Hikayat Raja Budiman

Muka surat 81 hingga 90

Mukasurat 81/129 Hikayat Raja Budiman


Mukas urat 81/129

mahligai itu lalu menangis keduanya.

Maka kata Lela Muda: Ayuhai Awang apalah upaya kita hendak masuk sudah sampai ke mahligai pun azab sengsara juga kita ini. Seketika itu hilang rupa lalat menjadi hama atau kuman yang sangat halus keduanya lalu terbang naik ke mahligai itu berkeliling mencari lubang hendak masuk tetapi sia-2 sahaja oleh sebab mahligai itu perbuatan jin. Maka keduanya pun jatuh pula ke bumi duduk di dalam sekam buruk dengan teriak tangisnya.

Seketika itu juga Lela Muda pun bersahut kesaktiannya yang-2 dewata berkat kesaktian aku sungguh bahawa Tuan Puteri yang sedang beradu itu minta terkejut bangun daripada beradunya jatuh panas miang segenap tubuh badannya peluh memancar daripada dadanya. Telah itu maka Tuan Puteri pun bangunlah dengan panas miang tubuh badannya dan liang lebu hati perutnya seraya menyeru dayang-2 katanya: Wahai kak dayang segeralah bangkit kerana aku terlalu panas miang di dalam hati marilah kita pergi mandi di pasu emas pada tiap-2 malam waktu dinihari mustahillah ada orang hendak datang pada waktu malam ini. Maka Dayang Suka pun bangkit daripada tidurnya dengan rampus rengusnya serta berkata: Wahai Tuan Puteri apalah digaduhi akan patik tengah malam dinihari kerana tiada dapat patik hendak tidur. Telah itu maka Dayang Suka pun bangkit mendapatkan

Mukasurat 82/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 82/129

Tuan Puteri lalu pergi membuka pintu mahligai itu. Telah terbuka sahaja maka hama kedua pun terbanglah naik ke mahligai itu maka jatuh masuk ke dalam pasu emas itu. Maka Lela Muda pun menjadikan dirinya sekuntum bunga tanjung biru dan Awang Sibuncui berubah daripada rupa hama menjadi sekuntum bunga cempaka perak duduk di dalam pasu emas itu.

Maka Tuan Puteri pun apabila sampai di tengah pasu itu sangatlah sejuk rasa segala tubuh badannya langsung tiada jadi mandi. Kemudian ia pun hendak membasuh muka dicapai air di dalam pasu itu maka tercapai betul pada bunga tanjung biru itu lalu dicium maka sangat harum baunya sehingga masuk ke dalam otak batu kepalanya. Telah itu bunga itu didiamkan oleh Tuan Puteri seraya berkata Wahai dayang tiada jadi aku mandi kerana sangat seram segala romaku marilah kita kembali.

Maka kata Dayang Suka Amboi Tuan Puteri ini tiada sempat lagi menanti dahulu patik hendak basuh muka balik hendak makan sirih pinang. Maka bunga cempaka perak pun hanyut menuju tangan Cik Dayang Suka. Maka Dayang itu pun mengambil bunga itu diciumnya sangatlah harum baunya lalu ia berdiam diri tiada dikhabarkan kepada Tuan Puteri kalau-2 di ambilnya.

Mukasurat 83/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 83/129

Telah itu lalu balik keduanya serta menutup pintu mahligai itu masing-2 masuk ke dalam peraduannya dan bunga itu diletak pada pentas yang tinggi hendak dipakai esok dipandang oleh sekalian dayang-2. Maka Tuan Puteri pun beradulah dan Cik Dayang Suka pun demikian juga. Tiada beberapa ketika maka sangat nyedar keduanya.

Maka bunga cempaka perak itu pun berkata: Tiada boleh boleh ditahan hati yang muda. Maka ia pun mengorak dirinya kembali kepada rupa Awang Sibuncui langsung rebah tidur dekat Cik Dayang Suka. Seketika itu maka Cik Dayang pun terkejut bangun dilihatnya ada seorang tidur di sisinya lalu diraba pada kepalanya. Maka dirasa pada rambutnya sangat pendek dan jambul juga yang ada di tengah kepalanya dirasai pula pada dadanya sudah tiada bersusu diketahuilah sudah laki-2. Maka Cik Dayang Suka pun berkata perlahan-2 Siapakah orang berani mari dengan saya. Maka sahut Awang Sibuncui Dayanglah bawa mari maka saya beradu dengan Cik Dayang. Maka Cik Dayang Suka pun mencari bunga sudah hilang seraya berkata:

Nasib badan dirundung malang @ Ditanam padi menjadi lalang

Dibeli daging kena tulang @ Dapat bunga menjadi orang

Maka Dayang Suka pun lalu beradu dengan Awang Sibuncui.

Maka tersebutlah bunga tanjung biru pun mengorak

Mukasurat 84/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 84/129

dirinya hilang rupa bunga menjadi kepada rupa sediakala kepada paras Lela Muda. Telah itu maka ia pun berjalan perlahan-2 mendapatkan burung inderabayu. Telah dipandang oleh burung inderabayu maka ia pun berkata Ayuhai Encik orang muda apakah jahat orang muda mendapatkan patik siburung bayu. Maka kata Lela Muda: Wahai kak bayu besar sangatlah maksud saya kepada kak bayu rendah gunung tinggilah lagi harapan saya kepada kak bayu kasihan belas kak bayu kepada saya.

