Hikayat Penerang Hati

Jilid I

Muka surat 21 hingga 30

Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50

Mukasurat 21/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 21/93

makanan. Maka tiada berapa jauh berjalan lalu bertemulah mereka itu dengan seekor singa.

Syahadan apakala dilihatlah oleh musang akan kecederaan yang hendak terkena ke atasnya lalu pergilah ia menghampiri singa itu seraya berkata kepadanya Hai raja segala binatang jikalau bolehlah Tuanku berjanji dengan hamba tiada akan membinasakan hamba bolehlah hamba perdayakan keldai itu supaya senanglah boleh Tuanku tangkap akan dia akan tetapi hendaklah Tuanku memegang perjanjian Tuanku. Maka mengakulah singa itu bahawa sekali-2 tiada ia merosakkan musang itu.

Hatta pergilah musang itu mengajak keldai itu berjalan-2. Tiba-2 terjatuhlah ia ke dalam suatu lubang yang dalam. Setelah dilihatlah oleh singa akan keldai itu telah termasuklah ke dalam setapunya yakni perangkapnya lalu ditangkapnyalah akan musang itu. Kemudian baharulah ia pergi mematahkan keldai itu. Demikianlah halnya barang siapa yang menggali lubang tak dapat tiada ialah jua yang dahulu terperosok ke dalamnya adanya.

Ceritera 27 Darihal kelulut dengan takar manisan

Sebermula adalah kononnya pada suatu masa sebiji takar manisan lebah telah terbalik di dalam bilik kedai seorang saudagar. Maka oleh manis bau manisan itu datanglah beberapa banyak kelulut berkerumun mengurung takar itu serta hinggap mengisap manisan itu. Dengan hal yang demikian sekali kelulut itu pun lemaslah oleh lama tiada dapat menggerakkan dirinya. Maka pada tatkala [tar... am...] hendak mati berserulah binatang-2 itu katanya adapun kami sekalian ini terlalulah bebal serta dengan dungunya kerana seronok yang sedikit sehingga kami pergi meracun dan menceburkan diri kami sendiri kebinasaan. Setelah habislah kelulut-2 itu berkata yang demikian itu lalu matilah semuanya. Demikianlah halnya hendaklah kita

Mukasurat 22/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 22/93

jaga akan diri kita dan janganlah kita menceburkan diri kepada kebinasaan sebab seronok yang sedikit adanya.

Ceritera 28 Darihal manusia dengan singa

Sekali persetua adalah seorang manusia bersahabat yang terlalu amat akrabnya dengan seekor singa. Maka pada suatu hari berjalanlah mereka itu di dalam suatu hutan yang besar dan di dalam perjalanan itu masing-2 pun lalulah mengeluarkan labon yakni cakap dan di dalam perlabonan itu masing-2 pun lalulah meninggikan kesaktian dan kekuatan.

Syahadan di dalam berbalah-2 itu terlihat kepada manusia itu akan suatu gambar batu yang diukir orang seperti keadaan seekor singa telah [ditekatkan] oleh seorang manusia. Maka berkatalah manusia kepada singa itu sambil menunjukkan tangannya kepada gambar itu Hah lihatlah gambar itu betapakah gagah dan perkasa serta beraninya manusia di dalam dunia ini hingga dapatlah diperonyokkan raja segala binatang.

Kalakian akan perkataan manusia itu dijawablah oleh singa itu katanya Hai taulanku adapun yang gambar itu telah diperbuat oleh manusia dan jikalau sekiranya singa itu pandai [serikakan] gambar-2 nescaya bolehlah taulanku melihat akan gambar manusia dicelapak yakni dinaiki oleh singa. Setelah didengarlah oleh manusia akan perkataan itu datanglah marahnya lalu ditikamnyalah akan singa itu hingga mati. Demikianlah halnya kentut itu bunga tahi dan perjawapan itu bunga perkelahian adanya.

