Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua! Nama diberi Farah Adila Binti Abu Hasan. Saya merupakan pelajar semester 2 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Kepujian) Fizik di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam. Objektif utama website ini adalah untuk memberi pendedahan fakta menarik kepada masyarakat umum mengenai kajian saintifik alam angkasa. Khususnya dalam entri ini, saya akan memberi pendedahan mengenai planet Marikh. Ayuh!
Planet Marikh merupakan planet keempat yang terletak dari Matahari dalam Sistem Suria. Planet ini terkenal dengan permukaan yang berwarna merah apabila dilihat dari langit. Permukaan ini berwarna merah kerana planet ini mempunyai banyak besi oksida. Ia juga mempunyai dua satelit iaitu phobos dan Deimos. Kedua-dua satelit ini menyerupai asteroid.
Terdapat juga lingkaran asteroid yang kebanyakannya mengelilingi matahari berada di antara orbit planet Marikh dan planet Musytari. Putaran tersebut menyebabkan garis pusat pada garis khatulistiwa terpanjang bagi setiap planet dan bintang.
Marikh mempunyai jarak dari Matahari 227.9 Juta kilometer dan jaraknya dari Bumi adalah 78.3 Juta kilometer. Tambahan pula suhu Marikh sangat sejuk iaitu -63 darjah Celcius sehingga -33 darjah Celcius. Marikh hanya mempunyai keluasan 25% permukaan Bumi dan memiliki hanya 10% jisim Bumi, walaubagaimanapun keluasan daratan Bumi adalah sama dengan keluasan daratan Marikh.
Marikh dikatakan berbeza dengan planet lain seperti Utarid, Zuhrah, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto dimana ia memiliki daya graviti yang rendah dan ruang atmosfera yang terlalu nipis. Andai manusia merancang untuk tinggal di Marikh, para penyelidik perlu mencari penyelesaian bagaimana untuk 'meneutralkan' planet berkenaan untuk menyamai Bumi. Tambahan pula, usaha untuk mewujudkan satu ekosistem dengan bekalan oksigen di planet Marikh itu akan mengambil masa berjuta tahun.
Marikh hanya mempunyai satelit minor dan memiliki dua bulan yang mengelilinginya iaitu Phobos dan Deimos. Kedua-dua satelit ini tidak mempunyai bentuk yang sekata. Proses penghasilannya adalah berbeza seperti bulan di Bumi dimana ianya adalah merupakan serpihan daripada hasil perlanggaran di ruang angkasa.
Phobos
Phobos ditemui pada tahun 1877 oleh Asaph Hall. Diameter Phobos berukuran 27 x 21.6 x 18.8 km dan jaraknya dari planet Marikh adalah 9,378 km. Tempoh yang diambil oleh Phobos untuk mengorbit Marikh adalah 7.66 jam. Phobos juga dikatakan akan menghampiri Marikh dan akan hancur pada suatu hari nanti.
Deimos
Asaph Hall menemui Deimos pada tahun 1877. Deimos berdiameter 15 x12.2 x 11 km dan jaraknya dari planet Marikh adalah 23,460 km. Tempoh yang diperlukan Deimos untuk mengorbit planet Marikh adalah selama 30.35 jam. Deimos ini diramalkan oleh para saintis bahawa ianya akan menghilang pada suatu masa yang tidak diketahui.
1. Memiliki gunung terbesar dan tertinggi di dalam Sistem Suria.
Gunung tersebut dinamakan sebagai 'Olympus Mons' dan ianya merupakan sebuah gunung berapi yang tidak aktif. Ketinggiannya mencapai 15.5 batu dengan berdiameter 372 batu lebar. Sebagai perbandingan, Gunung Everest yang terdapat di Bumi berketinggian sekitar 5 batu. Planet Marikh juga mempunyai jurang terbesardalam sistem suria dan ia diberi nama sebagai 'Valley Marineris'dengan panjangnya sejauh 2500 batu pada kedalaman 4 batu.
