Hikayat Raja Budiman

Transliterasi oleh Mahbob Yusof. Dibantu oleh Suzaina Mat Dom, Mei-2020

Bibliografi

Mukasurat 2 Hikayat

Hikayat Raja Budiman

  • Disalin oleh Muhammad Naina Marikan pada tahun 1950.

  • Teks dalam Jawi.

  • Tulisan berdakwat hitam dan biru.

  • Menceritakan mengenai Raja Budiman yang menetap di Negeri Serendah Sekebun Bunga. Mempunyai 7 orang isteri dan isteri yang terakhir melahirkan seorang putera yang diberi nama Lela Muda. Dilahirkan kembar dan kembarnya adalah seekor naga. Raja Budiman sangat menyayangi putera bongsunya itu mengakibatkan timbul rasa iri dan dengki daripada abang-abangnya. Pelbagai kisah yang terjadi dan akhirnya Lela Muda menaiki takhta kerajaan yang diwarisinya daripada Raja Budiman.

Mukasurat 1/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 1/129


Mukasurat 2/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 2/129

Wabihi nastain billahi ali Inilah hikayat peri mengatakan cetera yang terlalu indah-2 diceriterakan oleh orang yang empunya ceritera ini hilang riwayat timbul cetera hilang khabar timbul burita diriwayat oleh burung di rimba jatuh di ranting terbanglah ia embun setitik jatuh di manjapada hilang riwayat timbul ceritera.

Alkisah maka tersebutlah perkataan sebuah negeri bernama Serendah Sekebun Bunga rajanya bernama Raja Budiman sangatlah ramai di dalam negeri itu dengan segala dagang senteri masuk keluar. Maka di dalam kota itu terlalu riuh dipalu orang bunyi-2an gong besar kopak ceracap bangsi seruling gong canang biola gambus meruas gambang gemelan dua belas. Maka adapun baginda itu beristeri tujuh orang. Ada pun yang bongsu sekali bernama Tuan Puteri Permaisuri duduk di dalam istananya mahligai emas bilik yang sunyi pentas yang tinggi duduk di dalam tirai kelambu di atas tilam permaidani bantal bersendi bertampuk intan duduk dipelihara oleh dayang tua dan dayang muda dan dayang kecil dan dayang besar siang sama malam serupa. Maka setiap harilah baginda keluar ke balai rong balai besar kuda berlari saelak memakan peluru meriam sejauh mata memandang selelah burung, duduk di atas kerusi emas berumbikan mutiara pudi mutu manikam bertaburan dengan batu intan cahayanya persih gemerlapan

Mukasurat 3/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 3/129

gemerlapan banyaklah segala datuk-2 panglima kubang dan tandil mengadap di balai besar sangatlah ramai di dalam negeri adil murah sedekah bunga emas dan perak dikurniakan kepada sekalian fakir dan miskin dan banyaklah segala dagang dan senteri masuk berniaga di dalam negeri Sekebun Bunga penuh sesak pekan pesara dengan segala keling cina batak hindu perancis portugis jerman dan jepun berjual beli beberapa lama demikianlah adanya.

Alkisah maka tersebutlah pula perkataan Tuan Puteri Permaisuri pun hamillah dan Mak Inang Tua pun kiralah haribulan. Apabila cukup tujuh bulan maka pada suatu hari Mak Inang Tua pun bersiaplah kajung bakul dibawa pergi ke rumah Tok Bidan Tujuh dari jauh ia berjalan susurkan dekat telah sampai di pintu pagar maka ia pun memanggil Tok Bidan Wahai Tok Bidan Ketujuh kami Inang Tua datang maka sahut mereka itu siapa orang memanggil kami seraya turun berlari-2 telah sampai dilihatnya Inang Tua lalulah dipersilanya naik ke rumahnya seraya berkata Apakah hajat Mak Inang Tua datang datang ke rumah sahaya maka sahut Inang itu Wahai Tok Bidan kami hendak bertaruh sirih Tuan Puteri Permaisuri sudah hamil tujuh bulan telah sudah berkata-2 itu maka ia pun lalu kembali mengadap Tuan Puteri duduk dengan bersuka-2an kemudian beberapa lamanya maka sampailah sembilan bulan dikandungkan oleh Tuan Puteri. Telah genap harinya maka Tuan Puteri pun geringlah hendak bersalin maka Inang Tua pun segeralah berlari pergi mendapatkan Tok Bidan Tujuh dari jauh Mak Inang sudah berkata Lekas Tok Bidan kerana Tuan Puteri sudah gering sangat hendak

