Hikayat Penerang Hati

Jilid 2

Muka surat 41 hingga 50

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 41/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 41/50

tertentu kepada orang yang memiliki serban besar adanya.

Ceritera 200 Darihal raja yang tiada berputera

Alkisah adalah seorang raja di dalam sebuah negeri yang telalu amat besar kerajaannya. Maka setelah beberapa lama ia memerintah tiada diperolehnya seorang putera jua pun. Maka bernazar dan berkaullah ia kepada beberapa keramat serta memberi derma sedekah kepada segala fakir miskin. Di dalam demikian pun tiadalah jua ia mendapat putera. Maka pada suatu hari tatkala raja itu laki isteri sedang di dalam kemashghulan oleh memikirkan tiada siapa yang akan menggantikan kerajaannya tiba-2 dengan takdir Allah taala datanglah seorang zahid ke negerinya itu serta masuk mengadap baginda. Maka diceriterakanlah oleh raja itu perihal dukacita dan mashghulnya kepada zahid itu. Setelah didengarlah oleh zahid itu lalu dituliskannya suatu azimat di atas kertas serta berkata ia ya tuanku Shah Alam akan azimat ini silalah tuanku sendiri celupkan ke dalam air mawar. Kemudian silalah tuanku laki isteri minum air ini. Maka tatkala sudah tuanku mendapat putera kelak hendaklah tuanku namakan paduka anakanda itu putera mahkota serta tuanku serahkan belajar berbagai-2 ilmu dan pengetahuan. Akan tetapi hendaklah jua tuanku jaga-2 jangan tuanku kahwinkan anakanda itu dengan siapa-2 perempuan. Jika tiada dengan kesukaannya. Setelah habislah sudah zahid itu berkata-2 yang demikian lalu berjalanlah ia keluar dari balai penghadapan itu serta lenyap dari pandangan. Maka akan raja itu setelah dicelup azimat itu ke dalam air mawar lalu diminumnya laki isteri. Maka dengan kudrat yang maha kuasa tiada berapa lama di belakang itu permaisuri pun hamillah. Apabila cukup masanya berputeralah permaisuri itu akan seorang putera laki-2 yang amat elok parasnya gilang gemilang kilau-2an tiada berbanding yang tara pada zaman itu. Setelah besarlah puteranya itu maka diserahkanlah oleh baginda dan bondanya belajar pelbagai ilmu hikmat serta pengetahuan. Maka sedikit diajar oleh gurunya banyaklah yang didapatnya.

Kalakian tatkala besarlah sudah putera mahkota itu maka pada suatu hari bermohonlah ia kepada ayahanda dan bondanya pergi bermain-2 memburu rusa dan kijang menjangan ke dalam hutan. Maka di dalam perburuan itu bertemulah

Mukasurat 42/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 42/50

ia dengan seekor rusa sedang meragut rumput di dalam sebuah padang. Maka di lehernya adalah terbelit tiga jurai rantai emas sepuluh mutu yang bertatahkan ratna mutu manikam. Maka bertitahlah putera mahkota itu kepada segala pengiringnya katanya hai segala kerabatku marilah kita kepungi akan rusa itu supaya boleh kita tangkapi akan dia dengan hidupnya. Maka jikalau sekiranya ia melompat lepas dari atas kepala siapa-2 mereka yang mengepungnya itu hendaklah orang itu memburu akan dia dengan sehabis-2 cepatnya di atas kudanya. Maka setelah terkepunglah rusa itu lalu melompatlah ia keluar dari atas kepala putera mahkota itu sendiri. Dengan hal yang demikian digertakkanlah oleh putera itu akan kudanya memburu rusa itu tiada bertinggalan sedikit jua pun. Maka oleh terlalu deras lari rusa itu hingga tinggallah segala pengiring putera mahkota itu beberapa jauh di belakangnya. Maka di dalam tengah diburunya rusa itu sekonyong-2 lenyaplah ia dari pandangan. Setelah itu berhentilah ia dengan takjub yang amat sangat serta pula tiada diketahuinya akan tempat ia itu dan segala pengiringnya pun telah tertinggal beberapa jauh di belakangnya. Maka di situ tidaklah ada tempat yang boleh melindungkan dirinya dan pula tiadalah sempat ia hendak kembali mendapatkan pengiringnya.

