Timbangan Buku

Timbangan Buku

Arus Balik imbau sejarah Nusantara

Dari Utusan Malaysia 13 Feb 96

http://www.asiaconnect.com.my/utusan/archives/2-13- 96/seni_hiburan/story_5/

KEUNGGULAN anak Nusantara yang menguasai maritim sekitar abad ke-15 dan 16 banyak dicatatkan dalam karya akademik.

Ia kemudianya dijadikan pengkajian dikalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Sukar sekali melihat sebuah novel yang berteraskan sejarah apatah lagi merangkumi hampir keseluruhan Nusantara.

Bagaimanapun, penulis besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer membuktikan dirinya mampu berbuat demikian. Dengan melihat pelbagai peristiwa pada abad itu, Pramoedya melahirkan novel Arus Balik: Sebuah Epik Maritim Nusantara. Novel setebal 724 halaman ini diterbitkan pada 1995.

Novel ini memperlihatkan usaha Pramoedya mengembalikan ingatan terhadap kehebatan nusantara terutamanya kerajaan Majapahit. Juga, tentang kejatuhan Majapahit dan Melaka di tangan Portugis yang antara lainnya disebabkan oleh pertentangan peribadi dari dalam. Kehidupan serta kezaliman pemerintah juga menjadi agenda yang diketengahkan dalam novel ini.

Pada kulit novel itu dituliskan bahawa ia bukan hanya kisah para sultan dan adipati Nusantara dan Jawa. Ia juga kisah perilaku manusia Nusantara, manusia Jawa, budaya Jawa. Kisah tentang minda dengan berbagai wataknya, kebesarannya, kearifannya, kemunafikannya dan kehalusannya.

A. Rahman Embong ketika mendiskusikan novel ini berkata, karya Pramoedya ini mengambil latar abad ke-15 dan 16. Ia telah digarap teliti dengan imaginasi seorang master dalam penulisan kreatif. Beliau beranggapan novel ini sebagai karya wadah masa depan untuk generasi akan datang.

``Pengarang karya ini bertindak sebagai penilai sejarah dari kaca mata anak Nusantara. Dia juga menyerlahkan sikapnya sebagai anak Indonesia jati,'' kata Rahman pada majlis "Apreasisi 3 Novel Pramoedya Ananta Toer".

Majlis tersebut di anjur oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Dua novel lain iaitu Nyanyi Sunyi Seorang Bisu [yang bukan novel tapi memoir] didiskusikan oleh Prof. Madya Hafiz Arif manakala Gadis Pantai dibicarakan oleh Datuk Prof. Wan Hashim Wan Teh.

Menurut Rahman, sebagai karya yang berdasarkan fakta sejarah, Pramoedya mengetengahkan pelbagai cerita yang terkandung dalam sejarah. Ini termasuklah cita-cita besar pemimpin Majapahit dan pembesarnya. Mereka berjaya menguasai maritim sebelum berlakunya ``arus balik''.

``Bagaimanapun, berlaku perubahan pada abad ke-16. Ia menyaksikan berlakunya arus balik apabila utara mulai menguasai selatan. Ini diperlihatkan dengan kehadiran Sepanyol dan Portugis di selatan.

``Ini berlaku apabila raja-raja Jawa dan pembesarnya yang gila kuasa lebih menumpukan perhatian di darat. Mereka lebih berminat menentang raja-raja kecil. Ia menyebabkan mereka lupa bahawa kekuasaan maritim lebih penting dari darat,'' tambahnya.

Di samping itu menurut Rahman, raja-raja Jawa ``lapuk'' dari segi visi dan peribadi. Mereka masih mahu berpoya- poya meskipun telah tua sebagaimana Adipati Tuban. Mereka juga memerintah dengan kejam. Ini menyebabkan berlakunya pemberontakan.

Bagaimanapun katanya, Pramoedya juga menceritakan usaha- usaha pemulihan semula Nusantara yang cuba melawan penguasaan Portugis. Contohnya, di Japara, Haji Yunus menyusun tentera untuk menentang Portugis di Melaka tetapi meninggal. Usaha ini diteruskan oleh ibunya yang telah tua, Ratu Aishah dan dilanjutkan lagi kepada cucu perempuannya.

Menurut Rahman, bertindak atas prinsip kemanusiaan, Pramoedya berjaya menghidupkan watak-watak dalam novelnya tanpa kategori tertentu.

``Beliau memaparkan watak-watak yang memiliki nilai kemanusiaan tanpa status tertentu; dari gundik hinggalah ke golongan bangsawan dan raja.

``Begitu juga dengan watak yang tidak memiliki nilai kemanusiaan. Ia digambarkan menyerupai haiwan sebagaimana Shah Bandar yang merogol Idayu dan mengkhianati masyarakat sekitarnya demi kepuasan diri,'' tambah Rahman.

Menurut beliau, sikap kemanusiaan semasa perang diwakilkan kepada watak utamanya, Wiraggaleng. Dia tidak membunuh tawanannya (Portugis) yang cedera. Sebaliknya memerintahkan supaya tawanan itu dirawat dan kemudian dibebaskan. Dalam hal peperangan ini Rahman berpendapat, Pramoedya mentafsir peperangan adalah usaha mengalahkan musuh, bukannya membunuh.

Dalam satu insiden lain menurut Rahman, Wiraggaleng yang telah diarahkan membunuh seorang lelaki yang suka berpoya-poya dengan gundik raja, tidak berbuat demikian. Secara halus, Wiraggaleng membawa lelaki itu ke laut dan menyuruhnya terjun ke laut.

``Wiraggaleng mengambil keputusan untuk betapa dan tidak menjadi raja Majapahit. Dari segi peribadinya, dia berjuang selama ini bukan untuk kepentingan diri sendiri. Dia juga tidak gila kuasa, sebaliknya mahu meneruskan kesinambungan cita-cita membentuk semula nusantara

``Zaman itu juga bukan zamannya untuk menjadi raja. Kerana pada zaman itu sudah berlaku pembalikan arus. Dia tidak mampu menentangnya dalam suasana yang kalut. Dia mahu kembali menjadi anak desa,'' tegas Rahman.

Menurutnya, kekecewaan Wiraggaleng terhadap sikap anaknya Gelar yang membunuh bapa sebenarnya akibat dendam juga membawa sebab penolakan sebagai raja. Manakala, anaknya Kumbang pula mengikut arus ``utara'' dengan mengikut Portugis.

Sekalipun Wiraggaleng tidak menjadi raja, Rahman tidak melihat novel ini sebagai sebuah karya yang pesimis akhirnya. Baginya, watak Wiraggaleng tidak harus dilihat sebagai manusia yang luas biasa.

Copyright ©Asia Connect Sdn Bhd. All rights reserved.