Hikayat Penerang Hati

Jilid I

Muka surat 41 hingga 50

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 41/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 41/93

akan bebannya telah kurang. Maka sukacitalah hatinya kerana telah diperolehnya akan maksudnya. Maka sekalian kelakuan keldai itu dilihatlah belaka oleh saudagar itu. Kemudian berbaliklah ia yang ketiga kalinya ke tepi laut itu membawa keldainya. Setelah sampai lalu dibelinyalah pula akan bunga [karna] atau buih laut akan menjadi dagangan serta dimuatkannya ke atas keldai itu. Kemudian baliklah ia. Maka akan keldai itu serta sampai sahaja ke sungai itu tiadalah lupa ia daripada melakukan seperti yang sudah lalu direbahkannyalah dirinya dan kembanglah buih itu dimasuk air. Maka apakala dibangunlah ia dirasailah akan bebannya itu telah bertambah berat. Maka menyesallah ia yang tiada terkira. Sambil berjalan dahulu dan dipukul oleh tuannya itu sehingga sampai ke rumahnya. Demikianlah halnya tipu daya itu berbalik ke atas tengkuk sendiri jua adanya.

Ceritera 57 Darihal rusa yang sakit

Alkisah maka adalah seekor rusa jantan telah mendapat sakit dan berbaringlah ia di penjuru sebuah padang menderitakan yakni menanggung kesakitannya. Dengan hal yang demikian datanglah beberapa ekor rusa yang lain iaitu sahabat-2nya bertanyakan khabar sakitnya itu seraya memakan sedikit-2 akan makanannya yang telah sedia di situ.

Kalakian setelah habislah sekalian makanan itu dimakan oleh sahabat-2nya maka masing-2 pun berjalanlah meninggalkan dia. Dan selang tiada beberapa lama di belakang itu matilah rusa yang sakit itu tetapi kematian itu bukanlah kerana sakitnya melainkan sebab keputusan makanan. Demikianlah halnya adapun kedatangan sahabat-2 kita yang jahat itu bukanlah memberi kebajikan melainkan menambahkan bencana sahaja adanya.

Ceritera 58 Darihal gembala dengan kambing gurun

Sekali persetua adalah seorang gembala kambing telah memeliharakan beberapa banyak kambingnya. Maka pada suatu petang tatkala ia menghalaukan kawan-2 kambingnya balik ke kandangnya maka berjumpalah ia dengan kambing-2 gurun yakni kambing liar telah masuk bercampur dengan kambing-2nya. Oleh yang demikian lalu direbankannyalah akan dia pada malam itu bersama-2 dengan kambing-2nya itu. Maka pada keesokan harinya turunlah salji yakni embun batu yang terlalu amat lebatnya hingga tiada boleh ia membawa kambing-2nya keluar memakan

Mukasurat 42/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 42/93

rumput seperti yang sediakala. Oleh yang demikian ditutupnyalah akan kambing-2 itu di dalam kandangnya serta diberinya makanan kadar yang boleh menghidupkan sahaja. Maka akan kambing-2 gurun itu diberinyalah makanan yang berlebih-2an kerana mengharapkan binatang-2 itu jangan meninggalkan dia supaya bolehlah menjadi haknya.

Arkian setelah hancurlah salji itu lalu dibawalah oleh gembala itu akan kambing-2nya itu keluar ke padang memakan rumput. Maka kambing-2 gurun itu pun keluarlah bersama-2. Setelah sampailah ke padang lalu larilah kambing-2 gurun itu pergi ke gunung-2 yang hampir di situ. Setelah dilihatlah oleh gembala itu akan hal itu lalu dimakinyalah akan dia oleh tiada mengenang budi dan sampai hati meninggalkan ia kerana di dalam musim ribut dahulu itu telah dipeliharanya akan kambing-2 gurun itu terlebih daripada harta ia sendiri.

Hatta berpalinglah seekor kambing gurun itu seraya menjawab akan perkataan gembala itu katanya Hai gembala dengan sebab perbuatan engkau itulah makin bertambah-2 ketakutan kami lihat akan dikau memeliharakan kami terlebih daripada kambing-2 yang telah engkau memiliki beberapa reban. Maka dengan jalan itulah menunjukkan jikalau kambing-2 yang lain pula datang kepada engkau nescaya pelihara akan dia terlebih daripada kami. Setelah didengar oleh gembala itu akan terus pandangan dan tajam akal kambing-2 gurun itu masuk ke dalam hutan itu. Demikianlah halnya haruslah kita beringat janganlah sekali-2 kita kurangkan sahabat yang lama oleh mendapat sahabat yang baharu adanya.

