Hikayat Penerang Hati

Jilid I

Muka surat 2 hingga 10

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 2/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 2/93

Hikayat Penerang Hati

Karangan oleh Alang Ahmad bin Muhamad Yunus

Juru tulis Melayu residen Perak, dikarang hikayat ini dalam bandar Taiping pada 1 haribulan Julai tahun masihi 1896.

Mukasurat 3/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 3/93

Alkisah diceriterakan oleh pengarang ceritera ini adalah seorang saudagar bernama Hasan [Mustapha] yang terlalu amat kayanya di dalam negeri [Antadeli] maka akan perniagaan saudagar itu bukanlah di dalam negeri itu sahaja melainkan di dalam tiap negeri seluruh alam dunia ini adalah belaka gedungnya yang penuh berisi dengan pelbagai jenis dagangan yang indah dan yang pelik-2 dan di dalam tiap-2 gedung itu adalah pula seorang keharapannya dengan beberapa juru tulis dan hambanya istimewa pula di dalam gedungnya yang di dalam [Antadeli] itu tiadalah dapat dipisahkan hingga penuhlah dengan berbagai-2 macam dagangan beratur masing-2 dengan tempatnya. Maka akan saudagar itu sedang lagi muda belia dan sangatlah tampan parasnya cukup lengkap sifat laki-2 maka siapa-2 yang terpandang akan dia jatuhlah kasih sayang yang tiada terhingga oleh bila-2 ia berkata-2 tiadalah lepas daripada mengorak senyum.

Syahadan akan saudagar itu adalah beristeri seorang perempuan yang sangat indah rupanya laksana peri turun dari kayangan. Adapun nama isteri Cik Siti Hayatulnafus tubuhnya putih kuning panjang nipis mukanya bujur seperti daun sirih lehernya jinjang bagai [gembara] dilarik bibirnya merah laksana pati dicarik keningnya membentuk taji dahinya seharibulan rambutnya ikal bagai didandan lengannya bagai baur panah matanya bagai bintang timur telinganya seperti telipu layu pinggangnya ramping dadanya bidang rambutnya seperti mayang seludang betisnya seperti bunting padi pehanya bagai peha belalang tumitnya seperti telur merbah tapaknya mening seperti salji jika ia meminum air tampak berbayang-2 cahaya mukanya seperti cahaya bulan empat belas hari terang [temarang]. Jika ia tersenyum manisnya seperti gula madu. Jika ia tertawa laksana matahari terbit pagi bersambutan pula dengan giginya yang putih persih berkilat-2 elok tiada dapat diperikan, indah tiada ternilai oleh jauhari, cantik tiada berbandingnya lagi. Maka sangatlah kasih saudagar itu akan dia laksana menatang minyak yang penuh.

Hatta diperbuatlah oleh saudagar itu sebuah mahligai [hilur] yang amat besar dan amat eloknya beratus-2 ribu belanjanya tujuh tingkat berlapis-2 yang selapis tempat hamba-2 yang jantan dan yang selapis tempat permainan

Mukasurat 4/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 4/93

dan yang selapis lagi tempat dayang-2 dan setiap dara-2 dan yang selapis lagi tempat pakaian dan bilik permandian dan yang selapis lagi tempat santapan dan yang selapis lagi tempat peraduan dan lapis yang di atas sekali tempat Cik Siti itu serta Siti yang dara-2 bermain-2 dan memandang sekeliling bandar pekan negeri [Antadeli] itu. Maka pada tiap-2 pagi turunlah saudagar itu ke gedungnya melihat perniagaan yang di dalam gedungnya tetapi apakala rembanglah hari kembalilah ia makan bersama-2 isteri yang dilayani oleh beberapa dayang-2 yang sangat elok paras dan tiadalah ia pergi ke mana-2 lagi melainkan duduklah ia di dalam mahligainya itu bersuka-2an dengan gong gemelan serunai bangsi serta tepuk tari sehingga malamlah hari adanya.

