Hikayat Penerang Hati

Jilid I

Muka surat 11 hingga 20

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 11/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 11/93

kemarau dahulu mengapakah tuan hamba tiada hendak menghimpunkan makanan. Maka dijawablah oleh keridik itu dengan tersipu-2 katanya sebab pun tiada hamba mengempungkan makanan oleh tiadalah lapangnya kerana sepanjang-2 hari asyik hamba dengan menyanyi-2 sahaja.

Hatta tatkala didengarlah oleh semut-2 akan jawapan keridik itu tertawalah mereka gelak-2 sambil berkata jikalau tuan hamba asyik dengan menyanyi-2 di dalam musim kemarau patutlah tuan hamba asyik dengan kelaparan di dalam musim tengkujuh. Setelah itu dihalaukanlah oleh semut-2 akan keridik itu. Demikianlah halnya orang yang asyik dengan permainan tiada ingatkan hal kehidupannya tak dapat tiada akan mendapat sejiwa jua kehidupannya adanya.

Ceritera 10 Darihal ayam jantan dengan permata

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor ayam jantan serta dengan dua ekor ayam betina pergi ke dalam suatu halaman mengais-2 tanah hendak mencari rezekinya sendiri serta dengan rezeki dua ekor bininya itu. Kemudian terkaislah ia akan sebiji permata yang amat gilang gemilang cahayanya memancar-2 laksana sinar matahari rembang.

Arkian setelah dilihatlah oleh ayam jantan akan permata itu lalu berkatalah ia Hai permata yang berharga jika tuan engkau yang terjumpa akan dikau bukannya aku ini sahaja diambilnya akan dikau serta dikenakannya balik kepada karangan engkau maka akan aku ini berjumpa akan dikau sia-2lah sahaja dengan tiada memberi manfaat dari kerana terlebih baiklah aku berjumpa dengan sebiji gandum daripada berjumpa permata yang indah-2 di dalam dunia ini. Demikianlah halnya jikalau permata yang berharga sekali pun apakala jatuh ke tangan makhluk yang bukan tarafnya nescaya kuranglah [mamtunya] adanya.

Ceritera 11 Darihal kerajaan singa

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seekor singa menjadi raja segala binatang yang di dalam rimba dan di padang. Maka akan sifat raja itu amatlah lemah lembut dan tiadalah pula bengis seperti singa yang lain-2. Maka di dalam [masa] kerajaan adalah dikeluarkannya suatu kenyataan menyuruhkan segala mergastua yakni binatang-2 berhimpun pada suatu tempat kerana ada suatu perkara yang besar hendak dinyatakan sekalian mereka itu.

Hatta berkampunglah sekalian binatang-2 itu besar kecil tua muda. Kemudian datanglah singa itu serta berdiri di tengah-2 khalayak yang ramai seraya bertitah kepada sekalian mereka itu

Mukasurat 12/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 12/93

Hai kamu sekalian sebab pun aku memanggil kamu oleh aku hendak mengadakan suatu perjanjian supaya menjadi keamanan ke atas rakyat-2 ku akan sekarang katakanlah adakah kamu suka atau tidak. Maka menyahutlah binatang-2 itu Ya Tuanku Shah Alam sebarang apa titah perintah Tuanku redalah patik sekalian menjunjungnya.

Kalakian bertitahlah pula singa itu Jika demikian hendaklah sekalian serigala dan anak biri-2 serta harimau kumbang dan kambing dan rusa serta anjing dan arnab itu dari ke hadapan bersetia dan bersahabat dengan tiada boleh khianat seorang ke atas seorang. Maka menyahutlah sekalian binatang-2 itu Daulat Tuanku telah terjunjunglah titah itu di jemala yakni di kepala ubun-2 patik sekalian di dalam itu sekonyong-2 berserulah seekor arnab dengan nyaring suaranya katanya Amboi sekian lamalah sudah patik menanti akan keadilan yang demikian ini supaya tiap-2 yang lemah itu boleh bergantung kepada yang gagah. Setelah itu masing-2 pun bersurailah yakni kembalilah ke tempatnya. Demikianlah halnya jika baik perangai itu menjadi terpujilah kita kepada orang adanya.

Ceritera 12 Darihal penjala [...]

