Hikayat Penerang Hati

Jilid I

Muka surat 31 hingga 40

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 31/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 31/93

Ceritera 42 Darihal kambing dengan gembalanya

Alkisah adalah seekor kambing telah sesat daripada kawannya. Kemudian pergilah gembalanya mencari akan dia. Setelah bertemu lalu ditiuplah oleh gembala itu akan tanduk [tantuangnya] memanggil binatang itu tetapi beberapa kalipun ditiupnya melainkan sia-2lah sahaja oleh tiada diendahkan oleh kambing itu. Dengan hal yang demikian datanglah biranya di hati gembala itu lalu dilontarnyalah akan dia dengan sebiji batu dan patahlah sebelah tanduknya.

Kalakian datanglah ketakutan yang amat sangat di hati gembala itu lalu dipintanyalah bersungguh-2 kepada kambing itu jangan mengkhabarkan hal itu kepada tuannya. Kemudian berkatalah kambing itu Hai manusia yang dungu mengapakah engkau terlalu bodoh jika tiada aku berkhabar pun akan perbuatan engkau itu adakah tanduk yang patah itu tiada menjadi kenyataan dengan sendirinya. Setelah itu datanglah ketakutan di hati gembala itu akan tuannya sehingga tiada ia mahu kembali. Demikianlah halnya adakah dapat bangkai gajah ditutup dengan nyiru adanya.

Ceritera 43 Darihal orang yang bahil atau kikir

Sebermula adalah seorang tukang emas daripada bangsa Yahudi yang terlalu amat kikirnya telah menjualkan sekalian harta-2nya. Kemudian dibelinyalah akan tongkat emas serta dibawanya pergi kepada suatu tembok yang buruk lalu ditanamkan akan emas-2nya di situ dan pada tiap-2 hari pergilah ia melihat emasnya yang di dalam lubang itu. Maka akan hal ia berulang-2 itu terlihatlah kepada seorang kulinya. Apatah lagi diperhatikanlah oleh kuli itu akan kelakuan tuannya. Maka apakala diketahuilah akan rahsia perbendaharaan yang tertanam itu pada masa tuannya tiada lalu pergilah ia menggali emas itu. Setelah bertemu lalu dilarikanlah ke negeri asing.

Arkian pada suatu hari datanglah tukang emas itu hendak melihat emasnya. Maka didapati lubang itu hampa sahaja. Wah menangislah ia dan menjerit serta merabut-2 rambut dan mencarik-2 kainnya. Maka akan

Mukasurat 32/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 32/93

hal itu terlihatlah kepada seorang kawannya lalu diperiksanyalah akan sebab perkabungannya itu. Setelah sudah dikhabarkan oleh si kikir itu berkatalah orang itu kepadanya Hai taulanku janganlah sangatlah tuan hamba berduka cita terlebih baik tuan hamba sebiji batu sebesar tongkat emas tuan hamba itu serta tanamkan di lubang itu. Kemudian fikirkan batu itulah tongkat emas itu kerana itu pun sahajalah jua khasiatnya kepada tuan hamba oleh kerana kalau adapun emas itu di situ tiadalah suatu pergunaan kepada tuan hamba. Setelah itu termenunglah ia serta jatuh gila selama-lamanya. Demikianlah halnya jika tiada tahu berharta hak sendiri menjadi harta orang adanya.

Ceritera 44 Darihal katak memohonkan raja

Sekali persetua adalah beberapa banyak katak-2 di dalam suatu kubang. Maka oleh ketiadaan raja sangatlah [mash...] mereka itu merapatlah sekelian mereka itu hendak memohon seorang raja. Telah putuslah mesyuaratnya lalu mengutuslah yakni menyuruhlah mereka itu mengadap Dewata yang mulia raya memohonkan raja. Maka pada fikiran Dewata adalah katak-2 itu binatang yang amat bodoh lalu dicampakkannyalah suatu batang yang besar ke dalam kubang itu akan menjadi rajanya. Maka pada tatkala jatuhlah batang itu ke dalam air sangatlah besar bahananya. Oleh itu menyelamlah katak-2 itu ketakutannya. Tetapi apakala dilihatlah tiada bergerak-2 lagi hilanglah ngerinya lalu timbullah mereka itu serta meloncat naik duduk melapak yakni meniarap di atas batang itu.

