Hikayat Penerang Hati
Jilid 2
Muka surat 21 hingga 30
Muka surat 21/50
Ceritera 172 Darihal anak kambing dengan serigala
Sebermula adalah seekor anak kambing telah berjalan-2 ke dalam sebuah padang memakan rumput. Sekonyong-2 berjumpalah ia dengan seekor serigala. Maka apabila dilihat oleh serigala akan dia datanglah ia menghampiri hendak mematahkannya. Maka berkatalah anak kambing kepada serigala itu katanya hai sahabatku telah nyatalah kepada aku ini [tak ada apa tiada] menjadi rezekimu jua. Akan tetapi terlebih dahulu daripada aku mati ini sangat-2lah aku hendak meminta kamu meniup serunai supaya boleh aku menari.
Hatta dikabulkanlah oleh serigala akan permintaan anak kambing itu dan pergilah ia mencari serunai. Setelah dapat ditiuplah oleh serigala itu akan serunai itu dan menarilah anak kambing itu terlompat-2 berkaki dua dan sukacitanya. Maka apabila didengarlah oleh anjing akan permainan itu datanglah ia. Setelah dilihatnya akan serigala itu lalulah diterkamnya akan dia dan larilah serigala itu ke dalam hutan. Demikianlah halnya di dalam sebarang pekerjaan kita janganlah rencam yakni sebelum habis suatu janganlah dimulai lain pula akhirnya suatu pun tiada yang menjadi adanya.
Ceritera 173 Darihal kuda dengan rusa
Sebermula adalah tatkala belum diketahui oleh manusia akan pergunaan kuda-2 itu boleh ditunggangi oleh manusia adalah seekor kuda yang menaruh dendam yakni sakit hati ke atas seekor rusa oleh sebab rusa itu datang menumpang memakan rumput di dalam sebuah padang tempat kuda itu diam. Oleh yang demikian berkatalah kuda itu hendak membinasakan rusa itu supaya senang ia sahaja memakan rumput-2 di situ.
Kalakian maka pada suatu hari pergilah kuda itu kepada seorang manusia meminta tolong binasakan rusa itu. Maka kata manusia itu jikalau boleh ditaruhnya lagam di dalam mulut kuda itu. Serta ditungganginya nyatalah boleh ditikamnya akan rusa itu. Maka perkenanlah kuda itu akan kehendak manusia itu. Maka setelah dinaiklah oleh orang itu ke atas kuda itu baharulah diketahui oleh manusia akan pergunaan kuda itu. Maka akan hal kuda itu jangankan dapat melepaskan [dendamnya?] ke atas rusa itu tetapi ia sendiri telah jatuh diperhamba
Muka surat 22/50
oleh manusia kerana telah diketahui oleh manusia akan pergunaan kuda-2 itu. Demikianlah halnya jangan kita menaruh [dendam?] ke atas orang adalah laksana ular yang mematuk dirinya adanya.
Ceritera 174 Darihal seorang suami dengan isterinya
Sekali persetua adalah seorang laki-2 telah berkahwin dengan seorang perempuan yang terlalu amat congkak dan sombongnya. Oleh yang demikian itu bencilah segala [mentuhanya] akan dia. Maka akan hal itu amatlah memberi kesusahan kepada hatinya suaminya itu. Maka pada suatu hari datanglah fikiran suaminya itu hendak menyuruh akan isterinya pulang ke rumah ibu bapanya sendiri supaya bolehlah diketahuinya adakah ia pun benci oleh mereka itu di situ.
Arkian pada suatu hari disuruhnyalah akan isterinya itu pergi berjumpa ibu bapanya kadar dua tiga hari dan tatkala balik kelak ia meminta ceriterakan apa-2 yang berlaku di situ. Maka pergilah perempuan itu ke rumah ibu bapanya serta berhenti di situ dua tiga hari. Setelah baliklah ia ke rumahnya lalu bertanyalah suaminya itu akan hal kelakuan orang-2 gaji bapanya itu ke atasnya. Maka kata isterinya itu hai suamiku tatkala adinda di situ jangankan orang-2 gaji yang duduk di dalam rumah itu hingga gembala lembu dan gembala kambing ayahanda adinda itupun berludah memandang adinda.