Arkian di dalam takjub itu lalu terpandanglah ia kepada sebuah rumah. Maka berfikirlah ia di dalam hatinya akan sekarang baiklah aku pergi mendapatkan rumah itu supaya aku ketahui siapa tuannya. Setelah itu berjalanlah ia menuju ke rumah itu. Maka tatkala sampai lalu terpandanglah ia akan seorang zahid yang terlalu amat tuanya duduk di situ. Maka lepas daripada ia memberi salam lalu berkatalah ia kepada zahid itu katanya hai nenekku haraplah hamba akan nenekku membenarkan hamba orang yang sesat ini menumpang tidur pada malam ini di sini. Maka jawab zahid itu jika sudi tuan hai cucuku silakanlah bermalam di teratak nenek yang buruk ini. Kemudian naiklah ia ke rumah itu dan diberilah oleh zahid itu akan dia makanan yang hadir serta diberinya padi dan rumput kering kepada kudanya. Maka setelah siaplah sudah putera itu mandi manda dan bersalin pakaian lalu bertanyalah zahid itu kepadanya katanya hai cucuku siapakah tuan hamba ini dan mengapakah tuan hamba sesat larat jatuh ke dalam rimba belantara ini. Maka diceriterakanlah oleh putera itu segala hal ehwal keturunannya dan perjalanannya

Mukasurat 43/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 43/50

dari awal hingga akhirnya. Maka di dalam tengah berkata-2 itu terpandanglah ia akan suatu singgahsana yang keemasan turun melayang dari udara ke rumah zahid itu. Dan di atas singgahsana itu adalah empat orang para puteri yang terlalu amat indah rupanya serta memakai pakaian yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Maka setelah turunlah para puteri itu dari atas singgahsana itu lalu datanglah mereka itu menyembah akan zahid itu serta duduk bersaf-2 di hadapannya dengan seribu kehormatan.

Hatta berkatalah tuan zahid kepada puteri itu katanya hai cucuku mengapakah kamu sekalian datang ke mari kerana pada ingatanku sekarang bukanlah harinya engkau datang melawat aku. Oleh itu hendaklah engkau khabarkan darihal kedatangan engkau ini. Maka sembah puteri itu ya nenekku [ulama?] pilihan adalah seorang puteri yang bernama Gemala Cahaya iaitu tuan hamba sekalian telah memanggil akan hamba datang mengadapnya. Maka oleh dari sini jalannya mendapatkan dia tiadalah sampai hati hamba melalui sahaja dengan tiada singgah memberi [ratna baik?] kepada nenekku. Kemudian berkatalah zahid itu kalau begitu baiklah kamu bawa jua akan putera raja ini bersama-2 engkau sampai boleh ia melihat akan paras tuan puteri Gemala Cahaya itu adakah ia terlebih indah daripada puteri-2 yang di dalam negerinya atau tidak. Maka dengan hal yang demikian setujulah keempat para puteri itu. Setelah duduklah kelima mereka itu di atas singgahsana hikmat itu lalu melayanglah ia dan di dalam sekelip mata sampailah mereka itu ke dalam mahligai tuan puteri Gemala Cahaya itu. Wah apakala terpandanglah putera mahkota itu kepada wajah tuan puteri itu rebahlah ia pengsan tiada khabarkan dirinya kerana air mukanya itu gilang gemilang kilau-2an laksana empat belas haribulan. Dan akan tuan puteri itupun demi terpandang muka putera mahkota itu jatuhlah jua pengsan. Maka apakala siumanlah keduanya jatuhlah asyik berahi di hati keduanya. Kemudian lalu bertegur sapalah mereka itu seperti keadaan orang yang sudah berkenal biasa. Maka setelah genaplah tiga hari tiga malam bersuka-2an dan seronok-2 yang tiada dapat diberikan. Maka pada tatkala para puteri itu hendak berbalik lalu berkatalah mereka itu

