Hikayat Penerang Hati

Jilid 2

Muka surat 31 hingga 40

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 31/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 31/50

Sebermula adalah seorang tukang kayu telah menaruh dua ekor ayam jantan. Maka pada suatu hari berjumpalah ia dengan seorang penjual ayam Belanda yang jinak. Setelah dibelinya akan ayam Belanda itu lalu dibawanya pulang ke rumahnya serta dilepaskannya bersama-2 dengan ayam-2nya yang banyak. Maka apakala berjalanlah ayam Belanda itu lalu dipukullah oleh ayam-2 jantan itu akan dia serta diikutnya ke sana ke mari. Maka amatlah susah hati ayam Belanda itu kerana pada sangkaannya adalah ia terkena aniaya oleh ia baharu datang ke tempat itu.

Hatta tiada beberapa lama di belakang itu lalu dilihatlah oleh ayam Belanda itu akan kedua ayam jantan itu berlaga pula sama sendirinya dan tiadalah berhenti hingga sampai seekor daripadanya telah mengalahkan yang lain. Kemudian berfikirlah ia di dalam hatinya tiadalah berguna aku menyusahkan hatiku lagi oleh terkena pukul ayam jantan itu kerana telah aku lihat sendiri akan mereka itu pun adalah berlaga sama sendirinya. Setelah itu duduklah ayam Belanda itu selama-lamanya. Demikianlah halnya di dalam sebarang takdir berkemalangan berlaku ke atas kita seyogianya kita bandingkan dengan apa-2 takdir berkemalangan berlaku ke atas orang lain supaya terlepas kita daripada dukacita adanya.

Ceritera 189 Darihal angin dengan matahari

Sekali persetua adalah pada suatu masa telah berlakulah perbantahan di antara angin dengan matahari kerana masing-2 itu mengaku gagah terlebih daripada lainnya. Kemudian berjanjilah mereka itu barangsiapa yang boleh membukakan pakaian seorang pengembara yang ada berjalan pada masa itu dialah yang beroleh kemenangan. Maka pada mula-2nya lalulah angin itu meunjukkan gagahnya dengan bertiup yang terlalu amat kencang. Maka oleh sejuk angin itu lalu dibungkuslah oleh pengembara itu akan badannya berlapis-2 dengan segala kainnya.

Hatta setelah habislah akal angin itu hendak membukakan pakaian pengembara itu tetapi tiada jua terbuka lalu dipanggilnyalah akan matahari itu pula menunjukkan gagahnya. Maka seketika itu jua matahari itupun lalulah memancarkan panasnya yang terlalu amat hangat. Maka apakal dirasa oleh

Mukasurat 32/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 32/50

pengembara itu akan kehangatan itu lalu ditanggalkannyalah segala pakaiannya lepas selapis selapis pula hingga tinggal seluar sekeping. Kemudian oleh tiada tertahannya akan hangat itu lalu dibuangkannya pula seluar itu serta terjun mandi ke dalam sungai yang ada berhampiran dengan jalannya itu. Demikianlah halnya nasihat yang lemah lembut itu terlebih baik daripada kekerasan adanya.

Ceritera 190 Darihal hantu air dengan si miskin

Sebermula adalah seorang miskin telah pergi memotong kayu di dalam hutan di tepi tebing sebuah sungai. Tiba-2 jatuhlah kapaknya ke dalam sungai itu yang terlalu dalamnya. Maka duduklah ia menangis di tepi tebing itu oleh kehilangan kapaknya itu. Sekonyong-2 datanglah hantu air sungai itu bertanyakan sebab ia menangis itu. Lalu diceriterakannyalah hal kecelakaannya itu. Dan apakala didengarlah oleh hantu air itu akan sebab yang ditangiskannya itu lalu terjunlah ia menyelam ke dalam sungai itu. Maka apakala timbullah ia adalah dibawanya sebilah kapak emas serta diperiksanya kepada si miskin itu kalau-2 kapak itu ia yang empunyanya. Maka tatkala dijawablah oleh si miskin itu mengatakan bukan kapaknya lalu menyelamlah pula hantu itu sekali lagi. Maka apakala ia timbul adalah dibawanya sebilah kapak perak serta bertanya lagi kepada si miskin itu kalau-2 kapak itu haknya. Dijawablah oleh si miskin itu mengatakan bukan jua. Kemudian menyelamlah ia pula serta dibawanya timbul kapak si miskin itu yang betul. Maka kata si miskin itu kapak itu haknya serta dengan sukacitanya oleh mendapat balik hartanya itu . Maka apakala dilihatlah oleh hantu air itu kebetulan hati si miskin itu lalu diberikannyalah kapak emas dan kapak perak itu kepadanya.