Syahadan setelah beberapa lama di belakang itu datanglah fikiran katak-2 itu mengatakan ia terkena aniaya oleh mentabalkan baginya raja yang penyegan yakni pemalas. Maka bermuafakatlah pula mereka itu mengirim utusan kepada Dewata itu memohonkan raja yang lain. Maka dihantarlah oleh Dewata itu seekor belut memerintahkan katak-2 itu. Maka duduklah belut itu memerintahkan mereka itu dengan keadilannya. Kemudian datanglah benci katak-2 itu kepadanya lalu mengutuslah pula pula mereka itu yang ketiga kalinya kepada Dewata itu meminta tabalkan raja yang lain. Jadi murkalah Dewata itu akan mereka itu lalu dihantarnyalah seekor burung ruak-2 yang besar menjadi rajanya.

Mukasurat 33/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 33/93

Hatta pada tiap-2 hari dimakanlah oleh ruak-2 akan katak-2 itu hingga tiadalah seekor jua pun yang tinggal berkerok yakni berbunyi di dalam kubang itu. Demikianlah halnya jika kita dapat sesuatu perkara yang bersetuju dengan kita sabarkanlah berkehendakkan yang lain lagi adanya.

Ceritera 45 Darihal babi dengan biri-2 serta kambing

Alkisah adalah seekor babi telah dikandangkan oleh tuannya bersama-2 dengan seekor kambing dan seekor biri-2. Maka pada suatu hari ditangkaplah oleh tuannya akan babi itu kerana hendak dibantai yakni dipotongnya dan [mendaihlah] yakni menjeritlah babi itu serta menggelupur dan menggelinjang dengan sekuat-2 hatinya. Maka apakala didengarlah oleh biri-2 dan kambing akan jeritan babi itu marahlah ia seraya berkata Hai kawanku yang kita pun selalulah jua ditangkap dan dijerat oleh tuan kita itu tetapi tiadalah pernah kita berdebing yakni berbunyi seperti engkau itu.

Kalakian setelah habislah perkataan kambing itu lalu disahutlah oleh babi itu katanya Aduhai sahabatku adapun tuan kita tuan hamba itu sangatlah berbeza dengan dia menangkap hamba kerana adalah ia menangkap tuan hamba itu hanyalah hendak menggunting bulu tuan hamba oleh hendak diperbuatkannya kain dan pakaian atau pun hendak memerah susu tuan hamba. Maka yang ia menangkap hamba ini adalah hendak mengambil nyawa hamba dan menjadikan daging hamba itu perniagaan kepadanya. Setelah itu dibawalah oleh orang itu akan babi itu ke tempat membantai serta dipotongnya akan dia. Demikianlah halnya janganlah kita gusar yakni marahkan orang yang kesusahan itu adanya.

Ceritera 46 Darihal budak dengan buah pala

Sebermula adalah seorang budak telah memasukkan tangannya ke dalam sebiji takar yang sempit mulutnya kerana hendak mengambil buah pala yang penuh di dalamnya. Maka digenggamlah oleh budak itu sepenuh-2 tangannya. Akan tetapi pada tatkala hendak ditariknya keluar tersangkutlah tangannya di mulut takar itu. Maka akan budak itu terlalulah

Mukasurat 34/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 34/93

tamaknya sungguh pun tiada boleh ia menarik akan tangannya keluar tetapi tiadalah mahu melepaskan buah itu dari genggamannya. Dengan hal yang demikian bercucuranlah air matanya seraya menjerit dengan sekuat-2 hatinya sebab tiada [di...] yakni sampai maksudnya itu.

Arkian akan hal itu terlihatlah kepada seorang yang hampir di situ lalu berkatalah orang itu kepadanya Hai anakku janganlah engkau genggam banyak-2 amat akan akan buah itu dan ambillah olehmu separuh sahaja tak dapat tiada bolehlah engkau menarik tanganmu itu. Maka akan pengajaran itu diturutlah oleh budak itu. Kemudian dapatlah ditariknya akan tangannya keluar dengan senangnya. Kemudian berkatalah pula orang itu Akan sekarang jika engkau kehendaki lagi akan buah itu masukkanlah tanganmu semula ke dalam takar itu dan genggamlah sebanyak yang itu jua. Maka sekalian pengajaran orang itu diturutlah belaka oleh budak itu. Dengan hal yang demikian dapatlah ia sebanyak yang dikehendakinya. Demikianlah halnya janganlah kita cuba mendapatkan sesuatu perkara itu banyak-2 pada suatu ketika kerana cabang dan dahan serta ranting kayu itu datangnya daripada sebiji butir sahaja adanya.

