GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG
Logo GPMS adalah berbentuk perisai berwarna hijau yang mempunyai peta Semenanjung Malaysia berwarna putih dan tangan yang memegang obor api merah di bahagian tengahnya. Di bahagian bawah terdapat nama GPMS iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.
Peta
Peta Semenanjung menunjukkan gerakan pelajar-pelajar Melayu di Semenanjung Malaysia.
GPMS merupakan akronim kepada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. GPMS merupakan sebuah persatuan pelajar yang ditubuhkan pada 14 dan 15 Ogos 1948, untuk menggabungkan kesatuan-kesatuan pelajar Melayu di Tanah Melayu. Penubuhan Gabungan ini hasil dari kesedaran akan pentingnya bidang akademik dalam kalangan anak-anak Melayu. GPMS memperkenalkan konsep kelas bimbingan sejak tahun 1950-an lagi. GPMS ditubuhkan dengan kerjasama 6 orang mahasiswa dari Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura ( Kolej ini kemudiannya menjadi Universiti Malaya). Tokoh “Bapa Pendidikan Malaysia” Dato’ Seri Aminuddin Baki merupakan antara 6 orang mahasiswa yang turut memperjuangkan penubuhan GPMS ini.
Dasawarsa kini, GPMS secara mudahnya adalah sebuah NGO yang berusaha meningkatkan pendidikan dalam kalangan anak Melayu. Kini, pendidikan merupakan sesuatu kewajipan dan anak Melayu juga sudah sedar tentang peri-pentingnya ilmu pengetahuan. Namun seiring dengan perkembangan media massa dan pelbagai perkara yang menjurus ke arah hedonisme, pendidikan mulai kurang mendapat tempat di hati anak-anak muda walaupun mereka memperoleh kemudahan pendidikan yang bagus oleh kerajaan. GPMS alaf ini merupakan satu persatuan untuk menggalakkan anak muda Melayu meneruskan pendidikan hingga ke tahap tertinggi dan menjadi profesional dalam bidang masing-masing beserta melatih sifat-sifat kepimpinan dalam diri.
“Sedar Semula Belajar Bersama”
"Bertekad menjadi sebuah pertubuhan yang terkehadapan dalam mengorak langkah serta mendahului masyarakat dan zamannya bagi melahirkan orang Melayu yang berilmu, berakhlak dan melahirkan modal insan yang terbilang."
MISI
"GPMS sebagai sebuah pertubuhan yang memartabatkan dan mendaulatkan kedudukan Bahasa Melayu dan mempertahankan sistem pendidikan kebangsaan termaktub kepada Perlembagaan Persekutuan."