Ceritera 29 Darihal kura-2 dengan garuda

Alkisah adalah seekor kura-2 telah berjemur di tepi pantai lautan. Kemudian berserulah ia kepada orang laut itu mengadukan celaka nasibnya oleh tiada siapa yang boleh melatihkan ia terbang di udara. Maka pada tatkala itu adalah seekor garuda yang terbang di udara berhampiran dengan kura-2 itu. Setelah didengarnya akan tangisan kura-2 itu datanglah ia menghampiri

Mukasurat 23/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 23/93

seraya bertanya katanya Hai sang kura-2 jikalaulah hamba membawakan tuan hamba terbang dan melepaskan tuan hamba di udara apakah hadiah yang boleh tuan hamba beri akan hamba.

Kalakian dijawablah oleh kura-2 itu katanya jika betullah seperti perkataan tuan hamba itu bolehlah hamba hadiahkan tuan hamba dengan sekalian harta karun yang di dalam laut merah. Setelah itu dicengkamlah oleh garuda akan kura-2 itu dengan cangkirnya serta diterbangkannya ke udara. Maka apabila sampailah ke awan yang hijau lalu dilepaskanlah akan kura-2 itu dan jatuhlah ia ke atas sebuah gunung yang tinggi dan pecahlah kulitnya lalu lantak berkeping-2. Maka pada ketika ia hendak mati berkatalah ia Hai nafsu padanlah sudah maksud kamu dengan balasannya kerana apatah pasalnya kamu berkehendakkan sayap dan terbang ke udara sedangkan di atas bumi pun payah mengesot. Setelah itu matilah kura-2 itu. Demikianlah halnya jikalau barang siapa yang tiada syukur dengan rezekinya yang ada nescaya membawa kecederaan yang besar pada dirinya adanya.

Ceritera 30 Darihal peladang dengan undan

Alkisah adalah beberapa banyak burung undan telah turun memakan biji-2an di dalam ladang seorang peladang yang baharu ditugal yakni ditanamnya benih gandum. Maka beberapa lamalah dihalau oleh peladang akan undan-2 itu dengan bolang baling yakni ali-2 angin sahaja dengan tiada ditujukan kepadanya. Maka dengan sebab bunyi bolang baling itu larilah undan-2 itu dengan ketakutan dan dahsyat hatinya. Setelah beberapa lamanya dengan hal yang demikian dapatlah diketahui oleh burung-2 itu bahawa bunyi bolang baling itu tiadalah mencederakan ia jadi tiadalah diendahkannya dan tiadalah ia mahu lari lagi seperti dahulu.

Kalakian setelah dilihatlah oleh peladang akan hal itu lalu diletaknyalah batu di dalam ali-2nya itu serta ditujukannya kepada unggas-2 itu. Oleh yang demikian banyaklah burung-2 itu mati dan luka. Maka pada tatkala hendak terbang lalu berlaung mereka itu dari seekor kepada seekor dengan gegak gempitanya katanya inilah

Mukasurat 24/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 24/93

masanya kita lari ke langit hijau oleh peladang itu bukanlah ia sahaja menakutkan kita melainkan telah dimulailah menunjukkan makar yakni bengis. Setelah itu undan-2 itu pun melayanglah meninggalkan ladang itu. Demikianlah halnya jikalau tiada dapat dilatih dengan pelajaran melainkan hendaklah digodam yakni dipukal akan dia adanya.

Ceritera 31 Darihal musang dengan kambing

Sebermula adalah seekor musang telah berjalan-2 mencari mangsanya yakni tangkapannya di tepi sebuah padang. Tiba-2 terjatuhlah ia ke dalam suatu telaga yang dalam. Dengan hal yang demikian terkurung ia di situ seperti keadaan orang salah. Maka di dalam ia duduk dengan kemasyghulan sekonyong-2 datanglah seekor kambing yang dahaga ke tepi telaga itu. Maka bertanyalah ia akan sebab musang itu duduk di dalam telaga itu. Maka oleh musang itu disembunyikannyalah akan rahsia kesusahannya lalu berkatalah ia dengan tertawa-2 katanya Hai sahabatku adapun air ini tersangatlah manis terlebih lagi daripada madu. Oleh itu tiadalah sampai hemat hamba meninggalkan dia dan jikalau tuan hamba hendak merasa silalah turun ke mari.

