Hikayat Penerang Hati

Jilid I

Muka surat 81 hingga 93

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 81/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 81/93

Arkian sangatlah benci Dewata itu mendengarkan permintaan lebah itu kerana ia terlalu sayang akan bangsa manusia. Tetapi tiadalah dapat ia menyangkal yakni menolakkan permintaan itu kerana telah terlaku menyempurnakan barang kehendaknya. Kemudian lalu berkatalah Dewata kepada lebah itu Hai lebah yang darihal permintaan engkau itu bolehlah aku menyempurnakan tetapi tentulah membawa kebinasaan kepada diri engkau. Oleh tatkala engkau sengat akan sesuatu kelak nescaya tanggallah sengat itu di lukanya dan matilah engkau oleh kehilangan sengat itu. Di dalam demikian pun perkataan Dewata itu tiadalah jua lebah itu mahu mengubahkan perkataannya. Kemudian lalu diberilah sengat oleh Dewata kepada lebah itu dan apakala disengatnya manusia lalu jatuhlah ia. Demikianlah halnya janganlah kita jadikan diri kita seperti sawa reda mati asalkan boleh menelan adanya.

Ceritera 119 Darihal tuan dengan anjing-2nya

Sekali persetua adalah seorang peladang telah terkepung beberapa di dalam rumahnya oleh terlalu sangat besar ribut dan guruh petir serta kilat sabung menyabung dengan hujan yang terlalu amat lebatnya. Maka dengan hal yang demikian habislah segala makanannya dimakannya. Kemudian pada mula-2nya disembelihnya sekalian biri-2nya akan menanggung anak isterinya. Setelah habislah biri-2 itu lalu disembelihnya kambing-2nya pula.

Hatta oleh ribut itu tiada jua teduhnya lalu disembelihlah pula oleh peladang itu lembu tenggalanya akan jadi makanan. Setelah dilihatlah oleh anjing-2nya akan hal itu bermuafakatlah binatang itu sama sendirinya katanya inilah waktunya kita berjalan meninggalkan ini kerana sedangkan lembu tenggala yang memberi keuntungan kepada tuan kita itu lagikan disembelihnya inikan pula [wayah] kita. Oleh itu tiadalah boleh kita harap akan dia melepaskan nyawa kita. Setelah itu larilah anjing-2 itu daripada tuannya. Demikianlah halnya siapa yang tiada memikirkan ahlinya tiadalah harus mereka itu dijadikan sahabat adanya.

Mukasurat 82/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 82/93

Ceritera 120 Darihal pengembara di tepi lautan

Sebermula adalah kononnya beberapa orang pengembara telah berjalan di tepi pantai sebuah lautan. Maka pada waktu sampailah mereka itu ke atas suatu batu yang tinggi lalu memandanglah mereka itu arah ke laut. Tiba-2 terlihatlah mereka itu di dalam saujana mata memandang kepada suatu lembaga yakni benda yang disangkakan oleh mereka itu sebuah kapal yang besar. Maka dinantilah oleh mereka itu hendak melihat kapal itu masuk ke pelabuhan. Akan tetapi di dalam tengah-2 dilihat mereka itu akan lembaga itu datang menghampiri ke tepi pantai. Maka timbullah sangkaan mereka itu mengatakan lembaga itu hanyalah sebuah sampan yang kecil sahaja.

Hatta setelah sampailah lembaga itu ke tepi pantai lautan itu lalu diketahuilah oleh mereka itu akan dia hanyalah suatu berkas anak kayu sahaja. Kemudian berkatalah seorang daripada mereka itu kepada rakan-2nya katanya Wahai sahabatku adapun penantian kita ini sia-2lah sahaja kerana akhirnya tiadalah suatu apa yang kita lihati yang lain daripada berkas anak kayu sahaja. Setelah itu berjalanlah mereka itu. Demikianlah halnya angan hati payahlah jadi dengan betulnya adanya.

Ceritera 121 Darihal tukang besi dengan anjingnya

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seorang tukang besi telah memeliharakan seekor anjing kecil. Adapun anjing itu amatlah dikasihnya. Tambahan pula tiadalah pernah bercerai dengan dia. Maka tiap-2 masa tukang besi itu bekerja menempa maka tidurlah anjing itu di sisinya. Dan bila-2 tukang itu pergi makan jugalah anjing itu pergi mendapatkan tuannya sambil menggoyang-2 ekornya seperti kelakuan meminta habuannya.

