Hikayat Raja Budiman

Muka surat 61 hingga 70

Mukasurat 61/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 61/129

dalam cermin. Hai Encik orang muda Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan engkau pulangkanlah balik kepada aku.

Maka jawab Lela Muda: Ayuhai Encik orang muda seumpama bunga sudah disunting tiadalah patut hendak diberi kepada orang muda dimana-2 ada tuan puteri yang berupa baik paras dikehendakkan marilah kita pergi pinang ambil aku suruh beri kepada orang muda.

Maka kata Sheikh Ali: Jika engkau tiada memberi tuan puteri itu halalkanlah nyawa engkau hilang didalam tanganku. Maka kata Lela Muda: Silakanlah apa yang ada kesukaan pada hati engkau. Maka Sheikh Ali pun naik gembira lakunya lalu menghunus pedang tampil menetak Lela Muda itu berturut-2 ditetak ke kiri ditangkiskan ke kanan ditetak ke kanan ditangkiskan ke kiri ditetak rendah dilompatkan ditetak tinggi disusupkan. Maka tampillah tetak menetak tikam menikam tangkis menangkis tiada juga berketewasan sama gagah sama berani sama bertuah sama kesakti keduanya lakunya seperti orang bermain-2 telah letihlah keduanya lalu berhenti.

Maka kata Sheikh Ali: Hai orang muda kesaktian sungguh engkau ini sekarang terima bekas tanganku. Maka ia pun segera mengeluarkan satu panah kesaktian lalu dilambungkan ke atas kayangan maka jadilah sebuah gunung bara api turun menimpa ke atas Lela Muda. Maka Lela Muda pun segeralah melepaskan sebiji manik


Muka surat 62/129

geliga maka turunlah hujan angin dan ribut dan taufan. Dengan seketika itu juga padamlah api itu.

Telah dilihat oleh Sheikh Ali bahawa api itu sudah padam maka segera pula dikeluarkan suatu hikmat menurunkan hujan keris lembing menimba di atas Lela Muda. Maka ia pun segera melepaskan sebiji manik geliga maka dengan seketika itu menjadi payung batu. Telah itu maka Sheikh Ali melepaskan pula suatu hikmat menurunkan seekor ular hendak menelan Lela Muda. Maka Lela Muda pun segera pula menjadikan dirinya seekor burung garuda terlalu besar dan datang menelan ular itu.

Maka Sheikh Ali pun sudah tiada upaya kerana sudah habis hikmatnya lalunya datang menyembah pada tapak kaki Lela Muda mengaku tunduk seraya katanya: Ampun tuanku mengakulah patik ketewasan di dalam peperangan ini serta haraplah patik kita beraku saudara. Maka Lela Muda sangatlah suka lalu dibawa Sheikh Ali kembali ke mahligainya lalu diperjamu makan minum. Maka ia pun memanggil Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan suruh membawa tempat sirih jurang yang keemasan. Maka Tuan Puteri pun bangkit bercering bunyi gelang di tangan melepak subang di telinga meretap cincin di jari yang halus berbunyi gendit di pinggang bersambutan bunyi genta di kaki melempai pinggang yang ramping. Maka Tuan Puteri pun

Mukasurat 63/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 63/129

bangkit berjalan maka berpandanglah dengan Lela Muda dan Sheikh Ali lalu dipersembahkan jurang emas itu. Maka Sheikh Ali pun kemaluanlah lakunya tersipu-2 mukanya duduk mengutis tikar maka Tuan Puteri pun segeralah masuk ke dalam bilik peraduannya. Maka berkata Lela Muda silalah abang santap sirih itu barang sekapur. Maka seketika lagi hidangan pun diangkat oranglah keluar di atur oleh Inang Tua. Maka santaplah Sheikh Ali satu hidangan dengan Lela Muda. Telah selesai daripada makan itu lalu makan sirih dan memakai bau-2an.

Maka Sheikh Ali pun bermohon turun lalu diambil sekepal tanah dan pergi di tengah medan peperangan itu seraya berkata: Hai yang-2 ku buat berkat kesaktian aku sungguh ditolong keramat aulia mambang dewata mamak jin bujang juara minta turunlah hujan air mawar janggi menimpa segala rakyat yang mati ini kembali hidup pulang pulih seperti sedia kala. Maka dengan seketika itu juga hiduplah sekalian rakyat yang mati itu. Maka Sheikh Ali pun terlalu amat suka lalu bermohon kembali ke negerinya yang bernama Panjang Selaksa itu.

Maka tersebutlah perkataan Tuan Puteri Bongsu duduk dengan Lela Muda di dalam mahligai itu. Maka titah Tuan Puteri: Ayuhai kak Dayang Tua segeralah bersiap naik ke atas kayangan pergi mengadap

Mukasurat 64/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 64/129

paduka ayahanda Raja Sang Nata. Maka Cik Dayang Tua pun segeralah memakai baju layangan lalu melayang naik ke atas kayangan tiada beberapa antaranya sampailah ke kayangan di dalam negeri Bintang Beralih langsung ke balai paseban. Maka tatkala itu Raja Sang Nata ada hadir di balai tengah ramai dihadap orang. Maka Dayang Tua pun naik ke atas balai mengadap Raja seraya duduk lalu mengangkat tangan sembah: Ampun tuanku beribu-2 ampun patik ini datang disuruh anak tuan patik mengadap tuanku akan pasal peperangan dengan Sheikh Ali di dalam negeri Padang Kecik telah selesai dan jaya peperangan anakanda itu.