Kalakian tatkala kembalilah si miskin itu ke rumahnya lalu dikhabarkannya segala hal ehwal itu kepada sahabat-2nya. Maka apakala didengarlah oleh seorang daripada kawan-2nya itu lalu berniatlah ia hendak melakukan seperti keadaan si miskin itu. Maka berlarilah ia pergi ke tepi sungai itu serta sampai lalu dicampakkannyalah kapaknya ke dalam sungai itu di tempat si miskin itu terjatuh kapaknya tadi. Kemudian duduklah ia menangis di tepi tebing

Mukasurat 33/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 33/50

sungai itu. Dengan hal yang demikiannya datanglah hantu air itu kepadanya. Maka tatkala sudah dikhabarkannya hal kehilangannya itu lalu terjunlah hantu air itu ke dalam sungai itu dan pada masa itu timbullah ia serta dibawanya sebilah kapak emas serta bertanya kepada orang itu kalau-2 kapak itu haknya yang jatuh tadi. Maka disambarlah oleh si tamak itu akan kapak itu dari tangan hantu air itu seraya berkata itulah kapaknya yang terjatuh itu. Maka apakala dilihatlah oleh hantu air itu akan tamak orang itu lalu terjunlah ia balik ke dalam air membawa kapak emas itu serta lenyap sekali dari pandangannya. Demikianlah halnya bertutur benar itulah sebaik-2 pekerjaan adanya.

Ceritera 191 Darihal garuda dengan cawi

Sekali persetua adalah seekor garuda telah bersarang dan bertelur di atas sebuah bukit yang tinggi. Maka tiada beberapa antara lalu menetaslah telur-2nya itu akan dua ekor anak. Pada tiap-2 hari turunlah ia ke padang yang berhampiran dengan gunung itu menyambar biri-2 akan jadi makanan anaknya itu serta diterbangkannya ke atas bukit itu. Maka pada suatu hari terpandanglah kepada seekor cawi akan kelakuan garuda itu dan datanglah cemburu di dalam hatinya hendak menyambar dan menerbangkan biri-2 seperti keadaan garuda itu jua.

Arkian setelah itu terbanglah ia dengan derasnya dari atas sepohon kayu serta hinggap di atas belakang seekor biri-2 jantan yang besar kerana hendak diterbangkannya. Dengan hal yang demikian terlekatlah kukunya kepada bulu biri-2 itu dan tiadalah dapat ia melepaskan dirinya. Maka dicubanyalah dengan sehabis daya upayanya hendak menerbangkan biri-2 itu atau berlepaskan dirinya tetapi tiadalah jua dapat. Maka akan hal itu terpandanglah kepada gembala biri-2 itu lalu berlarilah ia datang menangkap cawi itu serta dibawanya pulang ke rumahnya diberikannya kepada anak-2nya menjadi permainan. Maka ditanyalah oleh anak-2nya itu kepadanya katanya hai ayahku apakah nama burung ini. Maka jawab bapanya itu hai anakku inilah dia yang bernama cawi dan

Mukasurat 34/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 34/50

telah aku tangkap akan dia di atas belakang biri-2 serta diceriterakannya segala hal yang telah berlaku itu. Maka apakala didengarlah oleh mereka itu akan ceritera itu sukacitalah ia sekaliannya. Demikianlah halnya gajah berak besar janganlah pelanduk pun hendak menyerupai adanya.

