Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera
Nama diberi Siti Nur 'Ain binti Ahmad Radzuanuddin dan merupakan pelajar semester 2 kursus SCE523 (SCIENCE TECHNOLOGY AND SOCIETY) bagi Program Sarjana Muda Pendidikan Sains (Kepujian) Fizik di UITM Puncak Alam, Selangor. Saya ditugaskan untuk memperkenalkan dan menjelaskan kepada anda tentang planet keenam di dalam Sistem Suria kita iaitu planet Zuhal. Maka, marilah bersama saya menerokai planet misteri ini dengan lebih mendalam bagi menambahkan ilmu pengetahuan anda. Saya berharap dengan perkongsian ini, ia dapat memberi manfaat kepada anda semua.
Imej Planet Zuhal yang telah diambil oleh kapal-angkasa Cassini pada tahun 2003 dari jarak kejauhan 111 juta km.
Zuhal merupakan planet keenam dan kedua terbesar dalam Sistem Suria selepas Musytari. Ia terkenal kerana sistem gegelangnya yang unik dan cantik. Zuhal berbentuk sebuah sfera yang agak lonjong dimana ia sedikit leper di bahagian kutub-kutub dan mengempar di bahagian khatulistiwa. Planet ini telah diselidik pada masa dulu dengan menggunakan 3 kapal-angkasa iaitu Pioneer 11 dalam tahun 1979, Voyager 1 dalam tahun 1980 dan Voyager 2 dalam tahun 1981. Hasil penyelidikan tersebut telah mendedahkan kerumitan sistem gegelang Zuhal dan telah berjaya mencerap permukaan Zuhal dengan jelas. Permukaan tersebut lebih pucat warnanya berbanding dengan permukaan Musytari. Jalur kekuningan selari dengan khatulistiwa dan bintik-bintik putih dapat kelihatan dengan jelas. Zuhal berputar di atas paksinya dengan laju. Sehari di Zuhal bersamaan dengan 10 jam 14 minit.
PLANET GERGASI GAS
Seperi Planet Musytari, Uranus dan Neptun, Zuhal juga diklasifikasikan sebagai sebuah planet gergasi bergas. Ia mengandungi kira-kira 75% hidrogen dan 25% helium dengan kesan bahan lain seperti metana, ammonia, asetilena, etana, propana, fosfin dan ais air. Zuhal juga sebuah planet yang sangat berangin dimana kelajuan anginnya boleh mencapai 1,800 kilometer per jam (km/j).
Walaupun semua gergasi gas dalam sistem suria kita mempunyai gegelang, tetapi tiada satu pun daripada mereka yang luas atau tersendiri seperti Zuhal. Gegelang ini pertama kali ditemui oleh Galileo Galilei pada tahun 1610 melalui teleskop. Pandangan pertama dari dekat gegelang Zuhal adalah oleh kapal angkasa Pioneer 11 pada tahun 1971.
Gegelang Zuhal terdiri daripada berbilion-bilion zarah yang bersaiz dari butiran debu kecil hingga ke objek sebesar gunung. Ini terdiri daripada ketulan ais, debu dan batu dan dipercayai berasal daripada komet asteroid atau bulan yang pecah sebelum mereka sampai ke planet ini.
Gegelang Zuhal dibahagikan kepada 7 kumpulan dan dinamakan mengikut abjad dalam susunan penemuannya iaitu D, C, B, A, F, G dan E. Terdapat beberapa bahagian yang renggang diantara gegelang tersebut. Terbesar adalah Renggang Cassini (Cassini Division) dan yang lebih kecil adalah Renggang Enckle (Enckle Division). Kecantikan dan keunikan gegelang Zuhal menyebabkan Zuhal dinobatkan sebagai planet tercantik di Sistem Suria dan digelar sebagai "Jewel of Solar System".
Imej gegelang Zuhal yang diambil oleh Cassini, 9 hari sebelum ia memasuki orbit Zuhal, dari jarak kejauhan 6.4 juta km.