Ceritera 59 Darihal budak-2 dengan jelatang

Sebermula adalah seorang budak telah pergi bermain-2 ke dalam semak yang dekat dengan rumahnya. Maka di dalam itu terkenalah ia daun jelatang gajah di tangannya. Setelah dirasanya akan bisa jelatang itu maka berlarilah ia balik ke rumah mendapatkan ibunya seraya berkata dengan tangisnya katanya Ya ibuku adapun tangan hamba ini sangatlah sakitnya terkena daun jelatang gajah. Maka sungguh pun begini bisanya tetapi hamba jamah akan daun itu hanyalah sedikit sahaja.

Mukasurat 43/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 43/93

Hatta berkatalah ibunya Hai anakku sebenarlah seperti perkataanmu itu dan dari sebab engkau jamah akan dia perlahan-2 itulah makin disengatnya akan dikau dan yang ke hadapan lagi apakala engkau jamah akan jelatang itu hendaklah engkau beranikan hatimu dengan kelakuan yang patut. Maka pada ketika itu bolehlah engkau rasa akan dia lembut dan halus seperti sutra dan tiadalah ia menyakitkan engkau. Setelah didengar oleh budak itu nasihat ibunya maka sukacitalah ia kerana faedah perkataan itu bukanlah memegang jelatang itu sahaja tetapi di dalam sebarang pekerjaan yang lain-2 pun adalah seperti itu jua. Demikianlah halnya di dalam sebarang pekerjaan kita hendaklah kita usahakan dengan bersungguh-2 adanya.

Ceritera 60 Darihal musang yang terkerat ekornya

Sekali persetua adalah seekor musang telah berjalan-2 mencari rezekinya tiba-2 terkenalah [...cakup] yakni perangkap besi di ekornya dan dapatlah ia melepaskan dirinya tetapi dengan sebab itu putuslah ekornya itu. Maka daripada ketika itu apakala ia bertemu dengan musang yang lain-2 melainkan digonjakkanlah oleh mereka itu akan dia jadi berasa aiblah ia yang amat sangat oleh kudung ekornya itu. Dengan hal yang demikian lalu dicarinyalah akal supaya musang-2 yang lain itupun boleh mengudungkan ekornya seperti keadaannya itu dan terlepaslah ia daripada keaiban yang ditanggungnya itu.

Hatta pada suatu hari diajaknyalah beberapa ekor musang yang lain berhimpun kepada suatu tempat. Kemudian dinasihatkannyalah akan sekalian mereka itu memotong ekornya seraya katanya Hai sekalian saudaraku jika tuan hamba keratkan ekor tuan hamba itu bukanlah sahaja tampan yakni elok rupanya melainkan bolehlah bertambah-2 kesenangan oleh tiada berat bulu ekor itu kerana pada perasaan hamba selama hamba tiada berekor ini terlebihlah pantasnya daripada dahulu.

Kalakian akan nasihat musang kudung itu pada mula-2nya termasuklah ke dalam akal musang yang banyak itu. Kemudian berkatalah seekor musang tua katanya Hai anakku jikalau tidak terpotong ekor engkau itu tentulah tiada engkau menasihatkan kami sekalian memotong ekor. Setelah didengarlah oleh musang yang ramai

Mukasurat 44/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 44/93

itu maka musang-2 pun bersoraklah mengatakan benar perkataan musang tua itu. Maka kemalu-2anlah musang kudung itu serta lari membuangkan dirinya. Demikianlah halnya jika kita hendak mengadakan sebarang ikhtiar seyogianya janganlah perkara yang dapat [diik...] yakni dicela orang adanya.

Ceritera 61 Darihal orang tua dengan dua isterinya

Sebermula adalah seorang laki-2 yang pertengahan umurnya telah diam di dalam sebuah negeri dan rambutnya pun telah tumbuhlah uban sebahagi dua. Maka akan orang tua itu adalah baginya dua orang isteri seorang muda yang terlalu amat elok parasnya putih persih dan yang seorang lagi itu amatlah tuanya hingga kulitnya pun telah berkedut-2 dan ubannya pun putih merepuh.