Arkian oleh sangat dahaga kambing itu lalu terjunlah ia ke dalam telaga itu dengan tiada difikir memikirkan akhirnya meminumlah ia dengan sepuas-2 hatinya. Setelah sudah diminum lalu berceriteralah musang itu akan kesusahannya hendak menaiki balik. Kemudian berkatalah lagi musang itu katanya Hai sahabatku jikalau tuan hamba setuju adalah suatu ikhtiar kepada hamba supaya boleh kita berdua terlepas daripada penjara ini. Adapun akal hamba ini silalah tuan hamba julangkan tuan hamba ke atas dan tundukkan kepala tuan hamba di tepi telaga ini. Kemudian bolehlah hamba memanjat di belakang tuan hamba dan pada tatkala hamba telah terlepas ke atas kelak bolehlah hamba menaki yakni menarik tuan hamba dengan tali supaya terlepaslah kita kedua daripada penjara ini.

Kalakian kambing itu pun berkenanlah akan ikhtiar musang itu. Kemudian berdirilah ia serta menjulangkan tangannya seperti yang tersebut itu. Maka memanjatlah

Mukasurat 25/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 25/93

musang itu di belakang kambing yang dungu itu. Setelah sampailah ia ke tanduk kambing itu lalu melompatlah ia keluar serta berlari dengan secepat-2nya. Maka apabila dilihatlah oleh kambing akan hal musang itu lalu dimakinyalah akan dia dan berpalinglah musang itu seraya berseru-2 katanya Hai binatang yang dungu jikalau sekiranya ada otak di dalam kepala engkau sebanyak janggutmu itu nescaya tiadalah engkau terjun ke dalam telaga itu sebelum disiasat akan jalan menaiki balik dan tiadalah mahu engkau mencampakkan diri ke dalam penjara yang tiada diharapkan keluar selama-lamanya. Kemudian berjalanlah musang itu dan tinggallah kambing itu di dalam [ketutapannya] sehinggalah mati. Demikianlah halnya sebelum melompat hendaklah kita petiakan dahulu seperti ibarat orang tua-2 ingat sementara belum kena dan hemat sementara belum habis adanya.

Ceritera 32 Darihal binatang-2 dengan singa betina

Sekali persetua adalah segala binatang-2 yang di dalam belantara telah berhimpun kepada suatu tempat bercakap-2kan binatang manakah yang terlebih banyak anak pada sekali jadi. Maka di dalam berkata-2 itu jadilah suatu perbalahan yang besar. Maka berlarilah sekalian binatang dengan gemuruh gementam pergi mengadap seekor singa betina meminta putuskan perbantahan mereka itu. Setelah sampai binatang-2 itu ke hadapannya lalu berkatalah mereka itu Ya Tuanku permaisuri segala binatang akan Tuanku itu berapa ekorkah anak pada sekali jadi.

Syahadan apakala didengarlah oleh singa itu akan pertanyaan binatang-2 itu tertawalah ia gelak-2 akan mergastua itu seraya bertitah Hai sekalian binatang mengapatah kamu sekalian bertanyakan anakku. Adalah yang aku ini beranak hanyalah seekor sahaja pada sekali jadi. Akan tetapi sungguh pun seekor itu ialah menjadi raja segala binatang. Setelah itu binatang-2 itu pun kembalilah masing-2 ke tempatnya. Demikianlah halnya adapun harga yang mahal itu jatuh kepada barang yang baik seperti kata memerap sebiji manikam itu terlebih mahal daripada sekodi kain adanya.

