Hikayat Raja Budiman

Muka surat 41 hingga 50

Mukasurat 41/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 41/129

Telah selesai daripada mandi itu masing-2 pun bersiaplah hendak berjalan pulang dengan riuh rendah gurau jenaka pantun seloka sepanjang jalan. Telah sampai ke rumah nenek kebayan hari pun sudah malam. Maka Cik Dayang Suka pun segeralah mengantungkan kelambunya dan dilepaskan burung itu lalu tidur sekaliannya. Maka Tuan Puteri pun tampil bermain-2 dengan memalu-2 segala permainan bunyian yang dua belas ragam. Maka Cik Suka seorang tiada mahu bermain dengan segala kawan-2nya pura-2 ia berbuat sakit kepala dan tubuhnya hendak demam. Telah sudah jauh malam maka permainan itu pun berhentilah masing-2 masuk pada bilik tempat peraduannya dan Tuan Puteri pun masuk pada bilik yang sunyi pintu yang tinggi lalu beradu dengan memangku kucing emas itu. Telah jauh malam masing-2 sangatlah tidurnya. Maka burung sewah si rajawali pun telah menjadikan dirinya manusia kembali pada asalnya Selamat Tandang Desa lalu rebah tidur dekat dengan Cik Dayang Suka. Maka dayang itu pun terkejut bangun lalu dirabanya segala tubuh badan Selamat Tandang Desa itu. Maka Selamat pun berdiam dirinya beberapa kali diperiksa oleh Cik Dayang Suka Selamat diam juga. Telah sudah diketahui oleh Cik Dayang Suka ia pun berkata Amboi laki-2 rupanya datang mari tidur dengan aku maka Cik Dayang Suka pun berkata

Sudah nasib badan yang malang @ Ditanam padi menjadi lalang

Dibeli daging kena tulang @ Beroleh burung menjadi orang

Telah sudah berpantun itu maka Cik Dayang Suka pun lalu berdiam dirinya tidur dengan berkemas-2 berpeluk keduanya. Maka Tuan Puteri pun telah lena beradunya

Mukasurat 42/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 42/129

maka kucing emas itu pun menyapukan muka Tuan Puteri itu dengan ekornya. Maka Tuan Puteri pun terkejut daripada beradu seraya berkata Amboi putih kak semangat kak janganlah digaduhi kak hendak beradu tiada boleh mata kak putih kak hendak beradu atas lengan kak kah putih kak. Maka kucing itu pun mengiau. Maka Tuan Puteri pun bangkit dipeluk kucing itu diletakkan di atas lengannya beradulah Tuan Puteri terlalu lena. Maka kucing emas itu pun berkata Berkat kesaktian aku mintalah hilang rupa kucing ini minta balik kepada asalku Lela Muda seperti rupa paras sedia lama. Maka dengan seketika itu juga dia pun pulih balik sedia kala menjadi manusia lalu merebahkan dirinya tidur di atas lengan Tuan Puteri dengan hal yang demikian Tuan Puteri pun terkejut dilihatnya kucing emas itu sudah hilang tiba-2 dipandangnya akan seorang lelaki yang ada tidur bersama-2 dengan dia. Maka sangatlah terkejut Tuan Puteri memandang lanang laki-2 itu maka ia pun segeralah memanggil segala dayang-2nya katanya Amboi kak dayang tua marilah segera lihat aku ini siapa orang mari beradu dengan aku ini seperti anak lanang laki-2. Maka segala dayang-2 tua pun segeralah datang berlari-2 membawa pelita disuluh. Maka nampaklah Lela Muda maka kata inang tua Wahai Tuan Puteri patut sangat dengan Tuan Puteri orang muda ini sama tinggi sama rendah sama hitam sama putih sama tolok sama banding bagai pinang dibelah dua. Maka kata Tuan Puteri hai dayang [kotak] dayang celaka entahkan anak jin peri di mana disamakan dengan rupa parasku cubalah kak dayang periksa dari mana ia datang kemari ini. Maka kata dayang itu Wahai orang muda datang dari mana dan hendak ke mana. Maka sambut Lela Muda kami ini orang sesat

Mukasurat 43/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 43/129

melarat tiada berkawan. Maka kata Tuan Puteri Wahai Mak Inang orang sesat melarat di dalam rimba hutan raya abang sesat melarat dalam tirai kelambu saya. Maka segera disuruh oleh Tuan Puteri turun daripada rumahnya Tiada boleh duduk lama di dalam rumah saya ini takut diketahui oleh ayah dan bonda darah yang setitik tiada akan tumpah ke bumi dan daging segumpal tiada akan dihurung oleh semut. Maka kata Lela Muda Amboi tuan semangat abang urat rambut batu kepala abang emas merah cahaya mata abang seri negeri mahligai hati abang separas leher sudah abang harung sampai separas mata kaki mahukah abang hendak tinggalkan tentulah adik di dalam tangan abang.

