Hikayat Penerang Hati

Jilid 2

Muka surat 1 hingga 10

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 1/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 1/50


Mukasurat 2/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 2/50

Ceritera 138 Darihal tikus dengan lembu

Sebermula adalah seekor lembu telah berjalan perlahan-2 sambil meragut rumput. Tiba-2 datanglah seekor tikus menggigit akan dia di kakinya. Maka oleh tersangat kesakitan marahlah lembu itu serta menghambat akan tikus itu hendak dibunuhnya. Maka larilah tikus itu masuk ke dalam lubangnya yang berdekatan dengan suatu tembok. Oleh itu dirempuhlah oleh lembu itu akan tembok itu dengan tanduknya. Setelah penatlah ia lalu baringlah ia di situ serta tertidur yang amat jenaknya.

Arkian keluarlah tikus itu perlahan-2 mengintai lembu itu. Setelah dilihatnya ia tertidur merangkaklah ia pergi ke perutnya serta digigitnya lagi. Kemudian larilah ia balik ke dalam lubangnya itu. Maka terkejutlah lembu itu serta berdiri dengan libang libu hatinya oleh tiada tahu apa yang hendak diperbuatnya. Di dalam itu menjenguklah tikus itu seraya berkata katanya hai si terebah janganlah engkau membesarkan dirimu dengan sebab besar badanmu itu. Terkadang-2 adalah jua masanya benda yang kecil lagi hina itu dapat mendatangkan bencana ke atas benda yang besar lagi gagah dengan tiada dapat dibalas. Setelah itu lenyaplah yakni larilah tikus itu balik ke dalam lubangnya dengan selamatnya dan berjalanlah lembu itu dengan dukacitanya. Demikianlah halnya meskipun tinggi merunjang ada kalanya dapat jua dipijak adanya.

Ceritera 139 Darihal dua ekor katak

Sebermula adalah dua ekor katak telah berbuat tempat kediamannya beberapa lama di dalam sebuah kolam. Maka pada suatu masa kemarau yang panjang air kolam itupun keringlah. Oleh itu berjalanlah kedua ekor binatang itu hendak mencari kolam yang lain. Maka di dalam perjalanannya itu bertemulah ia dengan sebuah kolam yang amat dalam airnya serta tinggi tebingnya. Maka berkatalah seekor katak itu katanya hai sahabatku baiklah kita turun ke dalam kolam ini serta duduk berbuat tempat kediaman di sini kerana airnya pun dalam dan makanan-2 pun tampaknya makmur jua.

Hatta berkatalah katak yang seekor lagi itu katanya hai taulanku bimbang sangat hamba ini jika sekiranya lepas kita berdua ke dalam kolam ini

Mukasurat 3/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 3/50

tiba-2 kekeringan airnya kelak apakah ikhtiar hendak menaiki kembali kerana tebing ini terlalu tingginya. Maka perkataan itu termasuklah ke dalam fikiran katak yang lain itu. Oleh itu tiadalah jadi binatang-2 itu turun ke dalamnya dan berjalanlah ia pula mencari tempat yang lain. Demikianlah halnya apa yang hendak diperbuat mahulah difikirkan akhirnya adanya.

Ceritera 140 Darihal anjing dengan tukang masak

* terdapat nota bertulis dengan pensil [tiada ada]

Ceritera 141 Darihal pencuri dengan ayam jantan

Sebermula adalah seorang pencuri telah masuk ke dalam rumah seorang miskin dengan niat hendak memapas yakni mencuri harta tuan rumah itu. Tetapi tiadalah suatu benda yang ada di dalamnya melainkan seekor ayam jantan. Maka lalu dilarikannya ayam itu pulang ke rumahnya dengan cepatnya.

Kalakian tatkala sampailah pencuri itu ke rumahnya lalu bersiaplah ia hendak menyembelih ayam itu. Maka berkatalah ayam itu katanya hai manusia kasihan apalah akan hamba ini dan lepaskanlah bawa hamba ini kerana amatlah berguna hamba kepada manusia dengan membangunkan mereka itu membuat pekerjaannya apakala cerah. Maka dijawablah oleh pencuri itu katanya pembising sebab pun aku hendak menyembelih engkau itu oleh kokok engkau itu menjagakan segala manusia yang tidur. Dengan hal yang demikian jadilah tersingkap yakni terhenti pekerjaan aku. Setelah itu disembelihnyalah akan ayam itu. Demikianlah halnya segala mereka yang baik itu dibencilah oleh orang yang jahat adanya.