Mukasurat 4/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 4/129

bersalin. Maka mereka itu sekalian pun bersiaplah gopoh gapah mengambil tempat sirih dan tongkat seorang suatu lalu terjun ada yang mengikut jungkit pelantar ada yang terjun ikut lubang lantai kemudian maka berjalanlah mereka itu ada sepada dengan dua sampailah ke rumah Raja lalu naik ikut balai dapur maka Tok Bidan Tua pun lansung masuk pada bilik yang sunyi pentas yang tinggi menyingkup tirai kelambu maka dilihatnya sungguhlah gering Tuan Puteri itu hendak bersalin maka ia pun segeralah mengurut perut Tuan Puteri dan bidan yang keenam pun berbuat kerja dengan gopoh gapah ada yang menggiling kunyit ada yang mengangkat air dan ada yang melekat api ada yang pergi mengerat kayu masing-2 dengan jabatannya maka geringan Tuan Puteri sampailah tiga hari tiga malam lalulah bersalin akan seorang putera laki-2 sangat baik rupa parasnya gilang gemilang kilau-2an seperti bulan penuh purnama empat belas haribulan tiada dapat ditentang [iaitu] seperti matahari baharu terbit maka segeralah disambut oleh Tok Bidan dikerat pusat dimandikan lalu dipersembahkan kepada baginda. Telah baginda memandang akan anakanda baginda itu ia pun terlalulah suka di dalam hatinya sambil keluar ke balai rong balai besar memberi titah kepada segala panglima kubang dan tandil menyuruh palu sekalian permainan alamat raja yang besar beroleh kesukaan mendapat seorang putera laki-2 yang baik rupa parasnya. Maka sekalian orang segeralah memalu bunyi-2an riuh rendah di dalam negeri Serendah Sekebun Bunga itu telah sudah maka baginda pun berangkat balik ke dalam istana maka Tuan Puteri pun berbalik pula gering sampai tujuh hari tujuh malam habis [ajud] dengan anggota

Mukasurat 5/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 5/129

sehingga kaki mati sebelah dan tangan mati sebelah di dalam itu maka bersalin pula seekor anak naga emas maka segeralah disambut oleh Tok Bidan Tua lalu dilepaskannya di dalam suatu batil emas. Kemudian maka baginda pun berbalik semula memukul bunyi-2an dan tatkala hendak dicucuh meriam besar maka meriam itu pun berbunyi sendiri kerana kesaktian anak naga emas itu jadi sangatlah ramai di dalam negeri itu dan baginda pun duduklah dengan sukacitanya membuka anaknya selang beberapa lamanya maka anak naga itu pun besarlah tiada dapat menggerakkan dirinya di dalam batil emas itu maka kata Tuan Puteri Permaisuri Wahai anak bonda semangat bonda buah hati cermin mata bonda seri negeri mahligai hati bonda anak bonda sudah tak celus di dalam batil emas bonda hendak bubuh di dalam pasu emas pula. Beberapa lamanya duduk di dalam pasu emas itu sudah pula tiada menggerak dirinya maka Tuan Puteri Permaisuri pun datang lalu dilepaskannya di dalam suatu bedana emas. Antara beberapa lamanya duduk di situ sudah pula besar anak naga emas itu tiada boleh menggerakkan dirinya. Maka Tuan Puteri pun datang seraya berkata Wahai anak bonda urat rambut batu kepala bonda janganlah kiranya anak berjauh hati dan berjauh rasa kepada bonda. Anak sudah tiada boleh duduk di dalam bedana emas itu bonda hendak ubah ke dalam kolam. Maka pada waktu itu juga Tuan Puteri pun memanggil sekalian rakyat bala tentera menyuruh mengusung tempayan bedana itu itu bawa pergi ke kolam setelah sampai lalu dilepaskan turun ke dalam kolam itu. Maka naga emas itu pun terlalulah suka duduk berenang di dalam kolam itu