Zuhal mempunyai 82 satelit semula jadi atau bulan dimana 6 yang utama adalah Titan, Rhea, Lapetus, Dione, Tethys dan Enceladus.
TITAN
Bulan terbesar Zuhal dan ke-2 terbesar dalam sistem suria dimana ia lebih besar daripada bulan di Bumi bahkan lebih besar dari Planet Utarid. Ia dikatakan satu-satunya bulan di Sistem Suria yang mempunyai lapisan atmosfera padat mengandungi Nitrogen seperti di atmosfera Bumi. Permukaannya berais dan berkemungkinan mempunyai lautan di bawahnya.
RHEA
Bulan ke-2 terbesar Zuhal dan ke-9 terbesar di Sistem Suria. Ia juga digelar sebagai Zuhal V. Ketumpatan Rhea, iaitu 1.3 kali ganda daripada air, menunjukkan bahawa ia kebanyakannya terdiri daripada ais. Rhea mempunyai atmosfera oksigen dan karbon dioksida yang lemah.
LAPETUS
Bulan ke-3 terbesar Zuhal dan ke-11 terbesar di Sistem Suria. Ia mempunyai ketumpatan hanya 1.2 kali ganda daripada air cecair. Iapetus dianggarkan terdiri daripada tiga suku ais dan satu suku batu. Hemisfera utamanya mempunyai pemantulan segelap arang batu dengan sedikit warna kemerah-merahan dan hemisfera belakangnya jauh lebih cerah.
DIONE
Bulan ke-4 terbesar Zuhal dan ke-15 terbesar di Sistem Suria. Ia juga dikenali sebagai Zuhal IV. Permukaannya menunjukkan kontras kecerahan yang besar, dimana bahagian bawah hemisfera umumnya lebih gelap daripada permukaan yang terdahulu. Ketumpatannya 1.5 kali ganda daripada air dan dianggarkan mempunyai jumlah ais dan batu yang hampir sama. Ia ditutupi dengan banyak tempat dengan kawah hentaman.
TETHYS
Bulan ke-5 terbesar Zuhal dan juga dikenali sebagai Zuhal III. Ketumpatannya ialah 0.97 kali ganda daripada air, dan ini menunjukkan bahawa Tethys terdiri hampir keseluruhannya daripada ais ditambah dengan sejumlah kecil batu. Kebanyakkan lantai kawah di Tethys cerah dan ini menguatkan lagi anggaran Tethys terdiri daripada banyak ais.
ENCELADUS
Bulan ke-6 terbesar Zuhal. Enceladus ialah bulan aktif yang menyembunyikan lautan air masin cair di bawah keraknya. Lebih-lebih lagi, jet zarah berais dari lautan itu, dicampur dengan bancuhan air dan bahan kimia organik ringkas. Ia juga dilitupi permukaan berais bersih. Pakar planet mengesan campuran gas meruap, wap air, karbon dioksida dan karbon monoksida, serta bahan organik.
Planet kedua terbesar selepas Musytari. Saiz Zuhal adalah 9 kali saiz Bumi.
Mempunyai pusaran kutub panas, dan satu-satunya planet dalam sistem suria yang diketahui bersifat sedemikian.
Kehidupan tidak boleh berdiri di atas Zuhal kerana kebanyakannya terdiri daripada gas dan daripadanya ialah 25% gas helium.
Planet paling jauh yang boleh dilihat di Bumi dengan hanya bantuan teleskop kecil. Ia adalah objek kelima paling terang dalam Sistem Suria.
Gegelangnya besar tetapi nipis. Ketebalannya dianggarkan kurang daripada 1 km dan terdiri daripada ais, debu dan batuan.
Hujan helium turun kepermukaan Zuhal seperti hujan air turun kepermukaan Bumi.
Planet yang sangat berangin dimana angin di sekitar khatulistiwanya boleh mencapai 1,800 kilometer sejam (km/j). Di Bumi, angin terpantas hanya mencapai kira-kira 400 kilometer sejam (km/j).
Setahun di Zuhal bersamaan dengan 29 tahun di Bumi tetapi sehari di Zuhal hanyalah 10 jam 14 minit sedangkan sehari di Bumi bersamaan 24 jam.