Sedang burung inderabayu berkata-2 dengan Lela Muda maka Tuan Puteri pun terjagalah daripada beradunya seraya bertanya: Wahai kak bayu dengan siapakah kak bayu berkata-2 itu. Maka sahut burung itu: Ayuhai Tuan puteri dengan siapalah patik hendak bercakap kerana patik tidur seorang diri. Ada percakapan patik tadi terkenang hal diri patik ini sangatlah lamanya sudah bercerai dengan ibu patik itulah patik berkata. Maka diam dengan ketakutan lakunya. Maka Tuan Puteri pun balik tidur. Terlena. Telah sunyi didengar oleh Lela Muda maka ia pun berkata Wahai kak bayu marilah pergi dengan saya ke negeri Serendah Sekebun Bunga jika tiada boleh lama kadar sebulan jika tiada boleh sebulan barang sepuluh hari dan jika tiada boleh sepuluh hari

Mukasurat 85/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 85/129

maka sehari pun jadilah kak bayu.

Telah didengar oleh burung itu maka ia pun tertawa katanya:

Manis nangka sama lima puluh @ Manis rambu-2

Satu apa pun orang muda boleh @ Boleh dengan pujuk rayu.

Di manalah boleh orang muda ambil anak sahaja ibu hendak ditinggalkan. Maka kata Lela Muda Wahai kak bayu benar sangatlah kata-2 itu tetapi hingga tanggungan saya kak bayu hendak masuk ini pun berapa susah sengsara daripada seteru bahaya. Maka kata burung inderabayu: Wahai orang muda kak bayu pun tahulah kisah di hati orang muda kerana Tuan Puteri Tengah itu sakit ia hendak makan saya.

Maka tengah berkata-2 itu Tuan Puteri pun sudahlah terjaga pula didengarnya orang berkata-2 pula. Maka Tuan Puteri pun langsung bangkit seraya berkata Wahai kak bayu ini bukanlah suara lanang laki-2 kak bayu lawan berkata-2. Maka Tuan Puteri pun segera memanggil sekalian dayang-2 disuruhnya pasang segala tanglung dan kandil pergi suluh siapa yang berkata-2 dengan kak bayu itu. Maka dilihat oleh sekalian dayang-2 sungguh ada seorang muda tengah duduk di situ. Maka dayang pun segeralah persembahkan kepada Tuan Puteri Wahai Tuan Puteri sungguhlah ada seorang lanang laki-2 terlalu elok rupanya parasnya seperti tanduk bersendi gading dan

Mukasurat 86/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 86/129

seperti bayang di dalam cermin. Maka kata Tuan Puteri Wahai kak dayang bawa orang muda itu kepada beta hendak diperiksa maka dayang itu pun lalu membawa Lela Muda ke dalam kelambu tirai. Maka kata Tuan Puteri Wahai kak dayang cubalah periksa orang muda ini datang dari mana dan hendak ke mana perginya. Maka sahut Lela Muda: Wahai kak dayang saya ini orang sesat melarat tiada bertentu arahnya. Maka ujar Tuan Puteri: Wahai kak dayang orang sesat di rimba orang muda ini sesat melarat ke dalam tirai kelambu saya. Kemudian maka ujar Tuan Puteri kepada Lela Muda katanya: Segeralah orang muda undur dari sini tiada boleh duduk lama di sini entahkan diketahui ayah saya dan Dewa Keenam saudara saya duduk berkawal di tali angin darah setitik tiada tumpah ke bumi daging abang tiada dihurung semut.

Telah didengar oleh Lela Muda maka ia pun berkata: Wahai adinda semangat abang urat rambut batu kepala emas merah cahaya mata abang seri negeri mahligai hati abang tangkai jantung pengarang hati abang separuh dada dengan leher sudah abang harung sampai di mata kaki bolehkan lepas adik seorang melainkan adinda di dalam tangan abanglah.

Telah didengar oleh Tuan Puteri perkataan itu maka ia pun

Mukasurat 87/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 87/129

terlalulah marah lakunya naik merah berseri warna mukanya dan menggeletar tubuh badannya seperti keli kena kerat seperti cicak putus ekor serta membuang belakang kepada Lela Muda dengan menarik muka masam.

Maka Lela Muda pun segeralah mengeluarkan satu botol minyak gemala hikmat dari dalam bajunya dicelup masuk janggainya lalu dipetikkan kepada Tuan Puteri itu kena terus di hulu hatinya sambil berkata: Jangankan sebalik gulung tikar jikalau di sebelah gunung sekali pun jika sudah kena tahukan bolehlah kepada aku. Maka ia pun bangkit seraya berkata: Ayuhai kak dayang tinggallah kak dayang saya hendak pergi dahulu kerana saya orang hina tiada berguna kepada orang apalah guna lagi saya nanti di sini.