Kalakian setelah itu berkatalah suaminya itu hai isteriku jika sekalian itu kebencian orang-2 yang keluar subuh-2 dari rumah itu membawa binatang-2nya betapakan lagi orang-2 yang duduk sepanjang hari dengan adinda. Maka kedatangan sekalian itu semata-2 oleh sombong dan congkak adinda jua. Maka apakala didengarlah oleh isterinya akan hal itu kemalu-2anlah ia dan daripada masa itu hilanglah sombong dan congkaknya itu. Demikianlah halnya daun beringgut yakni bergoyang itu alamat menunjukkan angin bertiup adanya.
Ceritera 175 Darihal pencuri dengan anjing
Sebermula adalah seorang pencuri telah masuk ke dalam pagar seorang saudagar dengan niat hendak memapas yakni mencuri harta-2 yang ada di dalam rumah itu. Adalah dibawa oleh pencuri itu beberapa keping daging hendak
Muka surat 23/50
memberi kepada anjing yang ada disimpan oleh saudagar itu akan menjaga rumahnya. Dengan hal yang demikian bolehlah anjing itu berhenti daripada menyalak akan dia dan membangunkan saudagar itu.
Kalakian dicampakkanlah oleh pencuri akan daging itu kepada anjing itu. Maka berkatalah anjing itu katanya hai pencuri jika engkau hendak memberhentikan aku daripada menyalak engkau dengan upahan yang engkau beri kepada aku ini tentulah engkau tersilap. Maka dengan sebab kemurahan yang tiada semena-2 engkau tunjukkan itu adalah menjadikan aku terlebih beringat lagi oleh telah tampaklah kepada aku tentu ada maksud engkau yang hendak engkau lakukan iaitu yang memberi keuntungan kepada engkau dan memberi kerugian kepada tuan aku. Setelah itu berjalanlah pencuri itu dengan putus harapnya. Demikianlah halnya baiklah kita beringat akan kemurahan daripada orang yang berolok dengan kita barangkali ada maksud yang hendak dilakukannya di belakang itu adanya.
Ceritera 176 Darihal manusia dengan kuda serta lembu dan anjing
[nota bertulis dengan pensil: tiada ada]
Ceritera 177 Darihal musang dengan singa
Sebermula adalah seekor musang telah berjalan-2 di dalam sebuah padang. Tiba-2 bertemulah ia dengan seekor singa jantan yang terlalu amat dahsyat rupanya. Maka akan musang itu belumlah pernah melihat singa lagi seumur hidupnya. Oleh itu ketakutanlah ia yang tiada terkira-2kan hingga sampai hendak hilang nyawanya. Maka tiada berapa lama di belakang itu berjumpalah pula musang itu dengan singa itu lagi. Maka pada ketika ini kuranglah sedikit ngerinya dan dapatlah ia menentang rupa singa itu.
Hatta di belakang itu bertemulah pula ia sekali lagi dengan singa itu. Maka pada waktu itu hilanglah segala takutnya lalu pergilah ia mendapatkan singa itu sambil berbual-2 yakni bercakap-2 dan dengan seketika itu dapatlah dipermain-2nya akan ramus dan janggut singa itu seperti datuk neneknya. Dengan hal yang demikian berkasih-2anlah kedua binatang itu. Demikianlah halnya adapun singa itu diibaratkan pekerjaan dan musang itu
Muka surat 24/50
diumpamakan orang. Maka pada mula-2 diperbuat pekerjaan itu tentulah kepayahan tetapi apakala diusahakan bersungguh-2 nescaya jadilah ia adanya.
