Hikayat Raja Budiman

Muka surat 101 hingga 110

Mukasurat 101/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 101/129

Maka dengan seketika itu juga terlihatlah kepada Dewa Keenam. Maka kata Dewa Kecik: Ayuhai abang celaka sungguh Awang Sibuncui ini bahawa panglima gemuk itu kena sudah serkap kita datang ia melepaskan pula.

Maka Dewa Kecik pun melambunglah suatu panah kesaktian menjadi satu belenggu emas berinti perak datang melilit Awang Sibuncui daripada kepalanya sampailah ke kakinya dengan seketika itulah Awang pun rebah terlentang matanya terkelip-2 dan bersiul serit bunyinya.

Telah dilihat segala tentera yang banyak Awang Sibuncui sudah rebah itu maka sekalian pun datanglah menikam ada yang menetak ada yang memukul dengan batu dan kayu berbagai-2lah senjata yang datang menimpa badannya tetapi satu pun tiada diperasakannya hingga matanya sahaja terkelip-2. Maka dengan seketika itu juga ia pun teringatlah pengajaran gurunya tua dan muda lalu segera dibacanya sambil menyentakkan dirinya maka rantai itu pun habis putus hancur menjadi air. Maka ia pun bangkit mengamuk pula di tengah rakyat yang banyak itu tiada luak juga rakyat itu seperti air pasang rupanya.

Maka Awang Sibuncui pun naik ke atas satu balai lalu dicabut sehelai jambulnya dipusarkan di dalam tapak tangannya

Mukasurat 102/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 102/129

sambil dicitanya maka dengan seketika itulah juga menjadi jala besi jojol tembaga maka jala itu pun dicampakkan oleh Awang Sibuncui kepada tentera yang banyak itu. Maka kenalah terlalu banyak tiada terhisabkan lagi sudah ditariknya jala itu digertakkan. Maka segala rakyat yang di dalam jala itu pun habislah mati pecah kepalanya bersemburan otaknya. Dengan hal yang demikian dapatlah dua tiga kali dicampakkannya Awang Sibuncui.

Maka terlihatlah pula kepada dewa yang keenam. Maka kata dewa yang kecik: Ayuhai abang jahatlah Awang Sibuncui ini sudah ia menjala pula. Maka dengan seketika itu juga dilambung oleh Dewa Kecik satu panah api. Maka panah itu pun datanglah seperti tangkas kilat rupanya menuju Awang Sibuncui. Maka jala yang di tangannya itu pun hancur habis semuanya sekali menjadi air. Maka kata Awang Sebuncui: Ayuhai dengki sangat kawan ini kami hendak pula pun tiada boleh mencari ikan barang seekor dua mari dikucai menjala maka matilah anakku tiada boleh makan lauk anak yang belum bunting lagi dengan Cik Dayang Suka.

Maka Awang Sibuncui pun mengambil sehelai lagi rambutnya yang di atas kepalanya dipusarkan juga. Maka dengan sekejip mata jadilah satu pukat besi. Maka Awang pun berkata Ayuhai pak mari pegang pukat ini sebelah dan aku sebelah. Maka Selamat pun

Mukasurat 103/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 103/129

datang memegang pukat itu lalu dilingkungnya rakyat itu berapa banyak yang terkena pukat itu tiada terhisabkan lagi. Telah sudah banyak masuknya maka dirapatkannyalah pukat lalu digertak-2nya habislah mati sekaliannya.

Antara dua iga kali Awang memukat itu maka terpandanglah kepada dewa yang keenam. Maka berkatalah dewa yang kecik: Celaka sungguh Awang Sibuncui itu sudah ia memukat pula abang oi. Maka seketika itu juga dilambungnya satu panah kesaktian. Maka panah itu pun menjadi api bernyala-2lah datang. Maka pukat besi yang di tangan Awang Sibuncui itu pun hancurlah menjadi air. Kemudian dilambungkan pula satu panah kesaktian kepada Awang maka kenalah di atasnya penuh melepuh. Maka Awang pun lumpuhlah rasa badannya tiada larat lagi ia hendak mengangkat kaki tangannya.