Ceritera 142 Darihal singa dengan beruang serta musang

Sebermula adalah seekor singa dengan seekor beruang telah bersama-2 menangkap seekor kambing. Kemudian berkelahilah kedua binatang itu kerana masing-2 kehendakkan semua tangkapan itu. Setelah beberapa lama bergigit-2 dan berkoyak-2 maka masing-2 pun banyaklah luka dan garis dan darah pun mengalirlah ke bumi. Oleh yang demikian pengsanlah kedua ekor binatang itu

Mukasurat 4/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 4/50

serta rebah dengan kesakitan dan penat.

Arkian akan perkelahian singa dengan beruang itu dilihatlah oleh seekor musang. Setelah tumbanglah kedua binatang itu berlari-2lah ia pergi mendapatkan bangkai kambing yang tiada bersentuh itu serta digonggongnya yakni dilarikannya. Maka putihlah mata singa dan beruang itu melihat akan hal itu tetapi tiadalah upaya ia hendak mengejarnya. Kemudian berkatalah singa kepada beruang itu katanya hai sahabatku sia-2lah sahaja kita berpenat lelah menangkap anak kambing itu serta berkelahi hingga pecah-2 berdarah rupanya kita mencarikan makanan musang itu sahaja. Demikianlah halnya terkadang-2 seorang yang berpenat lelah seorang yang lain pula beroleh lemak manisnya adanya.

Ceritera 143 Darihal peladang dengan musang

Sebermula adalah seekor musang selalu telah masuk ke dalam reban seorang peladang serta menangkap ayam-2nya. Oleh yang demikian gembira yakni marah peladang itu akan dia. Maka pada hari dapatlah dijeratnya akan binatang itu. Setelah diikatnya rumput-2 kering di ekor musang itu serta dituangkan minyak lalu dibakarnya akan rumput itu kerana hendak membela yakni membalas akan kejahatan musang itu. Kemudian lalu dilepaskannya binatang itu.

Kalakian oleh kepanasan dan tiada ketahuan perasaan musang itu lalu berlarilah ia rebah rempah masuk ke dalam huma peladang itu. Maka pada tatkala itu akan padi peladang itu sedang masak sebelum dituainya lagi dan daun padi itu telah kering belaka. Wah apatah lagi apakala bertemulah api dengan daun-2 padi kering itu lalu terbakarlah sekaliannya dengan tiada tinggal sebiji jua pun. Demikianlah halnya jika bengis itu dibalas dengan bengis pula nescaya jadilah seperti ceritera peladang itu adanya.

Ceritera 144 Darihal kera menari

Sebermula adalah seorang raja telah melatih yakni mengajar beberapa ekor kera menari. Maka akan kelakuan tari kera itu tiadalah bersalahan

Mukasurat 5/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2
  1. belibis [be.li.bis] | بليبيس Definisi : sj burung yg menyerupai itik (tetapi kecil), Dendrocygna javanica. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Muka surat 5/50

dengan kelakuan dan tari manusia serta pula dengan [alpa?] dan tampan lenggangnya. Setelah terkenalah pakaian yang indah-2 bertatahkan ratna mutu manikam serta topeng maka bangkitlah kera-2 itu menari seperti keadaan lakuan anak baik. Oleh yang demikian segala khalayak yang ramai yakni mereka-2 yang datang melihat itupun memujilah belaka akan kera-2 itu.

Syahadan pada suatu waktu datanglah seorang saudagar melihat permainan itu dan ditaruhnyalah di dalam saku bajunya beberapa biji mempelam. Setelah tampillah kera-2 itu menari lalu dicampakkannya buah2 itu ke hadapan binatang-2 itu. Maka apakala dilihatlah oleh kera-2 akan buah-2 itu maka masing-2 pun tiadalah sedar akan dirinya menjadi joget itu lalu berlarilah ia pergi merebut dan bergomol-2 akan buah itu sambil mencarikkan pakaian dan topinya. Oleh itu ramailah segala khalayak itu bertepuk tangan seraya mengilai yang terlalu amat azmatnya. Kemudian ditangkaplah oleh raja akan kera-2 itu serta dipukulnya. Demikianlah halnya yang nama anjing itu meskipun menjadi raja tiada adalah mahu berhenti daripada memakan tahi adanya.

