Hikayat Raja Budiman

Muka surat 21 hingga 30

Mukasurat 21/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 21/129

kepada anakanda juga telah sudah berkata-2 itu maka Lela Muda pun segeralah pergi mengadap bondanya Tuan Puteri Permaisuri dengan teriak tangisnya bermohon hendak berjalan maka Tuan Puteri Permaisuri pun sangatlah menangis selaku pengsan kerana terlalu belas kasihan memandang puteranya terlalu kecil belum sampai akal bicaranya. Setelah sudah berkata-2 itu maka Lela Muda pun segeralah turun pergi menyuruh pakai kuda hijau itu mukanya lengkap dengan kang pelananya menanti sangat Lela Muda hendak berjalan.

Alkisah maka tersebutlah perkataan seorang hulubalang Raja Budiman bernama Selamat Tandang Desa maka ia pun telah mendapat khabar Lela Muda itu hendak berjalan. Maka Selamat Tandang Desa pun segeralah pergi berlari ke Balai Rong Seri mengadap Lela Muda serta sampai lalu berdatang sembah Ampun tuan patik hendak ke manakah Tuanku bersiap kuda ini maka jawab Lela Muda Aku hendak pergi mencari burung inderabayu maka sembah Selamat Tandang Desa sambil bersenda kelmarin dahulu patik berjumpa dengan burung inderabayu borek-2 bulunya tengah duduk bercakap-2 dengan tahi kerbau di tengah jalan itu. Maka perkataannya pun terdengarlah kepada Raja Budiman lalu segera dipanggil Selamat itu bertanyakan burung inderabayu maka sembah Selamat Adalah patik berjumpa burung itu sedang bercakap-2 dengan tahi kerbau di tengah jalan itu hilang burung inderabayu timbul burung bernama [cik gan] telah sudah berkata-2 itu Selamat Tandang Desa pun beralih duduk mengadap kepada Raja Lela Muda Ampun tuan patik jika hendak ke mana-2

Mukasurat 22/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 22/129

pun nantilah patik hendak pulang ke rumah dahulu sebentar maka Selamat pun pulanglah berlari-2 setelah sampai ke pintu pagarnya lalu ia memanggil isterinya bernama Mek Sibunga Jampa Wahai Mek Sibunga Jampa ambillah talak engkau kerana aku hendak berjalan dengan Raja Lela Muda pergi mencari burung inderabayu maka jawab isterinya Amboi Abang Mat janganlah diberi talak aku jikalau Abang Mat hendak pergi ke mana-2 sekali pun pergilah. Maka jawab Selamat Marilah di sini dengar baik-2 aku hendak bagi dua kata satu talak satu taklik bila aku berkehendak ketika itulah aku balik maka isterinya pun tertawa maka kata Selamat Janganlah mika tertawa kerana terlalu manis aku pandang mika tengah bunting sarat Abang Mat ini tiada boleh memandang yang manis itu tiada tertahan sabar oleh Abang Mat maka Mek Sibunga Jampa pun undurlah kemalu-2an lakunya. Maka kata Selamat Wahai Mek segeralah siapkan tempat sirih aku maka isterinya pun segeralah mengambil sumpit belulang gajah dibubuhkan pinang dan mayang-2nya dan tembakau dengan kepok-2nya dan sirih dengan ranting cawangnya telah sudah lalu diserahkan oleh Mek Sibunga Jampa lalu disambut oleh Selamat dikepit di bawah ketiaknya seraya berkata Hai Mek adapun engkau ini tengah mengandung jika engkau beranak laki-2 hendaklah engkau taruh namanya Awang Sibuncul jika perempuan ikut sukahati engkau. Telah sudah berpesan itu maka ia pun pergi ke balai besar Raja Budiman dari jauh lagi sudah ia berkata Wahai tuan patik Raja Lela Muda silalah tuan patik berjalan dahulu patik hamba tua adalah mengikut di belakang.