4. Berbanding dengan planet lain, Marikh adalah sebuah planet yang kecil.
Planet Marikh merupakan planet ketujuh yang terbesar dalam sistem suria. Namun begitu, berbanding dengan planet lain, ia meruapakan antara terkecil. Ukurannya adalah sekitar setengah daripada ukuran planet Bumi. Planet Marikh juga memiliki satu pertiga daripada graviti Bumi yang memberi makna bahawa sekiranya kita berada di planet Marikh, kita mampu untuk melompat tiga kali lebih tinggi daripada lompatan di Bumi.
7. Bukti adanya kehidupan dan kewujudan air.
Setelah bertahun-tahun para penyelidik meneliti setiap retakan di permukaan planet Marikh, akhirnya mereka menemui bukti kewujudan air. Misi Phoenix mendapati bahawa terdapat endapan ais didalam jumlah yang besar dibawah permukaan planet Marikh yang memungkinkan ada kehidupan di planet berkenaan.
2. Planet yang tidak berpenghuni.
Ramai yang berpendapat bahawa wujudnya kehidupan di Planet Marikh kerana ahli astronomi melihat kewujudan kanal. Hal ini menyebabkan ramai orang berfikiran bahawa adanya serangan makhluk luar angkasa yang dikatakan berasal dari sini dan bukannya dari Planet Musytari mahupun Planet Zuhrah. Planet Marikh sukar untuk dihuni kerana suhunya yang membeku, cahaya matahari dan hampir tiada atmosfera untuk benda hidup. Namun begitu, pada awal pemerhatian para astronomi, mereka mendapati ada garis lurus dimana berkemungkinan adanya air disana.
5. Penemuan bentuk muka raksasa dan bentuk piramid dipermukaan Marikh di daerah Cydonia.
Pada tahun 1970-an , Kapal Viking mengambil gambar sesuatu yang dilihat sebagai muka raksasa dan bentuk piramid pada permukaan planet Marikh pada bahagian Daerah Cydonia. Gambarnya kelihatan seperti Sphinx di Mesir dan memiliki ketinggian sekitar 2000 kaki. Penemuan ini menyebabkan para pemerhati UFO tertarik, namun begitu para penyelidik menyatakan bahawa ia merupakan sekadar hakisan tanah semata.
8. Marikh mempunyai dua bulan yang mengorbitnya.
Salah satu bulannya adalah Phobos dan ia memiliki orbit yang dekat dan membahayakan planet Marikh. Suatu hari,mungkin daya gravitinya akan menarik bulan Phobos dan menghentam planet Marikh. Serpihannya akan tetap berada di orbit planet Marikh dan menghasilkan cincin seperti planet Zuhal.
3. Dinamakan bersempena dengan nama Dewa Perang Rom.
Planet Marikh dinamakan berdasarkan nama Dewa Perang Rom kerana warnanya yang merah telah mengingatkan pemerhati akan warna merah darah. Planet ini berwarna merah disebabkan oleh tanahnya yang terdiri daripada oksida besi atau biasa disebut sebagai karat.
6. Marikh mempunyai cuaca yang ekstrem.
Disana terdapat badai angin yang ganas, badai debu dan ribut taufan kecil. Pada tahun 2001,badai debu yang sangat besar menutupi seluruh permukaan planet selama beberapa hari. Para penyelidik agak kebingungan mengapa planet dengan kadar atmosfera yang nipis dapat memiliki badai sebesar itu. Mereka tidak mengetahui apakah punca yang menyebabkan badai itu terjadi, namun badai di Planet Marikh akan kerap berlaku ketika ia menghampiri Matahari. Dan pada bahagian orbitnya, terdapat awan ais yang terhasil daripada karbon dioksida dan debu. Hal ini juga merupakan suatu perkara yang aneh memandangkan planet Marikh tidak mempunyai permukaan yang berair.
