Hikayat Raja Budiman

Muka surat 91 hingga 100

Mukasurat 91/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 91/129

saudara-2 kami.

Telah selesai surat itu maka baginda pun memanggil Dewa Sekalin Barat. Dengan seketika itu juga mereka itu sekalian pun datanglah mengadap seraya menyembah Ampun tuanku apalah titah memanggil patik hamba ini. Maka jawab baginda Hai Dewa Sekalin Barat sebab pun aku memanggil kamu aku hendak suruh hantarkan surat ini empat puluh empat pucuk kepada sekalian raja-2 yang takluk di bawah aku dunia kayangan mahu sampai dengan segeranya. Maka surat itu pun diunjuk apalah raja tua kepada Dewa Sekalin Barat lalu disambutnya seraya menyembah lalu ia pun terbanglah kepada negeri-2 itu ditaburkannyalah surat itu masing-2 tempatnya. Telah ratalah dunia kayangan maka Dewa Sekalin Barat pun terbanglah balik ke negeri Gunung Dua Belas dipersembahkan kepada rajanya hal itu.

Maka tersebutlah pula kisah segala raja-2 apabila sudah mendapat surat itu terlalulah suka mereka itu sekaliannya lalu dihimpunkanlah rakyat bala tentera dan gajah kuda masing-2 ada yang berkuda benar ada yang bergajah melayang ada yang berkenderaan di atas harimau ada yang di atas singa yang galak masing-2 dengan kenderaannya ada yang setengah datang daripada laut berkapal dan [pilang sekucai] tongkang cina pun berkaparan di dalam laut seperti buih rupanya ada yang daripada darat seperti cendawan tumbuh di batang daripada kebanyakan rakyat

Mukasurat 92/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 92/129

segala raja-2 itu dan mana-2 yang datang daripada kayangan pun gelaplah seperti awan mendung hujan menuju negeri Gunung Dua Belas.

Adapun baginda tatkala itu ia pun bertitah menyuruhkan orang membuat balai akan tempat segala raja-2 dan yang datang itu maka diperbuat oranglah beberapa buah balairung dan balai besar dan panjang pendek di dalam itu beberapa banyak pula balai yang kecil-2 akan tempat rakyat belantara yang datang itu berhenti.

Antara beberapa lama segala raja-2 itu pun sampailah ke negeri Gunung Dua Belas lalu naik ke dalam negeri memapak di padang besar di hadapan mahligai Tuan Puteri Bongsu Kecik Selenggang Cahaya. Maka segala rakyat pun berkatalah riuh ramai bercakap berbeka-2 seorang sepatah seperti katak melaung hujan ada yang memaki ada yang meminta ada yang memanggil Anak lanang laki-2 turunlah mari jikalau sangat gagah bertikamnya turunlah mari ke padang pertikaman ini laksana emas kita uji barang siapa yang baik mutunya.

Setelah didengar Tuan Puteri akan perkataan itu maka ia pun segeralah bangkit melihat ke bawah dari pintu malingnya terlalu banyak manusia datangnya dilihat ke bumi tiada kelihatan bumi dilihat ke langit tiada kelihatan langit oleh sangat banyak manusia yang datang itu seperti semut dijulai kayu seperti anai-2

Mukasurat 93/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 93/129

mengangkut sarang seperti bintang di langit seperti daun kayu di hutan. Maka segeralah Tuan Puteri pun menggerakkan suaminya seraya katanya: Aduhai abang semangat adik urat rambut batu kepala adik bangkitlah abang janganlah sangat abang beradu abang [wi] rakyat ayah banyak sangat datang penuh sesak di padang peperangan menantikan abang ke manalah kita hendak melepaskan diri kita matilah kita sekali ini. Berkata itu sambil menangis berhamburan air matanya jatuh ke riba seperti buah bemban masak muda seperti mutiara seperti manik putus di karang seperti embun di hujung rumput.