Sekali persetua adalah kononnya seorang penjala yang amat pandai meniup bangsi. Maka pada masa tiadalah siapa tolok bandingnya. Maka pada suatu petang pergilah ia ke tepi pantai sebuah lautan membawa bangsi serta jalanya. Setelah sampai kepada suatu tanjung direntangilah akan jalanya itu di dalam air kemudian berdirilah ia di atas tanjung itu meniup bangsi dengan pengharapan apakala didengarlah oleh ikan-2 akan [la...] yang amat merdu itu nescaya datanglah ikan-2 itu memasuk ke dalam jala yang direntangnya itu dengan sendirinya.

[Al-akhir] dinantilah oleh penjala itu beberapa lama dengan sia-2 hampa maksudnya. Kemudian diletakkannya bangsinya itu dan pergilah ia menebarkan jalanya ke dalam laut. Maka pada tatkala ditariknya penuhlah jala itu berisi ikan dan menggeletiklah yakni menggelupurlah ikan-2 itu. Maka apabila dilihatnya berkatalah ia katanya Pelik benar ikan-2 ini tatkala aku meniup bangsi tadi kamu sekalian tak mahu akan sekarang tatkala aku sudah berhenti baharulah tampil kamu sekalian menari terketik-2 yakni terlompat-2 dengan sukacitanya setelah itu pulanglah penjala itu ke rumahnya membawa ikan-2 itu. Demikianlah halnya tiap-2 satu pekerjaan kita biarlah di dalam masanya tiada boleh terdahulu atau terkemudian adanya.

Mukasurat 13/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 13/93

Ceritera 13 Darihal arnab dengan kura-2

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor arnab berjumpa dengan seekor kura-2. Maka diejeklah yakni digonjakkan oleh arnab akan pendek kaki dan perlahan berjalan kura-2 itu. Setelah didengarlah oleh kura-2 akan perkataan arnab itu tertawalah ia gelak-2 sambil bermadah Hai sahabatku sungguhpun tuan hamba ini tangkas yakni laju berlari akan tetapi jika di dalam perlumbaan dapatlah hamba mengalahkan tuan hamba. Maka pada sangkaan arnab itu tentulah perkara yang mustahil yakni tiada layak kura-2 itu dapat mengalah akan dia. Kemudian disanggupnya akan kehendak kura-2 itu. Setelah itu diajaklah oleh binatang-2 itu seekor musang memilih tempat perlumbaan serta menetapkan tanda jauh perhentiannya.

Hatta pada waktu berlumba kedua-2 binatang itu pun sama-2lah berlepas. Maka akan kura-2 itu tiadalah berhenti seketika jua pun daripada perjalanannya melainkan mengisutlah jua ia perlahan-2 ke hadapan. Maka oleh sebab tekunnya yakni tetapnya sampailah ia dahulu ke tanda perhentian dan akan hal arnab itu kerana mengharapkan lajunya tiadalah hirau akan perlumbaan itu. Setelah sampailah ia separuh jalan baringlah ia di sisi jalan itu. Maka dengan hal yang demikian lalu terlelaplah yakni tertidurlah ia beberapa lama. Maka apakala terkejut berlarilah ia secepat-2nya seperti angin rupanya. Maka tatkala tibalah ia ke tanda perhentian itu dilihatnya adalah kura-2 itu telah sampai dahulu. Kemudian arnab itu pun lalu menghempas-2 akan dirinya sehingga mati. Demikianlah halnya pekerjaan yang lambat tiada mengapa asalkan tekun adanya.

Ceritera 14 Darihal pengembara dengan anjingnya

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang tukang hendak mengembara ke sebuah negeri yang jauh. Setelah lengkaplah segala bekal perjalanannya duduklah ia berbual-2 yakni berkata-2 dengan anak isterinya. Maka apabila tinggilah hari baharulah ia tersedar akan dirinya hendak berjalan. Kemudian bangkitlah ia tergopoh-2 pergi ke muka pintu rumahnya. Maka terlihatlah ia kepada anjingnya berdiri di tanah sambil mengeliat dan menguap. Maka berkatalah tukang itu dengan gusar kepada anjingnya katanya Hai binatang apakah pasalnya engkau berdiri mengeliat dan menguap lagi makin tiada berjalan kerana kelengkapan kita berjalan telah hadirlah belaka sekadar menantikan engkau sahaja.