Digelar "Jewel of Solar System" kerana sistem gegelangnya yang terhebat, cantik dan unik.
Mempunyai lebih banyak bulan berbanding planet lain. 20 bulan baru ditemui pada 2019 menjadikan jumlah keseluruhan 82 bulan.
Video dokumentari ini bertujuan untuk membincangkan tentang Planet Zuhal dan melihat pengetahuan orang awan tentang planet ini.
Responden:-
Muhamad Ikhwan (17) - SMK Seri Mahkota, Kuantan Pahang
Siti Nur Balqis (11) - SK Pengkalan Tentera, Kuantan Pahang
Puan Che Ihsan (47) - Suri Rumah Tangga, Kuantan Pahang
Video fakta-fakta ringkas tentang Planet Zuhal
PIONEER 11
Misi Pioneer 11 adalah yang pertama membuat lawatan ke planet Zuhal. Ia dilancarkan pada tahun 1973 oleh NASA untuk membuat kajian mendalam mengenai lingkaran asteroid, rantau antara orbit Muystari dan Zuhal. Pendekatan paling hampirnya ialah pada 1979 iaitu 20,000 km di atas permukaan Zuhal.
Penemuan bulan baru dan gelung-F planet Zuhal adalah pencapaian terbaiknya. Ia mencerap pelbagai imej Zuhal dan bulannya tetapi kebanyakkannya imej beresolusi rendah.
Maklumat dari Pioneer 11 membantu para saintis menentukan Zuhal mempunyai atmosfera tanpa sifat dan sebahagian besar planet itu mengandungi hidrogen cair.
VOYAGER 1
Misi Voyager 1 dilancarkan pada tahun 1977 oleh NASA dan mula menjelajahi atmosfera Zuhal pada 1980. Voyager 1 merupakan objek buatan manusia yang paling jauh bergerak dari Bumi iaitu sejauh 127.4 AU pada tahun 2014 dimana ia bermula dengan meninggalkan Sistem Suria pada 2013.
Voyager 1 berjaya menghantar gambar sistem Zuhal yang beresolusi tinggi semasa penerokaannya. Ia juga membuat pendekatan paling hampir dengan bulan Titan di Zuhal.
Maklumat dari Voyager 1 membantu para saintis mengenai sifat Bulan Titan dan juga berjaya membuktikan kerumitan gegelung Zuhal.
VOYAGER 2
Misi Voyager 2 juga dilancarkan pada 1977 tetapi 16 hari sebelum pelancaran Misi Voyager 1 oleh NASA. Ketika misi ini berlangsung, Voyager 1 mengatasi Voyager 2 ketika misi berlangsung. Kedua-duanya masih aktif dan Voyager 2 berada beberapa bilion kilometer di belakang Voyager 1.
Pada tahun 1981, setahun selepas penerokaan Voyager 1, Voyager 2 memasuki sistem Zuhal. Ia berjaya mengambil banyak gambar planet Zuhal dan gegelungnya secara dekat.
Maklumat dari Voyager 2 membantu para saintis membuktikan perubahan dalam gelung Zuhal, penemuan satelit-satelit baru Zuhal dan mencatat kepelbagaian suhu dan kepadatan dalam atmosfera Zuhal.
CASSINI
Misi Cassini adalah misi mengorbit pertama yang berjaya ke Zuhal. Ia dilancarkan pada tahun 1997 bersama penerokaan angkasa Huygens yang dikendalikan oleh NASA. Ia memasuki orbit Zuhal pada tahun 2004 dan sejak itu ia terus menyalurkan maklumat secara terus setiap hari. Menjelang tahun 2014, Cassini menyelesaikan 10 tahun misi berjaya di Zuhal.
Ia menghantar 332,000 imej termasuk gambar beresolusi tinggi Zuhal, gegelung dan bulannya. Pada tahun 2005, penerokaan Huygens dipisahkan dari Cassini dan mendarat di permukaan Titan dan menghantar kembali data yang banyak ke Bumi.
