Dari kesan-kesan arkeologi didapati manusia telah menggunakan tanah beribu-ribu tahun, ketika itu kumpulan-kumpulan manusia di atas muka bumi ini berada di dalam satu kumpulan kecil yang terdiri dari jumlah 20 orang. Manusia ketika itu hanya menjalankan aktivitas pra-pertanian seperti memburu, menangkap ikan , memungut tanaman-tanaman hutan dan madu. Pra-pertanian diperingkat asal ini dikenali sebagai masyarakat "Pemburu dan Pengumpul" (hunting and gathering society).
Bentuk pertanian di peringkat awal adalah primitif dan ia telah berubah kepada membiak-baik tumbuhan melalui proses pemilihan, menternak haiwan (dahulunya liar), dan membentuk komuniti pertanian yang lebih besar berbanding dengan peringkat awal. Banyak jenis-jenis tanaman yang telah berubah dari proses pemilihan dan penanaman sebelum ianya dipindahkan ke tempat-tempat lain di dunia ini.
Iklim yang mempengaruhi pertumbuhan tanaman telah menyebabkan satu taburan atau sebaran spesis-spesis tanaman ke merata dunia. Kawasan Asia Barat yang berhampiran lengkungan Lembangan Sungai Tigris adalah merupakan kawasan pertanian yang dapat dikesan dalam tahun 6,000 s.m. Tanaman barli, kurma, buah lai, buah delima, bawang, dan kekacang telah ditanam di kawasan yang subur ini.