Setelah itu maka Lela Muda pun berkata: Ayuhai adik semangat abang janganlah digaduh dikucai abang jadi sesat kiraan abang ayuhai adik semangat abang berilah abang air yang hendak dikumur basuh muka. Maka segeralah Tuan Puteri memberi air suatu batil emas diberikannya kepada suaminya lalu dibasuh muka oleh Lela Muda. Setelah sudah lalu disorongkan Tuan Puteri satu jurang emas segera disambut oleh Lela Muda lalu dimakan sirih setelah sudah ia pun duduklah bersuka-2an dengan isterinya dengan pujuk rayunya di dalam pangkuan. Selang tiada berapa lamanya diangkat oranglah hidangan nasi gulai dayang-2 pun duduk dengan hormatnya meletakkan hidangan di hadapan Tuan Puteri dengan Lela Muda seraya berkata: Santaplah tuanku tiada dengan sepertinya maka dijawab oleh Lela Muda: Baiklah Mak Inang.

Mukasurat 94/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 94/129

Setelah itu maka santaplah Tuan Puteri berdua dengan Lela Muda. Apabila sudah segera diambil Tuan Puteri air serta menyucurkan ke tangan Lela Muda kemudian baharu ia membasuh tangannya sendiri. Setelah sudah makan terdengarlah bunyi gendang peperangan terlalu azimat bunyinya di tengah medan peperangan serta cukup dengan benderanya serta dengan tunggal panjang-2 tembok rambunya. Sorak dan tempik pun gemuruhlah bunyinya seperti terangkat negeri Gunung Dua Belas oleh sebab keramaian orang-2 banyak itu.

Alkisah maka tersebutlah perkataan Selamat Tandang Desa di dalam kapal itu terdengarlah kepadanya bunyi orang bertempik terlalu amat gemuruh bunyinya. Maka Selamat pun segera mencapai golok besar sebidang upih segeralah ia menonjol batu itu maka terlalulah keras tonjolnya tembuslah batu itu baharulah lepas Selamat lalu ia pun melompak ke darat dan berlari-2 menuju kota batu di tengah rakyat yang banyak itu. Maka kata Selamat Lalu aku hendak berjalan siapalah yang merugal anak raja kami itu anak lanang laki-2 dari mana gerangan datangnya yang gagah pertikaman itu.

Maka terkejutlah segala orang yang banyak mendengar suara Selamat terlalu besar itu. Maka masing-2 pun memberi jalan. Maka Selamat pun segeralah berlari-2 masuk menuju pintu kota.

Mukasurat 95/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 95/129

Setelah sampai lalu masuk ke dalam kota langsung ke bawah mahligai itu. Maka Selamat pun segeralah berseru katanya Oi Awang segeralah bangkit Awang sudah kamu berjumpa tempat yang sedap tiadalah engkau sedar lagi negeri ini hendak gaduh. Maka perkataan Selamat itu pun terdengarlah kepada Awang Sibuncui maka Awang segeralah bangun menggosok matanya seraya berkata: Siapa yang panggil aku tadi. Maka kata Selamat Akulah yang memanggil segeralah engkau turun mari permakanan banyak sangatlah sudah menanti di tengah padang cubalah engkau lihat aku hendak perjamu golok besar aku itu. Maka berkatalah Awang Sibuncui: Ayuhai tuanku segeralah bangun. Inilah bahan kita hendak mengadap senjata peperangan di medan.

Maka jawab Lela Muda: Nantilah Awang sebentar. Maka ia pun berserulah kuda sakti. Maka kuda itu pun datanglah ketika itu juga. Telah terpandang kepada orang banyak bahawa kuda itu terbang lari dengan tiada bertuan maka sekalian mereka itu pun memanahlah ada yang melontar ada yang menikam ada yang menetak dan ada yang melempar berbagai-2 senjata orang itu yang mengenai di atas kuda hijau dirasanya seperti hujan yang lebat tiba padanya. Maka habislah bulu kuda itu luruh dan kulitnya melupas-2 dan menitiklah darahnya ke bumi barulah lepas ke pintu mahligai. Serta sampai seraya berkatanya: Ampun tuanku beribu-2 ampun bertapalah hal patik hendak keluar berperang. Cubalah tuanku lihat badan patik ini

