i) MATAHARI ISTIWA ATAS KAABAH (ISTIWA ADZAM)
Istiwa’ utama Matahari atau Istiwa A’zam di Kaabah ini merupakan fenomena Matahari akan berada di titik zenith ketika istiwa’. Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun apabila nilai sudut istiwa’ Matahari akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah (Kaabah).
Apabila Istiwa utama Matahari berlaku, bayang-bayang objek tegak di tempat lain akan menunjukkan arah ke Kaabah. Fenomena ini merupakan kaedah tradisional falak untuk menyemak dan menentukan arah kiblat walau di mana sahaja pada tarikh tersebut
Setiap Tahun:
28 Mei pada jam 5.16 petang waktu tempatan.
16 Julai pada jam 5.28 petang waktu tempatan.
Tahun Lompat:
27 Mei pada jam 5.16 petang waktu tempatan.
15 Julai pada jam 5.28 petang waktu tempatan.
Dicadangkan apabila berlaku fenomena ini, kita hendaklah merebut peluang yang ada dan berusaha untuk menyemak dan menentukan arah kiblat yang sebenar dari tempat atau kediaman kita mengikut cara-cara yang betul. Ianya boleh dibuat di mana sahaja asalkan kawasan yang dipilih boleh jelas menampakkan bayang-bayang objek dan matahari.
ii) KAEDAH TONGKAT ISTIWA
Dalam kaedah ini, penentuan arah kiblat dibuat dengan mendirikan sebatang kayu pada suatu kawasan rata.
Bayang-bayang kayu tersebut akan ditandakan sebelum dan selepas matahari istiwa untuk menetapkan garisan timur-barat.
Berpandukan hitungan arah kiblat yang telah dihitung terlebih dahulu, sudut α diperolehi, seterusnya kaedah segitiga tepat digunakan untuk menghitung nilai X bagi menetapkan arah kiblat.
iii) KAEDAH BURUJ BINTANG
Buruj Bintang ialah sekumpulan bintang yang berada di suatu kawasan langit serta mempunyai bentuk yang hampir sama dan kelihatan berdekatan antara satu sama lain. Menurut International Astronomical Union (IAU), langit dibahagikan kepada lapan puluh lapan (88) kawasan buruj bintang. Bintang-bintang yang berada disuatu kawasan yang sama adalah dalam satu buruj. Pemerhati purba telah menetapkan sesuatu buruj bintang mengikut bentuk yang mudah mereka kenal pasti seperti bentuk-bentuk haiwan, geometri dan seumpamanya. Dengan mengetahui bentuk buruj-buruj bintang tertentu, arah utara dan arah qiblat dari sesuatu tempat boleh ditentukan.
Buruj Belantik
(Orion)
Pada buruj ini terdapat tiga bintang yang berderet iaitu Mintaka, An-Nilam dan An-Nitak.
Arah Kiblat boleh diketahui dengan mengunjurkan arah tiga bintang berderet tersebut ke arah barat.
Buruj Orion akan berada di langit Malaysia ketika waktu subuh pada Julai pada bulan Disember.
Pada bulan Mac Buruj Orion akan berada ditengah-tengah langit pada waktu Maghrib.
Buruj Biduk
(Ursa Major)
Buruj ini berbentuk beruang besar atau lebih dikenali dengan panggilan 'gayung', kerana bintang-bintang utama dan terang yang terdapat dalam gugusan ini akan kelihatan seperti sebuah gayung.
Buruj ini akan menunjukan arah Utara.
Anggaran arah kiblat berada di sebelah kiri (Barat Laut) arah yang ditunjukkan oleh buruj (Utara).
Buruj Pari
(Crux)
Buruj ini mempunyai empat (4) bintang utama yang terang. Ianya berbentuk seolah-olah seperti salib atau ikan pari.
Bintang Acrux yang berada sebelah bawah atau ekor (Selatan) akan menunjukan arah Selatan.
Anggaran arah kiblat dapat ditentukan setelah dikenalpasti arah Utara dan Selatan, maka apabila kita menghadap ke arah Selatan maka kiblat berada di sebelah kanan (Barat Laut).
Bintang Qhutbi
(Polaris)
Satu bintang di bahagian Utara yang menunjukkan arah Utara tepat. Bintang ini dianggap sebagai 'paku bumi' disebabkan kedudukannya yang tidak bergerak.
Di Malaysia, peluang kenampakkan bintang ini agak tipis disebabkan ketinggiannya lebih kurang 5 darjah agak rendah di bahagian ufuk sebelah Utara sepanjang masa. Berpandukan bintang ini, anggaran arah kiblat berada di sebelah kiri (Barat Laut) arah yang ditunjukkan.
Jika seseorang itu berada di Kutub Utara, maka bintang ini akan berada tegak (zenith) di atas kepala dan tidak bergerak.
iv) KAEDAH MATAHARI TERBENAM
Secara umum jika kita merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah-ubah dari azimut 235 hingga 295.
Walaubagaimanapun sebagai salah satu daripada langkah berijtihad, arah matahari terbenam boleh digunakan sekiranya diketahui perbezaan sudut di antara arah matahari dengan arah qiblat. Anggaran perbezaan sudut antara arah qiblat dengan matahari terbenam bagi kegunaan di Malaysia secara purata dalam jadual dan rajah seperti berikut:
Gunakan panduan petunjuk sudut dengan jari ini untuk menentukan nilai bukaan sudut