Ceritera 47 Darihal kuli dengan ular

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor ular tedung telah membuat lubang di dalam tanah berdekatan dengan serambi rumah seorang kuli. Maka pada suatu hari dipagutlah oleh ular itu akan anak tuan rumah itu baharu jadi dengan terlalu amat bisanya. Maka oleh sebab pagutan itu matilah budak itu. Dengan hal yang demikian sangatlah masyghul ibu bapanya serta dengan tangisan yang tiada berhenti. Kemudian berniatlah bapa kanak-2 itu hendak membunuh ular itu supaya mengambil bila nyawa anaknya.

Kalakian pada keesokan harinya tatkala ular itu keluar dari lubangnya pergi mencari makanan berlarilah orang itu membawa kapak mengapak ular itu. Akan tetapi oleh tersangat deras ia menggelungsur tiadalah kena kapak itu di kepalanya sekadarkan terkeratlah ekornya. Setelah itu timbullah ketakutan di hatinya kuli itu kalau akan ular itu memagut ia pula. Kemudian pergilah ia meletakkan sekeping roti dan garam lada di tepi lubang ular itu akan jadi tanda berdamai dengannya.

Mukasurat 35/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 35/93

Hatta keluarlah ular itu seraya berdesing perlahan-2 dan berkata katanya Hai manusia pada hatiku jika kita hendak berdamai bila-2 engkau terpandang akan daku janganlah engkau terkenangkan kematian anakmu olehku dan aku pun apakala terpandang akan dikau tiadalah aku teringatkan kehilangan ekorku olehmu. Setelah itu bersahabatlah oleh ular itu manusia selama-lamanya. Demikianlah halnya janganlah kita berseteru dengan jiran yakni orang yang sekampong dengan kita kerana busuk hancing ia lah yang dahulu terkena adanya.

Ceritera 48 Darihal keldai dengan baghal

Sekali persetua adalah seorang gembala baghal telah mengembara di dalam perjalanan yang jauh dengan menghalukan dua ekor binatang seekor keldai dan seekor baghal yang bermuat terlalu saratnya. Maka akan keldai itu sepanjang-2 perjalanannya di dalam padang belantara dapatlah dibawanya akan bebannya dengan senang. Akan tetapi pada tatkala mendaki yakni menaiki sebuah gunung dirasanyalah akan bebannya itu terlalu berat hingga tiadalah terbawa olehnya.

Syahadan dipintalah bersungguh-2 oleh keldai akan baghal itu menolong akan dia membawa sedikit akan bebannya itu tetapi tiadalah dihirau yakni diendahkan oleh baghal itu. Maka tiada berapa antaranya rebahlah keldai itu lalu mati oleh berat bebannya yang ditanggungnya itu. Maka oleh di dalam rimba belantara itu tiadalah ketahuan fikiran gembala itu. Kemudian lalu dikupaslah akan kulit keldai itu dan segala bebannya keldai itu dimuatkannyalah ke atas belakang baghal serta diletaknya kulit keldai itu di atas barang-2 itu menjadi tutupnya.

Hatta apakala dirasalah oleh baghal akan berat bebannya itu mengeluhlah ia seraya merengus Hai diriku engkaulah jua yang telah mengutuk akan kamu. Maka jikalau sekiranya redalah kamu tadi menolong akan keldai itu mengangkat sedikit akan bebannya tertentulah tiada kamu terkena mengangkat sekaliannya seperti yang engkau tanggungi ini. Maka di dalam perjalanan itu tiadalah berputus-2 ia mengenangkan jengkel yakni bantahnya itu. Kemudian dari beberapa lama di jalan sampailah ia ke negeri yang hendak dipergikan oleh gembala itu. Demikianlah halnya janganlah kita tumpahkan susu belanga sebab sayangkan nila setitik adanya.

