Maklum balas

Setinggi penghargaan dan terima kasih!

Prof. Madya Dr. Indirawati Zahid

Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

Saya telah melayari laman manuskrip Melayu, Perpustakaan Universiti Malaya (PUM) bagi melihat koleksi manuskrip yang ada dalam simpanan PUM atau yang tersedia dalam laman ini. Kandungan laman ini amat mudah untuk pelayar seperti saya mendapatkan beberapa maklumat antaranya koleksi manuskripsi, pameran maya, rujukan dan sebagainya. Sesuatu yang luar biasa dari laman ini adalah terdapatnya 4 manuskrip yang telah ditranslitearsi daripada sejumlah besar koleksi manuskrip yang ada dalam koleksi PUM. Jumlah empat manuskrip yang telah ditransliterasi ini kelihatan kecil jumlahnya tetapi perlu saya akui, jumlah yang kecil ini sebenarnya gambaran usaha keras yang dilakukan oleh tim laman ini yang berusaha membaca, memahami dan menulis semula manuskrip dalam Jawi lama ini ke tulisan Rumi bagi membantu orang ramai yang terbahagi kepada dua kelompok, iaitu pertamanya, yang mungkin kurang mahir membaca tulisan dan memahami sistem ejaan Jawi lama dan keduanya, yang tidak berkemahiran membaca tulisan Jawi secara umumnya. Di samping itu, laman ini memaparkan sejumlah gambar berkualiti tinggi, iaitu halaman manuskrip serta gambar-gambar lain yang relevan. Yang sangat menarik berkaitan laman ini adalah tersedianya satu aktiviti yang dinamakan “Menguji Kemahiran Jawi Anda” yang saya rasa akan dapat menarik perhatian para pelayar laman ini untuk cuba menguji kemahiran yang sedia dimiliki dan juga sekali gus melihat kemampuan yang dimiliki dalam membaca manuskrip bertulisan tangan tulisan Jawi lama. Ini merupakan satu cabaran yang mendorong pelayar untuk terus menguji diri sendiri.

Sehubungan dengan itu usaha murni ini perlu dipuji dan diberikan penghargaan yang tinggi kerana usaha yang dilakukan oleh tim ini kemungkinan besar bertitik tolak daripada minat yang tinggi pada kandungan maklumat yang tersimpan dalam manuskrip lama dan hasrat mereka untuk berkongsi kandungan manuskrip tersebut pada khalayak ramai. Penat lelah tim ini mungkin sahaja tidak mendapat ganjaran tambahan dari aspek elaun atau honorarium kerana laman ini didapati percuma untuk diakses oleh orang awam. Usaha ini tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai tanggungjawab sosial tim ini kepada bangsa dan negara. Syabas kepada tim laman manuskrip Melayu. Semoga terus sukses demi bangsa dan negara.

Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi

Pensyarah Kanan, Jabatan Sosiobudaya/ Kesenian Melayu. Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

"Insiatif yang sangat bermanfaat kepada pengkaji manuskrip dalam kajian dunia Melayu nusantara. Pemuliharaan dan pemeliharaan amat penting untuk memastikan kesinambungan tradisi warisan bangsa. Setinggi-tinggi tahniah pihak pustaka Universiti Malaya atas usaha murni ini"

Dr. Marzudi Md Yunus

Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan), Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

"Ini satu usaha yg baik bagi menyebar luas khazanah warisan kita yg kaya, supaya diketahui oleh masyarakat"