Maka Raja Sang Nata pun memanggil sekalian datuk panglima kuin dan tandil menyuruh bersiap hendak turun ke dunia pada negeri Padang Kecik. Maka dengan seketika itulah semuanya turun masing-2 dengan kenaikannya lalu melayang ke dunia. Telah sampai ke negeri Padang Kecik naiklah baginda ke balai permainan. Maka Lela Muda pun segera bangkit bersama-2 Tuan Puteri membawa tempat sirih jurang emas pergi mengadap baginda. Dengan seketika itu juga Lela Muda pun menghunus pedangnya dipersembahkan kepada baginda duduk dengan hormat serta mengaku salah minta dibunuh kerana anak ini sudah salah sepenuh-2 dosa. Maka baginda pun bangkit pergi memeluk mencium paduka anakanda kedua laki isteri

Mukasurat 65/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 65/129

seraya bertitah: Wahai anakanda kedua marilah tuan kita naik ke kayangan. Maka mereka kedua dan sekalian dayang-2 pun bersiaplah segala bangkisan hendak naik ke kayangan.

Maka Selamat Tandang Desa dan Awang Sibuncui pun bersiap naik ke atas seekor kenderaan gajah selayangan. Maka dengan seketika itu juga lalulah terbang beramai-2an riuh rendah sepanjang jalan itu. Hatta antara tiada beberapa lamanya maka sampailah sekaliannya ke atas kayangan bernama negeri Bintang Beralih. Maka Tuan Puteri pun pulanglah ke mahligainya membawa Lela Muda. Maka Lela Muda pun duduklah bersuka-2an di atas kayangan hingga tiga bulan sepuloh hari.

Maka pada satu hari sedang duduk bersuka-2an maka Lela Muda pun terkenang akan negeri Serendah Sekebun Bunga lalu ia menangis. Maka Tuan Puteri pun terkejut seraya bertanya: Wahai kekanda apakah juga salahnya maka kekanda menangis itu. Kepada siapa kekanda terkenang atau kepada siapa kekanda teringat atau pun kekanda hendak beristeri di mana-2kah khabarlah kepada adinda. Atau Puteri di negeri mana-2 yang baik parasnya boleh adinda pergi pinangkan jika sepuluh kali pun boleh adinda cari beri jadi sebelas dengan adinda.

Maka jawab Lela Muda: Ayuhai adinda semangat abang bukannya kekanda hendak beristeri hanya hajat kekanda hendak mencari burung inderabayu. Maka kata Tuan Puteri Bongsu:

Mukasurat 66/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 66/129

Wahai kekanda di manalah hendak dicari burung inderabayu di dalam negeri ini. Maka yang ada adinda mendengar khabarnya burung inderabayu itu pada negeri Gunung Dua Belas jadi permainan Tuan Puteri Bongsu Kecik Selenggang Cahaya. Maka kata Lela Muda: Ayuhai adinda apalah kekanda hendak kata lagi sudah hajat Bonda Tengah sudah idaman hendak makan burung inderabayu di mana ada burung itu di sanalah kekanda pergi.

Maka kata Tuan Puteri: Wahai kekanda ada pun negeri Gunung Dua Belas itu bolehlah adinda ceterakan. Adalah negeri itu terlalu banyak orang kesaktian duduk bertunggu kawal jaga siang dan malam dan Dewa Keenam duduk bertunggu di tali angin. Panglima Berhinsing tujuh orang duduk bertunggu di dalam laut belantara dan kota batu sebelah melilit ke rimba dan sebelah melilit ke laut belantara. Meriam berapit sentiasa di atas kota batu soldadu duduk mengirik tunam hendak baris belantara. Tiada boleh dagang senteri hendak masuk berjual beli dan berniaga di dalam negeri itu. Maka orang di dalam negeri itu duduk bertunggu rata sama sendiri rakyat banyak tiada terkira-2. Berkata seorang sepatah seperti tebuan di dalam sarang dan seperti lalat di dalam gua demikianlah

Mukasurat 67/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 67/129

ceteranya apalah hal kekanda hendak pergi.

Maka kata Lela Muda: Ayuhai adinda jikalau sampai habis nyawa kekanda sekali pun di situ kekanda akan pergi juga ke negeri Gunung Dua Belas. Jika kekanda pulang ke negeri pun mati juga dibunuh oleh ayah kekanda Raja Budiman. Baiklah abang pergi juga ke Gunung Dua Belas baiklah mati di dalam negeri orang sahaja adat anak lanang laki-2 eloklah disebut orang. Jikalau abang mati di negeri sendiri bukankah buruk nama disebut orang juga. Bersiaplah adik mari kita mengadap ayah lalu bangkit laki isteri berjalan menuju ke balai paseban langsung naik ke atas balai mengadap ayahanda.