Adapun Tuan Puteri Bongsu Kecik Selenggang Cahaya pada waktu itu hatinya yang takut pun timbul beranilah dan hati yang benci merasa kasihlah dari sebab sudah terkena minyak guna itu maka ia pun beralih balik mengadap pada Lela Muda lalu dipanggilnya Ayuhai abang jangan abang menaruh jauh hati kepada adik. Setelah didengar oleh Lela Muda ia pun segeralah balik duduk. Telah Tuan Puteri melihat Lela Muda sudah balik duduk itu maka ia pun lalu menyorong jurang emas seraya berkata santaplah abang sirih adik barang sekapur sirih

Mukasurat 88/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 88/129

yang layu dan pinang busuk gambir kering dan tembakau yang hapak jika sudi silalah abang makan. Maka Lela Muda pun segeralah makan sirih seraya berkata Sebab sudilah abang datang ke mahligai adik. Maka jawab Tuan Puteri Silalah abang beradu di atas geta peraduan adik membuangkan lenguh kebas di badan abang kerana abang datang dari jauh sangatlah letih badan abang. Setelah itu maka Lela Muda dan Tuan Puteri pun masuk ke peraduan sambil bergurau senda menyukakan hatinya demikianlah adanya.

Alkisah maka tersebutlah perkataan Dewa Keenam berkawal di atas tali angin itu. Ada seketika lamanya ia pun turun hendak melihat mahligai adiknya. Telah dekat dengan mahligai itu maka didengarnya bunyi orang bercakap suara anak lanang laki-2 di dalam mahligai dengan Tuan Puteri Bongsu Kecik Selenggang Cahaya. Maka mereka itu sekalian pun segera balik mengadap ayahanda di balairong balai besar sejanak kuda berlari seelak makan peluru meriam saujana mata memandang dan selelah burung terbang.

Telah sampai Dewa yang sulung pun segeralah masuk ke dalam istana. Tatkala itu Raja Tua sedang beradu dengan isterinya Tuan Puteri Ratna Gemala Dewi. Maka dewa sulong pun masuk lalu dipegang hujung kaki ayahnya seraya dipanggil katanya Ayuhai ayahanda

Mukasurat 89/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 89/129

janganlah sangat lena dengan beradu kerana adinda Tuan Puteri Bongsu sudah [diperugal] oleh anak lanang laki-2 di dalam mahligai. Maka Raja Tua pun terkejutlah jaga seraya berkata Daripada kecil sampailah tua aku di dalam takhta kerajaan tiadalah pernah siapa berani memanggil aku tengah beradu baharu malam inilah orang berani membangunkan aku siapalah yang membangungkan aku malam ini. Maka jawab dewa sulung Anak sulunglah datang membangunkan paduka ayahanda maka baginda pun segeralah bangkit lalu bertitah Ayuhai anakku mengapalah tuan membangunkan ayahanda sedang beradu. Maka sahut dewa Ampun ayah beribu-2 ampun sebab pun anak berani membangunkan ayahanda ialah kerana ada anak lanang laki-2 sudah [merugal] anakanda Tuan Puteri Selenggang Cahaya sekarang ini adalah dia di dalam mahligai adik bongsu.

Setelah baginda mendengar perkataan dewa sulung itu maka baginda pun bangun membasuh muka dan makan sirih lalu berkata hai anak malu sangatlah kita sekali ini apalah boleh dibuat sudah nasib kitalah anak baiklah himpun rakyat bala tentera kita kepungkan mahligai itu. Maka jawab dewa kecik Ayuhai ayah pada fikiran anakanda baik kita nanti hari siang. Janganlah ayahanda permudahkan orang itu pun bukan sebarang kesaktian juga begitu anak bertunggu

Mukasurat 90/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 90/129

jaga lepas juga ia masuk. Maka baginda pun tiadalah jadi hendak berperang pada malam itu serta menantikan hari siang hingga berjalan ke sana ke mari daripada sebab menahankan marahnya itu.

Antara beberapa lama maka fajar pun menyinsinglah maka baginda pun segeralah di ambilnya gunting dan kertas dan dakwat diguntingnyalah kertas itu lalu diperbuat surat empat puluh empat pucuk surat ditulisnya hendak diberikan kepada segala raja-2 yang takluk kepadanya di dalam dunia dan kayangan demikianlah bunyi di dalam surat itu: Inilah surat daripada kami Raja Tua yang ada bertakta di dalam negeri Gunung Dua Belas akan datang ke hadapan majlis sahabat kami sekalian raja-2 dunia dan kayangan bahawa diberitahu pada ketika ini barang siapa hendakkan Tuan Puteri yang baik parasnya iaitu Tuan Puteri Selenggang Cahaya marilah tolong tudung kemaluan kami membunuh seorang anak lanang laki-2 datang [merugal] anak kami. Maka sekarang ini adalah ia di dalam mahligai. Jikalau sudah mati anak lanang laki-2 itu barang siapa yang membunuh kami nikahkan bagi Tuan Puteri Selenggang Cahaya itu. Jikalau mati petang dinikahkan pagi dan jikalau mati pagi dinikahkan petang itulah kami nyatakan kepada sekalian