Hikayat Penerang Hati

Jilid I

Muka surat 61 hingga 70

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 61/93 Hikayat Penerang Hati

Habsyi

Definisi : 1. orang atau bangsa Habsyah; 2. Habsyah, Abessinia, Ethiopia. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

alpa [al.pa] | الڤا

Definisi : lalai, kurang mengendahkan; janganlah ~ akan kewajibanmu janganlah lalai akan ke­wajiban­mu; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

sintuk [sin.tu/] | سينتوق

Definisi : sj tumbuhan (pokok, dan kulit batang­nya boleh dibuat ubat), Cinnamomum spp.; bersintuk bergosok (badan) ketika mandi: maka isteri Khoja Maimun pun bangun lalu pergi mandi, ~ berlimau; menyintuk menggosok, menggonyoh; menyintukkan menggosokkan, menggo­nyohkan; penyintuk sesuatu yg digunakan utk me­nyintuk: dibunuhnya Tok Wak jurubahasa­nya, utk diambil darah, dibuat ~ meriam itu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Muka surat 61/93

Ceritera 88 Darihal tikus dengan katak serta helang

Sekali persetua adalah waktu seekor tikus telah bersahabat yang terlalu amat akrabnya dengan seekor katak. Maka pada suatu hari timbullah fikiran katak itu menganiayakan tikus itu. Kemudian lalu diajaknyalah akan tikus itu bertambat-2 kaki dengannya. Setelah sudah dibawanyalah akan tikus itu merayap ke tengah suatu padang pura-2 menangkap belalang. Maka dari situ diheretnyalah akan dia ke tepi suatu kubang. Tiba-2 terjunlah ia ke dalamnya dengan menarik tikus itu. Maka akan tikus itu setelah sampailah ke dalam air lalu matilah ia oleh kelemasan.

Arkian timbullah bangkai tikus itu terapung-2 ditarik oleh katak itu berkeliling kubang itu. Maka pada ketika itu adalah seekor helang yang terbang di udara. Setelah dilihatnya akan bangkai tikus itu lalu disambarnyalah akan dia serta di bawanya terbang ke atas sepohon kayu yang tinggi. Maka akan katak yang terlambat di kaki tikus itu pun adalah jua bersama diterbangkannya. Setelah sampailah ke situ lalu dimakannyalah kedua-2 binatang itu. Demikianlah halnya barang siapa yang mintakan bencana melainkan ialah jua yang tersaruk yakni termasuk ke dalamnya adanya.

Ceritera 89 Darihal Habsyi

Sebermula adalah seorang saudagar telah membeli akan seorang abdi daripada bangsa Habsyi yang terlalu amat hitam. Kemudian berfikirlah saudagar itu sebab pun gelap dan berkilat sangat kulit abdinya itu kerana alpa yakni lali tuannya yang dahulu itu tiada menyuruh akan dia bergosok daki-2 yang terlekat pada kulitnya itu.

Kalakian setelah dibawanyalah akan abdinya itu pulang ke rumahnya lalu disuruhilah akan dia pergi mandi dan bersintuk limau dengan menggosok kulitnya itu yang tiada berputusan. Maka di dalam semacam mana digosok dan dikikis pun tetapi hitamnya itu tiadalah jua mahu berubah. Kemudian oleh sebab tiada berhenti berendam itu lalu terkenalah abdinya itu penyakit selsema. Demikianlah halnya pokok cekur itu jika sebagaimana dibaja pun tiadalah boleh menjadi pohon tualang adanya.

Ceritera 90 Darihal serigala dengan biri-2

Sebermula adalah seekor serigala telah berbaring di dalam guanya mengidapkan

Mukasurat 62/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 62/93

kesakitan oleh digigit anjing dan langau pun banyaklah mengurung akan lukanya itu. Maka di dalam lapar dan dahaganya itu sekonyong-2 lalulah seekor biri-2 berhampiran dengan guanya itu. Maka dilaunglah oleh serigala itu akan dia minta capaikan yakni ambilkan seteguk air daripada sungai yang dekat di situ seraya katanya jika bolehlah tuan hamba membawa akan hamba air nescaya dapatlah hamba mengikhtiarkan daging menjadi makanan hamba.

