Maka sembah hamba, “Ya Amirul Mu’minin, bukahkah sudah kena sah bidak kepada raja catur Amirul Mu’minin?”
Maka sabda Raja Harun Al-Rasyid, “Ya Aba Ishak, sekali-kali tiada sampai sah bidak kepada raja, hanya sanya yang kena sah itu barang siapa yang tiada mengambil balasnya daripada bidak maka sanyalah ia kena sah.” Hinga tiga kali berulang-ulang Raja Harun Al-Rasyid mengatakan katanya itu.
Kalakian, dengan takdir Allah Ta’ala, pada ketika itu Ja’afar pun datang berburu dengan segala lasykarnya lalu di bawah istana Raja Harun Al-Rasyid. Demi dilihat Raja Harun Al-Rasyid akan Ja’afar, maka warna mukanyapun berubahlah. Maka hamba pun ketakutanlah serta hamba pun fikirlah akan diri hamba takut pada sangka Raja Harun Al-Rasyid menyindir dia. Maka hamba pun berdatang sembah, “Ya Amirul Mu’minin, pertama-tama ampunnya daripada Allah Ta’ala dan Rasulnya. Kemudian daripada itu Amirul Mu’mininlah. Demi Allah, bahawa sanya tiada berkehendak hati yang diperhamba persembahkan sah bidak itu kepada raja melainkan kerana catur jua.”
Syahdan adalah adat Raja Harun Al-Rasyid itu pada tiap-tiap tahun ia pergi perang sabilullah, dan setahun ia pergi naik haji ke Makkah yang mulia. Maka adalah pada tahun itu giliran pergi perang sabilullah. Maka Raja Harun Al-Rasyidpun pada tahun itu tiadalah pergi perang sabilullah, lalu dititahkannya orang mustaidkan segala kenderaan dan segala zuadah akan berjalan ke Makkah. Maka tatkala itu didengar Siti ‘Abbasah bahawa Raja Harun Al-Rasyid hendak berangkat ke Makkah, maka ia pun menyuruh seorang sahayanya membawa surat kepada Panglima Makkah memberi tahu Raja Harun Al-Rasyid akan datang, menyuruh nyahkan anaknya dari Makkah ke Benua Yaman .
Maka Rja Harun Al-Rasyid pun berangkatlah ke Makkah. Maka tatkala sampailah ke Makkah, maka ia pun menitahkan orang memanggil Panglima Makkah. Maka orang itu pun pergilah memanggil dia.
Hatta, maka Panglima Makkah pun datanglah.
Maka sabda Raja Harun Al-Rasyid, “Hai Panglima Makkah, manatah anak ‘Abbasah yang disuruhnya hantarkan kepadamu?”
“Pada ketika Syah Alam belum lagi ke mari, maka datang seorang sahaya menyuruh nyahkan anaknya dari sini, disuruh hantarkan ke Benua Yaman. Akan sekarang ini tiadalah di sini lagi, sudahlah diperhamba suruh hantarkan ke Benua Yaman.”
Demi didengar Rja Harun Al-Rasyid sembahnya demikian, maka ia pun diamlah.
Kata Syeikh Asma’i, setelah selesailah Raja Harun Al-Rasyid daripada naik Haji, pada suatu malam Raja Harun Al-Rasyid pun tawaf bersama-sama dengan hamba. Setelah sudah ia tawaf, maka dijabatnya tirai ka’abah, lalu ia minta doa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala serta dengan menangis, demikian katanya, “Ilahi wa Saidi wa Maulai, hambamu memohonkan mesyuarat kepadamu, ya Tuhanku. Jikalau tiada kebajikan, maka hambamu barang janganlah kau sampaikan pekerjaan hambamu ke atasnya kerana melalui kata hambamu.”
Demi didengar hamba dengar ia minta doa demikian itu, maka hamba ketahuilah bahawa Ja’afar tidak dapat tiada dibunuhnya Amirul Mu’minin jua. Maka hamba pun ketakutanlah dan teringatlah tatkala hamba bermain catur dengan dia itu.
Maka pada malam itu, maka Raja Harun Al-Rasyid pun kembalilah ke istananya dan hamba pun kembalilah ke tempat hamba. Sekira-kira beberapa hari lagi maka Raja Harun Al-Rasyid pun kembalilah ke Baghdad. Hinggalah sampai ke negeri yang bernama اينار kira-kira sehari perjalanan lagi ke Baghdad, maka hari pun malamlah. Maka berhentilah kami di sana. Maka adalah tatkala itu malam tiga belas Safar tengah malam. Maka Raja Harun Al-Rasyid pun memanggil dua orang sahayanya yang hampir kepadanya, seorang bernama Hammad dan seorang bernama Masrur الفضب .(1) Maka bersabda ia kepadanya, “Pergilah kamu kepada Ja’afar. Bawa olehmu kepala Ja’afar kepadaku dengan segeranya. Maka Hammad dan Masrur Alfadhab pun pergilah kepada Ja’afar, lalu ia masuk ke rumahnya, tiada dengan minta izin. Tatkala itu didapati keduanya akan Ja’afar duduk di hadapannya seorang perempuan pedikirannya bersyair, demikian bunyinya:
قل تعبدون فكل احد سباتي عليه الموت يبدو او يفادي
Ertinya: Tiada jauh pada tiap-tiap manusia lagi kepadanya maut lambat segera.
Demi didengar Masrur dan Hammnad syairnya demikian, maka katanya akan Ja’afar, “Demi Allah, kerana inilah kami datang. Lalu disampaikan keduanya sabda Raja Harun Al-Rasyid itu kepada Ja’afar…………….kata Hammad dan Masrur demikian itu, maka ia pun menangislah, serta katanya, “Pada malam inilah aku meninggalkan dunia.”
Maka katanya akan Masrur dan Hammad, “Tuan beri kiranya hamba bertangguh mengambil air sembahyang dan sembahyang dua rakaat salam.”
Maka dikabulkan keduanyalah. Setelah itu Ja’afar pun mandilah dan mengambil air sembahyang dan memakai pakaian yang suci dan memakai bau-bauan, lalu ia sembahyang dua rakaat salam. Sudah ia sembahyang berkata pula ia akan Hammad dan Masrur, katanya “Hai saudaraku, jikalau kamu bunuh aku, bawa jua kiranya dahulu ke hadapannya Amirul Mu’minin. Barangkali terlihat Amirul Mu’minin mukaku mudah-mudahan takut ada jua sayangnya akan daku.”
Maka sahut Hammad dan Masrur, “يا وزير الاعظم tiada berani kami mengerjakan seperti kata Tuan Hamba itu, kerana tiada pesan Amirul Mu’minin kepada kami akan yang demikian itu.”
Maka kata Ja’afar, “ Jikalau tiada demikian pun, bawa kiranya hamba ke sisi istana Amirul Mu’minin berbetulan dengan peraduannya, supaya hamba bersyair, barangkali didengar suara hamba mudah-mudahan ada jua sayangnya dan diampunnya akan hamba.”
Maka sahut keduanya, “Seperti kata Tuan Hamba itu dapatlah kami kabulkan, tetapi kami rantai jua dahulu akan Tuan Hamba. Setelah sudah kami rantai Tuan Hamba, maka kami bawa ke sisi istana berbetulan dengan tempat peraduannya Raja Harun Al-Rasyid.”
Teruskan Pelayaran Anda...
(1) Nama Masrur (algojo) dalam The Caliph's Sister karya Jurji Zaidan ialah MASRUR AL-FERGHANI.
Hairan saya kerana nama ini sama dengan nama pengarang كتاب في جوامع علم النجوم.