Maka apabila terpandanglah kepada orang banyak akan Awang sudah rebah itu lalu dikerumunnya. Maka Awang pun tiadalah apa katanya melainkan bersedia sahajalah. Maka kata Dewa Sulung Hai sekalian rakyat engkau bubuh tali kepada leher Awang. Setelah itu lalu ditariklah mereka itu akan Awang Sibuncui dibawanya ke atas batu hampar. Maka Awang pun diterlentangkanlah oleh orang serta ditindihnya dengan batu yang besar di atas dadanya seperti bukti yang kecil rupanya.

Mukasurat 104/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 104/129

Adalah kira-2 tiga hari tiga malam maka bertitahlah Dewa Sulung kepada sekalian rakyatnya Cubalah pergi lihat Awang itu hidupkah atau matikah. Maka pergilah mereka itu lalu dibukanya batu itu maka terpandanglah kepada mata Awang terkelip-2 tiada juga ia mati. Segeralah ditarik oleh mereka itu dibawanya ke hadapan Dewa Sulung. Maka bertitah Dewa Sulung: Hai tiada juga mati Awang Sibuncui itu terlalu liat nyawa haram jadah itu segeralah kamu bubuhkan ke dalam bubu serta rejamkan ke dalam laut. Maka segeralah dimasukkan oranglah Awang ke dalam bubu serta direjamkannya ke dalam laut.

Setelah tiga hari maka kata Dewa Sulung Pergilah kamu angkat bubu yang berisi Awang Sibuncui itu bawa ke sini. Maka pergilah mereka itu lalu diangkat bubu itu serta dipandangnya mata Awang celik juga terkelip-2. Segeralah diusungnya dibawa balik ke hadapan Dewa Sulung. Maka dipandangnya mata Awang terkelip-2 juga. Maka kata Dewa Sulung: Tiadakah juga mampus hantu di rimba ini. Pergilah kamu segera korek telaga bubuhkannya ke dalam itu timbus dengan kayu dan tuang minyak serta pasanglah api dimanakan boleh ia hidup lagi. Setelah itu maka dikerjakan oranglah seperti titah Dewa Sulung itu dibakar orang tiga hari tiga malam tiada berhenti apinya dan asapnya pun sampailah ke udara.

Mukasurat 105/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 105/129

Telah sampai tiga hari tiga malam pergilah orang melihat dikais-2nyalah habu itu dilihatnya Awang Sibuncui tiada juga mati. Maka diberitahu oranglah kepada Dewa Sulung. Maka katanya segeralah engkau bawa juraskan ke sini. Maka berlari-2lah orang pergi menjuraskan Awang dibawanya ke hadapan Dewa Sulung. Maka kata Dewa Sulung: Tiada mati juga Awang Sibuncui itu. Pergilah engkau bawa tambat kukuh-2 di bawah mahligai aku itu. Maka ia pun baliklah melayang ke tali angin.

Selang antara tiga hari tiga malam dibawah mahligai itu maka datanglah gurunya Awang Sibuncui kepadanya lalu berbisik-2 katanya: Tiadalah engkau ingat pengajaran guru tua dan guru muda. Maka Awang pun teringatlah dan segeralah dibacanya suatu doa. Maka ia pun pulang pulih sediakala serta bertempik sambil mencabut mahligai dewa itu ditatang di atas tapak tangannya. Maka diperlagakannyalah mahligai itu. Maka menjeritlah sekalian anak bini Dewa Sulung yang di atas mahligai itu.

Telah dilihat kepada Dewa Sulung segeralah ia turun lalu disambar mahligai itu maka diletakkanlah balik pada tempat yang lama itu juga. Telah sudah ia pun kembalilah balik ke tali angin.

Adapun akan Awang Sibuncui telah dirasanya mahligai itu telah tiada di tangannya maka ia pun marah lalu mengamuk pula.