9. Hanya 1/3 daripada seluruh misi ke Marikh yang berjaya.
Banyak misi ke planet Marikh yang hilang begitu sahaja membuatkan para penyelidik berasa hairan dan berfikir ada sesuatu aneh yang berlaku di sana. Mereka juga berpendapat bahawa planet Marikh adalah 'Segitiga Bermuda' dalam sisitem suria kita. (2013)
Bolehkah manusia menjelajah ke Marikh? Jawapannya agak sukar untuk dipastikan kerana masih belum ada manusia yang berjaya ke sana kecuali hanya bantuan robot yang dihantar sebagai tujuan penyelidikan. Namun melalui proses kajian dan penyelidikan, ia memberi peluang untuk manusia (angkasawan) melakukan penjelajahan ke sana. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu dikenal pasti dalam membolehkan ekspedisi ini berjaya terutamanya dari segi pengangkutan dan kehidupan di sana.
Penjelahan manusia ke Marikh memerlukan kos perjalanan yang tinggi, jadi ia sedikit sebanyak menyukarkan orang ramai berpeluang untuk ke planet ini. Pada masa hadapan sekiranya segala penyelidikan telah selesai mungkin hanya segelintir angkasawan dan mungkin hartawan yang akan menjadi manusia terawal dapat menerokai Marikh. Perjalanan ke sana memakan kos yang tinggi kira-kira $6 bilion USD (atau RM24 billion) untuk seseorang yang ingin mengikuti penjelajahan ini.
Perkara-perkara yang perlu dititik beratkan untuk menjadikan Marikh sebagai penempatan kedua Bumi adalah seperti berikut:
Sumber di Marikh dan Bumi berbeza.
Atmosfera di Marikh kebanyakannya terdiri daripada karbon monoksida, disamping suhu di sana juga terlalu sejuk untuk menampung kehidupan manusia. Graviti di sana juga hanya 38% daripada bumi, sekaligus memerlukan penelitian semula untuk sesuatu objek dapat berfungsi di sana.
Jarak antara Bumi dan Marikh.
Marikh dipilih sebagai planet yang berpotensi untuk pengambaraan manusia kerana ia merupakan planet terdekat daripada Bumi. Ia mempunyai jarak 54,717,696 km daripada bumi dan mengambil masa 6 bulan untuk perjalanan sehala – sekiranya ia menggunakan teknik pergerakan yang praktikal untuk ke sana. Pada tahun 2014, pihak saintis telah mencadangkan untuk menggunakan teknik “ballistic capture“, yang mana dapat menjimatkan kos dan menyediakan perjalanan yang lebih selamat. Namun cabarannya adalah untuk menghasilkan sebuah kapal angkasa penumpang, yang mana perlu diuji dan diteliti sebelum manusia awal dapat ke sana. Ia perlulah pantas, boleh dipakai semula, dan mampu untuk mendarat di atas permukaan Marikh dengan selamat. Ia juga perlu mempunyai saiz yang mencukupi untuk menampung sumber pembakaran dan muatan yang diperlukan untuk memulakan kehidupan di sana.
Hidupan dan habitat yang diperlukan di Marikh.
NASA sudah mula mempertimbangkan jenis kehidupan atau habitat yang diperlukan untuk membolehkan manusia tinggal di sana. Habitat yang diperlukan ini turut mempunyai persamaan seperti kita – yang mana ia mestilah boleh dikembangkan, dilindungi untuk menahan atmosfera yang nipis, dan mampu untuk menyokong kehidupan lain – tanpa bantuan daripada Bumi pada jangka masa tertentu. Habitat yang dimaksudkan ini adalah seperti tumbuhan yang akan dijadikan sebagai sumber makanan di planet ini. Tumbuhan dipilih kerana ia mempunyai saiz biji benih yang kecil, sekaligus memudahkan ia dibawa ke dalam kapal angkasa. Tidak seperti haiwan ternakan, ia mempunyai saiz yang besar dan perlu menjaganya dengan rapi ketika di dalam perjalanan ke sana. Tumbuhan juga boleh dihidupkan daripada mula – yang mana ia hanya memerlukan proses tanaman saintifik untuk memulakan pertumbuhannya.
Teknologi dan makanan.