Ceritera 178 Darihal kera dengan dua orang pengembara
Sebermula adalah dua orang pengembara telah berjalan bersama-2 di dalam suatu hutan. Maka seorang daripada mereka itu sangatlah pembohongnya dan yang seorang lagi itu tiadalah pernah berbuat dusta. Maka di dalam perjalanannya itu sekonyong-2 sampailah mereka itu ke negeri kera. Maka di dalam banyak-2 kera yang mendiami di tempat itu adalah seekor rajanya. Maka apakala dilihatnya akan pengembara itu lalu disuruhnya tangkap kepada rakyatnya serta disuruhnya bawa ke hadapannya dari kerana ia hendak ketahui akan fikiran manusia atas kerajaannya itu dan jua disuruhnya rakyat meletakkan sebuah singgahsana baginya serta diaturnya beberapa banyak kera berdiri berbaris-2 di kiri kanan singgahsana itu seperti istiadat raja-2 yang besar-2. Maka setelah lengkaplah segala [peradunannya] itu lalu disuruhnya bawa kedua pengembara itu ke hadapannya.
Hatta setelah sampailah kedua orang pengembara itu ke hadapan raja kera itu lalu bertitahlah ia kepada pengembara itu katanya hai pengembara khabarkan olehmu dengan sebenar-2nya kepada aku adakah atau tidak aku ini seperti raja yang besar-2 jua di dalam alam ini. Maka dijawablah oleh pembohong itu katanya ya tuanku adalah pada pandangan patik akan tuanku itu payahlah dapat dibandingnya di dalam alam ini.
Arkian kemudian berkatalah lagi kera itu kepada pengembara itu katanya apakah fikiran kamu atas segala orang besar-2 yang duduk berkeliling aku ini. Maka jawab pengembara yang dusta itu ampun tuanku adapun pada pandangan patik segala orang besar-2 tuanku ini sangatlah layaknya menjadi orang besar negeri serta pula amatlah padan menjadi utusan kepada raja-2 yang lain. Tambahan pula jika dijadikan hulubalang akan memerintahkan askar yang banyak pun tiadalah boleh ketewasan di medan peperangan. Maka apakala didengarlah oleh raja kera akan puji pembohong itu tertawalah ia gelak-2 seraya disuruhnya beri anugeraha yakni hadiah yang tiada [terperi mana ia] banyaknya.
Kalakian berfikirlah pengembara yang selalu bercakap betul itu
Muka surat 25/50
katanya jika sekian banyak wang yang diperolehinya dengan sebab berkatanya dusta kalau aku berkhabar benar tentulah terlebih banyak lagi aku beroleh anugeraha itu. Kemudian berpalinglah pula raja kera itu kepadanya seraya bertitah katanya bagaimanakah pula pada fikiran kamu atas kebesaran takhta kerajaanku ini dan apakah pula ijtihad kamu atas segala orang besar-2 ku ini. Maka dijawablah oleh pengembara itu katanya adalah pada fikiranku yang engkau itu tiadalah bezanya daripada kera yang banyak dan akan kawan-2 engkau itupun serupalah jua dengan engkau. Maka apakala didengarlah oleh raja kera itu akan perkataan itu marahlah ia yang terlalu amat sangat lalu disuruhnya baham yakni gigit kepada kera-2 yang banyak itu sehingga matilah ia. Demikianlah halnya terkadang-2 atas jalan yang memberi kebajikan berfaedah jua kita berkata dusta adanya.
Ceritera 179 Darihal [serigala?] dengan gembala kambing
Sekali persetua adalah seekor serigala telah mengikut suatu kawan kambing tetapi beberapa lama tiadalah dibinasakannya. Maka pada mula-2nya dijagalah bersungguh-2 oleh gembala kambing itu akan serigala itu seperti keadaan mangsa yang boleh merosakkan hidup-2pannya. Akan tetapi lama kelamaannya sebab tiada apa-2 kebinasaan yang terkena kepada kambing-2nya oleh binatang itu jadi percayalah ia di dalam hatinya yang serigala itu tiada akan mencederakan binatang-2 itu sekadarkan bolehlah menjadi pengawal kepada hidup-2pannya itu sahaja.
Arkian pada suatu hari datanglah panggilan saudara pengembala kambing itu akan dia hadir ke dalam suatu jamuan. Jadi ditinggalkannyalah kambing-2nya kepada serigala itu akan menjaganya. Maka akan serigala itu apakala dilihatnya sudah sampai paksanya lalu dipatahnyalah akan kambing-2 itu beberapa banyak. Kemudian larilah ia balik ke dalam hutan. Maka apakala baliklah gembala itu serta dilihatnya akan kebinasaan hidup-2pannya itu lalu mengeluhlah ia sambil menampar kepala katanya padanlah sudah balasan kurang fikiranku kerana apakah pasalnya aku mempercayai akan kambing-2 aku kepada serigala. Setelah itu diamlah ia dengan dukacitanya. Demikianlah halnya
Muka surat 26/50
seyogianya janganlah dipercayakan [panggang?] atau tikus kepada kucing adanya.