Arkian apakala didengarlah oleh biri-2 akan perkataan serigala itu dijawabnyalah katanya Hai seribu akal sebenarlah sangat perkataan engkau itu. Jikalau boleh aku bawakan air menjadi minuman engkau nescaya dapatlah engkau memperbuatkan tubuhku menjadi makanan. Setelah itu berjalanlah biri-2 itu. Demikianlah halnya adapun perkataan yang khianat itu senanglah sahaja dapat ketara akan ertinya adanya.

Ceritera 91 Darihal orang yang dikokak anjing

Sekali persetua adalah seorang talibulalim yakni orang yang menuntut ilmu telah keluar dari rumahnya hendak pergi ke tempat pelajaran. Setelah sampailah ke separuh jalan datanglah seekor anjing mengokak akan dia di betisnya. Kemudian berjalanlah ia merata-2 tempat hendak mencari ubat. Maka di dalam perjalanannya itu bertemulah ia dengan seorang sahabatnya dan diceriterakannyalah halnya itu kepadanya. Setelah didengarlah oleh sahabatnya itu berkatalah ia katanya Hai kekasihku jikalau tuan hamba berkehendakkan betah yakni sembuh luka tuan hamba itu ambillah sekeping roti sapukan kepada darah luka tuan hamba itu kemudian pergilah berikan supaya dimakan oleh anjing yang mengokak tuan hamba itu.

Syahadan apakala didengarlah oleh orang itu akan nasihat sahabatnya itu tertawalah ia gelak-2 seraya berkata Hai sahabatku jikalau hamba perbuatlah sebagaimana pengajaran tuan hamba itu bukankah seolah-2 hamba [membangsang] yakni menyuruh segala anjing yang di dalam pekan ini mengokak hamba. Setelah itu senyaplah orang yang memberi nasihat itu bagai dikatuk bagai disekel. Demikianlah halnya menumpahkan kebajikan ke atas orang yang membuat kejahatan seolah-2 [membangsang] ia membuat bertambah kejahatan lagi adanya.

Mukasurat 63/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 63/93

Ceritera 92 Darihal pemburu dengan penjala

Sebermula adalah seorang pemburu sedang berbalik dari berburu serta dengan anjingnya berjumpalah ia dengan seorang penjala yang membawa sebiji bakul penuh berisi ikan. Maka datanglah ingin di hati pemburu itu berkehendakkan ikan itu. Kemudian diajaknyalah akan taulannya itu bertukar-2 barang pendapatannya. Maka oleh kedua-2nya pun sangat berhajat akan isi bakul masing-2. Lalu bertukarlah mereka itu dengan sukacitanya.

Kalakian di dalam beberapa lama dengan hal yang demikian itu pada tiap-2 hari diperbuatlah oleh mereka itu seperti yang demikian itu. Kemudian pada suatu hari berkatalah seorang sahabat mereka itu katanya Hai kedua taulanku jikalau kamu lazimkan bertukar-2 barang pendapatan masing-2 pada tiap-2 hari nescaya cepatlah kedua kamu jemu akan kesukaan bertukar-2 itu dan masing-2 pun kelak ingin hendak menyimpan sendiri akan perolehannya. Oleh itu terutamalah tuan hamba jarang-2 akan pertukaran itu supaya lambat jemunya. Setelah itu masing-2 pun jaranglah bertukar-2 akan rezekinya. Demikianlah halnya di dalam sebarang hal itu jarang-2 terlebih nyaman daripada galak adanya.

Ceritera 93 Darihal gagak dengan musang

Sekali persetua adalah seekor gagak telah menyambar sekeping daging daripada tempat orang membantai yakni menyembelih binatang serta diterbangkannya ke atas sepohon kayu yang tinggi. Setelah hinggaplah ia di situ akan daging itu ada jua digonggongnya. Maka akan hal itu terlihatlah kepada seekor musang dan datanglah citanya berkehendakkan daging itu. Kemudian diperbuatlah oleh musang itu suatu helah seraya berkata kepada gagak itu katanya Hai kekasihku. Adapun yang tuan hamba itu sangatlah indahnya dan paras tuan hamba itu amatlah persihnya serta pula gilang gemilang cahaya muka tuan hamba. Maka jikalau sekiranya adalah suara tuan hamba itu bersamaan merdunya dengan paras tuan hamba itu maka sangatlah layaknya tuan hamba menjadi permaisuri segala unggas yang di dalam dunia ini.