Mukasurat 44/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 44/50

kepada putera mahkota itu katanya akan sekarang silalah tuanku kita berangkat balik. Maka akan putera itu oleh telah terkena panah racun kasih sayang lalu dibalasnyalah katanya akan hamba ini belumlah lagi hendak balik dan jika sekiranya tuan-2 hendak pulang silalah tuan-2 pergi dahulu. Maka apakala didengarlah oleh para puteri itu akan perkataan putera itu pergilah mereka itu mendapatkan tuan puteri Gemala Cahaya itu minta ia menyuruhkan putera itu kembali. Akan tetapi baharu pun sepatah mereka itu menyebut perkara itu lalu merampuslah dan merenjaslah tuan puteri itu tiada membenarkan putera itu berbalik. Kemudian bermesyuaratlah mereka itu sama sendirinya mencari akal hendak membawa putera itu balik kerana kata mereka itu jika kita tinggalkan putera itu di sini apalah muka kita kepada tuan zahid kelak dan jika kita bawa akan dia dengan kekerasan di hadapan mata tuan puteri Gemala Cahaya itu nyatalah ia murka ke atas kita. Kalau demikian baiklah kita tunggui sebentar lagi sampai beradu kedua putera dan puteri itu. Maka oleh kepenatan berjaga-2 itu lalu masuklah putera dan puteri itu ke dalam peraduannya serta beradu yang terlalu jenderanya. Setelah itu pergilah perlahan-2 keempat para puteri itu mengangkat akan putera itu serta diletakkannya di atas singgahsana hikmat itu serta diterbangkannya kembali ke rumah tuan zahid itu dan dengan sebentar itu jua sampailah mereka itu ke rumah itu.

Arkian lalu diserahkannyalah putera mahkota itu kepada tuan zahid itu. Kemudian bermohonlah mereka itu balik ke rumahnya. Maka apakala sianglah hari lalu terjagalah putera itu serta memandang kelilingnya. Setelah dilihatnya sudah tiada mahligai yang keemasan serta tuan puteri itu lalu mengeluhlah ia serta menyebut-2 ya Gemala Cahaya-2. Kemudian lelaplah ia pula seperti keadaan pengsan. Maka tiada beberapa lama di belakang itu sampailah kumpulan orang-2 yang terlalu ramai iaitu rakyat putera mahkota itu. Maka apakala dipandang oleh tuan zahid itu akan orang-2 itu lalu dipanggillah akan mereka itu serta diserahkannya putera mahkota itu kepadanya. Maka sukacitalah mereka itu sekalian yang tiada dapat diberikan oleh bertemu

Mukasurat 45/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 45/50

dengan putera itu. Tetapi terkejutlah meraka itu oleh melihatkan hal putera itu kerana apakah yang hendak disembahkan kepada rajanya kelak menerangkan hal putera itu. Kemudian bertanyalah seorang daripada mereka itu kepada tuan zahid itu katanya ya tuan khabarkan kepada hamba sekalian mengapakah makin putera ini di dalam hal yang demikian. Maka jawab tuan zahid itu tiadalah dapat hamba menerangkan akan tetapi baiklah tuan hamba periksa kepadanya sendiri. Setelah itu berpalinglah orang itu kepada putera itu serta berdatang sembah yang demikian ini ya tuanku batu kepala junjungan hulu patik. Mengapakah tuanku di dalam hal yang demikian hingga menghancurkan hati dan membutakan mata patik sekalian. Maka akan putera mahkota itu jangankan hendak membuka mulutnya hingga kelopak matanya pun tiada diangkatnya hanyalah menyebut-2 hai Gemala Cahaya sahaja. Kemudian [ditaruhlah?] oleh mereka itu akan putera itu di atas perusungan serta dibawanya balik ke negerinya mengadap rajanya dengan beberapa ketakutan. Setelah sampai mereka itu lalu berdatang sembah kepada rajanya demikian bunyinya ya tuanku Shah Alam harapkan diampun beribu-2 ampun kalau dibunuh patik mati kalau digantung patik tinggi kalau direndam patik basah kalau dijual patik jauh. Adalah pada petang kelmarin sedang patik-2 sekalian berburu telah kelihatanlah seekor rusa lalu dikejar akan dia oleh paduka anakanda ini sendirinya di atas kuda serta ditegahkannya patik-2 memburunya. Maka [sanggahpun?] patik-2 ikut jua akan paduka anakanda ini beberapa cepat yang boleh tetapi tiadalah bersempatan dengan patik-2 kerana rusa dan paduka anakanda itu terlalu tangkas perginya. Kemudian hilanglah paduka anakanda itu dari pandangan patik-2 kerana dilindung oleh semak-2 itu dan akan patik-2 ini tiadalah berhenti mengikutnya hingga gelap. Dengan hal yang demikian tiadalah upaya patik-2 menurutnya lagi. Tetapi pada keesokan paginya patik-2 turutlah jua dengan tiada berhenti dan pada akhirnya bertemulah patik-2 dengan paduka anakanda itu seperti halnya yang ada ini di dalam sebuah rumah seorang zahid. Maka tatkala patik-2 periksa kepada zahid itu tiadalah dinyatakannya apa-2 kepada patik-2 melainkan yang