Arkian pada suatu hari dibuat-2lah oleh tukang besi itu marahkan anjingnya serta diambilnya tongkat diacu-2kannya kepadanya sambil berkata Hai binatang yang dungu lagi malas. Tatkala aku memukul besi di atas landasan tadi engkau pergi tidur dengan cederanya dan bila-2 aku hendak makan lepas daripada bekerja jugalah engkau menggoyang-2kan ekor meminta makanan. Maka tiadalah engkau

Mukasurat 83/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 83/93

ketahui adapun pekerjaan itu ialah jalan yang mendatangkan rezeki. Maka tiadalah siapa-2 yang layak memakan rezeki itu melainkan orang yang mencarinya sahaja. Setelah itu rebahlah anjing itu merenung juga tuannya. Demikianlah halnya janganlah sekali-2 kita harapkan nasi yang di dalam periuk orang lain adanya.

Ceritera 122 Darihal keldai dengan bayangnya

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang pengembara telah menyewa keldai daripada seorang gembala. Setelah itu lalu ditunggangnya keldai itu ke sebuah negeri yang lain. Maka akan gembala itu adalah mengikut bersama-2. Adapun di dalam perjalanan mereka itu sangatlah panasnya dan cahaya matahari pun memancarlah yang tiada terhinggakan hangatnya. Oleh yang demikian berhentilah pengembara itu serta turun ke tanah hendak berteduh di bawah perut keldai itu dan adalah naung yang di bawah perut keldai itu hanyalah boleh melindungkan seorang sahaja. Jadi berdahulu-2anlah pengembara dan gembala itu hendak bernaung di situ. Dan dengan hal yang demikian jadilah perbantahan yang besar di antara mereka itu.

Hatta berkatalah gembala keldai itu Adapun yang disewakannya itu hanyalah keldainya sahaja tiada dengan bayangnya sekali. Maka berkatalah pengembara itu katanya adalah keldai itu telah disewanya dengan bayangnya sekali. Di dalam hal yang demikian berlenguh-2 berjawab lalu bertumbuklah mereka itu. Maka di tengah-2 mereka itu berpukul-2 maka [berkadamlah] yakni larilah keldai itu sederas-2nya ditinggallah mereka itu kedua tercengang-2. Demikianlah halnya jikalau kita perbalahkan buahnya galaklah jua hilang sekali dengan pohonnya adanya.

Ceritera 123 Darihal keldai dengan tuannya

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang penjaja sayuran telah memeliharakan seekor keldai. Maka diberilah oleh penjaja sedikit makanan kepada keldainya dan dibanyakkan pekerjaannya. Dengan hal itu mengadulah keldai itu kepada Dewata Yang Mulia Raya minta di serahkan ia kepada tuan yang lain. Maka diingatlah oleh Dewata akan keldai itu kalau-2kan menyesal ia kelak sebab

Mukasurat 84/93 Hikayat Penerang Hati

putat [pu.tat] | ڤوتت Definisi : sj tumbuhan; jenis-jenisnya: ~ air sj tumbuhan (pokok), Barringtonia conoidea; ~ darat = ~ bukit = ~ gajah = ~ rimba sj tumbuhan (pokok renek), Barringtonia sumatrana; ~ gajah = ~ hutan = ~ tuba sj tumbuhan (pokok), (Kamus Dewan Edisi Keempat)

perupuk [pe.ru.pu/] | ڤروڤوق Definisi : sj tumbuhan (pokok) dlm famili Calastraceae, keruih, tinjau tasik, Lophopetalum spp. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Muka surat 84/93

permohonannya itu tetapi tiadalah jua keldai itu mengubahkan maksudnya. Kemudian disuruhlah oleh Dewata akan penjaja sayuran itu menjualkan keldai itu kepada seorang tukang bata.