Ceritera 180 Darihal burung ayam-2 dengan anak-2nya
Sebermula adalah seekor burung ayam-2 telah bersarang dan bertelur di dalam sebuah ladang padi yang baharu bunting terbit. Maka tiada berapa lama di belakang itu menetaslah telur-2 itu akan beberapa ekor anaknya. Maka makin sehari makinlah besar anak-2 burung itu dan berjalanlah ia merata-2 ladang itu mencari rezekinya. Maka akan padi itupun sudahlah bermasakkan sedang molek dituai.
Hatta pada suatu hari datanglah tuan ladang itu melawat padinya. Maka pada tatkala dilihatnya sudah bermasakkan dan baiklah ku suruhkan segala budak-2 ku menuainya. Maka apakala didengarlah oleh seekor anak ayam-2 itu berlarilah ia pergi berkhabarkan kepada ibunya serta bertanya ke mana tempat yang patut hendak berpindah supaya menyelamatkan dirinya. Maka kata ibu ayam-2 itu pada waktu ini belumlah lagi sampai masanya kita berpindah kerana orang itu baharu hendak menyuruhkan kawan-2nya hendak menuai padi ini bukannya ia sendiri hendak membuat pekerjaan itu. Oleh itu lamalah lagi baharu jadinya.
Kalakian tiada beberapa hari di belakang itu datanglah pula tuan ladang itu ke ladangnya. Maka apakala dilihatnya akan padinya sudah bergetakkan dari tangkainya kerana terlalu masak lalu merungutlah ia pula katanya esok pagi baiklah aku datang sendiri membawa kawan-2ku menuai padi ini. Maka apakala didengarlah oleh [anak?/ibu?] ayam-2 itu akan perkataan peladang itu lalu bercakaplah ia kepada anak-2nya katanya akan sekarang baiklah kita berpindah dari sini kerana peladang-2 itu telah berkata hendak datang sendiri menuai padinya ini dan tiadalah ia mengharapkan kawan-2nya lagi. Setelah itu berpindahlah ayam-2 itu dengan anak beranaknya dari ladang itu. Demikianlah halnya di dalam sebarang pekerjaan kita janganlah kita harapkan orang lain adanya.
[Ceritera 181] Darihal keldai dengan serigala
Muka surat 27/50
Sebermula adalah seekor keldai telah pergi berjalan-2 meragut rumput di dalam sebuah padang. Sekonyong-2 bertemulah ia dengan seekor serigala yang hendak menangkap akan dia. Kemudian berfikirlah ia di dalam hantinya mencari ikhtiar akan melepaskan dirinya. Tiba-2 timbullah suatu akal lalu diperbuatnyalah pura-2 rengkat serta berjalan perlahan-2. Maka datanglah serigala itu menghampiri akan dia serta bertanya akan sebab capiknya itu. Maka jawab keldai itu hai kawanku pada tatkala hamba menempuh tepi padang ini ini tadi terjijaklah hamba di atas duri dan patahlah duri itu di dalam tapak hamba dan dengan sebab itulah makin hamba berjalan terengkat-2 ini.
Hatta berkatalah lagi keldai itu katanya akan sekarang yang hamba ini [tak ada apa tiada] tentulah sudah menjadi makanan kepada tuan hamba tetapi terlebih dahulu daripada tuan hamba makan akan hamba sangatlah besar harap hamba minta tuan hamba tolong cabutkan duri ini. Maka perkenanlah serigala itu akan permintaan keldai itu. Kemudian lalu diangkatkan oleh keldai itu akan kakinya dan datanglah serigala itu melihat di tapak kaki keldai itu hendak mencabutkan duri itu. Apatahlagi apabila betullah sudah tapak keldai itu dengan dahi serigala itu lalu ditendangnyalah dengan sekuat-2 hatinya di dahi serigala hingga pecah kepalanya dan berhamburanlah otaknya dan matilah ia. Kemudian larilah keldai itu balik ke kampung tuannya. Demikianlah halnya di dalam sebarang perkara janganlah tak sabar daripada menjalankan akal ikhtiar adanya.