Maka Raja Sang Nata pun segera menegur: Datang tuan kedua marilah duduk dekat ayahanda lalu dipeluk dicium baginda akan anakanda baginda kedua itu katanya: Marilah sini anak ayah semangat ayah tangkai hati pengarang jantung limpa ayah. Apa khabar anakanda kedua datang mengadap ayah apa yang kurang di dalam istana. Maka jawab Lela Muda: Tiada apa kurang kepada anakanda adalah hajat anakanda datang mengadap ayah ini ialah hendak minta mohon berjalan ke negeri Gunung Dua Belas mencari burung inderabayu.

Maka jawab Raja Sang Nata: Ayuhai anak ayah janganlah

Mukasurat 68/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 68/129

tuan pergi mencari burung inderabayu kerana selalu susah sangat hendak pergi ke negeri itu. Maka jawab Lela Muda jikalau mati sekali pun anakanda hendak pergi juga ke Gunung Dua Belas mencari burung itu. Maka dengan seketika itu juga baginda pun turun memeluk leher Lela Muda dan mencium sambil menangis. Maka jawab Lela Muda tinggallah ayah dengan adinda duduklah baik-2 di dalam negeri Bintang Beralih ini anak hendak berjalan minta doa biar selamat balik berjumpa dengan ayahanda dan adinda. Kalau anak balik maka anak hendak ambillah adinda bawa pulang ke negeri anakanda Serendah Sekebun Bunga.

Telah itu ia pun baliklah ke mahligai dua laki isteri. Maka kata Lela Muda: Bersiaplah kita abang Mat dan Awang Sibuncui. Maka jawab Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan: Kalau abang hendak pergi ke Gunung Dua Belas baik pergi daripada jalan laut dan jangan ikut jalan darat kerana terlalu banyak seteru musuh yang berkawal jaga. Maka Lela Muda pun segera melompat naik ke atas kuda hijau kuda sakti dipetik tali dandang sekawan melambunglah ke tali angin ke dalam awan yang kelabu. Maka Selamat Tandang Desa pun naiklah ke atas gajah selayangan berdua beranak dengan Awang


Muka surat 69/129

Sibuncui lalu melayang turun ke dalam dunia jatuh ke tengah laut. Maka turunlah keduanya dari atas gajah itu dan gajah itu pun terbang balik ke kayangan tinggallah Selamat berdua di tepi laut itu.

Maka kata Selamat: Apalah upaya aku hendak berjalan di dalam laut ini Awang. Maka jawab Awang Sibuncui turunlah pak kita randuk laut ini. Maka turunlah keduanya hingga lutut beberapa lamanya sampai ke pinggang lama kelamaan hingga ke dada. Maka kata Selamat: Hai Awang bagaimanalah aku hendak berjalan kerana air ini hendak masuk ke mulutku. Maka jawab Awang Sibuncui: Berenanglah kita pak di dalam laut belantara ini lajunya seperti burung terbang mata memandang ke tali angin melihat tuannya Lela Muda.

Maka tiada beberapa lamanya sampailah ia ke laut yang luas tasik yang dalam di tengah harungan. Maka kata Selamat: Hai Awang tiada aku larat lagi hendak berenang. Maka kata Awang Sibuncui: Mari lekas pak naik ke atas belakang anak. Maka segeralah Selamat naik ke atas belakang anaknya. Maka Awang pun berenanglah kekadang terlentang penat terlentang meniarap dan mengiring dan membujur itulah kerjanya sehari-2 berdua dengan Selamat Tandang Desa. Adalah tiga bulan lamanya dengan

Mukasurat 70/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 70/129

hal yang demikian badannya pun habis naik teritip.

Maka pada suatu hari dilihat Awang ada sebuah kapal sedang berlabuh di tengah harungan. Maka kata Awang Sibuncui: Kapal ada berlabuh. Nanti pak di sini biar anak pergi ke kapal itu. Dengan seketika itu juga ia pun berenanglah menuju kapal itu. Telah sampai maka ia pun duduk bergantung di tali sauh kapal itu maka nampaklah dipandang oleh segala kelasi-2 kapal itu seraya berkata-2 sama sendirinya: Wahai sudahlah hantu air mari pada kapal kita. Maka sekalian itu berkata: Tabik datuk keramat. Maka segala tok bomoh pawang yang besar-2 di dalam kapal itu pun semburlah dengan segala kunyit terus dan beras kunyit.

Hatta Awang pun apa-2 perbuatan orang kapal itu tiada ia ambil peduli matanya pejam celik kerana sangat lelah berenang itu. Telah hilang lelahnya maka ia pun segera menaik sebuah sampan kotak lalu dibawa pergi kepada bapanya. Serta dinaikkan Selamat Tandang Desa pada haluan sudah terjungkit di sebelah buritan dan apabila duduk di sebelah buritan terjungkit pula di sebelah haluan. Maka kata Awang Sibuncui: Naiklah pak seorang di atas sampan ini. Maka Selamat pun duduk di tengah-2 sampan