Mukasurat 106/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 106/129

Arkian maka tersebutlah pula perkataan Lela Muda berperang di tali angin berlawan dengan raja-2 empat puluh empat buah negeri itu beberapa sudah yang mati dibunuh oleh Lela Muda tiada juga tewas lagi kerana raja-2 itu terlalu banyaknya. Maka ia pun berperanglah dengan bersungguh-2 hatinya. Adalah kira-2 tiga bulan lamanya berperang itu maka raja-2 itu pun tiadalah menderita lagi matinya. Setengah habis lari pulang ke negerinya.

Hatta maka adalah kepada suatu hari sedang ramai Lela Muda berperang itu maka terpandanglah kepada Dewa Kecik lalu ia berkata: Ayuhai abang kelima bahawa orang muda yang berperang di atas itu pun terlalu berani lakunya tiada membilangkan lawan. Berkata itu sambil mengeluarkan suatu panah kesaktian. Maka panah itu pun menjadi seekor sawa emas ekornya bercabang dua lalu datang melilit Lela Muda daripada leher hingga kakinya dan ekornya mencucuk lubang hidung Lela Muda kedua. Maka dengan seketika itu juga ia pun jatuh ke bumi dengan kudanya sekali. Telah beberapa kalinya merentap dan merontah hendak berlepaskan dirinya tiada dapat juga usahkan lepas bahkan makin kuat deratnya sehingga berbunyilah tulang rusuknya. Maka ia pun tiadalah boleh hendak berkata lagi.

Mukasurat 107/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 107/129

Maka dengan hal yang demikian teringatlah dia di dalam hatinya akan adiknya Anak Naga Emas itu lalu ia berkata di dalam hatinya: Ayuhai adikku Anak Naga Emas bilakah lagi tuan hendak datang menolong abang. Tiadakah tuan tahu hal kekanda ini maka hilang di mulut Lela Muda.

Alkisah maka tersebutlah pula perkataan anak Naga emas. Pada suatu hari ia sedang duduk ramai di hadapan orang di pusat tasik Pauh Janggi. Maka ia pun berasalah pada hatinya akan saudaranya Lela Muda kena susah di dalam negeri Gunung Dua Belas. Maka dengan seketika itu juga ia pun bertitah kepada ikan paus ikan raya naga umbing naga sakti naga seri katanya: Ayuhai menteri dan hulubalangku sekalian bersiaplah engkau segera-2 hari ini juga aku hendak pergi bantu abangku Lela Muda sedang berperang di negeri Gunung Dua Belas. Maka sekalian naga-2 dan ikan-2 pun menyembah mengatakan Baik tuanku. Maka sekalian pun bersiaplah masing-2. Telah sudah lalu datang mengadap raja Anak Naga Emas itu. Maka kata Anak Naga Emas: Marilah kamu sekalian dekat di sini. Maka sekalian pun datanglah.

Adapun akan Anak Naga Emas maka dicitakan dirinya menjadi seorang manusia orang muda terlalu baik parasnya tiada dapat ditentang [nyata] lalu ia menamakan dirinya Dewa Kecik Cinta

Mukasurat 108/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 108/129

mani. Kemudian sekalian rakyatnya pun dicitanya menjadi manusia lebar dadanya tiga hasta kepada seorang tingginya separuh raksaksa. Raksaksa maka sekalian mereka itu pun semuanya dimasukkan oleh Dewa Kecik Cintamani ke dalam sarungnya adalah pada kadar seribu orang semuanya.

Telah habislah sudah orang-2 itu masuk maka ia pun duduklah di atas kepala naga itu lalu dibakarnya kemenyan putih diasapkan kepada sarungnya itu dicitanya negeri Gunung Dua Belas hilang di mulut yakin di hati. Dengan seketika itu sarung naga itu pun terbanglah seperti kilat pantasnya dan pucuk dilancarkan seperti burung rajawali seperti mercun baharu.