Syahadan setelah didengarlah oleh gagak itu akan pujian musang itu ke atasnya maka datanglah takbur di dalam hatinya lalu direnggangkannyalah paruhnya seraya berbunyi hendak menunjukkan merdu suaranya itu. Wah apatah lagi daging yang digonggongnya itu

Mukasurat 64/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 64/93

pun gugurlah ke bumi dan berlarilah musang itu mengambil akan dia seraya berkata Hai gagak yang baik budi. Akan suara engkau itu sangatlah merdunya. Akan tetapi akal engkau jua yang berkurangan. Setelah itu berjalanlah ia dan tinggallah gagak itu dengan kemasyghulan. Demikianlah halnya seyogianya kita beringat daripada pujian orang supaya jangan terpedaya seperti gagak itu adanya.

Ceritera 94 Darihal dua ekor anjing

Alkisah adalah seorang pemburu telah memeliharakan dua ekor anjing seekor besar dan seekor kecil. Adapun anjing yang besar itu dilatihnya menolong ia berburu dan anjing yang kecil itu diajarnya menjaga rumahnya. Maka apabila ia pulang dengan mendapat perburuan yang banyak diberinyalah sekeping daging yang besar kepada anjing yang kecil itu. Maka akan hal itu sakitlah hati anjing yang besar itu. Maka pada suatu masa dinistalah oleh anjing yang besar akan yang kecil itu katanya aku yang penat lelah mengejar perburuan padahalnya engkau diam-2 memperoleh rezeki makmurnya daripada usaha pencarianku.

Hatta dibalaslah oleh anjing kecil akan perkataan itu katanya Hai rakanku sabarlah engkau daripada mengusar akan daku kerana hal itu sekali-2 bukan kekhilafan aku melainkan khilaf tuan kita jua tiada mengajar aku mengejar perburuan hanyalah diam di rumah dengan beroleh rezeki daripada pencarian dan usaha engkau. Oleh itu janganlah aku dimurkai. Setelah didengarlah oleh anjing yang besar akan jawapan itu diamlah ia dengan masyghulnya. Demikianlah halnya seyogia janganlah dimarahkan kanak-2 sebab kesalahan ibu bapanya adanya.

Ceritera 95 Darihal perempuan tua dengan takar anggur

Sekali persetua adalah seorang perempuan tua telah berjalan-2 di dalam suatu bandar. Tiba-2 terjumpalah ia dengan sebiji takar kosong yang dahulunya telah berisi air anggur yang teramat. Oleh yang demikian tinggallah baunya di dalam takar itu yang terlalu amat manisnya.

Hatta diangkatlah oleh perempuan tua akan takar itu seraya mencium mulutnya beberapa kali. Maka sambil berjalan pergi balik berkatalah

Mukasurat 65/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 65/93

ia katanya Amboi sedapnya bau ini. Betapakah lazatnya engkau ini dahulunya kerana bau yang tinggal ini amatlah nyamannya. Setelah itu pulanglah ia mencebet yakni membawa takar itu. Demikianlah halnya perbuatan yang baik itu kekallah dikenang orang selama-lamanya adanya.

Ceritera 96 Darihal janda dengan biri-2

Sekali persetua adalah seorang janda yang terlalu amat miskin telah memeliharakan seekor biri. Maka pada musim orang mengguntingkan bulu biri berniatlah ia hendak mengguntingnya kerana hendak dijualnya bulu biri-2 itu akan membeli makanan. Tetapi kerana mengelakkan belanja mengupah pada tukang lalu diguntingnyalah sendiri akan dia. Maka oleh kurang pandainya terguntinglah daging biri-2 itu bersama-2.

Kalakian menggelupurlah biri-2 itu seraya berkata Hai tuanku mengapakah engkau melakukan hamba oleh tercampur darah hamba yang sedikit itu. Berapakah banyak bertambah beratnya bulu hamba itu. Maka jikalau tuanku berkehendakkan daging hamba panggillah tukang pembantai menyembelih hamba dan jikalau berkehendakkan bulu hamba panggillah tukang gunting mengguntingkan supaya tiada melukakan hamba. Setelah itu diamlah janda itu. Demikianlah halnya berniaga dengan modal yang sedikit payahlah mendapat untung yang banyak adanya.