Maka kata Tuan Puteri Amboi sangat jahat budi jahat perangai muka tiada permalu. Maka Tuan Puteri pun sudah naik marah pucat berseri warna mukanya tubuhnya menggeletar seperti keli dikerat Patut laki-2 ini duduk di bawah tangga mahligai di situlah patut tempatnya diberi nasi pagi petang satu tempurung baharulah patut padan dengan orang muda ini mukanya laksana lotong dan ungka pergi mencari cacing di padang itu. Hatta maka beberapa dipujuk oleh Lela Muda dengan perkataan yang manis-2 tetapi Tuan Puteri murka juga. Maka Tuan Puteri pun hendak berpaling memalis oleh Lela Muda dikeluarkan satu botol minyak pelong seraja gila dengan seribu hikmat di dalamnya lalu dicelupkan canggainya ke dalam botol itu lalu dipetikkan hala Tuan Puteri itu maka jatuh setitik di hulu hati Tuan Puteri itu perasaannya terus sampai ke dalam hati. Telah sudah terkena hikmat itu maka Lela Muda pun berkata jangan seorang

Mukasurat 44/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 44/129

seorang sebalik tikar jika di seberang laut pun gila juga kepada aku. Maka ianya pun turun Tinggallah adik Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan abang hendak pergi cari nasi sejuk di bawah tangga mahligai Tuan Puteri ini. Maka ianya pun turun sampai pada satu tingkat rumah itu maka Tuan Puteri sudah merubah hatinya yang takut timbul berani dan hatinya yang benci merasa kasih kerana sudah terkena hikmat Lela Muda itu. Maka Tuan Puteri pun segeralah menyuruh panggil katanya Wahai mak inang dikata orang kita ini jahat budi jahat perangai disebut orang seorang datang mari ke rumah kita jangankan kita hendak memberi nasi gulai sirih pinang pun tiada terjamu barang sekapur. Maka inang pun segeralah pergi memanggil Lela Muda dan Lela Muda pun pura-2 tiada mahu. Maka kata dayang Amboi Tuan Puteri orang muda ini tiada mahu balik marilah Tuan Puteri sendiri persilakan maka Tuan Puteri pun hilanglah malunya lalu bangkit bercering gelang di tangan melepak subang di telinga meretap cincin di jari meriap jari yang halus berbunyi gandit di pinggang bersambutan pula ganta di kaki melempai pinggang yang ramping berjalan langsung mendapatkan Lela Muda duduk bersimpuh dengan seribu hormat serta memegang kain Lela Muda sambil berkata Ayuhai abang semangat adik urat rambut batu kepala adik emas merah cahaya mata adik seri negeri mahligai hati adik janganlah abang berjauh hati dan berjauh rasa kepada adik kita gurau jenaka kepada abang. Maka Lela Muda pun pura-2 berbuat kelakuan hendak merajuk sambil ia memanggil segala dayang disuruh pegang Tuan Puteri maka Tuan Puteri pun berkata

Mukasurat 45/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 45/129

Wahai abang silalah abang kita balik masuk ke peraduan. Maka Lela Muda pun sudahlah lembut hatinya melihat Tuan Puteri itu teriak menangis bercucuran dengan air matanya seperti buah bemban masak luruh keribaan seperti manik putus pengarang umpama embun di hujung rumput. Maka Lela Muda pun lalu balik ke hadapan Tuan Puteri dengan pucuk cumbunya silalah tuan balik jangan adinda sangat menangis muka yang manis menjadi muram mata yang permai menjadi balut bekas menangis jikalau sedepa abang hendak pergi dua depa abang hendak balik mendapat adinda. Setelah Tuan Puteri mendengar kata Lela Muda demikian maka ia pun tersenyum bangkit lalu memegang tangan Lela Muda diajak balik bersama-2 keduanya masuk ke dalam peraduan pada bilik yang sunyi pintu yang tinggi. Maka duduklah keduanya bersuka-2an dengan bergurau senda dan pujuk cumbu berganti-2. Maka teruslah merasa kasih sayang keduanya. Maka Lela Muda pun berpantun demikian bunyinya:-

Kayu bercindik lagi bercabang @ Buah limau Inderagiri

Ayuhai adik semangat abang @ Bolehkah kekanda bertaruh diri.