Mukasurat 46/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 46/50

patik-2 sangka. Adalah nama orang yang disebut oleh paduka anakanda itu iaitu nama seorang perempuan yang dicintanya. Kemudian bertitah baginda dengan putus-2 suaranya demikian bunyinya hai cahaya mataku dan buah hatiku jikalau boleh anakanda mengeluarkan sepatah dua kalam menyatakan apa-2 halnya bolehlah ayahanda cari ubat penyakit anakanda itu. Maka lepas daripada beberapa banyak perkataan yang lemak manis lalu berkatalah putera itu ya ayahanda tiadalah dapat ayahanda sekalian mengubat penyakit anakanda ini yang lain daripada tuan puteri Gemala Cahaya itu. Dan bila-2 dapat anakanda bertentang wajah dengan tuan puteri itu maka pada saat itulah jua hilang penyakit anakanda ini. Setelah itu diperiksa oleh baginda akan tempat kediaman dan negeri tuan puteri itu. Maka balasannya tiadalah seorang jua pun yang mengetahuinya. Maka akan putera mahkota itu tiadalah mahu makan dan minum siang malam melainkan duduk mengeluhlah ia sahaja sambil bernyawa besar serta menangis tersedu-2 tiada berputusan. Maka apakala dilihatlah oleh ayahanda dan bondanya akan hal itu jatuhlah kesusahan jua kepada mereka itu serta menangis menumbuk-2 dadanya memandangkan hal puteranya itu. Dengan hal yang demikian pekerjaan negeri pun tinggallah di dalam kacau dan tiada berketahuan. Maka akan wazir raja itu adalah seorang yang bijaksana lalu berdatang sembahlah ia kepada rajanya demikian bunyinya ya tuanku shah alam janganlah kiranya tuanku menaruh dukacita dan kemasyghulan. Silalah tuanku turun ke penghadapan seperti yang kelaziman menjaga pekerjaan negeri kerana bolehlah patik menyuruh beberapa banyak utusan ke serta-2 negeri dan jika sekiranya dijumpai siapa-2 puteri seperti itu bolehlah kita pinangkan untuk paduka anakanda ini. Maka jikalau tiada diterima oleh ayahanda bondanya dengan baik melainkan bolehlah kita [pukul?] akan negeri itu. Maka apakala didengarlah oleh baginda akan sembah wazir itu amatlah sukacita ia. Kemudian dititahkannyalah mengirim utusan merata-2 negeri mencari rahsia tuan puteri Gemala Cahaya itu serta membawa beberapa banyak bingkisan. Maka seorang daripada utusan itu sampailah ia ke negeri

Mukasurat 47/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 47/50

tuan puteri itu. Setelah didengarnyalah akan perkhabaran hal tuan puteri itupun di dalam kemasyghulan dan dukacita terlebih daripada putera mahkota itu. Maka sukacitalah ia serta masuk mengadap ayahandanya dan bondanya mempersembahkan surat serta bingkisan itu. Maka akan raja negeri itu dalam kemasyghulan yang tiada dapat dihinggakan. Maka apakala terbacalah surat itu serta erti akan maksudnya dengan sebentar itu juga berserilah warna mukanya dan bertukarlah dukacita itu dengan sukacitanya. Maka pada saat itu jua lalu ia membuat surat membalas akan ayahanda baginda putera mahkota itu serta diserahkannya kepada utusan itu sambil bertitah hai utusan yang ku harapi. Pulanglah engkau membawa surat ini kepada raja kamu dan hendaklah kamu berjalan malam dan siang sehingga sampai kepadanya. Maka tersebutlah di dalam surat itu demikian bunyinya maka surat seri paduka kekanda itu telah sudahlah seri paduka adinda sambut junjung dengan seribu kemuliaan dan kesukaan serta fahamlah seri paduka adinda akan maksud yang terkandung di dalamnya. Maka yang darihal seri paduka kekanda menaruh sudi hendak mengutip [tulang kulit?] anakanda seri paduka adinda yang bernama Gemala Cahaya itu akan jadi isteri paduka anakanda putera mahkota itu seribu syukur adinda meredhakannya. Akan sekarang silalah seri paduka kekanda berangkat ke mari dengan segeranya membawa paduka anakanda itu supaya kita persatukan dan tak usahlah seri paduka kekanda bersiap kelengkapan berkahwin tatkala hendak berangkat ke mari itu wassalam.