Arkian akan perempuan tua itu timbullah malu di dalam hatinya oleh ia diperisterikan oleh seorang yang muda daripadanya. Setelah itu dicarinyalah helah yakni daya hendak serupakan suaminya itu sebaya yakni seumur dengannya. Oleh yang demikian bila-2 gilir yakni masa suaminya itu datang ke rumahnya lalu dicabutnyalah segala rambutnya yang hitam itu maka tinggallah ubannya sahaja putih merepuh seperti keadaan uban isterinya yang tua itu.

Hatta setelah dilihatlah oleh isterinya yang muda akan uban suaminya itu datanglah aib di hatinya bersuamikan laki-2 yang layak menjadi bapanya. Kemudian dicabutnya pula akan uban suaminya itu sehingga habis sekalinya. Setelah tercabutlah sekalian rambut laki-2 itu dengan tiada tinggal sehelai jua pun. Maka gondollah ia seperti rupa singa betina. Dengan itu datanglah getik yakni benci di hati kedua isterinya itu. Kemudian kedua-2nya pergilah menebus talak lakinya itu ke rumah imam. Demikianlah halnya barang siapa yang berkehendakkan diperkenan orang tak dapat tiada kesudahannya menjadi kebencian sekalian makhluk adanya.

Ceritera 62 Darihal ahlilfalakih

Sebermula adalah seorang ahlilfalakih yakni orang yang membicarakan ilmu bintang telah duduk di dalam sebuah negeri. Maka adatnya pada tiap-2 malam keluarlah ia dari rumahnya pergi berjalan-2 melihat bintang di langit. Maka pada suatu malam

Mukasurat 45/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 45/93

berjalanlah di dalam bandar negeri itu dengan semata-2 mendongak yakni memandang arah ke langit sahaja. Tiba-2 terjatuhlah ia ke dalam sebuah telaga yang amat dalam. Maka pada tatkala jatuhnya itu terhempaslah ia kepada batu yang di dalam telaga itu dan bengkuk bengkillah badannya. Setelah jijaklah ia ke bawah maka menangislah ia yang amat sangat mengaduhkan sakitnya seraya berlaung sekuat-2 hatinya meminta pertolongan.

Kalakian datanglah seorang yang dekat di situ ke tepi telaga itu bertanyakan halnya. Maka apakala dikhabarkan oleh ahlilfalakih itu akan sekalian hal ehwalnya maka berkatalah orang itu katanya Hai orang tua yang dungu mengapatah engkau memandang arah ke langit sahaja dengan tiada memandang apa-2 yang di atas muka bumi ini. Bukankah engkau duduk di atasnya. Kemudian oleh orang itu dihulurkanlah tali ke dalam telaga itu serta ditariknya orang tua itu naik ke atas. Setelah keluarlah ia dari dalam telaga itu maka baliklah ia ke rumahnya dengan kesakitan. Demikianlah halnya jika kita hendak mencerca orang yang terkena kesusahan oleh sebab ketinggalannya seyogianya biarlah lepas kita tolong akan dia dahulu adanya.

Ceritera 63 Darihal cawi tiruan

Sekali persetua adalah Dewata mulia raya hendak menggelar seekor burung akan menjadi raja sekalian unggas yang di dalam dunia ini. Setelah itu dikeluarkannyalah [kebi...] menyuruhkan segala burung hadir di dalam suatu tempat pada sekian-2 hari. Maka pada ketika itu baharulah hendak dipilihnya siapa-2 yang begak yakni hebat supaya digelar menjadi raja. Maka akan burung cawi itu ketahuilah ia akan hodoh rupa dirinya. Oleh yang demikian dicarinyalah merata-2 hutan dan padang akan lawi-2 dan sayap-2 merak yang tercampak serta dipacakkannya seluruh tubuhnya dengan mengharapkan boleh menjadi terlebih indah daripada segala burung-2 yang lain.