Mukasurat 36/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 36/93

Ceritera 49 Darihal kuda dengan gembalanya

Alkisah adalah seorang gembala kuda telah memeliharakan seekor kuda yang amat besar. Maka pada tiap-2 hari diberinyalah sedikit makanannya dan dibanyakkannya menyisir dan menggosok akan dia. Dengan hal yang demikian kuruslah kuda itu. Setelah sudahlah digosoknya baliklah ia ke rumahnya. Maka sambil pulang itu dicurinyalah sedikit-2 makanan kuda itu serta dijualnya dan duit-2 yang didapatinya daripada harga makanan kuda itu dibelikannyalah pakaian anak-2nya.

Kalakian sekalian hal itu dilihatlah oleh kuda itu. Maka pada suatu ketika tatkala gembala kuda itu menggosok akan dia yang terlalu lamanya berkatalah ia katanya Amboi-2 hai gembalaku jikalau engkau berkehendakkan aku tembun yakni gemuk janganlah digosok akan daku yang terlalu amat sangatnya. Tetapi rezeki yang telah diberi oleh tuanku itu janganlah berdua kita menggunakan dia. Setelah didengar oleh gembala akan sindiran kuda itu ertilah ia akan maknanya dan dibelakang itu berhentilah ia daripada mencuri makanannya. Demikianlah halnya seyogianya kita jadi akan diri kita orang yang kepercayaan kerana ialah kelakuan dan sifat yang terpuji adanya.

Ceritera 50 Darihal keldai dengan anjing

Sekali persetua adalah seorang bangsawan telah memeliharakan seekor keldai dan seekor anjing. Adapun akan anjing itu amatlah cantiknya dan tahu pula melakukan beberapa bagai jenaka dan permainan. Oleh yang demikian amatlah dikasihi oleh tuannya akan dia dan selalulah pula dipangku dan diribanya akan dia terkadang-2 bila-2 tuannya pergi memakan jamuan dengan tiada membawa akan dia barang sekeping makanan melompatlah ia berkinja-2 keliling tuannya itu dengan tingkah laku yang amat elok-2 dan manis-2 pada penglihatan. Maka akan keldai itu adalah dikandangkan oleh tuannya di dalam sebuah bangsal serta diberinya makanan daripada gandum dan rumput kering bertimbun-2 seperti keadaan keldai yang lain.

Hatta akan keldai itu sangatlah baik pekerjaannya seperti memusing kilang gandum dan mengangkat kayu api dari dalam hutan ataupun mengangkat bebanan yang berat-2 dari ladang tuannya. Oleh yang demikian sentiasalah merungut mengadukan nasibnya yang

Mukasurat 37/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 37/93

malang serta membanding celakanya itu dengan keuntungan serta makmur dan kesenangan anjing itu. Kemudian pada suatu petang merontalah ia memutuskan tali pengikatnya dan berkadamlah yakni larilah ia masuk ke dalam rumah tuannya itu dengan mengerjang-2kan kakinya dan tangannya yang tiada terhingga dan merenguh sekuat-2 hatinya. Setelah sampailah ia ke dalam rumah itu lalu melompatlah ia keliling tuannya seperti kelakuan anjing yang telah dilihatnya itu. Akan tetapi terhempaslah ia kepada sebiji meja lalu belahlah meja itu dan pinggan mangkok yang di atas meja itu pun gemerincinglah habis hancur berkeping-2.

Arkian kemudian dicubailah pula hendak menjilat tangan tuannya serta hendak naik berjulang di atas tengkuk tuannya. Maka menjeritlah tuannya itu. Setelah didengarlah oleh hamba-2 orang itu akan bahana yang besar di dalam rumah itu serta pula dilihatnya akan merbahya tuannya itu berlarilah mereka itu sekalian membawa tongkat menolong akan dia menghalaukan keldai itu balik ke bangsalnya sambil memukul yang tiada terhingga. Maka tatkala sampailah keldai itu ke bangsalnya lepas daripada terkena pukul [cemas-2] yakni dekat mati merungutlah ia sambil menangis tersedu-2 katanya Hai badanku sekalian kemalangan ini semuanya dengan perbuatan kamu belaka kerana maksud kamu berkehendak sangat duduk di dalam kemalasan sepanjang-2 hari seperti anjing sentiasa duduk dengan tiada mahu bekerja seperti keldai yang lain. Setelah itu baringlah keldai itu dengan kesakitan. Demikianlah halnya untung secupak tak boleh dapat segantang adanya.