Mukasurat 23/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 23/129

Alkisah maka Lela Muda pun segeralah melompat naik ke atas kuda hijau kesaktian serta dipetik tali dandang sekawan maka kuda itu pun terbang melambung ikut tali angin derasnya seperti pucuk dilancarkan seperti kumbang putus tali seperti mercun baharu jadi seperti sewah si rajawali. Telah dipandang oleh Selamat Tandang Desa hal tuannya demikian maka ia pun sentap golok besar sebidang matanya menentang ke atas ikut tali angin kakinya berlari berebahanlah sekalian hutan rimba belantara itu kayu besar habis patah bagai dibedil kayu kecil bagai digunting rotan dahannya bagai [dirampis] batu ditendang terpelanting ianya lepas ke hadapan juga. Maka sekalian mergastua daripada burung barang pelanduk napuh sapi kijang rusa habis lari membawa nyawa pada segenap gunung yang tinggi-2 dan segenap pantai laut. Adapun Selamat berlari-2 itu bersungguh-2 habis [ajud] dengan anggota sebentar terharung ke dalam paya keladi dan sebentar terharung ke dalam paya benderung dan sebentar terharung ke dalam paya kelubi antara beberapa lamanya berjalan itu maka bertemulah sebuah gunung terlalu tingginya dan hari pun sudah merindu petang maka kuda Lela Muda pun turunlah di atas mercu gunung telah terjijak kaki kuda kesaktian itu ke tanah Selamat Tandang Desa itu pun sudah sampai seraya berkata Patik hamba tuan ini sampai juga. Maka kata Lela Muda Wahai abang berhentilah kita di sini kerana hari hampir malam. Maka Lela Muda pun turun dari atas kudanya dan Selamat Tandang Desa pun segeralah pergi [...] daun-2 kayu ditimbunkan pada tempat itu seketika lagi hari pun malam

Mukasurat 24/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 24/129

maka kata Selamat Tandang Desa Silalah Tuanku beradu di atas daun kayu ini maka Lela Muda pun berbaringlah kudanya di sebelah kiri dan Selamat di sebelah kanan. Adapun Selamat itu belum sampai kepalanya ke bantal sudah lena dahulu dan Lela Muda itu tidur tiada mahu lena. Maka sampai pada waktu tengah malam maka kedengaranlah pada telinga Lela Muda bunyi jentera orang bertenun kain dengan dua belas ragam bunyinya terlalu indah tiada berapa jauh daripada tempat peraduan itu. Maka antara beberapa ketika hari pun sianglah. Maka Lela Muda pun bangun seraya berkata Wahai Abang Mat bangkitlah kerana hari sudah siang. Maka Selamat pun bangkit segera diambil sebiji kendi suasa bertampuk emas lalu membasuh muka dan mengadap kiblat membaca syahadat telah sudah lalu makan sirih. Maka Lela Muda pun berkata Wahai Abang Mat tidur semalam sangatlah lena beta tiada mahu lena serba salah dibawa meniarap tiada boleh dan dibawa melintang pun demikian juga. Maka pada malam ini apa-2 ada pendengaran Abang Selamat. Maka sembah Selamat Tiada apa-2 suatu pendengaran patik hanya patik bermimpi berulit di atas lengan Mek Sibunga Jampa juga. Maka sahut Lela Muda Wahai Abang Selamat pada waktu tengah malam itu pendengaran aku sangatlah indah-2 bunyi orang bertenun kain dengan dua belas ragam bunyinya sangatlah ingin aku hendak bertemu dengan orang yangbertenun itu. Telah didengar oleh Selamat akan perkataan Lela Muda itu ia pun segera bangkit memandang ke kiri dan ke kanan maka terpandanglah kepada seorang perempuan terlalu besarnya. Maka Selamat pun duduk balik khabarkan kepada Lela Muda. Maka Lela Muda pun berkata Wahai Abang Selamat