Arkian tiada berapa lamanya dirasalah oleh keldai itu akan kesusahan dan kepenatan mengangkat bebanan yang berat-2 daripada padang menjemur bata itu. Kemudian dipohonkannya pula kepada Dewata itu akan dijualkan ia kepada tuan yang lain. Setelah didengarlah oleh Dewata akan permintaan keldai itu lalu berkatalah ia katanya Hai keldai inilah akhir permintaan engkau yang boleh ku sempurnakan. Kemudian lalu disuruhnya oleh Dewata akan tukang bata itu menjualkan keldai itu kepada tukang pencelup yakni penyamak kulit.

Hatta setelah dirasalah oleh keldai itu akan dirinya telah jatuh ke tangan orang yang terlebih lagi pekerjaannya maka teringatlah ia akan tuannya yang awal itu sambil mengeluh katanya terlebih baiklah hamba mati dengan kelaparan bersama-2 tuan hamba yang awal itu. Adapun mati di dalam pekerjaan dengan tuan hamba yang kedua itu daripada dibeli oleh tuan hamba yang ada ini kerana lepas daripada kematian hamba kelak. Tertentulah dikupas dan dimasaknya. Akan kulit hamba serta dijadikannya perniagaannya pula. Setelah itu diamlah keldai itu dengan dukacitanya. Demikianlah halnya adapun dunia ini makin diterkam semakin jauh adanya.

Ceritera 124 Darihal putat dengan perupuk

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa sepohon putat yang terlalu amat besar telah tumbuh di tepi tebing sebuah sungai. Maka pada suatu masa terbantunlah yakni tercabutlah kayu itu oleh angin yang amat kencang serta rebah melintang sungai itu ke atas rumpun-2 perupuk. Setelah itu berkatalah putat kepada perupuk itu katanya Hai perupuk sangatlah ajaib hamba melihatkan tuan hamba ini dengan seringan dan selemah itu tiada dapat dicabutkan oleh angin yang sekencang itu.

Arkian dijawablah oleh perupuk akan perkataan putat itu katanya Hai putat adapun yang tuan hamba itu dengan sebab gagah dan perkasa tuan hamba makin hebat tuan hamba berlawan dengan angin itu berkeras-2an maka pada akhirnya

Mukasurat 85/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 85/93

tuan hamba jua yang binasa dan akan hamba ini di dalam sebelum angin itu bertiup kencang sudahlah hamba menundukkan diri hamba. Dengan kesabaran yang demikian tiadalah hamba dibinasakannya dan terlepas hamba daripada marabahaya. Setelah itu diamlah kedua putat dan perupuk itu. Demikianlah halnya tiada hilang bisa oleh menyusup akar yakni orang yang merendahkan diri itu jua yang mendapat kemenangan adanya.

Ceritera 125 Darihal singa di dalam kandang lembu

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor singa telah masuk ke dalam suatu kandang lembu. Setelah dilihatlah oleh gembala lembu akan hal itu yakinlah ia hendak menangkap singa itu. Kemudian lalu dikatupnya pintu kandang itu. Maka apakala dilihatlah oleh singa akan dia telah terkepung itu dan tiada sesuatu jalan yang boleh ia berlepaskan diri lalu dipatahkannya sekalian biri-2 yang di dalam kandang itu. Setelah habislah sekaliannya lalu dipatahkannya pula lembu-2 gembala itu. Maka apakala dilihat oleh gembala itu akan hal itu sangatlah terkejut ia kalau-2kan ia pun terkena marabahaya pula. Setelah itu lalu dibukanya pintu kandang itu. Setelah terbuka maka larilah singa itu keluar dengan cepatnya.

Hatta setelah keluarlah singa itu menunglah gembala lembu itu memandangkan kematian biri-2 dan lembu-2nya. Di dalam itu berkatalah bininya yang telah melihat akan hal itu kepadanya katanya Hai suamiku padanlah sudah balasan tuan hamba itu kerana dari manakah terbitnya akal tuan hamba mengandangkan seekor singa sekandang dengan tuan hamba oleh selangkan mendengar raungnya yang beberapa ratus tanah itupun gementar kaki tangan tuan hamba. Setelah itu ditanamkanlah bangkai-2 binatang yang mati itu oleh gembala itu. Demikianlah halnya jikalau singkat akal kita nescaya hidung kita dicucuk orang adanya.