Ceritera 192 Darihal helang dengan serigala

Sebermula adalah seekor helang telah bersahabat yang terlalu amat karib dengan seekor serigala dan berjanjilah mereka itu hendak diam berdekat-2. Maka akan helang itu lalulah ia berbuat sarangnya di atas sepohon kayu yang tinggi dan akan serigala itu adalah ia berbuat tempat kediamannya di pangkal kayu itu. Maka dengan hal yang demikian beranak [berinaklah?] binatang-2 itu di situ. Maka tiada beberapa lamanya di belakang itu. Pada suatu hari tatkala serigala itu pergi mencari makanan lalu disambarlah oleh helang itu akan anak serigala itu menjadi makanannya dan makanan anak-2nya.

Arkian apabila baliklah serigala itu lalu dilihatnyalah akan anak-2nya telah hilang lenyap. Maka berfikirlah ia di dalam hatinya katanya tiadalah siapa-2 yang lain lagi mencuri anak-2ku ini melainkan helang itulah yang telah berbuat kejahatan itu. Dan dengan hal yang demikian duduklah ia dengan masyghul dan dukacita oleh tiada dapat jalan ia hendak membalas akan kebengisan helang itu dan berserahlah ia kepada dewata yang mulia raya minta balaskan.

Kalakian pada suatu hari terbanglah helang itu mencari makanannya. Kemudian pergilah ia menyambar daging kambing dari dalam genggulang yakni tempat orang-2 menjamu hantu serta dibawanya balik ke sarangnya dan kepada daging itu adalah terlekat sedikit bara api. Maka tatkala sampailah ia ke sarangnya lalu bertiuplah angin utara dan api bara itupun bernyalalah serta membakar sarangnya itu. Maka akan anak-2 helang itu adalah sedang baharu tumbuh bulu pahat dan tiadalah dapat terbang berlepaskan dirinya. Jadi terbakarlah ia serta jatuh ke tanah menjadi makanan serigala tadi. Demikianlah halnya barangsiapa yang berbuat aniaya

Mukasurat 35/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 35/50

Ceritera 193 Darihal pencuri dengan seguni ringgit

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seorang saudagar telah membuka sebuah kedai yang besar di dalam sebuah bandar. Maka pada suatu ketika tercurilah seguni ringgit dari dalam kedai itu. Kemudian pergilah saudagar itu mengadu kepada hakim bandar itu. Lalulah dipanggil oleh hakim itu akan segala orang yang di dalam kedai itu datang ke hadapannya. Tetapi beberapa disiasat pun tiadalah jua terbuka rahsia itu ataupun diketahui akan pencuri itu. Maka pada akhirnya berkatalah hakim itu katanya sekarang bolehlah aku beri kepada engkau sekalian sebatang seorang tongkat yang bersamaan panjangnya. Maka akan tongkat itu barangsiapa yang mencuri wang itu tentulah panjang ia pada malam ini terlebih daripada tongkat orang-2 yang lain itu.

Arkian setelah habislah hakim itu berkata yang demikian lalu diberinyalah sebatang seorang tongkat kepada sekalian mereka itu serta disuruhnya mereka itu pulang ke rumahnya masing-2 dan balik kepadanya membawa tongkat itu kepadanya keesokkan paginya. Maka pada malam itu berfikirlah si pencuri itu di dalam hatinya katanya jika aku kerat tongkat ini kira-2 satu jari panjangnya tentulah boleh bersamaan panjang dengan tongkat yang lain-2 itu. Pada keesokkan pagi setelah habislah fikiran itu lalu dikeratnyalah sedikit tongkat itu. Maka pada keesokan pagi datanglah ia mengadap hakim itu beserta dengan orang-2 yang lain. Maka akan hakim itu apakala sudah diperiksanya tongkat-2 itu lalu disuruhnya tangkap akan pencuri itu serta dipenjarakannya. Demikianlah halnya bijaksana itu tangga martabat adanya.

