Hikayat Raja Budiman

Muka surat 121 hingga 129

Mukasurat 121/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 121/129

menteri hulubalang bersiaplah engkau sekalian hari ini aku hendak minta hantarkan anakku ke negeri Serendah Sekebun Bunga. Maka menteri itu pun bersiaplah masing-2 bekalnya.

Adapun akan Lela Muda telah terkejut pagi maka ia pun memakai selengkap pakaian yang indah. Telah sudah lalu memanggil Selamat Tandang Desa katanya: Ayuhai Abang Selamat marilah kita berjalan kerana hari sudah tinggi maka Selamat pun menyembah katanya Baiklah tuanku. Maka Lela muda pun membawa isterinya Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan turun ke dalam kapal.

Adapun Selamat pada tatkala itu berkata: Ayuhai cik dayang sekalian bersiaplah cik dayang mari kami hendak bawa pulang ke negeri kami Serendah Sekebun Bunga. Maka dayang sekalian pun terlalu suka lalu bersiaplah masing-2 pada kadarnya pergi ke kapal mengiringi tuannya.

Setelah sudah naik ke dalam kapal terbang itu maka Lela Muda pun pergi ke haluan kapal itu lalu dicita sambil ditepuk tiga kali. Maka kapal itu pun terbanglah menuju pintu kayangan lalu turun ke dunia menuju negeri Padang Kecik.

Antara beberapa lama terbang itu maka kapal itu pun sampailah terhenti di hadapan mahligai emas kemuncak intan

Mukasurat 122/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 122/129

itu. Adapun Tuan Puteri Bongsu Kecik Selenggang Cahaya apabila ia melihat Lela Muda sudah datang itu maka ia pun segeralah turun menyambut Tuan Puteri Cahaya Bulan. Telah bertemu lalu berpegang tangan keduanya sama naik ke mahligai.

Adapun Lela Muda telah dilihat isterinya sepakat itu maka ia pun terlalu suka lalu memberi titah kepada Selamat menyuruh bawa nenek kebayan bersama-2. Maka Selamat pun pergilah mendapatkan nenek kebayan itu. Telah sampai lalu dipanggilnya Ayuhai nenek semangat cucu. Segeralah nenek mari dipanggil tuan patik Lela Muda ke mahligai kerana ia hendak bawa nenek berjalan balik ke negeri Serendah Sekebun Bunga.

Maka nenek kebayan pun bersiaplah terketar-2. Telah mustaid lalu berkata Hai cucuku marilah tolong bawa tikar bantal nenek. Maka Selamat pun datanglah mengambil bungkusan itu lalu berjalan. Maka nenek pun segeralah turun mengikut Selamat itu. Antara beberapa lama berjalan itu sampailah keduanya ke mahligai emas kemuncak intan. Maka naiklah Selamat serta diletakkannya bungkusan itu. Maka nenek pun sampailah.

Maka apabila dilihat oleh tuan puteri akan nenek itu lalu dipanggilnya seraya katanya: Ayuhai nenek marilah dekat cucu ini. Maka nenek pun segeralah datang duduk dekat dengan

Mukasurat 123/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 123/129

tuan puteri. Selang antara beberapa lamanya duduk itu hari pun malamlah. Setelah itu maka hidangan pun keluarlah diangkat orang. Maka tuan puteri pun santaplah setelah sudah makan lalu basuh tangan serta makan sirih dan memakai bau-2an.

Maka dayang-2 pun keluarlah ke padang bermain-2lah serta dipalunya bunyi-2an. Maka burung inderabayu pun menyanyilah dengan manis merdu suaranya rasakan tergantas di hulu hati sebab burung itu menyanyi hendak menghiburkan hati tuan puteri kedua. Telah jauh malam maka berhentilah masing-2 beradu.

Seketika hari pun sianglah. Maka sekalian pun bersiaplah. Maka berjalanlah mahligai itu dengan sendirinya diiringkan oleh sekalian rakyat yang banyak. Ada yang menebas jalan dan semak. Maka riuh ramailah di dalam hutan itu sambil memungut buah-2 kayu dan bunga-2an diberi kepada tuan puteri.