Ceritera 182 Darihal tukang kayu yang berjual berhala
Sebermula adalah seorang tukang kayu telah berjalan-2 di dalam sebuah bandar berjaja hendak menjual suatu berhala kayu. Maka apakala jenuhlah sudah ia berjalan-2 ke sana ke mari tiada seorang jua pun yang menawarnya lalu berlaunglah ia katanya adapun berhala yang hendak dijualnya akan boleh memberi kekayaan kerana ia ada menaruh mata air emas dan perak.
Kalakian akan perkataan tukang kayu itu terdengarlah kepada seorang saudagar. Maka berkatalah ia katanya hai tukang kayu jika berhala engkau itu ada menaruh mata air emas dan perak seperti perkataan engkau itu mengapakah pula engkau
Muka surat 28/50
hendak menjual akan dia terlebih baik engkau simpan sendiri supaya boleh engkau dapat faedahnya itu. Maka jawab tukang kayu itu dengan tersipu-2 adapun berhala ini sebenarnya ada menaruh mata air emas itu sekadarkan oleh hamba berkehendakkan modal cepat jadi hendak hamba jual akan dia oleh mata air emasnya itu hanyalah keluar sedikit-2 sahaja tiada menghapuskan maksud hamba. Setelah itu diamlah kedua mereka itu. Demikianlah halnya tiadalah berfaedah mengeluarkan perkataan mengada-2kan yang tidak adanya.
Ceritera 183 Darihal ayam jantan dengan anjing
Sebermula adalah seekor anjing dengan seekor ayam jantan telah bersahabat yang terlalu amat karib. Kemudian berjalanlah kedua binatang itu bersama-2. Maka apakala malamlah hari lalu berlindunglah binatang-2 itu di dalam hutan yang sangat semak. Maka akan ayam itu terbanglah ia ke atas dahan sepohon kayu dan akan anjing itu masuklah ia ke dalam lubang banir pohon kayu itu melindungkan dirinya. Maka tatkala sampailah dinihari lalu berkokoklah ayam itu beberapa kali sekuat-2 hatinya seperti yang kelaziman.
Hatta akan kokok ayam itu terdengarlah kepada seekor musang lalu datanglah ia berdekatan dengan pohon kayu itu hendak menangkap ayam itu. Setelah sampailah ia ke bawah pohon itu lalu berdirilah ia mendongak ke atas memandang ayam itu seraya berkata hai suara yang lemak manis sangatlah perkenan hamba mendengarkan suara tuan hamba dan ingin benarlah hamba hendak bersahabat dengan tuan hamba. Maka tatkala didengarlah oleh ayam itu diletaklah syak di dalam hatinya lalu berkatalah ia hai sang musang seperti maksud tuan hamba itu setujulah dengan hamba tetapi cubalah pergi ke dalam lubang banir itu gerakkan kudang hamba di situ supaya boleh dibukakannya pintu masuk ke tempat hamba ini. Maka berjalanlah musang itu ke lubang banir itu. Tiba-2 keluarlah anjing itu menangkap akan musang itu. Demikianlah halnya seyogianya kita bertolong-2ngan sahabat dengan sahabat adanya.
Ceritera 184 Darihal kambing dengan keldai
Sebermula adalah seorang saudagar telah menyimpan seekor kambing dan
Muka surat 29/50
seekor keldai. Maka akan keldai itu banyaklah mendapat makanan daripada tuannya. Jadi dengkilah kambing itu akan dia. Kemudian dicarinyalah fikiran hendak membinasakan keldai itu. Maka pada suatu hari berkatalah ia kepada keldai itu hai kawanku pada pandanganku sangatlah aib tuan hamba itu diperbuat oleh tuan kita kerana tiadalah berhenti disuruhnya tuan hamba bekerja seperti memusing kilang dan mengangkat bebanan yang berat-2. Kemudian dinasihatkan pula oleh kambing itu kepada keldai itu katanya baiklah tuan hamba mencuba menjatuhkan diri ke dalam lubang supaya bolehlah tuan hamba berhenti daripada pekerjaan itu.