Mukasurat 6/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 6/129

ditunggu jaga oleh sekalian rakyat siang malam antara beberapa lamanya lepas daripada itu lalu diubahnya pula ke dalam suatu sungai yang besar. Maka anak naga emas itu pun sukalah duduk berenang ke sana ke mari hingga besarlah ia tiada dapat menggerakkan dirinya jadi susahlah orang-2 hendak masuk keluar di dalam sungai itu. Maka adalah kepada suatu hari sekalian pawang pukat pawang jermal pawang jala dan pawang belat duduk bercakap-2 dengan berbisik-2 sama sendiri kata seorang daripada mereka itu Sekali ini matilah gerangan anak kita hendak pergi mencari ikan ke laut pun sudah tiada boleh kerana sungai itu sudah terkatup oleh anak naga emas jangankan perahu yang besar perahu yang kecil pun sudah tiada celus marilah kita pergi mengadap Raja Budiman di Balai Rong Balai Besar lalulah berjalan lansung sampai ke hadapan balai. Adapun baginda pada ketika itu sedang dihadap oleh segala rakyat bala tentera bersemayam di atas singgahsana yang keemasan seketika lagi maka baginda pun terpandanglah pawang-2 itu segera dipanggilnya naik ke Balai Besar. Maka sekalian mereka itu naiklah dengan seribu hormat lalu lalu duduk mengadap baginda. Maka titah baginda Wahai tok pawang apakah maksud datang mengadap beta ini maka mereka itu pun mengangkat kadam jari sepuluh terjunjung di atas kepalanya serta berdatng sembah Ampun Tuanku beribu-2 ampun sembah patik harap diampun adalah hal anak-2 patik pada sekali ini hampirlah kematian oleh tiada mendapat makan kerana hal patik sudah biasa mencari makan di dalam laut mengail segala ikan dan sebagainya akan sekarang jangankan perahu yang besar maka perahu yang kecil sekali pun tiada celus

Mukasurat 7/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 7/129

hendak keluar masuk di dalam sungai itu kerana sudah terkatup oleh dengan paduka anakanda naga emas itu telah didengar baginda maka ia pun memanggil temenggung laksamana kubang dan tandil disuruh tabuh gong pelaung canang memanggil akan menghimpunkan segala rakyat bala tentera [sa’ib] negeri Serendah Sekebun Bunga maka seketika lagi datanglah berhimpun segala rakyat bala tentera tiada terhisabkan banyaknya seperti semut di hujung julai kayu [mengagut] sarang seperti berik pulang petang oleh kerana kebanyakan segala tentera itu sudah tiada termuat di dalam kota sampai ke padang yang besar berkata-2 seorang sepatah riuh rendah tiada apa kedengaran seperti katak berlaung hujan. Maka sekalian orang besar-2 pun datang mengadap baginda seraya berdatang sembah Apakah titah Tuanku memanggil patik musuh manakah datang atau angkatan yang mana masuk ke dalam negeri Tuanku atau peperangan negeri mana ketewasan maka kata baginda Tiada perang di mana musuh di mana kami minta tolong korekkan sungai kerana anak naga emas sudah besar tiada boleh menggerakkan dirinya di dalam sungai itu telah didengar oleh sekalian rakyat maka masing-2 pun pulanglah ke rumahnya mengambil cangkul dan [cuk] telah sudah lalu lalu dikorek sungai itu maka anak naga emas pun senanglah menggerakkan dirinya maka sekalian rakyat pun jadi senanglah keluar masuk ke laut mencari makan. Maka senang sentosalah di dalam negeri itu dengan demikian beberapa lamanya anak naga duduk di dalam sungai itu maka ia pun berfikir di dalam hatinya tiada boleh aku duduk di dalam negeri ini baiklah aku pergi ke laut besar supaya senang diriku. Setelah esok hari maka ia pun mencita kesaktiannya seraya berkata Berkat di tolong keramat aulia mambang

Mukasurat 8/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 8/129

dewata mintalah diturunkan angin dan ribut serta hujan tujuh hari tujuh malam siang mata angin delapan jadi satu hitam legam seperti perut buta maka dengan … turunlah angin tenggara angin taufan cina serta hujan yang lebat hapus negeri ini aku hendak mengadap ayahku di balai seketika maka dengan seketika itu juga negeri itu menjadi itu pun menjadi gelaplah dan hujan pun turunlah serta dengan ribut taufan bersambutan dengan guruh kilat sehingga tujuh hari tujuh malam dan air pun terlalu besar hapus negeri itu maka seisi negeri pun sangatlah huru hara datang mengadap baginda Raja Budiman berdatang sembah Ampun Tuanku apakah padah di dalam negeri ini selama-lamanya belum pernah demikian maka titah baginda Aku pun daripada kecil sampai ke tua di dalam negeri ini belumlah pernah air besar yang demikian ini. Maka tatkala itu juga anak naga emas pun timbul lantas naiklah kepalanya terletak di atas bendul balai itu maka baginda pun datang memeluk mencium naga itu seraya berkata Wahai anak ayah apakah sebab yang air terlalu besar di dalam negeri ini sangatlah susah hati ayahanda maka sahut naga itu tiada mengapa ayah sahaja anak meminta turun hujan tujuh hari tujuh malam anak hendak datang mengadap ayah di dalam balai ini maka titah baginda Wahai anak ayah semangat ayah urat rambut batu kepala ayah apakah yang kekurangan pada anak ayah di dalam sungai itu berilah tahu kepada ayah supaya ayah hendak beri jikalau tidak ayah hendak cari beri. Maka sahut naga itu Tiada apa kekurangan kepada anak sahaja anak hendak minta izin kepada ayah hendak keluar ke laut yang besar tasik yang dalam di Pauh Janggi