Kalakian pada suatu hari sampailah sepucuk surat kepada saudagar itu daripada seorang wakilnya yang di dalam negeri Yunan menyilakan ia datang dengan segeranya. Maka jikalau kelambatan sampainya tentulah jatuh perniagaan yang di negeri itu. Maka sangatlah susah hati saudagar itu memikirkan betapakah boleh ia bercerai dengan isterinya itu di dalam hal yang demikian lalu diceriterakanlah hal itu kepada isterinya. Setelah didengar oleh Cik Siti akan perkataan suaminya itu pengsanlah ia tiada sedarkan dirinya beberapa ketika setelah siuman menangislah ia tersedu-2. Maka dipujuklah oleh saudagar itu akan dia dengan perkataan yang manis-2 dan [cumbu cumbu] yang merdu-2 kemudian lembutlah hati Cik Siti itu lalu [dibenarkannyalah] akan suaminya itu berjalan tetapi selambat-2nya di dalam [sejemput].

Kemudian setelah lengkaplah sekaliannya pada hari yang baik dan saat yang sempurna melangkahlah saudagar itu tetapi kembalilah ia balik [berturut-2] sebab Cik Siti itu pengsan tiada sedarkan diri. Maka akan saudagar itu adalah baginya dua ekor burung [tuturan] seekor nuri dan seekor bayan. Maka berpesanlah saudagar kepada burung-2 itu menyuruh hiburkan isterinya dengan segala ceritera dan kias ibarat yang ajaib-2 dan yang indah-2. Maka menyahutlah burung-2 itu Ya tuanku silakanlah tuanku berangkat sepeninggal tuanku kelak hamba kedua [sanggup] menghiburkan adinda itu dengan pelbagai kisah-2 dan konon-2 kerana adalah hamba ketahui beberapa kisah-2

Mukasurat 5/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 5/93

yang pendek-2 yang memberi faedah. Setelah itu berjalanlah saudagar itu menuju ke negeri Yunan.

Arkian sepeninggal perjalanan saudagar itu pengsanlah Cik Siti itu beberapa kali setelah siuman menangislah ia tersedu-2 dengan tiada berkehendakkan makan dan minum. Maka dipujuklah oleh inang pengasuh serta disilakan dia pergi mandi dan berhias diri. Maka lipurlah sedikit hati Cik Siti itu lalu pergilah ia mandi dan memakai pakaian yang indah-2. Setelah sudahlah ia makan lalu naiklah ia ke anjung yang di atas sekali sebagaimana yang sediakala. Kemudian disuruhilah inangnya mengambil sangkar burung nuri dan bayan itu. Setelah dibawa oranglah akan kedua burung itu ke hadapannya lalu berkatalah ia kepada burung-2 itu katanya Hai anakku berhikayatlah kedua supaya ku dengar mudah-mudahan bolehlah lipur hatiku sedikit akan ayahanda mu. Maka berdatang sembahlah burung-2 itu Ya tuanku dengarlah hikayat-2 hamba. Setelah itu burung-2 itu pun tampillah berceritera berganti-2 pada tiap-2 hari dan malam. Demikianlah bunyi ceriteranya adanya.

Ceritera 1 Darihal singa bersahabat dengan tikus

Alkisah adalah konon pada suatu masa seekor singa sedang tertidur di dalam suatu hutan yang besar. Tiba-2 terkejutlah ia oleh seekor tikus berlari-2 di mukanya. Maka bangkitlah singa itu dengan gembiranya sambil menekankan tikus itu dengan tangannya dan pada tatkala hendak dibunuhnya akan dia memintalah tikus itu dengan tangisan akan nyawanya seraya berkata jikalau tuan hamba lepaskan nyawa hamba ini pada mana-2 waktu kelak adalah hamba membalas akan belas kasihan tuan hamba itu. Setelah didengar oleh singa akan perkataan tikus itu tertawalah ia gelak-2 serta dilepaskannya.

Kalakian tiada berapa lama di belakang itu pada suatu hari sekonyong-2 terjeratlah singa itu oleh seorang pemburu dengan siding yakni jaring yang teguh dan rebahlah ia ke tanah dengan raungan yang amat dahsyat. Apakala didengar oleh tikus akan suara sahabatnya itu lalu dikenalilah akan dia. Maka berlari-2lah ia keluar dari dalam lubangnya pergi menggigit tali itu sehingga putuslah sekaliannya. Setelah terlepaslah

Mukasurat 6/93 Hikayat Penerang Hati


Mukasurat 6/93

singa itu lalu berkatalah tikus itu kepadanya katanya Hai sahabatku adalah yang tuan hamba dahulu tertawakan perkataan hamba hendak menolong tuan hamba kerana tiada tersangka kepada akal tuan hamba akan hamba boleh membalas budi tuan hamba itu. Sekarang lihatlah seekor tikus telah mengadakan jasa kepada seekor singa. Setelah didengar oleh singa akan tempelak yakni nista tikus itu kemalu-2anlah ia seraya berterima kasih banyak-2 kepada tikus itu. Demikianlah halnya. Janganlah disangkakan makhluk yang tiada ada daya upaya itu tiada dapat menolong kita terkadang-2 adalah jua jasanya adanya.

