu. Setelah itu baliklah serigala itu ke dalam rimba dan tinggallah anjing itu di dalam halnya seperti sediakala. Demikianlah halnya mulut disuap pisang punggung disorong onak adanya.

Ceritera 111 Darihal sungai dengan lautan

Sebermula adalah pada suatu masa berkumpullah segala sungai memarahkan lautan katanya Hai laut apakah pasalnya tatkala sebelum kita mengalir ke dalam engkau sangatlah perkenan segala makhluk meminum kita dengan manis dan lazatnya. Maka tatkala bercampurlah kita dengan engkau jadilah kita masin dan pahit hingga tiada dapat diminum oleh segala manusia.

Arkian setelah didengarlah oleh lautan akan perkataan sungai-2 itu berkatalah ia katanya Hai sahabatku janganlah tuan hamba meletak kesalahan itu ke atas hamba. Jika sekiranya sebab hamba yang tuan hamba sekalian itu dibenci oleh makhluk silalah tuan hamba berhenti daripada mengalir ke dalam

Mukasurat 77/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 77/93

hamba. Maka tatkala didengarlah oleh sungai-2 akan jawapan lautan itu diamlah ia bagai dikatuk bagai disekel oleh tiada tempat lain yang boleh ia mengalir ke dalamnya. Demikianlah halnya janganlah kita umpati akan orang yang menolong kita adanya.

Ceritera 112 Darihal babi jantan dengan musang

Sebermula adalah seekor babi jantan yang panjang taringnya menyampuh yakni mengasahkan taringnya kepada pangkal sepohon kayu yang besar. Maka di dalam itu lalulah seekor musang berhampiran di situ. Setelah dilihatlah oleh musang itu akan kelakuan babi itu lalu bertanyalah ia katanya Hai sang babi apakah sebabnya makin tuan hamba mengasah taring tuan hamba kerana tiadalah hamba lihat sesuatu apa marabahaya seperti pemburu atau anjing perburuan yang hendak merosakkan tuan hamba.

Kalakian apakala didengarlah oleh babi itu akan perkataan musang itu maka dijawabnyalah dengan perkataan Hai sang musang. Adapun sebabnya hamba mengasah taring hamba ini kerana hamba sediakan bila-2 berguna oleh menangkalalah sempat kilir mengilir senjata pada tatkala hendak dipergunakan dia yakni pada tatkala musuh telah melanggar kubu tiadalah sempat mencanai senjata. Kemudian diamlah musang itu serta berjalan mencari rezekinya dan tinggallah babi itu di pangkal kayu itu. Demikianlah halnya janganlah tatkala hendak ke sungai baharu pergi mencari lubang adanya.

Ceritera 113 Darihal tiga orang tukang

Sekali persetua adalah sebuah bandar dikepung oleh musuh. Dengan hal yang demikian dipanggillah oleh amir yakni raja bandar itu akan sekalian orang-2 memikirkan apakah ikhtiar yang terlebih baik akan menahankan musuh itu daripada memasuki bandar itu. Setelah berhimpunlah sekaliannya maka masing-2 pun lalu bercakap mengeluarkan ikhtiar yang di dalam hatinya. Di dalam itu berkatalah seorang tukang bata katanya Ya Tuanku pada iktikad hamba terlebih baiklah ditembokkan bata tebal-2 berkeliling bandar ia kerana segala peluru-2 dan anak panah pun tiada boleh menembusi akan dia.

Kalakian di dalam tukang bata itu lagi berkata-2 disahutlah pula oleh seorang tukang kayu katanya Ya Tuanku. Pada ikhtiar hamba dipagarkan tiang

Mukasurat 78/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 78/93

berkeliling bandar inilah yang terlebih teguh dan tiada dapat dipanjat oleh seteru. Maka belum pun habis tukang kayu mengeluarkan fikirannya tiba-2 disampuklah pula oleh seorang tukang penyamak kulit katanya Ya Tuanku. Pada sangka hamba tiap-2 suatu yang telah dicadangkan oleh saudara-2 hamba itu tiadalah suatu pun yang sebaik daripada kulit lembu dan kerbau kering didindingkan berkeliling bandar negeri ini. Maka di dalam tengah mereka itu berkata-2 musuh itupun sampailah ke dalam bandar itu serta masuk menangkap raja itu serta dengan orang besar-2nya. Demikianlah halnya pekerjaan yang diusahakan oleh masing-2 itulah yang dikatakannya terlebih utama daripada lainnya adanya.

Ceritera 114 Darihal keldai menanggung berhala

Sebermula adalah seorang gembala keldai telah memuat setongkah berhala kayu di atas belakang seekor keldai kerana hendak dibawanya kepada sebuah gereja supaya ditaruhnya di situ. Kemudian dipimpinnya keldai itu berjalan di dalam suatu lorong. Maka sepanjang-2 jalan itu ramailah orang-2 mengekor menyembah berhala itu. Dengan hal yang demikian apakala dilihat oleh keldai itu timbullah fikirannya mengatakan orang-2 yang mengekor itu memberi hormat akan dia.

Hatta lalu berdirilah keldai itu tegak tegun dengan sombongnya seraya merenguh sekuat-2 hatinya serta tiada mahu melangkah ke hadapan lagi. Maka apakala dilihat oleh gembala akan kelakuan keldai itu dibalunnyalah bahu keldai itu dengan cemetinya sambil berkata Heh keldai binatang yang dungu dan berotakkan lumpur. Bukanlah sekalian orang itu menyembah akan dikau. Kemudian berjalanlah keldai itu menuju ke gereja yang hendak dipergikan itu. Demikianlah halnya barang siapa yang memikirkan kebesaran orang lain dapat baginya alamat dengan orang itu adanya.