Mukasurat 9/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 9/129

di sanalah anak bersenang diri tinggallah ayah duduk di dalam negeri belalah baik-2 bonda dan negeri kita dengan rakyat bala kita jangan beri gaduh di dalam negeri supaya senang rakyat mencari makan. Maka kata Raja Budiman Bilakah anak ayah hendak berjalan keluar ke pusat Tasik Pauh Janggi itu mintalah ayah bertangguh dahulu sekadar tujuh hari kerana ayah hendak mengantar ke pintu kuala telah sudah berkata-2 itu maka naga itu pun turunlah di dalam sungai dan air pun habislah kering dalam negeri itu. Maka baginda pun tampillah bersiap tujuh hari tujuh malam membuat pelbagai makanan cucur lempeng ketupat lepat lempuk buah melaka atau [andi-2]. Setelah sampai tujuh hari tujuh malam lalu dipanggillah sekalian orang besar-2 hendak membawa turun makanan ke dalam kapal telah sudah maka baginda pun turunlah ke kapal laki isteri bersama anakanda baginda Lela Muda dengan sekalian inang-2 pengasuh. Telah sampai ke kapal maka segeralah ditabuh orang sekalian permainan gong besar gendang jawa kopak dandi [selapung] gambus meruas keracap [gedat] bangsi suling bin biola rebana gambang dan canang kemalan dua belas tanggul [...] berkibaran. Maka terkembanglah payung obor-2 dan payung kekuningan di baris oranglah sekalian meriam senapang dan berselawat tiga kali kemudian maka berhanyutlah kapal mengiringkan anak naga emas itu tiada beberapa lama lalu sampai ke pintu kuala dibawa oranglah keluar sekalian permainan itu diperbuat kenduri tolak bala minta doa biar selamat anak naga emas berjalan itu telah itu maka anak naga emas itu pun seraya berkata Ayuhai ayah semangat anak tinggallah ayah dengan bonda bersama dengan abang Lela Muda. Maka ia pun berenanglah

Mukasurat 10/129 Hikayat Raja Budiman


Muka surat 10/129

* ia pun segeralah mengangakan mulutnya hendak mengigit serta menelan anak naga emas itu

menuju ke tengah laut. Maka berenang itu tiada boleh laju kemudian berlayar ia ke kapal dipanggil abangnya Lela Muda Marilah abang dekat adik ambil abang sebilah pedang di dalam mulut adik ini telah itu. Maka anak naga emas itu itu pun bertahan-2 juga tiada boleh laju maka berbalik ia ke kapal sekali lagi mengangakan mulutnya seraya berkata Ayuhai abang semangat adik ambillah cincin kesaktian sebentuk di dalam mulut di bawah lidah adik ini kemudian hendaklah abang duduk baik-2 yang ke hadapan ini ada fitnah yang besar hendak sampai ke badan abang dan ada pula abang [kecemasan] yang besar di dalam peperangan di mana negeri pada masa itu sebutlah nama adik anak naga emas adalah adik datang membantu abang di sana sudah berkata-2 itu maka ia pun berenanglah terlalu deras seperti pucuk dilancarkan dan seperti kumbang putus tali bagai mercun baharu jadi bagai sewah si rajawali maka sampailah ke dalam laut yang dalam harungan yang luas di pusat Tasik Pauh Janggi. Maka berhimpunlah ikan paus ikan raya naga umbing naga seri naga kesaktian hendak makan anak naga emas itu riuh ramai gegak gempita di pusat Tasik Pauh Janggi maka terdengarlah gempar itu kepada raja naga di pusat Tasik Pauh Janggi maka ia pun keluar mari dilihatnya anak naga emas itu * serta dekat disambarnya tiga kali berturut-2 tiada juga kena maka ditangkap pula dihempaskan ke bumi maka daripada sangat kuat raja naga itu hingga tertanam kepala anak naga emas itu maka berkatalah naga itu Hai anak naga emas engkau ini anak daripada negeri mana dan anak cucu siapa engkau hendaklah engkau berkata benar kepadaku maka sahut anak naga itu sahaya ini