Ceritera 194 Darihal imam yang bodoh

Sebermula adalah seorang imam yang alim di dalam berbagai-2 ilmu telah duduk membaca kitab di dalam rumahnya pada suatu malam. Tiba-2 bertemulah ia di dalam kitab itu akan perkataan barangsiapa kecil kepala serta panjang janggutnya alamat bodoh orang itu. Kemudian berlarilah ia kepada cermin. Setelah dilihatnya akan kecil kepalanya dan panjang janggutnya berfikirlah ia

Mukasurat 36/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 36/50

katanya seperti kepalaku ini tiadalah boleh aku besarkan. Tetapi janggutku ini tentulah boleh aku pendekkan. Maka apakala habis fikiran itu pergilah ia mencari gunting hendak memotong janggutnya itu tetapi beberapa dicari pun tiadalah jua dapat.

Kalakian oleh tiada apa-2 ikhtiar yang lain hendak mengerat janggutnya itu lalu dicekaknya di pangkal janggut itu dengan jarinya dan dihulurkannya hujung janggut itu kepada api pelita. Maka apakala terbakarlah hujung janggut itu lalu melaratlah apinya kepada tangannya. Setelah dirasanya hangat tangannya itu lalu dilepaskannya. Apatah lagi melaratlah api itu hingga sampai ke dagunya hingga licin janggutnya itu tiada tinggal sehelai jua pun. Maka kemalu-2anlah imam itu sehingga tiada keluar dari rumahnya beberapa lama. Demikianlah halnya sebarang apa yang hendak diperbuat fikirkan akhirnya dahulu adanya.

Ceritera 195 Darihal wazir dengan rajanya

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seorang raja yang terlalu amat besar kerajaannya ada mempunyai seorang wazir. Maka setelah tualah wazir itu lalu bermohonlah ia berhenti daripada memegang pekerjaan dan duduklah ia semata-2 berbuat ibadat. Maka pada suatu hari bertanyalah raja itu kepada orang-2 besarnya akan hal wazirnya yang telah berhenti itu. Maka sembah mereka itu ya tuanku semenjak pun wazir itu berhenti daripada pekerjaan adalah ia berbuat ibadat semata-2. Kemudian pergilah raja itu mendapatkan wazir itu seraya berkata hai wazirku apakah kesalahanku kepada engkau maka engkau lepas daripada pekerjaanku.

Hatta [bertalutlah?] wazir itu seraya berdatang sembah demikian bunyinya ya tuanku sebab pun patik meninggalkan pekerjaan tuanku itu dengan lima fasal. Pertama-2 waktu tuanku duduk patik berdiri. Akan sekarang patik telah mendapat raja yang boleh duduk atau berdiri di hadapannya. Yang kedua tatkala tuanku makan patik memandang. Akan sekarang telah patik perolehi akan raja yang tiada makan pada halnya ia memberi makan kepada patik. Yang ketiga pada masa tuanku tidur patik berjaga. Akan sekarang telah patik dapat akan raja yang tiada pernah tidur tetapi selalu ia menjaga akan patik pada

Mukasurat 37/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 37/50

waktu tidur. Yang keempat sentiasa patik bimbang akan tuanku mati dan pada waktu itu banyaklah musuh patik. Akan sekarang raja patik ini kekal selama-lamanya tiada mati hingga tiada dapat siapa-2 musuh membinasakan patik. Yang kelima selalu patik di dalam ketakutan. Barangkali patik melakukan kesalahan kepada tuanku dan tiada tuanku ampunkan. Tetapi adalah raja yang patik pertuankan sekarang amatlah pengasihnya. Jika patik berbuat seribu dosa sekalipun kepadanya di dalam sehari nescaya diampunkannya jua. Maka apakala didengarlah oleh raja itu akan sembah menteri itu maka diamlah ia tiada terkata-2 serta kembali ke istananya. Demikianlah halnya seyogianya jangan kita lupakan ibadat adanya.

Ceritera 196 Darihal raja dengan saudagar

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang saudagar Arab telah datang mengadap seorang raja serta membawa seekor kuda yang teramat elok akan jadi teladan beberapa banyak kuda yang hendak dijualnya. Setelah dilihatlah oleh raja itu akan kuda itu amatlah perkenan ia. Lalu diambilnya dan diberinya kepada saudagar itu sepuluh laksa ringgit yang lain daripada wang pembeli kuda yang ada itu serta disuruhnya bawa kuda-2 yang lain itu ke negerinya dengan segeranya. Kemudian berlayarlah saudagar itu balik ke negerinya.