Ceritera 126 Darihal musang dengan penebang kayu

Sebermula adalah seekor musang telah dikejar oleh beberapa ekor anjing seorang pemburu. Maka di dalam tengah-2 musang itu berlari bertemulah ia dengan seorang penebang kayu. Maka dimintalah oleh musang akan penebang kayu itu menunjukkan ia

Mukasurat 86/93 Hikayat Penerang Hati

sengsurit [seng.su.rit] | سڠسوريت Definisi : sj burung, Caloperdix oculea. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Muka surat 86/93

tempat bersembunyi dan disuruhlah akan dia pergi ke pondoknya. Maka berlarilah musang itu masuk ke situ serta bersembunyikan dirinya [terkampun-2] di penjuru pondok itu.

Syahadan seketika lagi tibalah pemburu itu dengan anjing-2nya ke tempat penebang kayu itu seraya bertanya jikalau ia ada melihat musang yang diburunya itu. Maka jawabnya tiadalah ia melihat binatang itu tetapi sambil bercakap-2 itu dihalakannya tangannya kepada pondoknya tempat musang itu bersembunyi. Maka tiadalah dihiraukan oleh pemburu itu akan alamat itu kerana ia percaya akan mulut penebang kayu itu. Kemudian berjalanlah ia mengejar perburuannya.

Arkian setelah jauhlah pemburu itu lalu keluarlah musang itu dari dalam pondok itu serta berjalan dengan tiada menyapa akan penebang kayu itu. Maka dilaunglah oleh penebang kayu itu akan binatang itu serta dinistanya katanya Hai binatang yang tiada membalas budi. Adapun yang engkau itu telah berhutang nyawa kepada aku dan di dalam demikian pun tatkala engkau berjalan tiadalah endah engkau menerima kasih dengan sepatah kata jua pun kepada aku. Maka disahutlah oleh musang itu katanya Hai manusia sebenar-2nyalah seperti perkataanmu itu. Jikalau perbuatan engkau itu bersetuju dengan perkataanmu itu dan jikalau tangan engkau itu tiada belot kepada percakapanmu. Setelah itu berjalanlah musang itu ke dalam hutan. Demikianlah halnya perbuatan yang baik mahulah dibalaskan dengan baik. Perbuatan yang jahat janganlah dibalas jahat pula adanya.

Ceritera 127 Darihal pemikat dengan sengsurit serta ayam jantan

Sebermula adalah pada suatu petang sedang seorang pemikat hendak makan berlaukkan sayur-2an sekonyong-2 sampailah seorang sahabatnya. Maka pada waktu itu tiadalah suatu apa lauk yang ada di dalam rumahnya kerana pada hari itu seekor burung pun tiada didapatinya. Dengan hal yang demikian pergilah ia ke sangkar burung sengsurit yang telah dijinaknya akan jadi pemikat atau denak hendak disembelihnya. Maka dipintalah sangat-2 oleh burung itu akan nyawanya katanya Ya tuanku jikalau engkau sembelih akan hamba apalah halnya engkau memikat kelak dan siapakah yang boleh berbangsi mengulikkan engkau tidur ataupun memanggil burung tawanan. Oleh itu tiada jadi disembelihnya akan sengsurit itu.

Mukasurat 87/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 87/93

Hatta pergilah pula pemikat itu kepada reban ayamnya hendak menyembelih seekor ayam jantan yang baharu tumbuh balungnya. Maka ayam itupun memintalah sangat-2 dari atas penenggeknya akan belas kasihan pemikat itu katanya Jikalau sekiranya tuan hamba sembelih akan hamba ini siapakah kelak yang boleh menyatakan waktu subuh kepada tuan hamba dan siapakah yang boleh menggerakkan tuan hamba membuat pekerjaan ataupun [mengan...] waktu melihat jebak yakni perangkap menangkap burung pada setiap pagi. Maka berkatalah pemikat itu katanya Hai ayam. Sekalian perkataanmu itu benar belaka kerana bangsa engkau itulah yang terlebih utama menyatakan hari siang. Akan tetapi apalah halku serta dengan sahabatku yang baharu datang itu kerana tiadalah apa makanan yang ada hadir sekarang. Setelah itu disembelihlah oleh pemikat akan ayam itu. Demikianlah halnya hawa nafsu tiada mengendahkan hukum tegahnya adanya.