Mukasurat 14/93 Hikayat Penerang Hati

sais | ساءيس adalah pemandu, pengemudi; ~ mobil Id ark drebar; ~ pedati pengemudi pedati; menyais memandu, mengemudi. (Kamus Dewan Edisi Keempat)


Muka surat 14/93

Hatta apakala didengarlah oleh anjing itu akan perkataan tuannya lalu berkatalah ia sambil menundukkan kepala dan menggoyangkan ekor katanya Ya tuan ku akan hamba ini telah sedialah sudah sekadar menanti tuan ku turun sahaja. Setelah didengarlah oleh tukang itu akan jawapan anjingnya diamlah ia tiada berkata-2 lalu bertangis-2anlah dengan anak isterinya dan bangkit mencebet yakni mengangkat bungkusan serta turun melangkah berjalan menuju ke negeri yang hendak dipergikannya itu. Demikianlah halnya kesilapan dan alpa kita sendiri janganlah kita taruh ke atas kawan kita yang hormat dan petia adanya.

Ceritera 15 Darihal Sang Nata dengan sais kereta

Alkisah adalah kononnya pada suatu masa seorang sais yakni gembala berjalan di atas keretanya di dalam suatu lorong sebuah negeri tiba-2 terbenamlah roda kereta itu di dalam becak yakni lumpur. Maka akan gembala itu adalah seorang yang amat malas serta dengan dungunya apakala dilihatnya akan hal lembu-2nya tiada boleh berjalan lagi tercenganglah ia serta hairan akan dirinya kemudian berdirilah ia merenung yakni memandang keretanya dengan ketakutan serta menjerit dan meraung dengan sekuat-2 hatinya memanggil Sang Nata meminta pertolongan dan tiadalah suatu apa ikhtiar yang diperbuatnya akan melepaskan kereta itu.

Arkian sekonyong-2 hadirlah Sang Nata itu di hadapannya serta bertitah kepada sais itu Hai manusia pikullah olehmu akan roda keretamu itu kemudian halaulah lembu-2 itu dengan tak usah menjerit meminta pertolongan kepada aku sehingga engkau telah menolong akan diri dengan seboleh-2nya. Maka jikalau engkau harapkan pertolongan daripada aku sampai mati pun tentulah sia-2 sahaja jeritanmu itu. Setelah itu Sang Nata itupun lenyaplah daripada penglihatan dan datanglah ketakutan yang amat sangat di hati gembala itu. Kemudian dikerjakanlah seperti pengajaran syaitan itu dan lepaslah keretanya dengan senang dan selamatnya. Demikianlah halnya pertolongan kita ke atas diri kita sendiri itulah yang terlebih baik sekalian pertolongan adanya.

Ceritera 16 Darihal anjing dengan bayang-2

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seekor anjing menggonggong

Mukasurat 15/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 15/93

sekeping daging di dalam mulutnya. Maka pada tatkala ia menyeberangi sebuah gertak sungai terpandanglah ia akan bayang-2 dirinya sendiri di dalam air sungai itu. Maka pada sangkaan adalah bayangnya itu seekor anjing yang lain pula menggonggong akan sekeping daging yang terlebih besar daripada daging yang di dalam mulutnya itu.

Kalakian datanglah loba yakni tamak di hati anjing itu lalu dilepaskannya akan daging yang di dalam mulutnya kerana hendak menggasak anjing yang lain itu seraya merebut daging yang besar itu daripadanya. Maka dengan hal yang demikian kedua-2 keping daging itupun lenyaplah daripada si tamak itu oleh daging yang hendak direbutnya di dalam air itu hanyalah bayang-2 sahaja dan akan akan daging yang di dalam mulutnya itu telah dihanyutkan oleh arus sungai itu. Setelah itu tergabai-2lah yakni tercapai-2lah anjing itu dengan sesal yang amat sangat. Demikianlah halnya yang diterkam tiada dapat yang dikendong berciciran adanya.

Ceritera 17 Darihal dekan dengan ibunya

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor dekan dua laki bini berbuat tempat kediaman di dalam tanah di pangkal umbi sepohon buluh. Dengan hal yang demikian lalu beranaklah ia seekor dan akan anak dekan itu daripada masa jadinya butalah kedua belah matanya. Setelah besarlah ia maka pada suatu hari berkatalah ia kepada ibunya katanya Ya ibuku akan sekarang ini mata hamba ini telah nampaklah sudah melihat dan bolehlah hamba mengelih yakni memandang akan tiap-2 suatu.