Telah dipandang oleh dayang tua bahawa Tuan Puteri itu sudah kemaluan lakunya tiada menjawab pantun Lela Muda itu maka ianya pun berkata Susah sahaja aku berkawal jaga bela pelihara siang serupa malam

Mukasurat 46/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 46/129

dari kecil hingga besar sampai ke tengah gelanggang berjumpa lawan yang sama agung sudah tiada melawan. Maka Tuan Puteri pun mengangkat muka seraya membalas pantun itu demikian bunyinya:-

Buah limau Inderagiri @ Buah perah di dalam keranda

Jikalau kekanda bertaruh diri @ Takut dimurka ayah dan bonda.

Maka jawab Lela Muda demikian bunyinya:-

Buah perah di dalam keranda @ Tumpah juga di dalam gula

Kalau dimurka ayah dan bonda @ Mohonkan kita berdua.

Maka jawab Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan:-

Tumpah cuka di dalam gula @ Selasih layang tanam tak tumbuh

Kalau suka kita berdua @ Kasih abang kalau tak sungguh.

Maka jawab Lela Muda demikian bunyinya:-

Selasih tanam tak tumbuh @ Ikan gelama ikan yang sakti

Kalau kasih abang tak sungguh @ Di manalah tempat kekanda mati.

Maka jawab Tuan Puteri:-

Ikan gelama ikan yang sakti @ Kertas ditulis bercarik-2

Di manalah tempat kekanda mati @ Melainkan tuan paras yang baik

Maka jawab Lela Muda:-

Tetak buluh penyidai kain @ Rama-2 terbang ke judah

Di dalam pantun kita bermain @ Tuan tempat kasih yang sudah.

Telah sudah berbalas pantun itu lalulah diam keduanya. Maka Dayang

Mukasurat 47/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 47/129

Tua pun berpantun pula menyuruh Tuan Puteri dan Lela Muda masuk ke dalam peraduan kerana keduanya itu berdiam sahaja demikian bunyinya:-

Itik putih ayam pun putih @ Ambil pengandar di Padang Gelugur

Adik putih abang pun putih @ Bentanglah tikar pergilah tidur.

Maka lalu tidurlah keduanya. Telah hari pun sianglah lalu bangun kedua bersiram dan santap sirih seketika itu hidangan pun diangkat oranglah. Maka Lela Muda dan Tuan Puteri pun santaplah dua orang sehidang dua suap tiga suap lalu sudah seraya basuh tangan serta memakai bau-2an. Maka Tuan Puteri pun menyuruh seorang dayang tua pergi ke atas kayangan mengadap ayahnya Raja Sang Nata khabarkan bahawa kami sudah tiada boleh naik ke kayangan mengadap kerana sudah dililit oleh Naga Umbang Naga Kesakti dan Naga Sri di dalam dunia pada negeri Padang Kecik. Maka dayang tua pun segera memakai baju terbang melambung ke atas kayangan dengan sungguh hatinya habis ajud dengan anggut. Ia pun sampailah pada awan kelabu dan awan mega angin tembak kancing maka ia pun lepaslah ke pintu kayangan langsung naik ke balai pesiban mengadap Taja Sang Nata dan baginda pun pada ketika itu sedang semayam di atas kerusi yang keemasan. Maka Cik Dayang Tua pun berdatang sembah: Ampun Tuanku beribu-2 ampun sembah patik harap diampun adalah hal paduka anakanda Tuan Puteri