Ceritera 97 Darihal keldai liar dengan singa

Alkisah adalah seekor keldai liar telah bersahabat dan bersetia yang teramat teguhnya dengan seekor singa. Kemudian masuklah mereka itu ke dalam rimba berburu binatang-2 akan jadi makanannya. Adapun pekerjaan singa itu menolong keldai itu mematahkan perburuan kerana ia terlalu gagah dan pekerjaan keldai itu menolong singa itu mengejar binatang-2 kerana ia terlalu tangkas berlari. Maka apakala banyaklah sudah diperolehnya perburuan berkatalah singa kepada keldai itu katanya Hai sahabatku baiklah kita berbahagi akan pendapatan kita ini. Maka jawab keldai itu Hai kekasihku silalah tuan hamba perbahagikan dengan adilnya kerana kita berdua sama-2 berusaha berburu tadi.

Arkian lalu dibahgilah oleh singa itu akan binatang perburuan itu

Mukasurat 66/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 66/93

dengan tiga bahagian yang bersamaan banyaknya. Kemudian berkatalah ia kepada keldai itu katanya Hai sahabatku akan sekarang telah sudahlah aku perbahagikan perburuan kita ini dengan tiga bahagian. Adapun bahagian yang pertama itu habuan raja dan akulah hendak mengambilnya kerana aku ini raja segala binatang. Dan bahagian yang kedua itu akulah jua hendak mengambilnya akan jadi habuanku di dalam pekerjaan usahaku berburu dengan engkau. Maka bahagian yang ketiga itu jika tiada engkau serahkan kepada aku dengan ikhlas hatimu dan persih mukamu serta nyah yakni undur engkau dari sini dengan segeranya nescaya bolehlah mendatangkan marabahaya yang besar ke atas engkau. Setelah itu larilah keldai itu dengan ketakutannya dan tinggallah singa itu memakan perburuan itu seorang dirinya. Demikianlah halnya jika ada kita berkuasa seyogianya jangan kita aniayakan orang adanya.

Ceritera 98 Darihal rusa di dalam kandang lembu

Alkisah adalah seekor rusa telah dikejar oleh beberapa ekor anjing perburuan. Maka oleh sangat ketakutan ia akan marabahaya itu lalu larilah ia dengan buta tulinya bersembunyikan dirinya ke dalam sebuah kandang lembu serta menyorok dki bawah jerami-2 tempat tidur lembu itu. Maka berkatalah seekor lembu kepada rusa itu katanya Hai sahabatku yang malang mengapakah tuan hamba menempah kematian dengan menyerahkan diri kepada seteru. Maka dijawablah oleh rusa itu Hai kekasihku jikalau bolehlah tuan hamba membenarkan hamba bersembunyi di sini kemudian dapatlah hamba mencari ikhtiar melepaskan diri hamba daripada marabahaya itu.

Hatta apakala hari pun merembang petang datanglah gembala lembu ke bangsal itu memberi makan binatangnya. Tetapi tiadalah jua dilihatnya akan rusa itu. Dengan hal yang demikian sangatlah sukacita rusa itu serta memberi beribu-2 syukur oleh perasaannya telah terlepas ia dari marabahaya. Kemudian berkatalah ia kepada lembu-2 dengan berbagai-2 perkataan yang lemak manis memberi terima kasih sebab menolong dia di dalam waktu yang sempit. Kemudian berkatalah pula seekor lembu katanya Hai

Mukasurat 67/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 67/93

sahabatku sesungguhnya amatlah perkenan kami sekalian akan tuan hamba terlepas daripada bencana. Akan tetapi belumlah boleh dikatakan tuan hamba itu terlepas lagi daripada marabahaya kerana adalah seorang lagi yang hendak datang ke mari. Maka orang itu seperti keadaan beratus-2 matanya. Di dalam sebelum ia datang dan berbalik maka yang nyawa tuan hamba itu belumlah lagi sentosa.

Kalakian di dalam tempoh berkata-2 itu tiba-2 masuklah tuan lembu itu ke dalam kandang itu serta merungut-2 akan lembunya tiada mendapat makanan yang cukup. Kemudian berjalanlah ia ke tempat tidur lembu-2 itu. Serta sampai berlaunglah ia sekuat-2 hatinya lihatlah adakah cukup makanan lembu-2 ini dan jerami tempat tidurnya pun sangatlah kekurangan dan semua si pemalas itu tidaklah mahu menyapu sarang labah-2 itu. Setelah itu lalu dibelekilah rata di dalam kandang itu. Di dalam itu sekonyong-2 terpandanglah ia kepada hujung tanduk rusa yang mengendap di bawah jerami itu. Maka lalu berserulah ia memanggil hamba-2nya. Maka tatkala datanglah mereka itu lalu dikepongnyalah akan rusa itu serta ditangkap dan disembelihnya. Demikianlah halnya baiklah kita ingat-2 supaya jangan kita lari dari mulut buaya jatuh ke mulut harimau seperti rusa itu adanya.