Mukasurat 25/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 25/129

tinggallah engkau di sini aku hendak pergi cari orang yang bertenun semalam. Maka sembah Selamat Tandang Desa Janganlah Tuanku tinggal patik kerana patik takut dimakan oleh hantu itu cubalah Tuanku lihat susunya seperti busut jantan. Maka kata Lela Muda tiada mengapa tiada dimakannya kerana ialah bonda angkat beta Tuan Puteri Shamberan Gunung. Maka Lela Muda berjalan menuju ke tempat tuan puteri itu antara beberapa ketika terpandanglah kepada tuan puteri itu. Maka ia pun berkata Wahai anak bonda semangat bonda buah hati pengarang jantung bonda marilah sini. Maka sahut Lela Muda Baiklah bonda anak mari pun sahaja hendak datang di rumah bonda. Telah berdekat maka tuan puteri itu pun memeluk mencium Lela Muda seraya dipangku diletakkan di atas pehanya yang kanan seraya berkata Anak bonda semangat bonda dari mana anak bonda datang sesat melarat mari sampai ke rumah bonda. Maka kata Lela Muda Wahai bonda anak ini disuruh orang mencari kayu api dan daun palas hendak buat ketupat sebab itulah maka anakanda ini jadi sesat melarat ke dalam hutan dan rimba sekarang ini jatuh ke rumah bonda. Maka Tuan Puteri Shamberan Gunung pun berkata Anak bonda semangat bonda janganlah kiranya tuan sembunyikan kepada bonda dengan sesungguhnya tuan khabarkan kepada bonda. Maka kata Lela Muda Anak ini hendak mencari burung inderabayu. Maka jawab tuan puteri itu Wahai anak bonda langit yang tinggi dapatkah kita hendak sanggai dan bukit yang besar dapatkah kita merubah laut yang dalam dapatkah kita timba di manakah ada burung inderabayu itu di sini bonda dengar cerita orang yang ada

Mukasurat 26/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 26/129

burung itu dalam negeri Gunung Dua Belas jadi permainan Tuan Puteri Bongsu Kecil Selenggang Cahaya itulah bonda mendengar khabar burung inderabayu apalah daya upaya kita hendak mengambil burung itu kerana negeri itu beberapa banyak orang kesaktian. Ada pun yang bernama negeri Gunung Dua Belas itu kotanya batu sebelah melilit ke Gunung Rimba Raya dan sebelah melilit ke Laut Belantara meriamnya berapit di atas kota itu soldadu duduk berkisar tunam senantiasa hendak membaris ke Laut Belantara dan rakyatnya terlalu banyak di dalam negeri itu. Maka bercakap seorang sepatah itu pun seperti bunyi tebuan di dalam sarang dan seperti lalat di dalam gua dan rakyatnya berniaga tolak raih sama sendiri tiada boleh dagang santeri masuk berniaga ke dalam negeri Gunung Dua Belas itu banyaklah orang kesaktian duduk bertunggu kawal dan jaga siang malam segenap di dalam air orang bertunggu jaga dikawal oleh Panglima [Berhining] Ketujuh dan segenap tali angin ada juga orang yang bertunggu jaga oleh Dewa Keenam terlalu besar kesaktiannya dan terus mata janganlah anakanda pergi ke situ. Maka sahut Lela Muda Baiklah bonda sudah untung nasib anakanda hendak mati di gunung itu melainkan anakanda hendak pergi juga Bonda Tengah sakit sangat [tergahri] hendak makan burung inderabayu jikalau anak tiada dapat burung itu tiadalah boleh anakanda pulang ke negeri Serendah Sekebun Bunga telah itu maka Lela Muda pun diletakkan oleh Tuan Puteri Shamberan Gunung ia bangkit mengambil periuk gerengseng dan beras tiga gantang lalu dimasak nasi dan membakar pisang tiga mayang. Telah masak lalu dilecek dengan nasi itu telah sudah [terleging] nasi dan pisang itu maka Tuan Puteri Shamberan Gunung pun mengangkat Lela Muda diletaknya