Ceritera 33 Darihal dua orang pengembara dengan beruang

Mukasurat 26/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 26/93

Alkisah adalah dua orang pengembara telah berjalan bersama-2 di dalam suatu hutan yang besar kerana hendak pergi ke sebuah negeri yang lain. Maka sambil berjalan itu berbuallah mereka itu. Sekonyong-2 keluarlah seekor beruang yang amat besar dari dalam semak-2 itu serta datang menuju kepada mereka itu. Maka yang seorang yang seorang itu larilah ia memanjat ke atas sepohon kayu serta menyembunyikan diri di dalam dahan-2 kayu itu. Setelah dilihatlah oleh kawannya yang lain itu tak dapat tiada tentulah diterkam oleh beruang itu akan dia lalu direbahkannyalah dirinya terbantir meniarap di tanah. Maka datanglah beruang itu merapat akan dia serta menghidu-2 yakni mencium seluruh tubuhnya dengan hidungnya yang mancung. Maka ditahanlah oleh orang itu akan nafasnya dan dilakukannya dirinya seperti kelakuan orang yang telah mati.

Hatta kemudian itu ditinggalkanlah oleh beruang itu akan dia kerana kononnya adalah adat sekalian beruang tiadalah mahu menyentuh akan mayat. Setelah pergilah beruang itu maka orang yang di atas pohon kayu itu pun turunlah ke tanah seraya menegur akan kawannya dengan perkataan yang jegela yakni bersenda-2 katanya Hai taulanku apakah yang dibisikkan oleh beruang itu ke telinga tuan hamba tadi. Maka dijawablah oleh orang itu katanya Hai kekasihku adalah beruang itu telah memberi nasihat kepada hamba bahawa yang ke hadapan lagi janganlah sekali-2 berjalan dengan siapa-2 sahabat yang meninggalkan kawan tatkala datang kecederaan. Maka kemalu-2anlah si penakut itu. Setelah itu berjalanlah kedua mereka itu menuju negeri yang hendak dipergikannya. Demikianlah halnya jika hendak mengetahuikan setia sahabat dilihat tatkala datang kecederaan adanya.

Ceritera 34 Darihal merpati yang dahaga

Sekali persetua adalah kononnya pada suatu masa telah berlaku kemarau yang amat sangat hingga tiadalah dapat dicari air di dalam suatu-2 tempat. Maka pada suatu hari adalah seekor burung merpati yang terlalu amat dahaga telah terbang ke sana ke mari mencari air. Sekonyong-2 terlihatlah ia akan gambar sebiji labu yang terukir kepada suatu papan yang tersanding. Pada sangkanya adalah gambar itu labu yang

Mukasurat 27/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 27/93

betul. Jadi terbanglah ia menghala kepada papan itu dengan terlalu amat tangkasnya.

Hatta setelah sampailah ke papan itu lalu terhempaslah ia yang terlalu amat teruknya. Oleh yang demikian patahlah kedua belah sayapnya dan gugurlah ia ke tanah. Maka pada ketika itu adalah seorang yang telah melihat akan dia dan pergilah orang itu menangkap akan dia disembelihnya dibawa pulang ke rumahnya. Demikianlah halnya di dalam sebarang pekerjaan atau pun perbuatan hendaklah dihabiskan dahulu [akad] dan ikhtiar supaya tiadalah menyesal belakang adanya.

Ceritera 35 Darihal lembu dengan bam kereta

Sebermula adalah sepasang lembu menarik sebuah kereta yang besar dan berat di dalam suatu lorong sebuah bandar. Sekonyong-2nya tatkala lembu itu tengah bercakap-2 sama sendirinya mengenangkan hal nasib kepenatan menarik kereta itu pada setiap hari lalu berkerit yakni berbunyilah bam kereta itu dengan amat besar bahananya.

Kalakian berpalinglah kedua ekor lembu itu melihat ke belakang seraya berkata kepada bam itu Hai bam mengapakah engkau merenguh yang terlalu amat hingarnya. Patutlah kita yang merenguh dan menjerit kerana kita yang penat menarik kereta ini dengan keberatan dan akan engkau itu senanglah sahaja ditarik oleh kita. Setelah itu diamlah kedua ekor lembu serta dengan bam itu. Demikianlah halnya siapa-2 yang sakit ialah patut mengaduh adanya.