Hatta setelah sampailah pada hari yang telah ditetapkan lalu berhimpunlah segala burung-2 daripada masyrik dan maghrib dan dari daksina serta paksina ke hadapan Dewata itu. Maka cawi itu pun datanglah jua dengan memakai bulu pinjaman itu. Maka apakala dilihat oleh Dewata akan dia terlalu amat segaknya maka ia lah hendak digelarnya menjadi raja. Setelah didengarlah oleh burung-2 yang lain

Mukasurat 46/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 46/93

itu maka datanglah marah mereka itu dan masing-2 pun tampillah mengatakan tiada suka berajakan cawi tiruan itu serta memagut dan mematuk ia mencabut bulu pinjaman itu. Setelah tercabut semuanya maka pulanglah ia serupa cawi yang lain-2 dan tiadalah jadi digelar akan dia menjadi raja segala burung. Demikianlah halnya barang yang tiada menjadi bahagian kita tiadalah boleh dapat dengan dikejar dan akhirnya kita jua akan tersemu adanya.

Ceritera 64 Darihal serigala dengan biri-2

Sebermula adalah sekawan serigala telah bertemu dengan sekawan biri-2 tengah meragut rumput di dalam sebuah padang. Maka berkatalah serigala itu kepada biri-2 itu katanya Hai kekasihku mengapakah makin pergaduhan dan perselisihan di antara tuan hamba dengan kami ini tiada berkeputusan dan berkesudahan. Maka pada fikiran hamba sebab pun berlaku yang demikian semata-2 oleh kejahatan anjing-2 yang mengikut tuan hamba itu kerana bila-2 kami hampir sahaja akan tuan hamba melainkan disalak dan diserbunya akan kami. Maka jika boleh tuan hamba menghalaukan anjing-2 itu daripada mengikut bontot tuan hamba mengakulah kami akan berdamai dan bersetiawan dengan tuan hamba dan bolehlah kita berkasih-2an selama-lamanya.

Syahadan adalah biri-2 itu binatang yang sangat dungu dan bodoh. Maka dengan senanglah sahaja boleh ditipu akan dia dan apakala didengarnya akan perkataan serigala itu lembutlah hatinya. Kemudian dihalaukannyalah anjing-2 itu daripada mengikutnya. Setelah pergilah anjing-2 itu datanglah serigala-2 itu pura-2 hendak berjabat tangan dengan sekalian biri-2 itu sama seekor. Setelah rapatlah masing-2 apatah lagi lalu dipatahnyalah akan biri-2 itu dan mana-2 yang terlepas dikepongnya oleh serigala-2 itu sehingga dapat dibunuhnya sekaliannya dengan tiadalah [... ...] atau [sang... sangkutnya] yakni dengan tiada apa-2 yang menahan. Demikianlah halnya janganlah dituangkan air di tempayan oleh mendengarkan guntur yakni guruh di langit adanya.

Ceritera 65 Darihal kucing dengan burung

Mukasurat 47/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 47/93

Sekali persetua adalah seekor kucing telah melihat beberapa ekor burung disimpan orang di dalam kurung batang. Maka berfikirlah kucing itu mendayakan burung-2 itu supaya dapat dimakannya akan dia. Kemudian dipakainyalah akan pakaian tabib lalu pergilah ia ke kurung batang itu dengan membawa sebatang tongkat dan perkakas ubat-2. Setelah sampailah lalu diketuknya pintu kurung batang itu. Maka datanglah seekor burung dan apakala dilihat oleh kucing itu akan dia lalu ia memberi salam seraya bertanya katanya Hai anakku khabar saudara kamu yang lain itu dan jika sekiranya ada siapa-2 yang sakit biarlah aku ubat akan dia.

Hatta setelah didengarlah oleh burung itu akan pertanyaan kucing itu berkatalah ia sambil berpaling dan berludah katanya Hai tabib yang dusta adapun kami sekalian yang di sini adalah semuanya di dalam sihat belaka dan selama-lamanya pun adalah seperti itu jua dan tiadalah kami berkehendakkan tabib. Oleh itu undur dan nyahlah engkau dari sini biarlah kami tinggal sebagaimana yang ada ini. Maka apakala didengarlah oleh kucing itu akan perkataan burung itu maka baliklah ia dengan hampa maksudnya. Demikianlah halnya asalkan yang bernama seteru itu seyogianya jangan diberi hampir adanya.

Ceritera 66 Darihal anak kambing dengan serigala

Sebermula adalah seekor anak kambing telah berdiri di atas bumbungnya sebuah rumah batu yang tinggi. Tiba-2 lalulah seekor serigala di bawahnya. Maka apakala dilihatlah oleh anak kambing akan serigala itu serta pula difikirkannya tiadalah sampai bencana serigala itu kepadanya lalu dinista dan dimakinyalah kan dia serta katanya Hai serigala jikalau sungguh jantan bapamu marilah engkau ke atas bumbung ini supaya boleh engkau merasai bekas tanganku ini.