Ceritera 128 Darihal serigala dengan singa

Sebermula adalah seekor serigala telah menangkap seekor anak biri-2 dari suatu kandang. Maka diheretnyalah akan dia hendak dibawanya ke guanya dan di dalam perjalanan itu sekonyong-2 berjumpalah ia dengan seekor singa lalu disambarlah oleh singa itu akan anak biri-2 itu. Maka dilepaskanlah oleh serigala itu akan tangkapannya itu serta lari dengan ketakutan kalau ia pula terkena marabahaya singa itu.

Hatta setelah jauhlah singa daripada serigala itu lalu berkatalah ia katanya Hai singa raja segala binatang. Adalah engkau menyambar tangkapanku itu sangatlah tiada patutnya. Maka dijawablah oleh singa itu katanya Hai serigala mengapakah engkau berkata begitu. Adapun tangkapan ini bukanlah sekali-2 hak engkau kerana iaitu bukannya pusaka daripada datuk nenek engkau dan engkau mendapat akan dia itupun dengan akal tipu engkau jua. Oleh itu siapa-2 yang gagah dialah pula mempunyainya. Setelah itu berjalanlah serigala itu dengan hampa tangannya. Demikianlah halnya jikalau kita membuat aniaya kepada orang-2 tak dapat tiada akan teraniaya pula adanya.

Mukasurat 88/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 88/93

Ceritera 129 Darihal anai-2 dengan tekukur

Alkisah adalah kononnya pada suatu masa seekor anai-2 telah merayap pergi ke tebing sebuah sungai hendak meminum air. Setelah sampailah ia ke situ tiba-2 hanyutlah ia oleh arus sungai itu. Maka pada tatkala ia hendak tenggelam sangat terlihatlah halnya itu kepada tekukur yang bertenggek di atas suatu dahan kayu yang menganjur ke dalam sungai itu maka lalu dipatahlah oleh tekukur itu suatu daun kayu serta dijatuhkannya di dalam air berdekatan dengan anai-2 itu. Maka naiklah anai-2 itu ke atas daun itu serta hanyut terdampar ke tebing sungai itu. Kemudian naiklah ia dengan selamatnya.

Hatta tiada berapa lamanya datanglah seorang penangkap burung ke situ serta berdiri di bawah pohon kayu sambil membubuh getah yang dililitkannya pada ranting hendak menjolokkan tekukur itu dengan ranting yang tergetah itu. Maka apabila dilihatlah oleh anai-2 tadi akan hal itu lalu diketipnya akan kaki penangkap burung itu. Setelah dirasalah oleh penangkap burung akan kesakitan itu lalu dicampakkannya galah penjolok itu. Maka oleh hingar galah itu jatuh terbanglah tekukur itu dengan selamatnya. Demikianlah halnya hati orang yang murah itu nescaya mendapat balas kemurahan jua adanya.

Ceritera 130 Darihal kera dengan penjala

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor kera telah duduk di atas suatu dahan kayu yang tinggi. Maka terpandanglah ia kepada beberapa orang penjala menebarkan jalanya jadi dipetiakannya yakni diperhatikannya baik-2 sekalian perbuatan penjala-2 itu. Sebentar lagi penjala itupun berhentilah daripada menjala serta pulang ke rumahnya hendak makan dan ditinggalkannya jala-2 itu di tepi tebing sungai itu.

Arkian adapun kera itu suatu jenis binatang yang suka hendak mengetahuikan sekalian ehwal. Oleh itu turunlah ia daripada pucuk kayu itu serta mencuba menebar jala seperti kelakuan penjala itu. Setelah

Mukasurat 89/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 89/93

disanggulkan jala itu lalu ditebarnya ke dalam sungai tetapi terlekatlah jari-2nya di mata jala itu. Maka dengan hal yang demikian iapun tercampaklah bersama-2 dengan jala itu ke dalam air. Maka pada tatkala hendak tenggelam berserulah ia katanya Wahai nasibku padanlah sudah menjadi balasan perbuatanku kerana jangankan menangkap ikan dengan jala dari zaman nenek moyangku memegang jala pun belum pernah. Setelah itu ditinggallah kera itu. Demikianlah halnya janganlah kita cubai akan pekerjaan yang tiada kita ketahui adanya.