Ceritera 99 Darihal keldai bermain

Sebermula adalah seekor kera telah melompat-2 di atas bumbungan sebuah rumah. Dengan hal yang demikian makin ramailah orang-2 berhimpun melihatnya serta dengan gelak mengilai yakni tertawa-2. Maka hal itu dilihatlah oleh seekor keldai. Maka datanglah pula ingin hatinya hendak memperbuat seperti yang demikian itu. Maka pada suatu hari memanjatlah pula keldai itu ke atas bumbungan rumah itu serta melompat ke sana ke mari sambil merenguh yang amat dahsyatnya. Oleh itu habislah pecah belah genting bumbungan itu. Maka apakala dilihatlah oleh tuan rumah akan hal itu naiklah ia memukul keldai itu dengan suatu belantan yakni tongkat besar yang teramat teruknya.

Arkian sambil berlari turun berkatalah keldai itu katanya Hai manusia kelmarin adalah ku lihat seekor kera telah menari seperti kelakuan aku itu

Mukasurat 68/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 68/93

padahal kamu sekalian tertawa akan dia yang tiada terhingga seperti suatu permainan. Akan sekarang mengapakah kamu menggusar yakni marah akan daku tatkala aku menari seperti kera itu. Maka berkatalah orang itu sambil memalu akan dia katanya Hai binatang yang dungu. Padanlah engkau menjadi keldai. Tiadakah engkau sedarkan dirimu itu sangatlah berlainan dengan kera itu. Setelah itu larilah keldai itu dengan sekuat hatinya. Demikianlah halnya barang siapa yang tiada tahu akan perbezaan di antara benar dengan salah seyogianya patutlah dilatih akan dia seperti keldai itu adanya.

Ceritera 100 Darihal garuda dengan anak panah

Sebermula adalah seekor garuda telah bertenggek di atas suatu batu yang tinggi di tepi sebuah gunung kerana hendak menangkap seekor kucing belanda. Maka pada waktu itu adalah seorang pemburu mengendap yakni bersembunyi di dalam suatu rumpun hendak memanah akan dia. Setelah [ditemengnyalah] baik-2 yakni ditujunya betul lalu dipanahnyalah akan dia dan anak panah itu pun betul mengenai dada garuda itu.

Hatta apakala dirasalah oleh garuda itu akan anak panah itu mengenai dadanya lalu dikerlingnyalah yakni dipandangnyalah akan dia dan dilihatnya adalah anak panah itu telah diperbuat orang daripada bulunya yang luruh. Kemudian mengeluhlah ia sambil berkata Hai nasib yang malang. Berganda-2lah perkabungan yakni masyhgulnya aku kerana adalah kematian aku ini diperbuat oleh buluku yang telah gugur. Setelah habis garuda itu berkata-2 begitu lalu matilah ia. Demikianlah halnya seyogianya kita mengambil insaf maka kemalangan yang datang ke atas diri kita kurang cermat kita sendiri nescaya menjadi sesallah yang besar kepada kita adanya.

Ceritera 101 Darihal burung helang yang sakit

Sebermula adalah seekor helang telah bersarang di atas sepohon kayu yang besar. Kemudian beranaklah ia seekor anak. Setelah besarlah anak helang itu pada tiap-2 hari pergilah ia menyambar makanan seperti daging dan sebagainya. Dengan hal yang demikian pad suatu hari jatuhlah ia yang amat

Mukasurat 69/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 69/93

sangatnya. Maka tatkala dirasanya akan dirinya itu hampir mati lalu berkatalah ia kepada ibunya katanya Ayuhai ibuku jangan apalah ibuku sangat berdukacita sekadarkan haraplah aku akan ibuku berdoa kepada Dewata yang mulia raya dilanjutkannya usia umur zamanku adanya.

Arkian apakala didengarlah oleh ibu helang itu akan perkataan anaknya lalu berkatalah ia katanya Amboi Hai anakku. Dibuat yang manakah yang kasihan akan engkau dari kerana tiadalah suatu Dewata pun yang tiada engkau berdosa kepadanya dengan mencuri akan lauk-2 yakni daging-2 dan penganan-2 yang digenggulangkan orang kepadanya. Setelah itu matilah anak helang itu. Demikianlah halnya jikalau kita berkehendakkan pertolongan orang besar-2 di dalam kesusahan kita hendaklah kita berbuat jasa dan kebaktian kepadanya di dalam waktu sihat anggota kita adanya.