Arkian akan ibunya oleh hendak menyatakan hilap anaknya diambilnya beberapa tongkah kemenyan dan diletakkan di hadapan anaknya serta bertanya akan nama benda itu. Maka dijawablah oleh anaknya itu Ya ibuku adapun buku-2 ini semuanya tongkah batu belaka. Maka tertawalah ibunya itu gelak-2 seraya bermadah Hai anakku dan buah hatiku serta cermin mataku pada fikiranku yang engkau ini bukanlah sahaja matamu yang buta tetapi penciuman engkau pun telah hilang jua. Maka apakala didengarlah oleh anaknya akan perkataan ibunya itu kemalu-2anlah dia sambil [disamarkan] dengan tertawa jua. Demikianlah halnya asal diperbuat sahaja sahaja dusta akhirnya nescaya ketara yakni diketahui orang jua adanya.

Ceritera 18 Darihal burung layang-2 dengan gagak

Mukasurat 16/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 16/93

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seekor burung layang-2 bertingkir yakni duduk di atas dahan sepohon kayu yang renggeh yakni tiada berdaun. Kemudian terbanglah seekor gagak ke pohon kayu itu serta bertenggek di depan tempat layang-2 itu. Maka berlabonlah yakni bercakap-2lah kedua ekor burung itu darihal keelokan bulu masing-2 dan di dalam perlabonan itu jadilah suatu pertengkaran yakni perbalahan yang besar.

Arkian pada akhirnya berkatalah gagak kepada layang-2 itu kerana hendak menyudahkan perbalahan itu katanya Hai taulanku adapun bulu tuan hamba sangatlah moleknya yakni indahnya di dalam musim kemarau yakni musim panas akan tetapi yang bulu hamba ini menahankan sejuk di dalam musim tengkujuh yakni musim hujan. Demikianlah halnya barang siapa yang memadamkan perbalahan dengan lemah lembut alamat bijaksana orang itu adanya.

Ceritera 19 Darihal peladang dengan ular

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang peladang berjalan-2 di dalam bendangnya pada musim tengkujuh yakni musim hujan sekonyong-2nya bertemulah ia dengan seekor ular lidi yang telah kejut dan kaku yakni keras oleh sejuk hujan itu. Maka apabila dilihat oleh peladang akan hal ular itu demikian timbullah kasihan di dalam hatinya lalu diangkatnya akan dia serta dimasukkannya ke dalam baju dekat dengan dadanya.

Hatta oleh rimas yakni panas badan peladang itu maka ular itu pun segarlah yakni sihatlah semula. Setelah itu dipatuknyalah akan peladang itu yang terlalu amat bisanya. Maka berkatalah peladang itu di dalam tengah ombak hendak mati katanya Hai nasibku sesungguhnya telah tersemulah yakni terpedayalah aku mengasihani akan binatang yang bisa. Kemudian matilah peladang itu. Demikianlah halnya meski pun kita tumpahkan kebajikan yang besar ke atas orang yang tiada mengenang budi tak dapat tiada dibalasnya dengan kejahatan jua akhirnya adanya.

Ceritera 20 Darihal gembala kehilangan lembunya

Alkisah adalah kononnya pada suatu masa seorang gembala lembu pergi membawa lembu-2nya ke dalam suatu padang memberi makanan. Tiba-2 hilanglah seekor anak lembunya. Setelah puaslah sudah dicarinnya serata-2 tempat lalu bernazarlah yakni

Mukasurat 17/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 17/93

berkaullah ia katanya jikalau aku jumpa sahaja akan pencuri yang mengambil anak lembuku itu nescaya bolehlah aku sembelihkan seekor anak biri-2 [menggulang-2kan] yakni memberi perjamuan kepada Betara Guru dan Betara Kala serta hantu syaitan yang menunggu padang ini. Setelah itu berjalanlah pula ia berkeliling padang itu mencari lembunya atau pencuri itu.