Arkian percayalah keldai yang dungu itu akan nasihat kambing itu. Maka dijatuhkannyalah dirinya ke dalam suatu parit yang dalam. Jadi bengkak bengkillah segala badannya. Tatkala dilihatlah oleh tuannya akan hal itu lalu dipanggilnya seorang doktor minta ubatkan keldai itu. Maka kata doktor itu jika tuan hamba berkehendakkan cepat baik keldai itu mahulah tuan hamba lumurkan lemak kambing jantan kepada bengkak keldai itu. Dan dengan hal yang demikian disembelihlah oleh saudagar itu akan kambing itu serta dilumurkan lemaknya kepada bengkak keldai itu. Demikianlah halnya jangan ditanam racun iaitu kelak mengambil nyawa kita adanya.
Ceritera 185 Darihal penjala dengan ikan
Sekali persetua adalah dua orang penjala telah keluar pergi menjala. Maka setelah ditebarkan jala itu lalu ditariknyalah akan dia dan dirasanya adalah terlalu berat. Maka menarilah seorang daripada mereka itu dengan sukacitanya. Sambil menyanyi mengharapkan jalanya itu telah penuh berisi ikan. Maka apakala ditariknya ke atas daratan didapatinya adalah sedikit-2 ikan sahaja di dalamnya dan yang lain daripada itu semata-2 pasir dan batu. Maka lalu dibuangkannyalah pasir dan batu itu dengan kemarahan dan [gembira?].
Hatta maka berkatalah kawannya itu hai sahabatku janganlah tuan hamba sangat mengusarkan pasir dan batu itu kerana pada fahaman hamba adalah dukacita dan putus asa itu kelamin sukacita. Siapa tahu entahkan sekarang kita mendapat terlebih banyak ikan lagi
Muka surat 30/50
daripada pengharapan itu dan pula sukacita itu kelamin dukacita tiadalah dapat kita melakukan sekehendak kita melainkan patutlah kita berserta semata-2. Setelah itu lembutlah hati kawannya itu sambil menjala lagi mereka itu dengan mendapat ikan yang banyak. Demikianlah halnya atas sebarang hal seyogianya kita berserah adanya.
Ceritera 186 Darihal tikus negeri dengan tikus hutan
[nota bertulis pensil: tiada ada]
Ceritera 187 Darihal kakak dengan adiknya
Sebermula adalah seorang peladang telah beroleh anak dua orang seorang perempuan dan seorang laki-2. Maka akan anaknya yang laki-2 itu amatlah elok parasnya dan yang perempuan itu terlalulah buruk rupanya. Maka pada suatu hari tatkala mereka itu bermain-2 dua beradik lalu terpandanglah mereka itu kepada suatu cermin yang ada di bawah sebiji kerusi. Maka tertawalah budak laki-2 itu gelak-2 serta memuji dirinya oleh keelokkan parasnya itu. Dan timbullah marah budak perempuan itu yang tiada terkira oleh melihatkan buruk rupanya itu.
Hatta berlarilah budak perempuan itu mendapatkan bapanya serta dengan tangisnya seraya berkata hai bapaku tiadalah patut adikku itu beroleh paras perempuan pada hal aku ini beroleh paras laki-2. Maka dipeluklah oleh bapanya akan kedua anaknya itu seraya diciumnya katanya hai kedua anakku. Baiklah engkau sehari-2 melihat cermin itu supaya engkau (hai anakku yang laki-2) tiada merosakkan keelokkan engkau dengan membuat tabiat yang jahat. Dan supaya engkau (hai anakku yang perempuan) boleh melakukan tabiat yang baik dan lemah lembut dengan sebab rupamu yang hodoh itu maka apakala didengarlah oleh mereka itu akan perkataan bapanya itu sukacitalah mereka itu. Demikianlah halnya orang kaya jangan dipuji dan orang miskin jangan dikeji adanya.