Ceritera 51 Darihal lembu dengan tukang sembelih

Bermula adalah pada suatu masa berhimpunlah segala lembu-2 yang di dalam dunia ini bermesyuaratkan hendak membunuh sekalian tukang membantai yakni tukang sembelih kerana adalah tukang-2 sembelih itu membuat perniagaan dan mencari keuntungan dengan merosakkan dan mengambil nyawa bangsanya. Kemudian pada suatu hari berkumpullah lembu-2 itu di dalam suatu tempat oleh hendak melakukan kehendaknya dan masing-2 pun sampailah mengasah tanduknya kerana peperangan itu.

Hatta di dalam lembu-2 yang banyak itu adalah seekor lembu yang terlalu tuanya oleh beberapa keping bendang yang telah ditenggalanya. Maka berkatalah ia kepada lembu-2 yang

Mukasurat 38/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 38/93

ramai itu katanya Hai sekalian anakku sungguhnyalah tukang-2 sembelih itu telah membunuh akan bangsa kita tetapi disembelihnya itu dengan beberapa kepandaian hingga tiadalah berasa sedikit sakit jua pun. Maka jika kita bunuhlah belaka akan tukang membantai yang ada ini adakah manusia yang di dalam dunia ini berhenti daripada memakan daging. Kalau begitu apakala terlepaslah kita daripadanya terjatuhlah pula ke tangan tukang membantai yang tiada pandai dan pada waktu itu kelak terkenalah berganda-2 kesusahan.

Syahadan setelah didengarlah oleh lembu-2 yang banyak akan fikiran dan nasihat lembu tua itu masing-2 pun tunduklah memikirkan kebenaran perkataannya maka masing-2 pun setujulah dengan akal lembu tua itu. Kemudian sekalian pun baliklah ke padang meragut rumput. Demikianlah halnya janganlah kita gopoh amat melarikan suatu marabahaya kepada yang lain yakni sebelum difikirkan habis-2 adanya.

Ceritera 52 Darihal singa dengan tikus serta musang

Teks tiada di dalam manuskrip.

Ceritera 53 Darihal anak gembala biri dengan serigala

Sekali persetua adalah seorang anak gembala biri-2 telah pergi menjaga kawan biri-2nya di dalam sebuah padang berhampiran dengan sebuah kampung. Maka tiada berapa lama ia di situ lalu berserulah ia mengatakan serigala telah memakan biri-2nya. Maka berlarilah orang-2 kampung itu hendak menolong akan dia. Setelah sampailah mereka itu kepadanya tertawalah ia gelak-2 melihatkan [pentallah] mereka itu. Dengan hal yang demikian tiga empat kalilah orang-2 itu diperdayakannya.

Arkian pada akhirnya datanglah betul-2 serigala. Maka baharulah datang ketakutan budak itu lalu berserulah ia sekuat-2 hatinya sehingga serak suaranya meminta pertolongan katanya Ya encik ya tuan sekalian tolonglah akan hamba ini dengan segeranya kerana adalah serigala yang yang betul telah datang mematahkan biri-2 hamba. Tetapi di dalam demikian pun tiadalah siapa yang hirau yakni endahkan jerit budak itu dan tiadalah seorang jua pun yang datang menolong akan dia.

Mukasurat 39/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 39/93

Syahadan apakala dilihatlah oleh serigala itu seorang pun tiada datang membantu akan budak itu lalu dipatahkannyalah sekalian biri-2 itu dengan tiada takut ngerinya lagi. Maka akan budak itu setelah diketahuinyalah seorang pun tiada mahu menolong akan dia lagi berlari-2lah ia masuk ke kampung itu melepaskan dirinya seraya menyesal yang amat sangat akan tabiat ia yang sudah itu. Demikianlah halnya orang yang pembohong itu sekali pun ia bercakap benar tiadalah siapa-2 yang percaya akan dia adanya.