Ceritera 131 Darihal arnab dengan katak

Sekali persetua adalah pada suatu masa berhimpunlah kononnya sekalian arnab-2 bermesyuaratkan darihal hodoh rupanya daripada lain-2 binatang-2. Oleh yang demikian sangatlah dukcita mereka itu dan tiadalah tertahan lagi ia hendak duduk di atas kulit dunia ini. Kemudian berniatlah mereka sekaliannya hendak membunuh diri dengan terjun dari atas batu yang tinggi ke dalam suatu kubang yang dalam. Setelah bersetujulah sekaliannya lalu berlarilah mereka berkawan-2 hendak melakukan kehendaknya.

Arkian pada masa itu adalah beberapa ekor katak melepap di gigi air kubang itu. Maka apakala didengarnya hingar dan gedudak kaki arnab itu huru-haralah sekaliannya serta menyelam ke dalam air dengan ketakutannya. Setelah lenyaplah katak-2 itu lalu berkatalah seekor arnab yang di dalam kumpulan yang banyak itu kepada kawan-2nya katanya Hai sahabat-2ku sabarlah dahulu dan janganlah kita lakukan hajat kita itu kerana lihatlah katak-2 itu. Mereka sekalian terlebih hodoh lagi di dalam dunia ini daripada kita. Setelah itu berhentilah arnab-2 itu. Demikianlah halnya hendaklah kita sabarkan bala yang terkena kepada kita dengan dibandingkan ada lagi orang yang terkena bala yang terlebih besar daripada kita adanya.

Ceritera 132 Darihal undan dengan angsa

Teks tiada di dalam manuskrip.

Ceritera 133 Darihal rusa betina dengan singa

Teks tiada di dalam manuskrip.

Mukasurat 90/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 90/93

Ceritera 134 Darihal pengail dengan anak ikan

Teks tiada di dalam manuskrip.

Ceritera 135 Darihal pemburu dengan [pebahan]

Sebermula adalah seorang pemburu yang penakut telah berjalan mencari tapak singa. Maka di dalam perjalanannya itu bertemulah ia dengan seorang pebahan yakni orang yang memotong kayu di dalam suatu hutan. Maka bertanyalah pemburu kepada pebahan itu kalau-2 ia ada melihat tapak singa ataupun tahu akan guanya.

Kalakian dijawablah oleh pebahan itu katanya Hai pemburu tak usahlah tuan hamba bertanyakan tapaknya kepada hamba bahawa singanya sendiri pun bolehlah hamba tunjukkan kepada tuan hamba. Setelah didengarlah oleh pemburu akan perkataan pebahan itu pucatlah mukanya sebentar-2 itu jua dan [menggataklah] dagunya oleh ketakutan seraya berkata Wah berbanyaklah hamba menerima kasih dan bukanlah hamba bertanyakan singa itu sekadarkan hamba hendak mencari tapaknya sahaja. Setelah itu berjalanlah pemburu itu. Demikianlah halnya. Adapun yang bernama hulubalang itu berani di dalam perbuatannya seperti percakapannya adanya.

Ceritera 136 Darihal musang yang sombong

Sebermula adalah seekor musang yang sangat lapar telah berjalan hendak mencari makanan. Tiba-2 terlihatlah ia kepada beberapa keping roti dan daging di dalam suatu lubang sepohon kayu yang telah ditinggalkan oleh seorang gembala kambing. Maka merangkaklah musang itu masuk ke dalamnya serta memakan roti dan daging itu semuanya. Setelah lepas makan maka badannya pun tembunlah. Dan dengan hal yang demikian tiadalah dapat ia keluar balik. Kemudian mengeluhlah ia dengan tangis ratapnya.

Arkian pada masa itu lalulah seekor musang yang lain dekat dengan pohon kayu itu. Maka apabila didengarnya tangisan bangsanya itu rapatlah ia kepadanya seraya bertanyakan pasalnya. Setelah diketahuilah akan hal ehwal itu berkatalah ia kepada musang itu katanya Hai sahabatku tiadalah boleh engkau keluar dari guamu itu di dalam sebelum engkau kurus semula seperti keadaan engkau masuk dahulu. Maka apabila kuruslah engkau kelak setelah engkau keluar dari situ. Kemudian duduklah si malang itu

Mukasurat 91/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 91/93

di situ hingga kembali sebagaimana asalnya. Demikianlah halnya kuis pagi makan pagi kuis petang makan petang adanya.