Lepas tiga hari dan tiga malam berjalan itu maka sampailah ke Gunung Silan. Maka mahligai itu pun berhentilah dan Lela Muda pun turunlah pergi mendapatkan bonda angkatnya Puteri Shamberan Gunung. Tatkala itu puteri itu pun sedang duduk laki isteri iaitu Mangkubumi bergurau senda. Maka Lela Muda pun sampailah. Telah dilihat oleh Mangkubumi akan Lela Muda datang itu segeralah ditegurnya: Ayuhai anakku bila tuan sampai silalah

Mukasurat 124/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 124/129

naik. Maka Lela Muda pun naik duduk seraya berkata Baharu sekaranglah anakanda datang ayuhai ayah dan bonda. Bersiaplah segera mari kita berjalan balik ke negeri Serendah Sekebun Bunga. Maka kata Tuan Puteri Shamberan Gunung Bilakah anak hendak berjalan. Maka jawab Lela Muda: Sekaranglah bonda kerana orang semua ada menanti ayahanda dan bonda di jalan.

Maka berkata Mangkubumi kepada isterinya: Bersiaplah segera jangan lambat orang menanti kita. Maka puteri itu pun bersiaplah bungkus dan peti dan tikar bantal. Telah mustaid sekaliannya disuruh oleh Lela Muda bawa perkakas itu kepada rakyatnya. Maka dibawa oranglah barang-2 itu naik ke atas mahligai.

Maka Lela Muda pun berjalanlah bersama Mangkubumi dan Puteri Shamberan Gunung menuju mahligai itu telah sampai lalu naik segera ditegur tuan puteri kedua: Silalah ayahanda dan bonda naik makan sirih. Maka kata Puteri Shamberan Gunung: Baiklah tuan bonda pun sahaja datang ini hendak mengadap tuanlah.

Adapun akan Lela Muda pada hari itu berasa belas pada hatinya melihat rakyatnya mengarung di dalam hutan rimba belantara itu lalu dicitanya kesaktiannya jadilah suatu titi perak daripada Gunung Silan itu hingga ke jajahan negeri Serendah Sekebun Bunga. Maka segala rakyat pun naik meniti di atas

Mukasurat 125/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 125/129

jambatan perak itu jadi tiadalah susah lagi. Maka terlalulah suka masing-2 berjalan itu sambil bercengkerama menyukakan hatinya dan mahligai itu pun berjalanlah di tengah rakyat itu.

Antara beberapa hari berjalan itu sampailah di jajahan negeri Serendah Sekebun Bunga. Maka Lela Muda pun menyuruh rakyatnya berhenti. Maka sekalian pun berhentilah masing-2 membentang khemah. Setengah bermain wayang dan ronggeng dan menora dan joget bermacam-2lah permainan itu oleh sebab suka sudah sampai itu.

Maka segala dayang-2 di atas mahligai pun terlalu ramai bermain-2 dan burung inderabayu pun menyanyilah dua belas ragam nyanyinya sangatlah merdu suaranya seperti buluh perindu. Maka barang siapa yang mendengarnya itu terlali sejurus dan mulutnya ternganga dan air liurnya berjela-2 keluar dan lalat pun masuklah ke dalam mulutnya dengan tiada dirasai.

Adapun akan Lela Muda sudah orang berhenti itu maka ia pun memanggil Selamat Tandang Desa. Seketika Selamat pun datang lalu menyembah. Maka kata Lela Muda: Ayuhai Abang Mat pergilah segera mengadap ayahanda di dalam negeri khabarkan aku sudah datang ada menanti di sini. Maka Selamat Tandang Desa pun menyembah lalu turun berjalan menuju dalam negeri pada padang besar menuju

Mukasurat 126/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 126/129

pintu kota langsung masuk ke balairung balai besar.

Tatkala itu Raja Budiman pun sedang penuh ramai di hadap orang di atas singgahsana yang keemasan. Maka Selamat Tandang Desa pun sampailah lalu duduk menyembah: Ampun tuanku beribu-2 ampun. Adapun patik datang ini dititahkan oleh paduka anakanda Lela Muda mengadap Tuanku Shahalam akan sekarang ini anakanda itu pun ada berhenti dengan rakyat bala tentera di pinggiran negeri tuanku itu.

Maka Raja budiman pun terlalu suka oleh anakanda baginda sudah kembali itu lalu baginda bertitah kepada menteri dan temenggung hulubalang rakyat sekalian menyuruh himpunkan gajah kuda kerbau lembu hendak menyambut Lela Muda masuk ke dalam negeri. Maka menteri pun segeralah pergi mengerjakan seperti titah baginda itu. Telah siap semuanya lalu dipersembahkan kepada baginda. Kemudian baginda menyuruh bawa gajah kenaikannya. Seketika lagi gajah itu pun dibawa oranglah.