Hatta pada suatu hari di belakang itu. Pada tatkala raja itu tengah mabuk anggur lalu bertitahlah ia kepada menterinya menyuruh membuat suatu daftar segala orang-2 yang bodoh di dalam negerinya itu. Maka sembah menteri itu ya tuanku akan daftar yang tuanku titahkan itu telah sedialah sudah patik perbuat serta patik taruh nama tuanku pada awal-2 daftar itu. Maka titah raja itu mengapakah engkau perbuat begitu. Maka sembah menteri itu ya tuanku sebab pun patik perbuat yang demikian kerana tuanku memberi sepuluh laksa ringgit kepada saudagar Arab itu dengan tiada berjamin. Tambahan pula tiada seorang pun yang mengetahui akan tempat kediaman saudagar itu di tanah Arab.

Arkian bertitahlah pula raja itu hai menteriku jika sekiranya

Mukasurat 38/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 38/50

datang saudagar itu membawa kuda itu apakah kata engkau pula. Maka sembah menteri itu ya tuanku jika sekiranya begitu dungu saudagar itu datang ia membawa kuda-2 yang dijanjikannya itu. Maka pada waktu itu bolehlah patik taruh namanya di awal-2 daftar itu dan nama tuanku di bawahnya. Maka apakala didengarlah oleh raja itu akan sembah menteri itu diamlah ia tiada terkata-2. Maka akan saudagar Arab itu langsunglah tiada datang membawa kuda-2 itu selama-lamanya. Demikianlah halnya janganlah dilepaskan burung yang liar adanya.

Ceritera 197 Darihal paderi dengan tuan kambing

Sebermula adalah seorang paderi telah pergi mengajar orang-2 di dalam sebuah gereja. Maka seorang daripada khalayak yang mendengar itu adalah tuan kambing dan akan dia itu sentiasalah menangis. Maka pada suatu hari berkatalah paderi itu katanya hai khalayak yang ramai lihatlah olehmu sekalian. Adapun orang ini seraya menghalakan tangannya kepada tuan kambing itu amatlah sedih hatinya mendengarkan perkataanku dan dengan sebab itulah ia sentiasa menangis.

Hatta berkatalah seorang yang lain di dalam orang-2 banyak itu kepada tuan kambing yang menangis itu katanya mengapakah engkau menangis pada halnya perkataan paderi itu tiadalah sekali-2 memberi sedih kepada hatiku. Dan macam manakah hati engkau itu makin menangis sangat. Maka jawab tuan kambing itu hai kawanku tiadalah sekali-2 aku menangis sebab mendengar perkataan paderi itu tetapi adalah bagiku seekor kambing yang amat aku kasihi dan matilah ia tatkala tua. Akan sekarang bila-2 paderi itu bercakap dan mengoyangkan dagunya teringatlah aku akan kambing itu kerana binatang itupun adalah jua berjanggut seperti keadaan paderi itu. Maka tatkala didengarlah oleh paderi itu akan perkataan tuan kambing itu marahlah ia serta keluar dari dalam gereja itu. Demikianlah halnya mengajar ilmu yang sia-2 tiadalah memberi kebajikan adanya.

Mukasurat 39/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 39/50

Ceritera 198 Darihal pengarang suluk dengan si kikir

Sebermula adalah seorang pengarang suluk telah pergi bertemu dengan seorang orang yang kikir. Maka apakala sampailah ia kepada si kikir itu lepas berjabat tangan lalulah ia mengeluarkan suluk memuji akan si kikir itu dengan pelbagai pujian yang lemak manis. Maka amatlah sukacita dan perkenan hati si kikir itu mendengarnya. Kemudian berkatalah ia kepada pengarang suluk itu katanya pada sekarang ini tidaklah ada bagi hamba wang tunai di tangan tetapi adalah beberapa banyak gandum kepada hamba. Maka jikalau tuan hamba datang pada keesokan hari bolehlah hamba beri seguni dua kepada tuan hamba. Setelah itu kembalilah pengarang suluk itu ke rumahnya.