Hatta setelah didengarlah oleh serigala akan nista anak kambing itu lalu mengadahlah memandang anak kambing itu seraya berkata dengan tersenyum-2 Hai sewat semua perkataan itu kedengaranlah belaka ke telingaku akan tetapi bukanlah engkau yang berkata-2 itu melainkan bumbung tempat engkau berdiri itulah yang bercakap dan nista. Binatang yang tiada bernyawa itu tiadalah menjadi keaiban kepada aku. Setelah itu berjalanlah serigala itu. Demikianlah halnya kadang-2 adalah jua waktunya benda yang lemah itu boleh mencercai benda yang gagah adanya.

Mukasurat 48/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 48/93

Ceritera 67 Darihal peladang dengan anak-2nya

Sekali persetua adalah seorang si peladang ada mempunyai beberapa kebun anggur. Maka oleh ia mengharapkan anak-2nya mencari kehidupan seperti pekerjaan iaitu berkebun-2 dan bertanam-2. Maka tatkala ia sakit hendak mati lalu dipanggilnya sekali anak-2nya ke sisi tempat tidurnya serta berwasiat ia kepadanya katanya Hai anak-2 ku pada masa aku muda dahulu adalah aku tanamkan beberapa banyak perbendaharaan yakni harta-2 yang berharga di dalam sekeping tanah kebun engkau itu. Maka jikalau kamu sekalian berkehendakkan harta itu hendaklah kamu tenggala serata-2 kebun itu nescaya berjumpalah kamu dengan dia. Setelah habislah si peladang itu berwasiat yang demikian kepada anak-2nya lalu matilah ia.

Hatta akan anak-2 si peladang itu setelah sudahlah ditanamkan mayat bapanya maka masing-2 pun pergilah mengambil cangkul sebatang seorang serta menggali seluruh kebun-2 bapanya itu. Maka beberapa digalipun tiadalah dijumpanya akan perbendaharaan yang dikatakan oleh bapanya itu. Maka pada akhirnya anggur-2 yang di dalam kebun-2 itu selama telah digembur yakni dicangkul tanahnya itu demikianlah bertambah-2 gemuk dan subur. Oleh yang demikian berbuahlah ia yang tiada terhinggakan lebatnya dan harga buah itulah membayar kelelahan anak si peladang itu. Kemudian berkatalah seorang anak si peladang itu kepada saudara-2nya katanya Hai saudaraku sekalian pada sangkaanku bukanlah harta yang berharga telah disembunyikan oleh ayah kita di dalam kebun ini melainkan dari sebab ia hendak [membangsang] yakni menyuruhkan kita bersungguh-2 membuat pekerjaan yang telah diperbuatnya itu maka disuruhkannya kita menggali perbendaharaan itu dan buah anggur inilah perbendaharaan yang dikatakannya itu. Setelah itu masing-2 pun sukacitalah serta bekerja di kebun itu selama-lamanya. Demikianlah halnya tiap-2 hendak [membangsang] orang akan membuat sesuatu pekerjaan maka hendaklah ditunjukkan dahulu kepadanya akan pendapatan yang akan diperolehnya adanya.

Ceritera 68 Darihal anak lembu dengan lembu jantan

Sebermula adalah seorang tua telah memeliharakan dua ekor binatang

Mukasurat 49/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 49/93

seekor anak lembu dan seekor lagi lembu jantan. Maka akan lembu jantan itu pada tiap-2 hari ditenggalakanlah oleh tuannya yang terlalu amat teruknya yakni penatnya. Oleh yang demikian setiap hari digonjakkanlah oleh anak lembu itu akan dia dengan mengejekkan yakni mencercakan nasibnya yang malang itu dan akan anak lembu itu tiadalah membuat apa-2 pekerjaan melainkan duduk makanlah sahaja hingga tembun badannya.

Hatta selang tiada berapa lamanya kemudian daripada itu segala biji-2an yakni padi gandum pun habislah naik ke rumah belaka. Maka akan lembu jantan itu pun ditanggalkanlah oleh tuannya daripada kuknya dan berhentilah ia daripada membuat pekerjaannya. Kemudian dirapus yakni diikatlah oleh orang tua itu akan kaki tangan anak lembu itu dengan tali serta diheretnya ke tempat menyembelih kerana hendak dibantainya supaya membuat kenduri dan arwah seperti yang kelaziman di dalam tahun itu.