Ceritera 145 Darihal belibis dengan helang

Sebermula adalah seekor burung belibis telah menangkap seekor ikan yang besar. Kemudian ditelannyalah akan ikan itu maka terbaringlah ia di atas tanah bernafas panjang menderitakan sakitnya dan menantikan mati oleh termengkelan yakni tercekik itu.

Arkian akan hal kesakitan belibis itu terpandanglah kepada seekor burung helang yang terbang di udara. Maka berkatalah helang kepada belibis itu katanya hai unggas akan nasib engkau itu sangatlah padan dengan perangai engkau kerana apakah pasalnya engkau seekor unggas yang diam di udara [makin?] mencari makan ke dalam air. Setelah itu matilah belibis itu. Demikianlah halnya tiap-2 manusia itu hendaklah ia memadakan dengan apa-2 pendapatannya janganlah ia terlalu tamak dengan perhiasan dunia ini adanya.

Ceritera 146 Darihal pengembara dengan jin

Mukasurat 6/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 6/50

Sekali persetua adalah seorang saudagar telah mengembara dari negerinya pergi ke sebuah negeri yang lain. Maka di dalam perjalanan yang jauh itu amatlah penat ia. Kemudian baringlah ia berhentikan lelahnya di tepi sebuah telaga yang dalam. Setelah itu terlelaplah yakni tertidurlah ia di situ yang terlalu amat jenaknya yakni jenderanya. Maka di dalam telaga itu adalah seorang jin duduk dengan segala anak isterinya dan puak daraknya.

Hatta adapun tempat saudagar itu tidur dengan telaga itu amatlah rapatnya. Maka jika ia berkisar sahaja nescaya jatuhlah ia ke dalamnya. Oleh yang demikian keluarlah jin itu menggerakkan ia seraya berkata hai insan bangunlah engkau serta berubah dari sini kerana jika terjatuh engkau ke dalam telaga ini tentulah engkau jahatkan dia serta engkau cercai akan nasib engkau pada halnya tiada engkau ketahui akan alpa dan lalai serta kurang petia engkau sendiri. Maka larilah pengembara itu oleh ketakutan akan jin itu. Demikianlah halnya tiap-2 seorang itu hendaklah ia menjaga akan dirinya tiadalah boleh semata-2 diserahkan ikut nasibnya sahaja adanya.

Ceritera 147 Darihal musang dengan harimau bintang

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor musang telah berbantah-2 dengan seekor harimau bintang oleh masing-2 mengaku keelokkan dirinya. Maka diterangkanlah oleh harimau itu satu persatu bintang-2 yang terukir yakni yang menghiasi akan kulitnya. Oleh yang demikian tiadalah dapat berkata-2 musang itu serta menung sejurus yakni sebentar mencari fikiran hendak membalas perkataan harimau itu.

Hatta setelah dapatlah musang itu akan jawabnya lalu berkatalah ia katanya hai bodoh akan hamba ini terlebihlah indah lagi daripada tuan hamba itu kerana adalah keelokkan hamba itu di dalam hati hamba iaitu terdinding tiada dapat dicederakan oleh sesuatu benda. Maka akan bintang tuan hamba itu apakala dibalut oleh lumpur atau sebagainya nescaya tiadalah kelihatan lagi. Setelah didengarlah oleh harimau itu akan tangkis musang itu kemalu-2anlah ia seraya undur. Demikianlah

Mukasurat 7/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 7/50

halnya harga ilmu yang terkandung di dalam hati itu terlebihlah mahalnya daripada harga permata yang mulia-2 adanya.

Ceritera 148 Darihal singa dengan arnab

Alkisah adalah seekor singa yang terlalu amat laparnya telah berjalan-2 di dalam suatu hutan yang besar. Sekonyong-2 tertemulah ia dengan seekor arnab yang tertidur di dalam suatu lubang terlalu amat jenaknya yakni lenanya. Maka pada tatkala hendak ditangkapnya akan arnab itu maka terpandanglah ia pula akan seekor kijang melintas yakni lalu di hadapannya. Kemudian ditinggalkannya arnab itu serta pergi menghambat kijang itu. Maka apakala didengarlah oleh arnab akan hingar kaki singa mengejar kijang itu terkejutlah ia seraya lari dengan cepatnya.