Ceritera 2 Darihal bapa dengan anak-2nya

Sebermula adalah seorang peladang ada mempunyai beberapa orang anak laki-2. Maka hal keadaan anaknya itu sentiasalah berkelahi dan berbantah-2 diantara adik beradiknya dan beberapa kali telah dinasihatkan oleh bapanya tiadalah jua dipakai oleh mereka itu. Setelah tetaplah di hati bapanya itu tiada dapat didamaikan anak-2nya dengan perkataan yang lemah lembut lalu berfikirlah ia hendak menunjukkan bencana kepada mereka itu oleh sebab perselisihan itu dengan beberapa ibaratnya.

Syahadan pada suatu hari disuruhlah oleh bapanya itu akan anak-2nya pergi ke dalam hutan memotong seberkas anak kayu. Setelah sampailah berkas kayu itu kepadanya lalu disuruhilah anak-2nya itu berganti-2 mematahkan. Maka dicubalah oleh budak-2 itu dengan seboleh-2nya tetapi tiadalah terpatahkan kemudian diuraikanlah oleh si peladang itu akan pengikat berkas itu dan diambilnya sebatang-2 diberikannya kepada tangan anak-2nya disuruh patahkan. Maka senanglah sahaja dipatahkan oleh budak-2 itu.

Arkian setelah itu berkatalah ia kepada anak-2nya. Hai anak-2ku jikalau kamu sekalian bersatu hati dan bertolong-2an, seorang dengan adalah kamu sekalian seperti keadaan berkas kayu ini dan tiadalah dapat kamu sekalian dirosakkan oleh seteru kamu dan jika sekiranya kamu sekalian berlain-2an fikiran adalah kamu sekalian seumpama sebatang ranting jua. Maka senanglah sahaja dirosakkan oleh musuh kamu. Setelah didengar oleh anak-2nya itu akan perkataan bapanya sukacitalah mereka itu dan bermuafakatlah mereka itu selama-lamanya. Demikianlah halnya mengajar kerbau lembu itu dengan kayu dan

Mukasurat 7/93 Hikayat Penerang Hati
  • Dekan adalah sejenis tikus buluh, Rhizomys sumatrensis (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Muka surat 7/93

mengajar manusia itu dengan ibarat adanya.

Ceritera 3 Darihal serigala dengan anak biri-2

Sekali persetua adalah seekor serigala telah bertemu dengan seekor anak biri-2 yang sesat jalan daripada kandangnya. Maka tiadalah ia hendak memaksa anak biri-2 itu melainkan dicarinya suatu ikhtiar yang boleh dimakannya akan dia dengan sebab salahnya. Setelah itu berkatalah ia kepadanya katanya Hai anak biri-2 adalah engkau di dalam tahun yang lepas ini telah menista akan daku.

Arkian maka dijawablah oleh anak biri-2 itu dengan pilu belas bunyi suaranya katanya Adapun yang hamba pada waktu itu belumlah jadi lagi daripada perut ibu hamba. Kemudian berkatalah serigala itu jika tiada begitu pun yang engkau itu telah memakan rumput di padangku. Maka jawab anak biri-2 itu Ya tuan hamba adalah yang hamba ini belumlah meragut rumput. Maka berkatalah pula serigala itu Jika tiada begitu pun yang engkau telah minum air di telaga aku. Maka dijawablah oleh anak biri-2 itu akan Hamba ini tiadalah pernah lagi meminum air dari kerana susu ibu hamba itulah menjadi makanan dan minuman kepada hamba.

Maka apakala didengarlah oleh serigala yang demikian itu lalu diterkam dan dipatahnya anak biri-2 itu seraya berkata Tiap-2 perkataan adalah belaka tangkisan mu akan tetapi betapalah aku duduk dengan kelaparan demikianlah halnya orang yang hendak membinasakan orang lain itu adalah dicarinya jalan supaya menyalahkan dia adanya.