Mukasurat 96/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 96/129

habislah bulu dan kulit patik ini dijilat oleh senjata orang. Maka jawab Lela Muda Tiada mengapa kuda hijau kuda sakti jangan syak dihati walang dirasa aku pulang pulih sedia kala seperti dahulu. Maka kata Awang Sibuncui: Ayuhai cik dayang semangat abang minta tolong bawa mari kain panjang seorang sehelai. Maka dengan seketika itu segala dayang-2 pun datanglah membawa kain seorang sehelai diberi kepada Awang Sibuncui. Setengah berkata: Nah abang Cui dan setengah: Nak adik Cui bermacam-2lah masing-2 kelakuan berbahasa memanggil Awang Sibuncui itu. Maka Awang pun segeralah melilit kain itu hingga sampai ke dadanya. Maka kata Awang: Ayuhai cik dayang sekalian minta cik dayang doakan sahajalah sahaya berperang di dalam negeri Gunung Dua Belas ini. Jika jaya peperangan sahaya ni lepas perang kak dayang dan cik dayang semuanya sahaya bawa pulang ke negeri sahaya Serendah Sekebun Bunga. Maka jawab dayang-2 itu: Baiklah Cik Awang.

Setelah sudah berkata-2 maka disentapnya parang cendung itu lalu melompat ke tanah dekat bapanya Selamat Tangdang Desa. Maka kata Selamat: Ayuhai Awang marilah kita pergi berperang apa lagi orang sudah banyak menanti itu. Maka jawab Awang: Ayuhai pak mahukah kita berjanji apabila di dalam peperangan itu mahulah pak bersuara supaya anak boleh tahu apa hal pak dan anak pun demikianlah

Mukasurat 97/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 97/129

juga. Maka jawab Selamat Baiklah Awang. Telah sudah berkata-2 itu maka kedua pun menyerbu masuk ke dalam tentera yang banyak itu.

Adapun akan Selamat berperang itu hala matahari naik dan Awang Sibuncui mengadap matahari jatuh masing-2 membawa tekap. Maka dengan seketika berperang itu lebu duli pun berterbanganlah naik ke udara siang cuaca menjadi kelam kabut tiada apa kelihatan lagi melainkan kilat senjatanya seperti halintar membelah gunung lakunya. Orang berperang itu tiada apa kedengaran melainkan gemerencinglah bunyi senjata masing-2. Maka pada waktu itu tiadalah seorang yang mengenal kawan atau lawan melainkan barang siapa yang terlintas di hadapannya itu lah lawannya lalu diparangnya. Banyaklah yang bertikam sama sendirinya disangkakan lawannya. Telah banyaklah darah tumpah ke bumi barulah kelihatan orang berperang itu.

Maka Selamat Tandang Desa pun bertempik sambil mengamuk di dalam rakyat itu. Seketika lagi Awang Sibuncui pun bertempik seperti halintar membelah batu lakunya mereka kedua itu.

Terhentilah dahulu kisah mereka berdua berperang itu maka tersebutlah kisah Lela Muda di atas mahligai dengan Tuan Puteri itu. Maka kata Lela Muda: Ayuhai adik tolong siapkan sirih bekal abang kerana abang segera hendak keluar berperang kerana orang sudah lama menanti hendak membunuh abang. Maka Tuan Puteri pun segera membuat

Mukasurat 98/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 98/129

sirih seri terkapur lalu disimpul di hujung sapu tangannya diberikannya kepada Lela Muda. Maka Lela Muda pun sambutlah sapu tangan itu disampaikan ke bahunya lalu ia melompat ke atas kuda hijau kuda sakti lalu dipetiklah tali dandang sekawan dikertakkan ke udara. Maka kuda itu pun melambung naik seperti tangkas kilat rupanya dan seperti kumbang putus tali dan seperti mercun baharu jadi bagai sewah sirajawali. Antara beberapa lama sampailah ke tali angin tempat segala tentera yang banyak.