Ceritera 54 Darihal anjing bengkeng

Sebermula adalah seekor anjing yang amat bengkeng telah diam di dalam sebuah bandar. Maka apakala berjumpalah ia dengan siapa-2 mereka pergilah ia perlahan-2 ke tumit orang itu serta digigitnya dengan tiada sedar. Oleh yang demikian banyaklah sudah orang yang telah terkena gigitannya. Kemudian digantungkanlah oleh tuannya suatu kertuk yakni [ganta] di leher anjing itu supaya boleh diketahui orang bila-2 ia hampir.

Hatta datanglah riak yakni sombong di hati anjing itu sebab ialah sahaja di dalam anjing banyak-2 itu yang memakai kertuk. Kemudian pergilah ia berjalan sekeliling pasar membesar akan dirinya seraya mengguding-2kan kertuknya itu. Maka apakala dilihatlah oleh anjing yang banyak itu masing-2 pun hairan sambil lari.

Arkian berkatalah seekor anjing tua kepadanya katanya Hai anakku mengapakah engkau suka [memtabar] akan dirimu itu. Maka pada sangkaanku kertuk yang di lehermu itu bukanlah sekali-2 alamat kemegahan hanyalah suatu tanda keaiban yaitu menjadi kenyataan kepada sekalian orang supaya masing-2 boleh menyimpangkan dirinya daripada engkau oleh engkau itu anjing yang jahat.

Syahadan setelah didengar oleh anjing yang sombong itu kemalu-2an ia serta berlari balik ke rumah tuannya. Maka daripada masa itu baiklah anjing itu dan tiadalah ia mahu menggigit orang lagi. Demikianlah alamat yang memberi keaiban itu selalu tersalah sangka bagi orang yang dungu dikatakannya alamat kemegahan adanya.

Mukasurat 40/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 40/93

Ceritera 55 Darihal budak-2 dengan katak

Sebermula adalah pada suatu masa telah bermuafakatlah beberapa orang budak-2 pergi bermain-2 di tepi sebuah kolam. Setelah sampailah ke situ lalu bermainlah mereka itu beberapa ketika. Maka di dalam tempat bermain-2 itu terpandanglah mereka itu kepada beberapa banyak katak berenang-2 ke sana ke mari di dalam kolam itu dengan sukacitanya. Kemudian diambillah oleh budak-2 itu beberapa banyak batu serta dihujankannya kepada binatang-2 itu. Dengan hal yang demikian banyaklah binatang-2 itu mati dan luka. Maka mana-2 yang tinggal menyelamlah ia dengan ketakutan.

Syahadan di dalam katak-2 yang banyak itu timbullah seekor katak puru seraya berseru-2 dengan nyaringnya katanya Hai sekalian kanak-2 janganlah dihujan lagi akan kami ini. Oleh perbuatan kamu sekalian itu menjadi permainan kepada kamu akan tetapi mendatangkan kematian kepada kami kerana sekarang pun beberapa banyak kami yang telah mati dan luka. Maka akan kebengisan kamu itu di akhiratlah kami tuntut akan bilanya. Setelah didengarlah oleh kanak-2 itu akan seru katak itu berhentilah mereka itu daripada melontarnya dan masing-2 pun kembalilah ke rumahnya. Demikianlah halnya cubitlah dahulu peha sendiri kemudian cubit peha orang baharulah ketahui akan pedihnya adanya.

Ceritera 56 Darihal saudagar garam dengan keldainya

Sebermula adalah seorang saudagar garam telah diam di dalam sebuah negeri yang jauh di darat. Maka pada suatu hari turunlah ia ke pelabuhan di tepi laut membawa seekor keldainya akan membawa garam. Adapun perjalanannya adalah menyeberangi sebuah sungai. Maka tatkala ia balik saratlah keldainya itu bermuat garam. Tiba-2 tatkala sampai ke sungai itu tergelincirlah kaki keldai itu lalu lalu rebah ke dalam air. Setelah bangunlah ia dirasailah akan bebannya itu telah ringan oleh garam itu telah hancur menjadi air.

Hatta berbaliklah semula saudagar itu ke tepi laut bermuat garam ke atas keldainya itu yang terlebih banyak daripada dahulu. Maka tatkala sampailah keldai itu ke tepi sungai itu lalu direbahkannyalah dirinya dengan sengaja ke dalam air di tempat yang dahulu itu. Apakala bangunlah ia apatah lagi dirasanya

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50