KATA YANG EMPUNYA CETERA, bahawa ada bagi Raja Harun Al-Rasyid seorang saudaranya perempuan, bernama Siti ‘Abbasah. Terlalu elok parasnya, lagi amat bijaksana pada segala barang perkataan. Dan terlalu baik kelakuannya, lagi sangat-sangat tahunya pada mengarang syair. Maka Raja Harun Al-Rasyid pun terlalulah kasih akan saudaranya itu.
"...Terlalu elok parasnya..."Adalah adat Raja Harun Al-Rasyid tatkala ia semayam maka bersyairlah ia dengan Ja’afar(2) dan berhikayatlah ia dengan dia daripada hikayat yang dahulu kala. Dan apabila ia masuk ke dalam istana, maka duduklah ia bersyair dan berhikayat pada saudaranya.
Hatta, berapa lamanya demikianlah adat Raja Harun Al-Rasyid.
Maka, pada suatu hari fikir Raja Harun Al-Rasyid dalam hatinya , katanya, “Jikalau kududuk serta saudaraku tiadalah dapat Ja’afar duduk bersama-sama daku dan jikalau duduk aku serta keduanya dalam suatu majlis, nescaya haramlah penglihatan antara keduanya. Akan sekarang, apa hal aku jua bicaranya aku. Jikalau demikian, baik aku nikahkan saudaraku dengan Ja’afar supaya jadilah halallah penglihatan antara keduanya. Tetapi, tiada kuberi duduk bersama-sama keduanya seperti orang laki isteri.”
Setelah sudah Raja Harun Al-Rasyid berfikir demikian itu, maka ia pun menitahkan orang memanggil Ja’afar. Maka orang pun pergilah.
Hatta, maka Ja’afar pun datanglah.
Maka sabda Harun Al-Rasyid akan dia, “Hai Ja’afar, engkau kunikahkan dengan saudaraku supaya dapat kita duduk tiga orang dalam suatu majlis. Bahawa kunikahkan dikau dengan dia pun kerana aku hendak meninggalkan haram penglihatan antara keduamu jua tetapi jangan engkau perbuat seperti orang laki isteri. Jikalau kau lalui seperti kataku ini, nescaya datanglah kebinasaan atasmu.”
Maka sembah Ja’afar, “Mana titah Syah Alam diperhamba junjung.”
Setelah itu, maka Raja Harun Al-Rasyid pun bersabda kepada Siti ‘Abbasah seperti ia bersabda pada Ja’afar itu jua. Lalu dititahkannya orang memanggil kadhi. Kadhi pun datanglah. Maka Raja Harun Al-Rasyid pun menyuruh kadhi menikahkan saudaranya dengan Ja’afar. Maka dinikahkan oleh kadhilah akan dia. Setelah sudah nikah maka Raja Harun Al-Rasyid pun duduklah bersama-sama dengan Ja’afar dan Siti ‘Abbasah dalam suatu majlis berkata-kata. Dan berhikayat. Dan bersyair.
Hatta, berapa lamanya, maka Siti ‘Abbasah pun berahilah akan Ja’afar.
Sekali peristiwa pada suatu hari, Raja Harun Al-Rasyidpun duduk dengan Siti ‘Abbasah dan Ja’afar. Dan Siti’ Abbasah bersyair dan berhikayat. Maka Raja Harun Al-Rasyidp un bangkit kerana sesuatu hajatnya. Maka kata Siti Abbasah akan Ja’afar perlahan-lahan, “Hai Ja’afar, bukankah Tuan Hamba itu suami hamba dan telah dihalalkan akan Allah Ta’ala akan isteri Tuan Hamba. Maka bahawasanya sekarang sangatlah berahinya hamba akan Tuan Hamba.”
Maka sahut Ja’afar, “Hai Siti ‘Abbasah. Bahawa kata Tuan Hamba itu sebenarnylah, tetapi sangatlah takut hamba akan Amirul Mu’minin. Bahawa pekerjaan itu telah dilarangkan akan hamba mengerja akan dia, lagi pun adakah patut sahaya orang duduk bertisterikan Tuannya. Bahawa Amirul Mu’minin nikahkan Tuan Hamba dengan hamba ini kerana hendak meninggalkan haram penglihatan antara kedua kita jua. Bukan kerana hendak Amirul Mu’minin memberikan Tuan Hamba akan isteri hamba.”
Maka kata Siti ‘Abbasah, “Hai Ja’afar, segala pekerjaan yang berlaku dengan hukum syarak itu apatah salahnya kita mengerjakan dia?”
Maka sahut Ja’afar, “Janganlah Tuan katakan kata ini kepada hamba. Sungguhpun pekerjaan itu berlaku dengan hukum syarak, tetapi hamba tidak mahu melalui sabda Amirul Mu’minin.”
Demi didengar Siti ‘Abbasah sahut Ja’afar demikian itu, maka ia pun diamlah.