Ceritera 36 Darihal anjing di dalam tong

Sebermula maka adalah kononnya pada suatu masa seorang gembala lembu telah berumahtangga di dalam sebuah padang dan adalah baginya seekor anjing yang sangat bengkeng serta dengan beberapa ekor lembunya. Maka akan anjing itu senantiasalah berbaring di dalam sebiji tong tempat menyimpan rumput-2 kering akan jadi makanan lembu-2 itu. Maka apabila dapatlah binatang-2 itu hendak memakan rumput-2 yang telah disediakan baginya lalu disalak dan digigitnyalah akan dia sehingga tiadalah dapat hampir di pipa tong itu.

Arkian di dalam lembu-2 yang banyak itu lalu berkatalah seekor kepada kawan-2nya

Mukasurat 28/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 28/93

katanya Hai temanku lihatlah tamaknya anjing bodoh itu ia sendiri tiada boleh [sersang] yakni menelan rumput-2 itu. Mana-2 orang lain yang boleh memakannya pun dilarangnya. Setelah itu berjalanlah lembu itu berkawan-2 pergi ke padang meragut rumput. Demikianlah halnya orang yang bakhil atau kikir jangankan barang yang berguna kepadanya jika tiada sekali pun ditegahkan orang lain mempergunakan akan dia adanya.

Ceritera 37 Darihal singa yang sakit

Sebermula adalah seekor singa telah diam di dalam suatu hutan yang besar. Maka oleh sebab tua umurnya dan letih badannya tiada upaya hendak mencari makanan dengan menangkap binatang-2 yang lain. Oleh itu senantiasalah ia di dalam kelaparan. Kemudian timbulah akal di dalam dirinya hendak mendapat makanan itu dengan helah yakni tipu dan daya. Setelah tetaplah di dalam hatinya akan fikiran itu lalu baringlah ia di dalam guanya serta dirupakan dirinya seperti kelakuan yang amat sakit dan dipayahkannyalah [ciranya] sakitnya itu.

Arkian apakala didengarlah oleh sekalian binatang-2 akan kesakitan rajanya itu sangatlah dukacita mereka itu dan datanglah mereka itu melawat singa itu ke dalam guanya berganti-2 yakni lepas seekor seekor pula. Maka akan singa itu apatah lagi mangsa tekur yakni pendapatan tekukur padi rebah. Lalu dipatahkannyalah binatang-2 itu serta dimakannya. Demikianlah halnya beberapa lama yang singa itu telah melakukan yang demikian dekatlah habis segala binatang-2 yang di dalam hutan itu.

Syahadan akan hal ehwal kelakuan dan helah singa itu diketahuilah oleh seekor musang. Maka pergilah ia melawati singa itu. Serta sampai duduklah ia jauh di luar gua singa itu. Kemudian ditanyalah oleh musang akan singa itu katanya Ya Raja segala binatang apakah khabar penyakit Tuanku itu. Maka dijawablah oleh singa itu Hai anakku adapun yang diriku adalah sedikit sihatnya yakni baik. Akan tetapi betapakah engkau duduk di luar itu baiklah masuk ke dalam gua ini supaya boleh kita bercakap-2.

Kalakian termenunglah sejurus musang itu kemudian berfikir lalu

Mukasurat 29/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 29/93

dijawabnyalah perkataan singa itu katanya Ya Tuanku biarlah hamba duduk di sini dan berbanyaklah hamba menerima syukur oleh sudi Tuanku mempersila yakni mengajak hamba bercakap-2 akan tetapi betapakah hamba hendak masuk ke dalam gua Tuanku itu oleh banyak sangat tapak binatang-2 yang masuk dan tiadalah tampak bekasnya keluar. Oleh itu menakutlah hamba. Setelah didengarlah oleh singa itu datanglah gembiranya serta keluar menerkam musang itu dan terhempaslah kepalanya di batu gua itu serta pecah bersemburanlah otaknya lalu matilah ia. Demikianlah halnya alamat bijaksana orang itu jika kemalangan yang terkena ke atas orang lain menjadi pengajaran kepadanya adanya.