Dengan teknologi pemakanan yang semakin berkembang, makanan berasaskan tumbuhan ini boleh dijadikan dalam pelbagai bentuk – tidak semestinya ia dijadikan dalam bentuk sayuran. Ia boleh dijadikan sebagai alternatif daging, seperti mana yang dilakukan oleh pihak Impossible Foods dalam menghasilkan pemakanan seumpama diambil daripada haiwan. Tanaman seperti gandum juga boleh dijadikan sebagai makanan ruji untuk penghasilan makanan berasaskan roti dan bijirin. Melalui proses tanaman ini, ia sedikit sebanyak ia dapat memberi bekalan oksigen semula jadi kepada manusia. Cuma dari segi bekalan air, ia agak sedikit sukar kerana sumber air di Marikh adalah sangat terhad. Walau bagaimanapun, proba angkasa MARSIS (Mars Advanced Radar for Subsurface and Ionosphere Sounding) telah menjumpa itasik selebar 20 km terletak 1.5 km di bawah permukaan tasik beku di kutub selatan planet ini. Apa yang menarik, air yang ditemui tidak membeku walaupun suhu mencecah -68° C, kerana kewujudan garam natrium, magnesium, dan kalsium serta tekanan tinggi merendahkan tahap beku air.
Cabaran tinggal dalam cuaca yang ekstrem.
Marikh terletak 54 juta km daripada Bumi dan ia mempunyai suhu purata pada sekitar -62°C. Suhu ini sangat sejuk untuk membolehkan air mengalir, selain menyukarkan kehidupan untuk hidup sekiranya tanpa sebarang peralatan tambahan. Marikh juga mempunyai atmosfera yang nipis, jadi ia akan memberi kesan kepada kehidupan melalui sinaran radiasi yang membahayakan. Sebagai permulaan, manusia mungkin akan hidup 80% di dalam bahagian yang tertutup, seperti di dalam kem penempatan. Daripada sini, manusia boleh melakukan sejumlah perkara seumpama di Bumi dengan lebih bebas, tanpa perlu memakai sut tambahan. Manusia boleh bercucuk tanam, dapat menikmati oksigen, dan pastinya dapat menampung kehidupan yang lebih selamat.
Slaid ini mengandungi info tentang:
Apa itu Planet Marikh
Phobos dan Deimos
Fakta menarik di Planet Marikh
Marikh penempatan manusia yang baru?
Video dokumentari ini adalah berkisarkan tentang info serba sedikit mengenai planet Marikh dan temu bual yang memaparkan pandangan ahli masyarakat awam mengenai planet ini.
Hebahan di WhatsApp
Hebahan di Instagram
Hebahan di Twitter
Hebahan di Facebook
Kesimpulannya, setiap perkara yang diciptakan oleh Allah mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Bagi planet Marikh ini, planet ini sering menjadi pilihan untuk dikaji berbanding dengan planet-planet yang lain yang wujud didalam sistem suria. Hal ini demikian kerana, para pengkaji berpendapat bahawa planet Marikh boleh dijadikan tempat tinggal alternatif atau planet yang berpotensi untuk dihuni apabila Bumi sudah tidak relevan lagi untuk didiami. Namun begitu, segala persoalan pasti akan terjawab dengan izin Allah pada suatu garis masa yang tidak diketahui. Wallahu'alam.
Ismail, A. (2020, November 27). Penjelajahan Manusia Ke Marikh – Bolehkah Ia Dicapai? Amanz. https://amanz.my/2020261841/
Bakki, A. H. A. (2018, December 6). Pantau Grafis: 5 Alasan Paling Masuk Akal Kenapa Manusia Gak Bisa Hidup di Mars. Pantau.com. https://www.pantau.com/topic/infografis/pantau-grafis-5-alasan-paling-masuk-akal-kenapa-manusia-gak-bisa-hidup-di-mars
Wikipedia contributors. (2021, December 19). Marikh. Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas. https://ms.wikipedia.org/wiki/Marikh
Arnizam, K. (2013, April 9). 9 Fakta Menarik Planet Marikh. Pentas Bicara Ilmu. http://kamarularnizam.blogspot.com/2013/04/9-fakta-menarik-planet-marikh.html