Kalakian setelah beberapa jauh dihambat oleh singa akan kijang itu tiadalah jua didapatinya. Kemudian berbaliklah ia hendak menangkap arnab itu. Setelah sampai dilihatnya akan arnab itupun telah lari pula. Maka mengeluhlah ia sambil berkata patutlah sudah balasan kelakuan aku ini kerana adakah patut membuangkan makanan yang di dalam mulutku oleh tamak hendak mendapat yang terlebih banyak lagi. Setelah itu berjalanlah singa itu dengan kelaparannya. Demikianlah halnya yang diterkam tiada dapat yang dikendung berciciran yakni janganlah loba menerkam benda yang banyak dengan membuang benda yang sedikit yang ada di dalam mulut kita adanya.

Ceritera 149 Darihal peladang dengan garuda

Sekali persetua adalah seorang peladang telah berjalan-2 di dalam ladangnya. Tiba-2 bertemulah ia dengan seekor garuda yang telah terkena jebak yakni sangkar perangkap. Maka sangatlah kasihan peladang itu melihatkan hal burung itu lalu dikeluarkannya akan dia dari dalam jebak itu serta dilepaskannya. Maka berbanyaklah garuda itu menerima kasih kepada peladang itu serta terbang dengan sukacitanya.

Arkian pada suatu waktu terlihatlah kepada garuda itu akan peladang yang melepaskan dia dahulu duduk di bawah suatu tembok yang hendak runtuh. Maka melayanglah ia pergi menyambar bujam sirih peladang itu serta

Mukasurat 8/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 8/50

diterbangkannya. Dengan hal yang demikian bangkitlah peladang itu tergopoh-2 pergi mengejar garuda itu serta lepaslah daripada marabahaya tembok itu dijatuhkanlah oleh garuda itu akan bujam sirih itu ke tanah. Setelah diambillah oleh peladang itu akan haknya maka baliklah ia ke tempat yang dahulu itu. Maka dilihatnya akan tembok tempat ia berteduh itu telah roboh semuanya. Kemudian baharulah diketahuinya akan kebaktian garuda itu. Demikianlah halnya jika orang melempar bunga kepada kita hendaklah kita balas dengan bunga jua adanya.

Ceritera 150 Darihal berhala dengan tukang kayu

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa seorang tukang kayu yang terlalu amat miskin telah membuat suatu berhala kayu. Kemudian pada tiap-2 hari pergilah ia menyembah berhala itu memohonkan kekayaan. Akan tetapi di dalam beberapa lama ia berhormat kepada berhala itu jangankan menjadi kaya melainkan bertambah miskinnya pula. Maka pada suatu hari datanglah [rapus] yakni marah tukang kayu itu lalu diambilnya akan berhala itu serta dihempaskannya ke tembok rumahnya.

Kalakian apabila terhempas berhala itu tiba-2 keluarlah suatu mata air emas dari dalam perut berhala itu. Apatahlagi pucuk dicita ulam mendatang. Maka ditadahnyalah oleh tukang kayu itu akan emas itu dengan karung yang terlalu amat banyaknya. Kemudian berkatalah tukang kayu kepada berhala itu katanya hai binatang sial. Lain sekali engkau ini. Tatkala aku hormat akan dikau tiada suatu faedah aku peroleh daripada engkau dan sekarang tatkala ku hembalangkan yakni ku campakkan engkau baharulah pula ku beroleh kekayaan yang tiada terhingga banyaknya. Kemudian kayalah tukang kayu itu yang amat sangat. Demikianlah halnya adapun kekayaan itu bergantung kepada usaha jua bukannya kepada doa sahaja adanya.

Ceritera 151 Darihal lembu dengan kambing

Sebermula adalah seekor lembu telah dihambat oleh seekor singa. Maka larilah lembu itu ke dalam sebuah gua yang dahulunya telah didiami oleh seorang gembala kambing. Maka di dalam gua itu adalah seekor kambing jantan telah

Mukasurat 9/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 9/50

ditinggalkan oleh gembala itu. Dengan hal yang demikian datanglah kambing itu hendak [menyompoh?] lembu itu dengan tanduknya.

Hatta berkatalah lembu itu kepada kambing itu katanya hai sahabatku undurlah tuan hamba dengan segeranya kerana tiadalah hamba takut dan ngeri akan tuan hamba melainkan hamba takut dan gentar pun akan singa itu. Maka apakala singa itu pergi sekarang bolehlah hamba tunjukkan kepada tuan hamba betapakah gagah lembu dengan kambing. Maka di dalam tengah binatang-2 itu berbalah-2 tibalah singa itu mematahkan kedua mereka itu. Demikianlah halnya alamat jahat orang itu jikalau ia tiada menaruh kasihan di atas orang yang di dalam kesudahan adanya.