Ceritera 115 Darihal dua orang pengembara dengan kapak

Sekali persetua adalah dua orang laki-2 telah mengembara bersama-2. Maka di dalam perjalanan itu tiba-2 berjumpalah seorang mereka itu dengan sebilah kapak di tengah jalan. Maka berkatalah orang yang berjumpa kapak itu kepada kawannya

Mukasurat 79/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 79/93

katanya Hai sahabatku lihatlah hamba berjumpa sebilah kapak. Kemudian dijawablah oleh kawannya itu katanya Hai sahabatku janganlah tuan hamba kata hamba berjumpa kapak. Sepatutlah tuan hamba kata kita berdua berjumpa sebilah kapak. Dengan hal itu kedua-2 mereka itu pun berbalahlah sambil berjalan itu.

Arkian belum pun berapa jauh mereka itu berjalan dilihatlah oleh mereka itu akan tuan kapak itu datang berhambat-2 dari belakang mengejar mereka itu. Maka berkatalah orang yang berjumpa kapak itu kepada kawannya katanya Hai sahabatku apakah hal kita berdua sekarang kerana tuan kapak itu telah mengejar kita. Kemudian dijawablah oleh kawannya itu Amboi hai taulanku. Apakah perkataan yang tuan hamba katakan mula-2 tadi itu sepatutlah tuan hamba ulangi pula. Oleh itu hendaklah tuan hamba kata apalah hal hamba sekarang. Janganlah dikatakan kita berdua. Maka di dalam tengah berbalah-2 itu sampailah tuan kapak itu menangkap mereka itu serta dibawanya ke hadapan hakim. Demikianlah halnya barang siapa yang bersama terkena kemalangan sepatutnya berserta beroleh pendapatan adanya.

Ceritera 116 Darihal singa tua

Alkisah adalah pada suatu masa seekor singa tua yang terlalu amat tua serta tiada berkuasa lagi telah berbaring di atas tanah di sisi guanya di dalam ambang hendak mati. Sekonyong-2 datang seekor babi jantan lalu digasaknya akan singa itu dengan taringnya kerana membalas akan perbuatan singa itu ke atasnya dahulu. Kemudian datanglah pula seekor lembu jantan lalu ditempuhnya pula singa itu dengan tanduknya seperti kelakuan orang yang bermusuh.

Hatta setelah dilihatlah oleh seekor keldai akan raja segala binatang boleh dihentam dengan senangnya lalu ditendangnya pula akan dia di dahinya dengan kuku tumitnya. Setelah itu berkatalah singa yang hendak mati itu katanya Hai segala kawan-2ku yang berani dan gagah perkasa. Tiadakah malu tuan hamba menunjukkan berani kepada makhluk yang hendak putus nyawa. Lepas daripada berkata-2 yang demikian lalu matilah singa itu. Demikianlah halnya bukanlah berani orang itu jika ditunjukkan keberaniannya kepada perempuan adanya.

Mukasurat 80/93 Hikayat Penerang Hati


Mukasurat 80/93

Ceritera 117 Darihal anjing tua

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seekor anjing perburuan terlalu amat kuat di dalam masa mudanya. Pada waktu itu sebarang apa binatang hutan yang ditangkap tiadalah pernah terlepas daripadanya. Setelah tualah ia maka pada suatu hari pergilah tuannya membawa anjing itu berburu dan di dalam perburuan itu bertemulah ia dengan seekor babi jantan yang amat besar. Maka lalu digigit oleh anjing itu akan babi itu di telinga tetapi tiadalah dapat dipegangnya akan dia kerana segala giginya telah cabut yakni tanggal. Dengan hal yang demikian lalu larilah babi itu berlepas akan dirinya.

Hatta setelah dilihatnya oleh tuannya akan hal itu berlarilah ia mendapatkan anjingnya itu dengan putus harapnya serta memarah akan anjing itu yang tiada terkira-2 dan rebahlah anjing itu merenung yakni memandang muka tuannya seraya berkata Ya tuanku bukanlah sekali-2 kesalahan hamba kerana kelakuan dan nafsu hamba adalah seperti keadaan sediakala jua akan tetapi tiadalah dapat hamba menahankan diri hamba daripada dimakan tua adanya. Sepatutnyalah hamba ini dipuji oleh kelakuan dan cergas hamba dengan setua ini tiada jua berubah. Setelah didengar oleh tuannya yang demikian itu diamlah ia serta kembali ke rumahnya. Demikianlah halnya daunlah melayang buah jatuh ke pangkal jua adanya.

Ceritera 118 Darihal lebah dengan Dewata

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor lebah betina telah melayang menyembahkan madu yang baharu daripada sarangnya kepada Dewata Mulia Raya. Maka sangatlah sukacita Dewata itu menerima persembahan itu lalu berkatalah ia kepadanya katanya Hai permaisuri segala lebah apa kehendak engkau katakanlah nescaya ku beri belaka. Dengan hal itu lalu dipintalah oleh lebah kepada Dewata itu katanya Jika ada ampun kurnia Tuanku patik pohonkan dikurnia patik sengat kerana jikalau siapa-2 manusia yang datang hendak mengambil madu daripada sarang patik kelak bolehlah patik sengat akan dia.

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50