Ceritera 102 Darihal singa bersahabat dengan todak

Sebermula adalah seekor singa telah berjalan-2 di pantai sebuah lautan. Tiba-2 terlihatlah ia akan seekor ikan todak mengangkatkan kepalanya di dalam ombak lautan itu. Maka diajaklah oleh singa itu akan todak itu bersahabat dan bersetiawan serta bertolong-2an dengan dia. Maka katanya Hai todak adapun yang hamba ini raja di antara segala binatang yang di atas muka bumi dan akan tuan hamba itu raja di antara ikan yang di dalam lautan. Tak dapat tiada tentulah persahabatan kita kelak memberi aman kebajikan selama-lamanya dengan tiada tolok bandingnya. Maka apakala didengarlah oleh todak akan perkataan singa itu sukacitalah ia yang tiada terkira lalu diperkenankannyalah maksud singa itu.

Hatta bersahabatlah kedua ekor binatang itu yang terlalu amat akrabnya. Maka tiada berapa lamanya di belakang itu berbangkitlah suatu peperangan di antara singa itu dengan seekor babi jantan. Dan perkelahian itu amatlah dahsyatnya. Kemudian mengutuslah yakni menyuruhkan singa kepada todak itu meminta bantuan. Setelah didengarlah oleh todak akan hal sahabatnya itu lalu bersiaplah ia akan alat kelengkapan serta berkerahlah ia menghimpunkan segala rakyat belanya. Tetapi dengan sebarang helah dianya tiadalah ia boleh naik ke darat.

Mukasurat 70/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 70/93

Arkian marahlah singa akan todak serta dicercanya akan dia dengan berbagai-2 perkataan yang keji-2 sebab memungkirkan setiawannya. Maka dijawablah oleh todak itu katanya Hai sahabatku. Adapun yang hamba ini sangatlah sukacita membantu tuan hamba akan tetapi apalah upaya hamba kerana hamba ini telah dijadikan oleh Dewata diam dan berkuasa di dalam lautan. Betapakah boleh hamba berkuasa di atas muka bumi pula. Oleh itu adalah gusaran yakni murka tuan hamba itu seolah-2 menggusar Dewata yang mulia raya yang menjadikan kita. Setelah didengarlah singa itu akan balasan todak itu masamlah mukanya dan daripada masa itu berparaklah yakni bercerailah persekutuan mereka itu. Demikianlah halnya bagaimanakah boleh menerbitkan tanduk kucing adanya.

Ceritera 103 Darihal singa dengan babi jantan

Sekali persetua adalah pada suatu masa telah berlaku musim kemarau yakni musim panas seekor singa dan seekor babi jantan yang terlampau amat dahaganya telah berjalan-2 di dalam sebuah padang mencari air. Tiba berjumpalah kedua ekor binatang itu dengan suatu telaga yang [kejing] lagi sedikit airnya. Maka berbantahlah kedua binatang itu dengan gegak gempitanya kerana masing-2 hendak meminum dahulu di telaga itu. Dengan hal yang demikian lalu berkelahilah kedua binatang itu dan masing-2 pun banyaklah garis dan luka.

Hatta seketika lamanya kedua ekor binatang itu pun berhentilah melepaskan lelahnya. Kemudian baharulah mereka itu hendak berkelahi semula. Yang [berkebah gasang] yakni [kersi] daripada yang sudah itu. Maka di dalam tempat duduk-2 itu terpandanglah mereka itu akan beberapa ekor burung gagak dan anak-2 hering melayang di udara yang terlalu amat tingginya menanti hendak memakan bangkai binatang itu mana-2 yang mati dahulu.

Arkian setelah dilihatlah oleh kedua ekor binatang itu akan burung-2 itu lalu berkatalah babi kepada singa itu katanya Hai sahabatku terlebih utamalah kita berdamai dan berhenti daripada berkelahi ini kerana jikalau kita panjangkan perkelahian kita ini tak dapat tiada salah seorang kita akan mati. Maka jikalau siapa-2 yang mati kelak tentulah menjadi makanan burung gagak dan anak hering itu. Lihatlah burung-2 itu hadir sahaja menanti hendak memakan kita. Setelah didengarlah oleh

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50