Ceritera 137 Darihal gembala keldai dengan anaknya serta keldainya

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seorang gembala keldai serta anaknya berjalan membawa keldainya menuju suatu pekan kerana hendak berjual keldainya itu. Maka belum pun berapa jauh berjalan bertemulah mereka itu dengan beberapa orang perempuan yang muda-2 sedang duduk berkeliling suatu telaga sambil berbual-2 yakni bercakap-2 dan tertawa-2. Kemudian berkatalah seorang daripada mereka itu katanya lihatlah bodohnya orang-2 itu redalah ia berjalan kaki tiada mahu menaiki keldai itu.

Arkian apakala didengarlah oleh orang tua itu akan perkataan perempuan-2 itu lalu dinaikkannya anaknya menunggang keldai itu dan ia berjalan di sisi binatang itu dengan sukacitanya. Sebentar lagi bertemulah mereka itu dengan beberapa orang tua-2 tengah bermesyurat. Maka berkatalah pula seorang daripada mereka itu katanya lihatlah sekarang akan kebenaran perkataan hamba. Adakah hormatnya orang tua-2 pada zaman ini. Sekian mudanya budak pemalas itu sampai hati ia bertunggang di atas keldai dan dibiarkan bapanya berjalan kaki. Setelah itu berkatalah ia. Hai orang muda turunlah engkau dari keldai itu berikan bapamu yang hendak mampus itu duduk di atasnya.

Kalakian maka diturunkanlah oleh orang tua itu akan anaknya serta naiklah ia ke atas binatang itu. Maka seketika berjalan bertemulah pula mereka itu dengan beberapa orang perempuan tua serta dengan kanak-2. Maka riuhlah suara mereka itu bercakap-2 katanya Hai orang tua yang malas. Bagaimanakah sampai hatimu bertunggang di atas binatang itu dengan membiarkan anakmu berjalan kaki di sisi engkau dengan kesusahan. Setelah itu maka diangkatlah oleh gembala yang lemah telinga itu akan anaknya seraya didudukkannya di belakangnya serta bertunggang menuju ke pekan yang hendak dipergikannya itu.

Sebermula setelah sampailah mereka itu ke pesisiran bandar itu tiba-2 bertanyalah seorang orang bandar itu katanya Hai sahabatku siapakah yang empunya keldai itu. Maka diakulah oleh orang tua itu akan haknya. Di dalam itu berkatalah pula seorang yang lain

Mukasurat 92/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 92/93

katanya maka pada ijtihad hamba seorang pun tiada menyangka binatang ini hak tuan hamba dengan sebab beban yang tuan hamba muatkan di belakangnya itu tiada berpadan dengan binatang itu. Lagipun mengapakah pula tuan hamba menunggang akan dia. Sepatutlah tuan hamba memikul akan dia kerana tuan hamba berdua dan ia seekor. Maka disahutlah oleh orang tua itu katanya apa-2 yang menggasarkan tuan hamba sekalian bolehlah hamba cuba belaka.

Hatta turunlah orang tua berdua beranak itu dari atas belakang keldainya serta merapus kaki tangan binatang itu dan disorongnya kayu pengandar. Setelah siaplah sudah lalu dipikulnya binatang itu menyeberangi suatu jambatan. Maka apakala dilihatlah oleh makhluk yang ramai akan hal itu bersoraklah mereka itu dengan tepuk tarinya. Maka oleh hingar bangar suara mereka itu merontalah binatang itu memutuskan tali perapusnya seraya terjun dari atas jambatan itu ke dalam sungai serta lenyap sekali. Maka menyesallah orang tua akan perbuatannya. Kemudian meresaplah ia mengikut tempat yang sunyi kembali ke rumahnya dengan jazam di dalam hatinya. Barang siapa yang mencuba menggemarkan makhluk akhirnya membencikan mereka itu sekalian. Demikianlah halnya adapun hidup di dalam dunia ini tiadalah terlepas daripada buah mulut manusia adanya.


Muka surat 93/93


Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50