Syahadan tiada berapa lama berjalan sampailah ia kepada sebuah busut. Maka naiklah ia ke atasnya. Setelah sampai ke muara yakni ke kemuncak busut itu terpandanglah ia akan seekor singa sedang memakan anak lembunya di kaki busut itu. Maka terperanjatlah ia dengan ketakutan lalu diangkatnya tangan dan matanya ke langit seraya berkata Wah baharu tadi aku berkaul hendak [menggulang-2kan] seekor anak biri-2 berjamu Shah Alam di Rimba apakala ku menjumpai akan pencuri anak lembuku itu akan sekarang jika sekiranya terlepas aku daripada mara bahaya pencuri itu redalah aku menambah seekor lembu yang besar lagi. Kemudian larilah ia kembali ke kandang lembunya dan sampailah ia ke situ dengan selamatnya. Demikianlah halnya jikalau di dalam kesusahan tiadalah sekali-2 sayangkan harta asalkan terlepas daripada marabahaya adanya.

Ceritera 21 Darihal peladang dengan bangau

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seorang peladang menabur benih di dalam tanah tenggalanya setelah itu turunlah burung-2 undan yang terlalu banyak memakan benihnya. Maka ditahanlah oleh peladang itu beberapa utas racik dan jaring dengan hal yang demikian dapatlah ditangkapnya beberapa ekor undan. Maka di dalam itu adalah pula seekor bangau yang telah tertangkap bersama-2.

Arkian akan kaki bangau itu pun patahlah oleh terkena racik kemudian berkatalah ia kepada peladang itu memohonkan nyawanya serta meminta lepaskan ia balik terbang katanya Ya tuanku ampunkanlah akan hamba ini merdekakanlah hamba sekali ini oleh kaki hamba pun telah patah sepatutlah tuan hamba menaruh insaf dan kasihan di atas hamba tambahan pula akan hamba ini bukanlah daripada bangsa undan tetapi daripada bangsa bangau iaitu burung yang amat baik perangainya dan haraplah hamba akan tuan hamba timbangkan berapakah percinta dua ibu bapa hamba oleh penceraian hamba ini dengannya lihatlah akan bulu hamba ini adakah

Mukasurat 18/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 18/93

serupa dengan buku undan itu.

Kalakian setelah didengarlah oleh peladang akan perkataan bangau itu tertawalah ia gelak-2 sekuat-2 hati seraya berkata Hai [eng…] adalah perkataan engkau itu benarlah semata-2nya akan tetapi adalah yang ku pegangi engkau itu telah ku tauni bersama-2 dengan undan-2 perompak itu. Oleh itu akan engkau pun patutlah jua mati di dalam kumpulannya. Kemudian disembelihlah oleh peladang itu akan dia serta dengan undan-2 itu. Demikianlah halnya tiap-2 burung yang serupa bulunya itu digelar akan dia sebangsa jua seperti perumpamaan Melayu orang yang baik berkampong dengan orang yang jahat dikata akan dia samalah daripada orang jahat jua adanya.

Ceritera 22 Darihal rusa dengan ibunya

Sekali persetua adalah seekor rusa dengan anaknya telah membuat tempat kediaman di dalam sebuah hutan yang besar dekat dengan kedudukan manusia. Maka pada tiap-2 hari diburulah oleh orang-2 kampung itu akan dia dengan anjing perburuan. Maka oleh tangkas yakni cepat larinya hingga tiadalah didapati oleh anjing-2 itu akan dia.

Kemudian pada suatu hari berkatalah anak rusa itu katanya Hai ibuku adapun yang ibuku itu terlebihlah besarnya daripada anjing perburuan itu serta pula dengan tangkasnya dan tatakala ibuku berlari adalah ku lihati derasnya seperti [lupat] yang besar. Istimewa pula adalah bagi ibuku sepasang tanduk yang boleh menjadi senjata [...] yakni berlawan dengan anjing-2 itu. Di dalam demikian pun mengapalah ibuku di dalam ketakutan senantiasa akan anjing-2 perburuan itu.

Kalakian setelah didengarlah oleh ibu rusa akan [bangsing] anaknya itu berkatalah ia dengan tersenyum simpul katanya Hai cahaya mataku sekalian perkataanmu itu telah ku ketahuilah belaka akan maknanya serta pula dengan sebenarnya dan apa-2 yang engkau sebutkan itu adalah belaka bagiku sekadarkan bila-2 ku dengar akan salak anjing-2 itu rasanya seperti [paksa]. Maka hatiku hendak melawan tetapi yang kakiku tiadalah mahu tetap. Oleh itu berkejarlah aku lari secepat-2nya. Maka apabila didengar

Mukasurat 19/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 19/93

oleh anak rusa akan jawapan ibunya itu diamlah ia tiada berkata-2 lagi. Demikianlah halnya orang yang penakut itu tiadalah dapat.