Telah dilihat oleh segala anak raja dewa mambang dan manusia yang empat puluh empat buah negeri itu bahawa Lela Muda datang dengan seorang dirinya maka mereka sekalian pun menyerbukan diri menikam dan memanah menetak Lela Muda keling-2 dengan senjata.

Telah dilihat Lela Muda senjata lawannya terlalu banyak datang itu maka ia pun membalas pula lalu ditetaknya ke kanan dan ke kiri ke hadapan dan ke belakang sambil cincang menyincang sepak menyepak tendang terajang berapa banyaklah sudah anak raja mambang yang mati gugur ke bumi kerana sangat gagah pewira Lela Muda itu. Di dalam peperangan yang ada tinggal itu pun tiada berapa berani hendak mendekat Lela Muda itu kerana terlalu saktinya.

Hilang kisah tersebutlah Dewa Keenam. Maka kata dewa yang kecik : Ayuhai abang kelima lihatlah panglima yang bawah keduanya

Mukasurat 99/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 99/129

itu sangatlah gagah pertikamannya. Berkata itu sambil melambung batu kesaktiannya maka turunlah satu serkap besi menimpa Selamat Tandang Desa. Telah Selamat merasa badannya di dalam serkap besi itu maka ia pun bangkit akan dirinya tiada dapat makin bertambah pula serkap itu masuk ke dalam bumi. Dua tiga kali ia mencuba hendak bangkit demikian juga serkap itu. Telah itu maka ia pun berdiam dirinya di dalam serkap itu.

Telah dilihat rakyat tentera maka Selamat sudah termasuk ke dalam serkap maka masing-2 pun datanglah menikam dan menetak dan merencing dan melontar dengan batu berbagai-2lah segala senjata datang ke badannya suatu pun tiada diperasakan oleh Selamat Tandang Desa sehingga dia duduk berdiam dirinya sahaja hendak keluar tiada dapat.

Maka Awang Sibuncui pun bertempik di tengah medan peperangan didengarnya tiada sahut bapanya Selamat. Maka ia pun bertempik pula sekali lagi tiada juga berbalas maka fikir di dalam hatinya kalau sudah tertangkap bapaku ini atau pun ia mati. Maka Awang pun marah lalu bertempik menyerbukan dirinya di dalam rakyat yang banyak itu sambil menikam dan menetak. Mana-2 yang di hadapannya satu pun tiada bertahan lagi. Mati seorang sepuloh yang datang. Maka sangatlah Awang Sibuncui mengamuk itu tiada ingatkan dirinya

Mukasurat 100/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 100/129

lagi tujuh hari tujuh malam siang sama malam serupa mengamuk itu di dalam darah segala manusia tiadalah terhisabkan lagi matinya itu.

Telah masuklah ke tujuh hari maka didengar Awang Sibuncui sebelah matahari naik terlalu riuh bunyi suara orang bersorak dan berhimpun pada suatu tempat. Telah Awang Sibuncui terpandang kepada orang banyak itu maka berfikir di dalam hati itu barangkali di situlah bapaku. Maka ia pun menyerbukan masuk menikam menetak orang yang berhimpun itu. Maka sekaliannya pun lari lah tiada berketahuan. Mana yang tiada sempat lari habislah mati dibunuh Awang Sibuncui.

Telah teranglah orang baharulah terlihat kepada Awang Sibuncui bapanya ada di dalam serkap besi itu. Maka kata Awang Sibuncui: Ayuhai pak helat sangatlah pak ini pak menyorok daripada bekerja beruntunglah sangat pak aku ini. Tatkala itu Selamat lagi mengantuk-2 maka tatkala itu serkap besi itu pun disentakkan oleh Awang Sibuncui dilontarkan kepada rakyat yang banyak beberapalah yang mati tiada terhingga lagi.

Maka pada ketika itu jugalah juga Selamat pun mengambil parang goloknya lalu mengamuk pula tetak menetak tikam menikam mana yang jauh dilontar mana yang dekat dicincang terlalulah banyak mayatnya itu hingga tujuh hari tujuh malam siang malam serupa.