Syahdan, beberapa kali Siti ‘Abbasah meluluskan kata-kata kepada Ja’afar tatkala Raja Harun Al-Rasyid tiada hadhir pada majlis itu. Hatta, berapa lamanya, maka dikirimkannya pula akan Ja’afar surat. Dalamnya beberapa daripada pelbagai syair dan bagai-bagai kata-kata yang manis-manis supaya dikabulkan Ja’afar kehendaknya. Maka Ja’afar pun berkirim syair kepada Siti ‘Abbasah mengatakan bahawa tiada ia mahu melalui sabda Amirul Mu’minin Harun Al-Rasyid. Kemudian dari itu, maka dikirim Siti ‘Abbasah pula akan Ja’afar dengan pesannya jikalau tiada mahu Ja’afar kabul akan dia nescaya aku adukan suatu muslihat supaya dipenggal akan Amirul Mu’minin batang lehernya. Itupun tiada jua dikabulkan oleh Ja’afar, seperti kata-nya, “Jikalau demikianpun الحمد لله رب العالمين sabarlah hamba atas kadha Allah Ta’ala, bahawasanya hamba tiada mahu melalui titah Amirul Mu’minin.”
Demi dilihat Siti ‘Abbasah Ja’afar tiada mahu mengkabulkan kehendaknya, maka ia pun berkirim surat kepada bonda Ja’afar serta dengan hadiahnya. Demikian bunya surat itu:
“Hai Bondaku. Ketahui oleh Tuan Hamba mengapa mula anakanda Ja’afar tiada ridha akan hamba? Bukankah ia suami hamba, telah dihalalkan Allah Ta’ala akan isterinya. Jikalau ia tiada mahu mengkabulkan kehendak hamba, nescaya hamba cari suatu muslihat supaya dipenggal Amirul Mu’minin batang lehernya.”
Maka surat itu pun disuruh Siti’ Abbasah berikan kepada Bonda Ja’afar. Demi dilihat Bonda Ja’afar surat itu, maka ia pun mendapat anaknya, serta katanya, “Hai anakku, bahawa Siti ‘Abbasah sangat berahikan dikau. Mengapa maka enggan engkau akan dia. Bukankah ia sudah dikahwinkan Amirul Mu’minin akan dikau. Lagi pun pada Allah Ta’ala pun tiada haram pekerjaanmu itu. Aku pun sangat sayang akan nyawamu. Siapa tahu dikerjakannya seperti katanya itu.”
Maka sahut Ja’afar, “Hai Ibuku, bahawa kata ini janganlah Tuan katakan kepada hamba. Jikalau ridho anak Tuan Hamba mati, maka Tuan perbuatlah seperti kehendak hati Tuan Hamba. Dan jika tiada ridho Tuan Hamba akan hamba mati, maka janganlah Tuan katakan kata ini kepada hamba.”
Demi didengar Bonda Ja’afar kata anaknya demikian itu, maka ia pun diamlah lalu ia kembali ke tempatnya, serta ia fikir, “Betapa bicaraku ini akan hal Siti ‘Abbasah ini kerana ia sangat berahi akan anakku. Jikalau tidak kabulkan seperti katanya nescaya dikerjakannyalah seperti katanya itu. Datanglah bala akan anakku, kerana ia saudara Amirul Mu’minin. Tiada dapat tiada didengar Amirul Mu’minin jua segala barang katanya. Jikalau demikian baik aku upayakan jua kehendaknya itu supaya terpelihara anakku daripada fitnahnya.”
Setelah sudah ia fikir demikian itu, maka ia pun membalas surat Siti ‘Abbasah, demikian bunya:
“Hai Siti ‘Abbasah, ketahui oleh Tun Hamba bahawa anakku Ja’afar tiada makbulkan kata Tuan Hamba itu, dan hamba pun telah berapa kalilah memasukkan katanya kepadanya tiada jua mahu ia makbulkan kehendak Tuan Hamba. Jikalau sangat hasrat hati Tuan Hamba berkehendak akan dia, hambalah yang upayakan dia. Maka datanglah Tuan ke rumah hamba pada malam ini.”
Demi dibacanya Siti ‘Abbasah surat itu, maka ia pun sukacitalah. Lalu dinantinya pada ketika sunyi, maka ia pun turun dari istana dengan beberapa orang sahayanya yang kepercayaan-nya. Lalu pergilah ia ke rumah Ja’far. Hingga sampailah ia ke rumah Ja’afar, maka disembunyikan Bonda Ja’afar akan dia pada suatu tempat.
Teruskan Pelayaran Anda...
Terjemahan عباسة أخت الرشيد ke dalam bahasa Inggeris berjudul The Caliph's Sister
1. Peristiwa ini, yang dikatakan berlaku pada TM 803, ini telah dijadikan bahan untuk sebuah novel oleh Jurji Zaidan, penulis Beirut dengan judul عباسة أخت الرشيد.
Kesahihan fakta sejarah ini dipertkai oleh sebahagian sarjana, antaranya Ibn Khaldun..
2. Ja'afar ibn Yahya al-Barmaki (767-803), Wazir kepada Harun Al-Rasyid (766-809).