Pada tahun 2006, Cassini mengambil imej gegelang baru Zuhal dan pada tahun 2013, Cassini mengambil imej berwarna Bumi dan Bulan dari sistem Zuhal iaitu dari jarak kejauhan 1.5 bilion kilometer dimana Bumi kelihatan seperti satu titik kecil dalam imej tersebut.
Fenomena Istiqbal merupakan fenomena yang melibatkan kedudukan planet di Sistem Suria. Ia berlaku apabila kedudukan Bumi sejajar dengan sesuatu planet. Fenomena menarik ini berlaku saban tahun berikutan peredaran orbit setiap planet mengelilingi Matahari. Zuhal merupakan salah sebuah planet bersama Marikh dan Musytari yang mengalami fenomena ini. Kedudukan Zuhal yang mendekati Bumi semasa fenomena ini terjadi menyebabkan ia boleh dilihat pada waktu malam, namun ia hanya kelihatan bercahaya seperti bintang biasa di langit malam. Penggunaan teleskop diperlukan bagi melihat bentuk fizikal sebenarnya.
Bagi planet Zuhal, fenomena ini berlaku dalam tempoh 387 hari. Kedudukan istiqbal Zuhal dianggarkan pada posisi 9 kali jarak Bumi ke Matahari. Fenomena ini bukanlah sesuatu yang pelik, malah merupakan pusingan semula jadi Zuhal. Fenomena semula jadi ini tidak memberi kesan kepada Bumi dari aspek graviti.
Seorang penyelidik di University of Vienna, Austri berjaya membuktikan kesan planet gergasi Zuhal mengekalkan Bumi dalam orbitnya dan meneruskan aturan perjalanan orbit yang telah cantik susunannya. Beliau berkata setiap planet di dalam Sistem Suria mempunyai pertalian antara satu sama lain yang sangat ketara.
Sekiranya kedudukan Zuhal dialihkan hanya 10 % lebih rapat ke Bumi diramalkan berlakunya tarikan jangka waktu disebabkan oleh perubahan medan graviti Zuhal kepada Bumi dimana berlakunya tempoh Bumi terkeluar daripada zon Goldilock (Habitable Zone) iaitu zon selamat dimana suhu tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas. Jika Bumi terkeluar daripada zon ini, suhu Bumi dijangka berubah menjadi terlalu panas atau terlalu sejuk.
Sistem suria kita sangat menakjubkan sehingga setiap komponen didalamnya berkait antara satu sama lain. Ia bagaikan dunia lain dengan ciri-ciri yang tidak dapat dibayangkan dengan akal fikiran. Setiap planet di dalam sistem suria ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Begitu juga dengan planet Zuhal sebagai pemegang gelaran perhiasan sistem suria (Jewel of Solar System). Keunikkan struktur badan dan gegelang beserta bulan-bulannya menyebabkan ia menjadi salah satu planet yang sering menjadi target para saintis untuk mengkajinya. Tambahan pula, planet misteri ini merupakan planet paling jauh ini yang boleh dilihat dengan mata kasar di langit malam Bumi.
Saturn Fun Facts. (2004, January 1). Retrieved from https://www.nasa.gov/audience/forstudents/k-4/home/F_Saturn_Fun_Facts_K-4.html
Esslinger, O.. (2019, October 13). Zuhal. Retrieved from https://www.astronomes.com/malay/sistem-suria-luar/zuhal/
Jones C.. (2012). Saturn Facts. Retrieved from https://space-facts.com/saturn/
Suhaimi K.. (2019, January 23). Top 4 Misi Berjaya ke Zuhal. Retrieved from https://iluminasi.com/bm/top-4-misi-berjaya-ke-planet-zuhal.html
Bukan Fenomena Pelik. (2016, June 4). myMetro. Retrieved from https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2016/06/142586/bukan-fenomena-pelik
Sidek, N.. (2020, March 9). Apa Sebenarnya Fungsi Planet Terhadap Kita Di Bumi? Retrieved from https://iluminasi.com/bm/apakah-fungsi-planet-lain-pada-kita-di-bumi.html