Maka Raja Budiman pun naiklah gajah itu bersama isterinya lalu berjalan keluar negeri dengan bunyi-2an maka nobat nafiri pun dipalu oranglah terlalu azimat bunyinya tiada kedengaran apalagi. Maka negeri Serendah Sekebun Bunga itu pun penuh sesah dengan rakyat bala tentera hingga sampai ke tepi hutan.

Mukasurat 127/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 127/129

Antara beberapa lama berjalan itu sampailah ke tempat perhentian Lela Muda. Adapun akan Lela Muda telah dilihat ayahanda dan bonda sudah datang itu maka ia pun segeralah turun mengalu-2kan ayahanda bondanya itu.

Adapun Raja Budiman telah sampai dekat mahligai maka berlari-2lah ia mendapatkan Lela Muda lalu dipeluk diciumnya berganti dua laki isteri dan menantunya kedua pun demikianlah juga. Maka baginda pun bertitah: Ayuhai anakanda Lela Muda baiklah segera kita masuk ke dalam negeri. Maka jawab Lela Muda: Mana-2 titah itu lah patik junjung.

Maka dengan seketika itu juga mahligai kesaktian itu pun berjalanlah sendirinya di iringkan dengan rakyat tentera beribu-2 laksa tiada terhisabkan lagi banyaknya serta memalu bunyi-2an berbagai-2 ragamnya. Antara beberapa lama berjalan itu maka sampailah ke pintu kota lalu berangkatlah masuk ke balairung balai besar. Maka sekalian bunyi-2 itu pun berhentilah masing-2 duduk pada rumahnya. Dengan seketika itu hidangan pun dikeluarkan oranglah beribu-2 diperjamukan kepada sekalian rakyat bala tentera itu. Maka pada ketika itu di dalam negeri Serendah Sekebun Bunga itu tiada terhisabkan segala permainan itu maka burung inderabayu pun tampillah dipermain oleh Raja Budiman

Mukasurat 128/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 128/129

dengan pantun seloka.

Telah sampai tujuh hari dan tujuh malam bermain itu maka pada suatu malam burung inderabayu itu berdatang sembah dengan mengembangkan kedua belah sayapnya: Ampun tuanku beribu-2 ampun sembah patik harapkan di ampun. Bahawa patik ini burung yang sangat hina. Adapun dahulu hal tuanku bertitah kepada anakanda Lela Muda mencari patik ini dengan pesona Tuan Puteri Tengah. Ia berbuat sakit hendak makan patik. Dan lagi yang dikata oleh nujum yang keenam mengatakan paduka anakanda Lela Muda itu jahat sial celaka itu pun telah makan upahnya kepada tuan puteri keenam seorang seribu itu lah sebab maka dikata oleh nujum celaka ia hendak membunuh paduka anakanda itu.

Maka titah baginda Jika demikian orang berbuat aniaya atas anakku apalah hukumnya hai burung inderabayu. Maka sembah burung itu: Adalah pada adat patik si burung jika barang siapa-2 berbuat derhaka kepada rajanya patutlah dibunuh mereka itu.

Telah didengar oleh Raja Budiman maka ia pun segeralah memberi titah kepada segala hulubalang panglimanya disuruh tangkap nujum ke enam dan tuan puteri ke enam disuruh bunuh dengan segeranya.

Mukasurat 129/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 129/129

Maka dengan seketika itu juga dikerjakan oleh sekalian hulubalang panglima menurut seperti titah Raja Budiman. Adapun nujum yang muda itu titah baginda menyuruh panggil ke balai besar dikurniakan pegangan memerintah sekalian nujum dan bomoh di dalam negeri Serendah Sekebun Bunga.

Maka kekallah Lela Muda itu di atas takhta kerajaan negeri Serendah Sekebun Bunga itu selamalamanya. Demikianlah diceritakan oleh orang yang empunya cerita ini.

Adanya Amin.

Adapun cerita ini mula-2 disalin daripada naskah tulisan tangan dipinjam daripada orang seberang pada hari Sabtu jam pukul dua petang pada 17 hb Julai tahun 1926 bersamaan dengan 6 haribulan Muharam 1345. Di rumah nombor 78 Burma Road, Pulau Pinang.

Telah selesai disalin semula pada hari Ahad waktu jam 10.30 malam pada 7 haribulan Jamadilakhir sanat 1369 bersamaan dengan 26 haribulan Mac 1950 di rumah nombor 110 Melaka Street Pulau Pinang.

Adapun yang menyuratnya adalah Muhamad Naina Marikan bin Muhamad Us Marikan bin Kusha Marikan bin Muhamad Naina Marikan. Surat [...]