Hatta pada keesokan paginya datanglah pengarang suluk itu kepada si kikir itu. Maka tatkala sampailah ia lalu ditanyalah oleh si kikir itu akan sebab ia datang pula. Maka jawab pengarang suluk itu adalah kelmarin tuan hamba telah berjanji dengan hamba hendak memberi akan hamba seguni dua gandum jadi inilah hamba datang hendak mengambil akan gandum itu. Maka berkatalah si kikir itu hai sahabatku adapun tuan hamba ini pada pandangan hamba sangatlah bodohnya kerana tuan hamba telah menyukakan hati hamba dengan perkataan yang manis-2 jadi hamba balaslah budi tuan hamba itu dengan perkataan jua. Dengan sebab itu apakah fasalnya pula hamba hendak memberi gandum akan tuan hamba. Setelah didengarlah oleh pengarang suluk itu akan perkataan si kikir itu pulanglah ia ke rumahnya dengan kemaluannya. Demikianlah halnya janganlah kita mengharap-2 hati orang adanya.

Ceritera 199 Darihal si jahil dengan darwis

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seorang jahil telah pergi kepada seorang darwis serta bertanya tiga jenis soal kepadanya. Yang pertama mengapa engkau kata tuhan itu ada pada halnya tiada pernah aku lihat akan dia di mana-2 pun. Cubalah tunjukkan olehmu di mana-2 ia. Yang kedua mengapa segala manusia ini diseksakan fasal dosanya pada

Mukasurat 40/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 40/50

halnya segala perbuatannya itu semata-2 dengan kuasa tuhan. Oleh segala manusia itu tiadalah boleh berbuat sekehendak hatinya selain daripada kehendak tuhan. Maka jikalau manusia itu ada berkuasa dengan sendirinya nyatalah diperbuatnya sebarang kehendaknya. Yang ketiga bagaiman tuhan hendak menyeksakan syaitan di dalam neraka pada halnya ia telah dijadikan daripada api neraka dan bagaimana api itu boleh menghanguskan dia.

Kalakian apabila didengarlah oleh darwis akan soal si jahil itu lalulah diambilnya segumpal tanah keras serta dilontarkannya di kepala si jahil itu. Dengan hal yang demikian berlarilah si jahil itu kepada hakim seraya berkata ya tuan telah hamba tanya tiga jenis soalan kepada seorang darwis. Maka tiadalah dijawabnya soal hamba itu melainkan dilontarnya di kepala hamba dengan segumpal tanah. Maka tatkala didengarlah oleh hakim itu akan pengaduan si jahil itu lalulah disuruhnya seorang mata-mata memanggil darwis itu. Setelah datanglah darwis itu ke hadapan hakim lalu bertanyalah hakim hai darwis mengapa engkau melontar kepala si jahil ini dengan tanah tatkala ia bertanya tiga jenis masalah kepada engkau.

Arkian maka jawab darwis itu pada fikir hamba gumpal tanah itulah balasan soalnya itu. Dan lagi adapun pengaduannya itu mengatakan ia sakit di kepalanya sekarang cubalah ia tunjukkan sakitnya itu. Kemudian bolehlah hamba zahirkan tuhan kepadanya. Dan mengapakah pula ia mengadu akan kesakitannya kepada tuan hamba kerana sekalian perbuatan hamba itu semata-2 dengan kehendak tuhan. Betapa dapat hamba menyakit akan dia. Jika tiada dengan takdir tuhan oleh tiada hamba mempunyai kuasa sekali-2 dan adalah ia itu telah dijadikan tuhan daripada tanah. Mengapakah ia mendapat kesakitan daripada perkara yang telah dijadikan dia. Maka apakala didengarlah oleh si jahil itu akan perkataan darwis itu takjublah ia dan tertawalah hakim itu gelak-2 dengan sukacitanya seraya menghalaukan si jahil itu dan memberi persalinan serta hadiah kepada darwis itu sebab sempurna jawapannya. Demikianlah halnya ilmu itu tiadalah

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50