Hatta apakala sampailah utusan itu balik ke negerinya lalu masuklah ia mengadap wazir itu serta mempersembahkan surat itu. Maka akan wazir itu telah didapatlah ia surat itu lalu pergilah ia mengadap rajanya. Setelah dibacalah oleh baginda akan perkataan yang tersunting di dalam surat itu berseri-2lah warna mukanya dengan kesukaan seraya bertitah menyuruh beri anugeraha yang banyak kepada utusan itu serta menyuruh pasang api gilang gemilang pada tiap-2 rumah dan tiap-2 lorong dan pekan pasara alamat kesukaan. Kemudian bertitahlah baginda lagi

Mukasurat 48/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 48/50

menyuruh wazir itu bersiap kelengkapan hendak berangkat pergi mengahwinkan paduka anakanda. Setelah itu lalu berangkatlah ia masuk ke dalam istananya. Berceriterakan sekalian hal yang telah berlaku itu kepada isterinya. Maka selang tiga hari segala kelengkapan itupun siaplah. Dan pada saat yang baik lalu berangkatlah baginda laki isteri membawa puteranya menuju ke negeri tuan puteri Gembala Cahaya itu diiringkan oleh rakyat bala tentera beribu-2 juta serta dipalunya dengan gong gendang dan bunyi-2an gegak gempita tiadalah tersangga bunyinya lagi hingga bukit yang tinggi-2 itupun menjadi padang dan tanah yang rata itupun menjadi paya oleh kebanyakan rakyat yang berjalan itu. Setelah beberapa hari di jalan maka sampailah baginda ke pinggiran negeri puteri itu lalu disambutlah oleh raja negeri itu akan angkatan itu serta dibawanya masuk ke dalam ke negerinya dan diberi tempat kediaman masing-2 tarafnya. Serta memulai berjaga-2 duduk kerja. Setelah genaplah empat puluh hari dan empat puluh malam bekerja itu lalu diarak oranglah akan putera mahkota itu tujuh kali pusing keliling negeri serta dengan pelbagai permainan. Kemudian dibawalah akan dia naik ke balai rong seri disambut oleh [mertuhanya] serta didudukkan di atas peterana yang keemasan di kanan tuan puteri Gemala Cahaya itu. Wah takjublah sekalian yang hadir itu memandangkan paras kedua laki isteri itu. Laksana bulan di pagar bintang. Setelah bersua-2pan lalu dipimpinlah oleh putera mahkota akan isterinya itu masuk ke dalam peraduan dan dilabuhkan oranglah tirai dewangga yang keemasan. Maka duduklah putera mahkota itu melakukan kesukaannya dengan tuan puteri Gemala Cahaya itu. Maka akan kedua baginda itu keluarlah ke balai penghadapan menjamukan segala wazir menteri rakyat bala tentera kedua buah negeri itu. Setelah beberapa lama di dalam negeri itu lalu kembalilah ayahanda baginda putera mahkota itu ke negerinya membawa puteranya dan menantunya. Kemudian daripada itu tiadalah berputusan utusan mengutus dan berdatang-2ngan antara kedua raja itu. Demikianlah halnya pertemuan dari azali adanya.

Mukasurat 49/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 49/50

Disalin daripada kitab asalnya dalam tahun 1916 semasa di dalam darjah tiga [seko[lah]] Melayu Chowrista, Pulau Pinang. Kemudian disalin semula dalam bulan Julai 1956. Yang menulis ialah Muhammad Naina Marikan bin Muhammad Ghaus Marikan.

Mukasurat 50/50 Hikayat Penerang Hati, Jilid 2


Muka surat 50/50


Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50