Mukasurat 27/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 27/129

di atas ribanya sebelah kanan dan Puteri Sejunjung Batu pada riba sebelah kiri maka lalulah suap nasi sesuap pada Lela Muda dan sesuap pada anaknya. Setelah sampai tiga suap Lela Muda pun berkata Wahai bonda anak ini sudah kenyang maka disuaplah kepada anaknya Mek Sejunjung Batu. Telah sudah makan maka Puteri Shamberan Gunung pun hendak menyusu Lela Muda lalu diambil teteknya disuap ke mulut Lela Muda maka mulut Lela Muda pun tertumus di tiang susu itu kerana tiada termuat mulutnya seketika Semangku Bumi laki Puteri Shamberan Gunung itu pun pulanglah daripada mencari makan berebahanalah bunyi rimba raya seperti ribut dan taufan. Telah terdengarlah kepada Lela Muda maka ia pun bertanya kepada bondanya Wahai bonda apakah yang berbunyi seperti ribut taufan itu maka jawab Tuan Puteri Shamberan Gunung Itulah ayah kamu pulang daripada mencari makan seketika itu juga Semangku Bumi itu pun sampai ke rumahnya maka dilihatnya seorang kanak-2 maka ia pun berkata Hai samatua di manakah mika dapat seorang budak itu terlalu amat baik parasnya seperti tanduk berseperi gading seperti bayang di dalam hujan. Maka sahut isterinya inilah anak Raja Budiman bondanya bernama Permaisuri negerinya bernama Serendah Sekebun Bunga ia bernama Lela Muda maka kata Semangku Bumi Anak ayah semangat ayah anak hendak pergi ke mana maka jatuh mari ke rumah ayah maka sahut Lela Muda Anak ini hendak mencari burung inderabayu maka kata Semangku Bumi Apakah kata anak ayah itu kerana ayah tiada mendengar lagi naiklah atas bahu ayah ini supaya dekat sedikit dengan telinga ayah

Mukasurat 28/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 28/129

maka Lela Muda pun segera menyingsing lengan bajunya serta dikeruk ke dalam lubang telinga dan keluarlah segala ular dan lipan lalu dibuang oleh Lela Muda bukan sedikit baharulah dikhabarkan oleh Lela Muda dengan telinganya anak ini hendak mencari burung inderabayu baharulah kedengaran pada Semangku Bumi katanya Ku dengar sudah kata anak ayah semangat ayah janganlah anakku pergi ke Gunung Dua Belas sedangkan ayah lagi tiada boleh pergi ke sana kerana sangat banyak orang-2 kesaktian di dalam negeri itu jikalau pada negeri lain ayah sendiri pergi bersama-2 dengan anak ayahlah akan menjadi hulubalang besar pada anak. Maka kata Lela Muda Baiklah ayah minta ayah tolong doakan anak berjalan ini berkat doa Mambang Dewata Mamak Jin Lela Bujangga anak berjalan selamat jikalau balik kelak anak daripada Gunung Dua Belas hendaklah ayah ini anak ambil bawa pulang ke negeri Serendah Sekebun Bunga boleh anak angkatkan ayah ini pahlawan yang besar di dalam negeri itu maka kata Semangku Bumi Baiklah anak kemudian maka kata Semangku Buni Anak hendak melihat gagah perkasa ingat-2 anak sedikit ayah hendak membuang [lanm..] maka ia pun berketap bibirnya dan dikaratkan giginya serta bertempik tiga kali berturut-2 terlalu deras suaranya seperti [halilintar] membelah gunung bunyinya jikalau sekiranya orang bunting tujuh bulan tergugur anaknya maka dengan sebab sangat kuat tempikan Semangku Bumi itu melinggang gunung itu maka segera diterkam oleh Selamat Tandang Desa disangkanya Lela Muda sudah dimakan oleh Semangku Bumi maka Lela Muda pun terpandanglah kepada Selamat dipandang oleh Selamat Lela Muda itu ada terdiri di hadapan Semangku Bumi maka kata Selamat Ampun tuan patik beribu-2 ampun apakah [margasnya]