Ceritera 4 Darihal kelawar dengan dekan

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor kelawar bersarang di ranting serumpun buluh. Maka pada suatu ketika jatuhlah ia ke tanah serta ditangkap oleh seekor dekan akan dia. Maka dipintalah oleh kelawar itu akan nyawanya bersungguh-2 tetapi tiadalah jua dilepaskan oleh dekan itu dari kerana katanya adalah selagi burung itu selama-lamanya telah berseteru dengan dekan. Kemudian dijawablah oleh kelawar akan perkataan dekan itu Hai dekan adapun yang hamba ini bukanlah sekali-2 burung melainkan dari bangsa tikus jua. Maka apakala didengar oleh dekan akan perkataan kelawar itu lalu dilepaskannya akan dia.

Kalakian tiada berapa lamanya di belakang itu jatuhlah pula kelawar tu lalu ditangkap

Mukasurat 8/93 Hikayat Penerang Hati
  • Keridik adalah sejenis serangga yang berkepak, cengkerik, jengkerik (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Muka surat 8/93

lah akan dia oleh seekor dekan yang lain. Maka dinyatakanlah oleh kelawar itu seperti yang tersebut tadi kepadanya. Maka berkatalah dekan itu Adapun tikus sahaja makanan dekan. Kemudian berkatalah pula kelawar itu yang dia itu bukanlah tikus melainkan kelawar jua dengan sebab yang demikian terlepaslah pula nyawanya daripada marabahaya dekan itu dan terbanglah is balik ke sarangnya dengan selamatnya. Demikianlah halnya terkadang-2 berfaedah mengalih-2 kata atas jalan yang mendapatkan kebajikan dan melepaskan daripada marabahaya adanya.

Ceritera 5 Darihal keldai dengan keridik

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor keldai sedang berjalan-2 sambil meragut rumput di dalam suatu padang tiba-2 terdengarlah ia akan bunyi keridik yang terlalu amat nyaringnya. Dengan hal yang demikian inginlah hatinya hendak beroleh hikmat mendering sebagaimana keridik itu. Maka pergilah ia mendekati lubang keridik seraya bertanyakan bangsa makanan keridik itu makin boleh ia [mela...] yang terlalu amat merdunya.

Hatta dikhabarkanlah oleh keridik kepada keldai itu katanya Hai sahabatku adapun makanan kita sekalian sebab pun boleh mendering itu semuanya daripada air embun sahaja. Jadi apakala didengarlah oleh keldai yang demikian itu [...] yakni tetaplah di dalam hatinya hendak meminum air embun sahaja dan tiadalah ia mahu meragut rumput lagi.

Kalakian tiada berapa lama di belakang itu badan keldai itu pun kuruslah dan lama kelamaannya matilah ia dengan kelaparan. Demikianlah halnya jikalau kita berkehendakkan yang bukan bahagian kita tak dapat tiada akan binasa jua akhirnya adanya.

Ceritera 6 Darihal serigala dengan serandau

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seekor serigala menangkap seekor biri-2. Maka pada tatkala dimakannya tersengkanglah yakni terlekatlah tulang belakang biri-2 itu di lehernya. Maka berlarilah ia ke sana ke mari mencari pertolongan yang boleh mencabutkan tulang itu. Kemudian berjumpalah ia dengan seekor burung serandau di dalam suatu paya. Maka berkatalah serigala kepada serandau itu Hai sahabatku jikalau ada belas

Mukasurat 9/93 Hikayat Penerang Hati
  • Serandau adalah sejenis burung, pucung, Ardea purpurea manilensis. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

  • Benara adalah tukang cuci, dobi, benatu (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Muka surat 9/93

kasihan tuan hamba tolonglah masukkan kepala tuan hamba ke dalam kerongkong hamba ini serta cabutkan tulang yang tercekik itu dan bolehlah hamba upah akan tuan hamba dengan berbagai upahan yang berharga.

Kalakian redalah serandau akan permintaan serigala itu dengan sebab upahan itu kemudian lalu dimasukkan kepalanya ke dalam mulut serigala itu dan ditarikkannya tulang itu keluar. Setelah tercabut ditunggulah oleh serandau akan upahan itu. Maka berkatalah serigala itu sambil menjeringaikan gusinya dan mengaratkan gerahamnya Hai serandau upah apatah lagi yang engkau kehendaki bukankah engkau telah mendapat upah kelelahan engkau dengan secukupnya oleh dapat engkau menarik kepala engkau keluar dengan selamatnya dari dalam mulut dan celah remang tikur serigala. Maka jikalau tiada engkau aneh dari hadapanku sekarang nescaya binasalah engkau. Setelah itu terbanglah serandau itu dengan ketakutan. Demikianlah halnya jikalau barang siapa yang menolong akan orang yang jahat janganlah mengharapkan mendapat upahan. Jika beroleh selamat daripada marabahayanya pun sebaik-2 nasib sebesar-2 terima kasih adanya.