Ceritera 23 Darihal delima dengan mempelam serta duri

Alkisah adalah seorang perawan telah menanam sebiji delima dan sebiji mempelam di dalam sebiji pasu jambang permainannya. Maka kedua-2 biji itu pun tumbuhlah dan di dalam selang setahun besarlah ia. Dengan hal yang demikian pada suatu hari berbincanglah pokok delima dengan pokok mempelam itu oleh masing-2 mengatakan dirinya terlebih indah. Maka perbalahan itu bukanlah berkurangan melainkan bertambah-2 dan bernyala-2 jua.

Hatta di dalam tengah berbantah itu sekonyong-2 serulah suatu duri dari hutan yang berhampiran dengan rumah perawan itu dengan suara yang garau dan lawak katanya Hai sahabatku kedua haraplah hamba akan tuan hamba perkelahian itu tiadalah sekali-2 memberi faedah dan jika adalah seorang daripada tuan hamba berdua itu yang menang tak dapat tiada akan duduk berbanjar di dalam suatu pasu itu jua. Setelah itu kedua pokok itu pun berhentilah daripada perkelahian. Demikianlah halnya tiap-2 orang yang adik beradik itu janganlah berkelahi-2 dan [berpukal-2] kerana mereka yang kena [pukal] itu adalah [saudaranya] yang setarik pusat dengannya adanya.

Ceritera 24 Darihal gunung bergoncang

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa sebuah gunung yang terlalu amat besar dan tinggi telah bergoncang gemuruh [gemantam] yang terlalu amat [a...] hingga kedengaranlah sampai beberapa jauh. Maka apakala didengar oleh segala mergastua dan unggas-2 yakni binatang dan burung barang akan bahana itu berhimpunlah semuanya daripada segenap telok rantau datang [ke...] gunung itu sebab hendak ketahui kesudahan bahana itu.

Arkian setelah berkumpullah semuanya di situ sekonyong-2 keluarlah

Mukasurat 20/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 20/93

seekor tikus terayap-2 dari celah gua gunung itu seraya berseru-2 dengan nyaring suaranya katanya Hai sekalian saudaraku dengarkan olehmu akan nasihatku yang ke hadapan lagi janganlah tuan-2 sekalian membesarkan perkara yang bukan-2 kerana tiap-2 pekerjaan yang sia-2 itu akan jadi jalan menyesal akhirnya. Kemudian berlarilah tikus itu kembali masuk ke dalam gua itu dan sekalian binatang itu pun pulanglah masing-2 ke tempatnya dengan penat lelah dan hampa tangannya. Demikianlah halnya asalkan nasihat meskipun daripada kanak-2 [a...] jalan yang berpatutan seyogialah kita turutkan adanya.

Ceritera 25 Darihal beruang dengan musang

Sebermula adalah seekor beruang telah masuk ke dalam perhimpunan binatang-2. Maka pergilah ia ke tengah-2 kumpulan itu seraya berkata dengan sombongnya katanya Diantara binatang-2 yang di atas kulit dunia ini bangsa hambalah yang sangat hormat akan bangsa manusia jangankan pada masa hidupnya hingga matinya pun tiada mahu kami sekalian menjamahnya dan adalah perangai kami ke atas manusia itu terlalulah lemah lembut dan sopan.

Arkian setelah didengarlah oleh seekor musang akan perkataan beruang itu datanglah berang yakni panas hatinya lalu dijawab sambil tersenyum-2 simpul katanya Wahai taulanku akan bangsa tuan hamba itu tiadalah memakan nyawa manusia sekadarkan apakala bertemu jangankan mayatnya jika danurnya pun tuan hamba jilat jua. Setelah didengar oleh beruang akan tempelak musang itu malulah ia dan keluarlah ia dari dalam kumpulan itu. Demikianlah halnya seyogianya janganlah kita menjatuhkan air muka di tengah majlis nescaya berdosalah ia adanya.

Ceritera 26 Darihal keldai dengan musang serta singa

Sekali persetua adalah seekor keldai dan seekor musang telah berikral janji dan berteguh-2an setia yang terlalu amat akrabnya akan bertolong-2an seorang dengan seorang. Kemudian berjalanlah kedua-2 ekor binatang itu ke dalam rimba mencari

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50