Ceritera 152 Darihal singa dengan musang serta keldai

Sekali persetua adalah seekor singa dan seekor musang serta dengan seekor keldai telah berteguh-2han setia akan pertolong-2ngan suatu dengan lain di dalam mengejar perburuan. Maka apakala banyaklah didapatinya perburuan itu lalu disuruhlah oleh singa kepada keldai membahagikan pendapatan itu dengan adilnya. Maka diperbahagikanlah oleh keldai itu menjadi tiga longgok yang bersamaan banyaknya serta disuruhnya singa itu memilih mana-2 yang dikehendakinya.

Kalakian datanglah marah singa itu serta dipatahkannya keldai itu. Kemudian lalu disuruhnya musang itu pula membahagikan perburuan itu. Maka ditimbunkanlah oleh musang itu akan pendapatan itu menjadi suatu tonggok yang besar. Kemudian ditinggalkannya suatu tonggok yang kecil menjadi habuannya. Maka berkatalah singa kepada musang itu katanya hai kekasihku pandai sungguh tuan hamba berbahagi dan siapakah orang yang telah mengajar tuan hamba akan ilmu berbahagi ini. Jawab musang itu adapun kepandaian itu hamba belajarkan daripada nasib keldai itu kerana hamba sendiri telah melihatkan kemalangan yang jatuh kepadanya oleh sebab tiada pandai berbahagi. Kemudian diambillah oleh singa itu akan habuannya dengan sukacitanya. Demikianlah halnya sentosalah orang itu barang siapa yang mengambil ibarat daripada kemalangan yang terkena kepada orang lain adanya.

Mukasurat 10/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 10/50

Ceritera 153 Darihal kera dengan ibunya

Sebermula adalah seekor kera telah beranak dua ekor anak kembar seekor jantan dan seekor betina. Maka amatlah sayang kera itu kepada anaknya yang jantan itu serta diserahkannya belajar berbagai-2 ilmu kepada seorang guru. Dan kepada anaknya yang betina itu amatlah benci ia hingga tiadalah dipeliharakannya serta diberikannya [merutu merita] yakni merangkak ke sana ke mari ke mana-2 tempat yang disukanya.

Hatta adapun anak kera yang jantan itu oleh terlangsung kasih sayang ibunya hingga tenggelamlah ia di dalam manja dan tiadalah dapat ditengking yakni dimarah oleh gurunya itu akan dia. Oleh yang demikian tinggallah ia di dalam bodohnya. Maka akan anak kera yang betina itu diambillah oleh seekor kera yang lain dipelihara akannya serta diserahkannya belajar kepada seorang guru yang lain. Maka dengan hal yang demikian pandailah ia di dalam berbagai-2 ilmu. Maka pada akhirnya lalulah diambil oleh seekor raja kera akan dia dijadikannya isterinya. Demikianlah halnya janganlah kita tunjukkan terlampau kasih sayang kepada anak-2 kita kerana sebab itu kelak haruslah tiada memberi kebajikan akhirnya adanya.

Ceritera 154 Darihal arnab dengan anjing

Sebermula adalah seorang pemburu telah membawa seekor anjing pergi berburu arnab dalam sebuah padang. Maka apakala bertemulah ia dengan seekor arnab lalu dilepaskannya anjing itu pergi mengejar binatang itu. Maka beberapa jauh telah dikejarnya tiadalah jua didapatnya. Maka oleh kepenatan lalu berhentilah anjing itu.

Kalakian berlarilah pemburu itu mendapatkan anjingnya seraya berkata hai binatang yang tiada bermalu. Tidakkah aib engkau dialahkan oleh seekor binatang yang kecil di dalam berlari-2. Maka dipandanglah oleh anjing itu ke muka tuannya sambil berkata putus-2 suara dan terjulur-2 lidahnya katanya ya tuanku tidakkah tuanku lihat perbezaannya antara hamba dengan binatang itu. Adapun hamba berkejar ini semata-2 kerana hendak mendapatkan makanan dan akan dia berlari itu menjadi jalan melepaskan nyawanya. Dengan hal yang demikian

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50