Antara beberapa lama sampailah di tepi rimba negeri Gunung Dua Belas. Maka Dewa Kecik pun turunlah daripada sarungnya lalu masuk ke dalam medan peperangan membelah di dalam rakyat yang banyak itu mencari abangnya Lela Muda. Tiada berapa lama dicarinya berjumpalah Lela Muda terguling di atas tanah dengan kuda kenaikannya sekali sedang dililit oleh sawa emas itu. Maka Dewa Kecik Cintamani pun sangat marah lalu direntapnya anak sawa emas itu dihempaskan ke bumi menjadi air. Maka dengan seketika itu juga Lela Muda pun bangkit hendak menyembah kepadanya seraya berkata Besarnya kasih tuan orang muda mari menolong lepaskan sahaya daripada kesakitan.

Mukasurat 109/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 109/129

Maka sahut Dewa Kecik Cintamani sambil memegang tangan Lela Muda: Janganlah kekanda menyembah adik takut tulah papa kelak. Tiadakah abang kenal adiklah bernama Anak Naga Emas duduk di pusat tasik Pauh Janggi. Maka Lela Muda pun hairan seketika lalu berkata: Dahulu bukankah adik naga sekarang mengapa manusia pula. Maka jawab Dewa Kecik Cintamani. Oleh hendak datang membantu abanglah maka adik serupa manusia supaya jangan diketahui orang.

Telah sudah berkata-2 itu maka Lela Muda pun dibawa oleh Dewa Kecik Cintamani pergi kepada sarungnya itu. Telah sampai maka sekalian orang besar-2 yang di dalam sarung itu pun semuanya dikeluarkan Dewa Kecik disuruh pergi berperang. Maka ikan pauh ikan raya naga umbing naga sakti naga seri sekaliannya pun melompat masuk ke medan peperangan. Mana yang berhadapan dengan dia semuanya habis mati dikoyaknya dan setengah dimakannya. Mana yang tiada sempat dikoyak lalu ditelannya bulat-2. Maka sekalian rakyat bala tentera Gunung Dua Belas pun tiadalah bertahan lagi habis lari menyorok di bawah batang dan di dalam lubang kayu dan gua batu masing-2 melarikan nyawanya terlalulah besar perang itu.

Maka Awang Sibuncui pun berkata: Ayuhai pak marilah kita lari kerana tiada tertahan kita nanti di sini akhirnya kita

Mukasurat 110/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 110/129

pun dimakannya pula. Maka kedua pun larilah menyusup di bawah balai dan gua. Adapun perang itu terlalu besar menjadi perang guruh [perdenat] perang tidak termana lagi perang melenggang negeri Gunung Dua Belas daripada sangat keras empat hulubalang Dewa Kecik Cintamani meliuk pucuk nyiur melempai pucuk pinang. Habislah putik nyiur dan pinang gugur ke bumi oleh bahana orang berperang itu berkocak air di dalam buyung bertepuk ombak di tulang bumbung habis besar perangnya di dalam negeri itu.

Kalakian maka tersebutlah kisah Dewa Keenam duduk di atas tali angin itu. Pada suatu hari maka terpandanglah mereka kepada rakyat bala tenteranya habis lari bercerai berai itu. Maka mereka keenam pun turunlah mengadap ayahnya di balairung balai besar serta sampai lalu duduk menyembah: Ampun ayahanda beribu-2 ampun sembah patik haraplah diampun. Akan peperangan kita ini pada fikiran anakanda yang enam terlebih baiklah kita tunduk sementara rakyat belum binasa. Tiada akan terlawan oleh kita maka perangnya itu berlainan sangat apabila dapat ditangkapnya habislah dimakannya. Jadi tiadalah terlawan oleh rakyat kita

Maka jawab Raja Tua Mana kata tuan keenam ayahanda turutlah kerana ayahanda pun sudah tua mata pun tiada nampak amat akal bicara pun sudah luput. Maka dengan seketika itulah