Syahadan setelah dilihatlah oleh lembu jantan itu akan hal anak lembu itu berkatalah ia sambil tersenyum kepadanya Hai anakku sebab pun engkau itu [didarakan] yakni disenangkan oleh tuan kita kerana hendak disembelihnya akan dikau. Maka sekarang terimalah pula habuan engkau senang dahulu sakit kemudian. Apakala didengarlah oleh anak lembu akan perkataan lembu jantan itu diamlah ia tiada berkata-2 lagi seraya menangis bercucuran air matanya. Setelah itu disembelihlah oleh orang tua itu akan dia. Demikianlah halnya janganlah kita gonjakkan orang tatkala ia terkena kesusahan di belakang kelak entahkan hari kita pula adanya.

Ceritera 69 Darihal lembu dengan katak

Sebermula adalah seekor lembu telah turun meminum air ke dalam suatu kubang. Maka pada tatkala ia turun itu [terkajaklah] ia ke atas seekor anak katak dan matilah binatang itu [lulah lantak]. Setelah kembalilah ibu katak itu daripada perjalanannya maka dilihatnya seekor anaknya telah lenyap. Dengan hal yang demikian bertanyalah ia kepada anaknya yang lain-2 itu katanya Hai anak-2ku ke manakah pergi saudara kamu yang seekor lagi itu. Maka dijawablah oleh mereka itu katanya Ya ibuku adalah baharu sebentar ini seekor binatang yang amat besar dengan empat kakinya telah datang ke kubang itu meminum air dan dipijaknyalah akan saudara hamba itu dengan kuku tumitnya hingga hancur luluhlah.

Mukasurat 50/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 50/93

Syahadan apakala didengarlah oleh ibunya akan yang demikian itu lalu digelembungkannya badannya serta dibuncitkannya perutnya seraya bertanya anak-2nya itu katanya Hai anakku adakah binatang itu sebesar badanku ini. Setelah dilihat oleh anak-2 katak akan kebodohan ibunya itu maka berkatalah seekor daripada mereka itu Hai ibuku janganlah ibu mengelembungkan badanmu dan membuncitkan perutmu. Jika sampai meletup pun perutmu itu pada fikiran hamba tiadalah dapat ibuku meniru akan besar binatang itu. Setelah itu berhentilah katak itu daripada membuncitkan perutnya. Demikianlah halnya kecil tiada boleh disangkakan anak. Tua tiada boleh difikirkan bapa. Akal itu terbahagi kepada yang bijaksana adanya.

Ceritera 70 Darihal perempuan tua dengan tabib

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seorang perempuan tua telah buta kedua belah matanya. Oleh yang demikian lalu dipanggilnya seorang tabib mengubati matanya itu serta diperbuatnya perjanjian dengan tabib itu di hadapan saksi-2 menyatakan jika dapatlah tabib itu membaiki butanya bolehlah diberinya sekalian-2 upah dan jikalau berkekalanlah jua butanya tiadalah ia terkena membayar apa-2 kepada tabib itu. Setelah sudahlah diikat perjanjian itu maka tabib itu pun berolaklah pergi mari ke rumah perempuan itu memberi ubat dan pada tiap-2 kali ia balik dicurinya sedikit-2 harta perempuan tua itu.

Syahadan setelah habis harta perempuan itu dicuri oleh tabib itu maka mata perempuan itu pun lalu dibaikkannya. Kemudian ditunggulah oleh tabib itu akan upahannya kepada perempuan itu. Maka akan si tua itu setelah celiklah matanya dilihatnya segala barang yang di dalam rumahnya itu telah habis. Jadi tiadalah upaya ia hendak membayar upahan itu. Maka dikeraslah oleh tabib itu meminta upahnya tetapi tiadalah jua didapatnya. Kemudian dengan sebab perempuan tua itu tiada dapat membayar upahan lalu mengadulah tabib itu kepada hakim.

Hatta setelah berdirilah perempuan itu di hadapan hakim di dalam mahkamah. Maka berkatalah ia katanya Ya tuan hakim adapun segala perkataan tabib itu telah benarlah belaka kerana sesungguhnya telah hamba berjanji hendak memberi

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50