Mukasurat 29/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 29/129

yang diperbuat oleh orang yang besar panjang ini tadi pada sangka patik tuan patik sudah dimakan patik datang ini hendak menarik tuan patik daripada mulutnya maka kata Lela Muda Wahai Abang Selamat bukankah ia sudah menjadi bapa angkat kepada aku telah sudah berkata-2 itu maka Lela Muda pun berkata Ayuhai ayah semangat anak tinggallah ayah anak hendak berjalan pergi ke Negeri Gunung Dua Belas maka kata Semangku Bumi Silalah anak jikalau anak hendak pergi ke sana baiklah ikut jalan laut tiada beberapa banyak seteru bahaya tetapi jikalau anak bertemu dengan sebuah negeri bernama Padang Kecil nyiur baharu duduk ubi dan pisang tengah menabur anak dan pinang baharu mengurai mayang maka adalah sebuah rumah orang tua bernama Nenek Kebayan duduk bertunggu taman bunga di kolam tempat permandian Tuan Puteri Bongsu Kecil Cahaya Bulan duduk di atas kayangan anak Raja Sangnata Dewata mahligai di padang itu di dalam tujuh hari sekali ia turun bermain ke tempat itu maka di dalam mahligai itu ditaruh gambar beramai jin di dalamnya akan menunggu mahligai itu maka gambar itu hidup kelakuannya manusia sunguh-2 bangunnya maka diperbuat suatu gambar disalin serupa dengan Tuan Puteri Bongsu Kecil Cahaya Bulan terlalu indah rupanya duduk di dalam tirai kelambunya dan beberapa pula gambar segala dayang bertunggu kawal dan jaga pada siang dan malam beberapalah sudah orang yang binasa di situ dirasuk oleh jin yang di dalam gambar itu. Maka kata Lela Muda Baiklah ayah. Setelah sudah berkata-2 itu maka kata

Mukasurat 30/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 30/129

Tuan Puteri Shamberan Gunung Hai anak bonda Mek Sejunjung Batu apakah ada padamu yang hendak engkau hendak beri pada abangmu Lela Muda ini kerana ia sudah hendak berjalan maka Mek itupun segeralah bangkit mengambil tiga manik aneka terlalu besar kesaktiannya diberikan kepada Lela Muda segeralah disambut manik itu dibubuhnya di dalam jambul gading berkemuncak intan terlalu suka di dalam hatinya. Telah sudah Lela Muda pun bermohon segera naik kuda hijau kesaktian dipetik tali Dandang Sekawan maka kuda itu pun terbanglah naik ke atas tali angin derasnya seperti pucuk dilancarkan seperti kumbang putus tali seperti mercun baharu jadi seperti sewah si rajawali maka Selamat Tandang Desa pun disentap golok sebidang upih serta bekas sirihnya maka ia pun berlari matanya menentang ke atas kakinya berlari juga berebahana sekalian hutan itu seperti ribut dan taufan yang sangat tangkas bunyinya dan kayu yang besar habis bagai dibedil dan kayu yang kecil bagai digunting dan rotan dahan bagai dirempis bertemu batu di hadapan disepak terpelanting ia lari juga ke hadapan. Maka sekalian burung beruang pelanduk napuh sapi dan kijang larilah pergi membawa nyawa pada segenap gunung yang tinggi dan pantai laut yang lepas maka Selamat berlari itu seperti orang menebas huma maka beberapa lama Lela Muda terbang itu maka sampailah masuk waktu zuhur hari pun sangat keras panasnya maka Lela Muda pun terpandanglah pada sebuah kampung baharu terlalu indah-2 rupanya iaitulah negeri Padang Kecik. Maka Lela Muda pun segeralah turun sekali dengan kudanya baharu