Ceritera 38 Darihal gagak dengan undan

Sebermula adalah seekor gagak telah berbuat tempat kediamannya dekat sebuah danau yakni paya. Maka pada tiap-2 hari dilihatnyalah seekor undan berenang-2 di dalam danau itu yang terlalu amat putih bulunya. Maka pada sangka gagak itu sebab pun bulu undan itu putih [s...] oleh sentiasa berendam di dalam air itu.

Arkian inginlah hati gagak itu pula berkehendakkan putih dan bersih bulunya lalu berendamlah ia di dalam air danau itu pada tiap-2 hari dengan tiada dihirau mencari makan akan tetapi di dalam begitu pun tiadalah jua mahu berubah warna bulunya itu. Dengan hal yang demikian lama kelamaan matilah ia dengan kelaparannya. Demikianlah halnya perangailah boleh diubah kejadian itu takkan boleh. Atau seperti kata arif di awanlah melayang buah ke pangkal jua jatuhnya adanya.

Ceritera 39 Darihal pengembara yang lawak

Sekali persetua adalah seorang muda telah mengembara merata-2 negeri yang lain. Maka tatkala kembalilah ia ke negerinya lalu bercakaplah ia kepada sahabat-2nya dengan melawakkan yakni membesarkan dirinya darihal perbuatan yang ajaib-2 dan yang pelik-2 telah diperbuatnya di dalam tiap-2 negeri yang dijalannya itu. Maka di dalam lawak-2 yang banyak itu katanya Adapun pada tatkala hamba di dalam negeri Hiran adalah hamba telah melompat yang terlalu amat jauh hingga tiadalah dapat seorang pun yang sebaya yakni seumur dengan hamba mengalahkan dan

Mukasurat 30/93 Hikayat Penerang Hati


Muka surat 30/93

ramailah orang-2 negeri itu yang telah melihat akan lompatan itu dan boleh menjadi saksi hamba belaka.

Hatta setelah selesailah orang muda itu menyatakan lawaknya berkatalah seorang sahabatnya yang mendengar perkataan itu kepadanya Hai taulanku jikalau sekiranya betul belaka perbuatan tuan hamba itu tiadalah kami sekalian berkehendakkan saksi lagi dan negeri inilah kita jadikan negei Hiran dan silalah tuan hamba melompat sekarang supaya boleh kami sekalian melihat akan perbuatan tuan hamba yang tiada berlawak itu. Maka tatkala didengarlah oleh orang muda itu pencubaan sahabatnya itu berjalanlah ia dengan tiada berkata-2 lagi dan ramailah orang-2 tertawa akan dia. Demikianlah halnya hendaklah kita jauhkan daripada berbuat bohong kerana akhirnya ketara jua adanya.

Ceritera 40 Darihal serigala memakai kulit biri-2

Sebermula adalah seekor serigala yang ketunggalan telah berniat hendak menyamar dengan tabiatnya yang bengis itu di dalam kawan biri-2 supaya kemudahanlah ia mendapat rezekinya. Setelah itu disarongkannyalah sekeping kulit biri-2 di badannya dan pergilah ia meragut rumput di dalam sebuah padang bersama-2 dengan kawan biri-2 hingga tertipulah gembala biri-2 itu oleh muslihatnya yakni akalnya itu.

Arkian setelah petanglah hari lalu dikandangkanlah oleh gembala biri-2 itu akan dia bersama-2 biri-2nya dan ditutuplah pintu kandangnya. Maka pada tengah malam itu baliklah gembala ke kandangnya kerana hendak menyediakan makanan binatang-2nya. Pada keesokan pagi-2 di dalam itu terlihatlah ia akan serigala itu sangat berlainan daripada biri-2nya. Apatah lagi lalu dibunuhnyalah akan dia dengan pisaunya. Demikianlah halnya jikalau kita pikat akan bencana nescaya kita dapat akan dia adanya.

Ceritera 41 Darihal singa berahi

Teks tiada di dalam manuskrip.


Muka surat: Mula Jilid 1 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50 51-60 61-70 71-80 81-93 Jilid 2 1-10 11-20 21-30 31-40 41-50