Mukasurat 48/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 48/129

Bongsu Kecil Cahaya Bulan sudah dililit oleh Naga Umbang Naga Kesakti dan Naga Sri di dalam dunia di negeri Padang Kecik. Maka Raja Sang Nata pun segera bangkit sambil bertitah Hai Temenggung Panglima Kuming dan Kandil siapkan gajah selayangan. Telah sudah maka Raja Sang Nata pun turun ke pintu kayangan lalu turun ke dalam dunia langsung masuk ke dalam mahligai. Ada pun Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan pada ketika itu sedang beradu. Maka ia pun terkejut jaga lalu bangkit segera membangunkan Lela Muda seraya katanya: Bangun semangat adik kerana ayah sudah sampai. Maka Lela Muda pun bangun basuh muka dan santap sirih sekapur lalu memakai dengan selengkap pakaian. Telah sudah lalu bangkit berjalan pergi mengadap ayahanda Raja Sang Nata di balai permainan. Telah sampai duduk bertimpuh rapat diangkat tangan jari sepuluh seraya berdatang sembah: Ampun ayah beribu-2 ampun harapkan diampun sembah patik. Maka hal patik ini sudah salah sepenuh-2 salah bunuh ayah anak ini. Maka sambut Raja Sang Nata: Wahai anak sudah patut padan sangatlah tuan dengan anak Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan bagai pinang dibelah dua. Duduk anak ayah semangat ayah kerana ayah hendak balik ke kayangan hendak memberi khabar kepada Sheikh Ali tunang Tuan Puteri. Hati ayahanda

Mukasurat 49/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 49/129

tiada berapa suka kepada Sheikh Ali itu kerana ia orang terkena pelik mukanya hitam sebelah dan putih sebelah tetapi tiada daya upaya ayahanda hendak melepaskan dari Sheikh Ali itu kerana ia orang sangat perkasa. Maka anak Lela gerangan pandangan ayahanda akan lawan Sheikh Ali itu siapa yang hidup itulah menantu ayahanda dan yang mati itu menantu hantu. Setelah sudah berkata-2 itu ianya pun terbang naik ke atas kayangan. Telah sampai pada biliknya di pesiban maka ianya pun segera menulis sepucuk surat hantarkan kepada seorang utusan bernama Dewa Sekalin Barat minta sampaikan kepada Sheikh Ali di negeri Panjang Selaksa.

Maka utusan pun terbanglah terlalu tangkas seperti kilat. Berapa lamanya ia pun sampailah ke negeri Panjang Selaksa. Ada pun Sheikh Ali ini sudah adat beberapa zaman bila orang hendak mengadap diparang dahulu dengan pedangnya lepas itulah baharu dapat mengadap. Ada pun pada ketika itu Sheikh Ali sedang semayam di balai. Seketika duduk itu Dewa Sekalin Barat pun sampai di halaman balai. Telah dipandang oleh Sheikh Ali maka ianya pun disentap sebilah pedang tampil mengerat Dewa Sekalin tetap dengan tiada berkira-2 lagi. Maka oleh Dewa Sekalin Barat pun menangkis dengan bersunguh-2 hatinya disilat oleh Dewa Sekalin sekali pun tiada kena. Maka segeralah Sheikh Ali menyilakan

Mukasurat 50/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 50/129

Dewa Sekalin Barat naik ke atas balai. Maka Dewa Sekalin pun naiklah lalu duduk di atas kerusi keemasan.

Maka kata Dewa Sekalin: Ampun Tuanku beribu-2 ampun maka patik ini dititah oleh Raja Sang Nata menyampaikan surat kepada Tuanku. Maka oleh Dewa Sekalin diunjukkan surat itu ke tangan Sheikh Ali dan disambutnya surat itu serta dibuka dibaca demikian bunyinya: Hai Sheikh Ali jikalau engkau mahukan tunangmu itu turunlah ke dalam dunia di negeri Padang Kecik. Maka Tuan Puteri Bongsu Kecik Cahaya Bulan sudah diperguna oleh orang lanang laki-2 di dalam mahligai. Setelah itu maka Dewa Sekalin bermohon pulanglah. Dengan seketika itu juga Sheikh Ali pun mengeranglah seperti harimau beranak muda dan seperti raksasa kelaparan daging perburuan sangat marah Sheikh Ali merah berseri warna mukanya seperti bunga raya kembang pagi dan merah dadanya seperti udang dibakar.

Maka kata Sheikh Ali: Hai Datuk Panglima Besar pukullah gendang raya dan himpunkan sekalian isi negeri dengan segeranya kerana aku hendak turun ke dalam dunia. Telah sudah siap semuanya rata berkampunglah rakyat dan tentera ada yang naik ke atas gajah selayangan ada yang naik di atas singa api ada yang naik kuda terbang bermacam-2 jenis masing-2 dengan kenderaan angkatan