Ceritera 7 Darihal tukang pencelup dengan benara

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang tukang pencelup berjalan-2 pergi ke pasar hendak membeli barang-2. Setelah sudahlah dibelinya barang yang dikehendakinya baliklah ia ke rumahnya. Apakala sampailah ia separuh jalan bertemulah ia dengan seorang sahabatnya iaitu benara tukang mencuci kain. Maka bercakap-2lah mereka itu dari hal pekerjaan masing-2 di dalam itu berkatalah tukang pencelup katanya Hai taulanku pada fikiran hamba baiklah kita duduk bersama-2 serumah menjalankan pekerjaan masing-2. Maka mana-2 keuntungan yang kita perolehi kelak bolehlah kita simpan terlebih banyak lagi daripada yang ada sekarang dari kerana belanja-2 kita pun tentulah berkurangan lagi daripada duduk berasing-2 ini.

Syahadan setelah didengarlah oleh benara akan nasihat sahabatnya itu berkatalah ia Hai sahabatku adapun seperti muafakat dan ikhtiar tuan hamba itu tiadalah sekali-2 termasuk ke dalam akal hamba dan tiadalah dapat hamba menyempurnakan dari kerana tiap-2 suatu yang hamba hendak putihkan melainkan tuan hamba hendak hitamkan dengan pencelup tuan hamba itu. Setelah didengar oleh tukang pencelup itu kemalu-2anlah ia seraya berjalan menuju ke rumahnya. Demikianlah halnya tiada kebaikan duduk serumah dua orang yang tiada bersatu

Mukasurat 10/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 10/93

hati adanya.

Ceritera 8 Darihal budak menangkap belalang

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa seorang laki-2 keluar dari rumahnya ke padang menangkap belalang. Setelah banyaklah sudah didapatinya bertemulah ia dengan seekor kala. Maka budak itu tiadalah pernah dahulunya melihat kala. Oleh itu pada sangkaannya kala itu pun adalah seekor belalang jua. Kemudian lalu dijulurkannya tangannya hendak menangkap akan dia. Maka di dalam sebelum lagi dicekupnya berkatalah kala itu kepadanya seraya menjungkitkan sengatnya katanya Hai kanak-2 jikalau engkau jamah sahaja akan daku nescaya ku sengatlah akan dikau dan pada waktu itu kalau aku pun terlepaslah daripada tanganmu serta dengan belalang-2 yang sudah engkau dapati itu.

Kalakian setelah didengar oleh budak itu akan perkataan kala itu lalu kembalilah ia ke rumahnya mendapatkan ibunya dan diceriterakannya sekali perkataan kala itu. Maka berkatalah ibunya kepadanya Hai anakku dan cahaya mataku adapun perkataan kala itu sangatlah benarnya dan sebaiknyalah tiada engkau cekuh akan dia. Maka jikalau tiada engkau dengarkan nasihat kala itu tentulah disengatnya akan dikau dan oleh sebab bisa sengatannya itu tiadalah engkau hiraukan belalang-2mu yang sedia itu. Maka apakala didengarlah oleh budak itu akan perkataan ibunya sukacitalah ia. Demikianlah halnya tiap-2 kanak-2 itu hendaklah ia mendengar dan mengikut pengajaran orang tua-2. Jika tiada nescaya dapatlah ia kerugian yang amat besar adanya.

Ceritera 9 Darihal semut dengan keridik

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa beberapa banyak semut berkongsi menghimpunkan dan mengempungkan makanan seperti biji-2an dan buah-2an di dalam musim kemarau dengan maksud hendak dimakannya di dalam musim tengkujuh yakni musim hujan. Setelah sampailah musim tengkujuh duduklah semut-2 itu anak beranaknya memakan rezekinya itu dengan kesenangan dan makmur.

Kalakian adalah seekor keridik yang hampir mati oleh kelaparan lalu berdekatan dengan gudang semut-2 itu serta dilihatnya akan makmur makanan mereka itu dapatlah ia meminta sedikit daripadanya. Maka berkatalah semut-2 itu Hai kekasihku pada waktu kemarau

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50