Lelaki Dari Khurasan
Kata Syeikh Muhammad ibn Juri[1] ada seorang lelaki di benua Kharsani datang ke negeri Baghdad akan naik haji, ada dibawanya suatu rantai leher[2] harganya seribu dinar. Maka sangatlah ia hendak menjualkan rantai leher itu akan tetapi tiada sampai harganya maka tiadalah jadi dijualnya. Maka lalu ia pergi kepada seorang Attar, iaitu orang berjual bau-bauan.
Kalakian, bahawa adalah Attar itu termasyhur daripada berbuat kebajikan akan segala manusia lagi kepercayaan. Maka dipertaruhkannyalah rantai leher itu kepadanya. Maka ia pun pergi naik haji.
Setelah sudah ia naik haji maka kembalilah ia kepada Attar itu dengan membawa hadiah-nya. Maka kata Attar akan dia, “Dari mana Tuan Hamba datang dan apa Tuan Hamba bawa ini?”
Maka kata lelaki itu, “Hambalah empunya rantai leher itu yang hamba pertaruhkan kepada Tuan Hamba itu.”
Maka Attar pun tiada mahu berkata-kata lalu ditolakkan lelaki itu dari atas kedainya, serta katanya, “Engkau dakwalah akan daku seperti dakwamu ini.”
Maka berhimpunlah segala manusia serta kata mereka itu, “Hai Hamba Allah, ketahui olehmu bahawa lelaki ini terlalu baik lagi kepercayaan tidak seseorang pun pernah mendakwa dia melainkan engkau jua. Maka Haji itu pun masyghullah. Maka datang pula ia kepada Attar itu serta katanya, “Tuan pulangkanlah apalah kiranya rantai leher itu.”
Maka tiada jua dipulangkannya melainkan disumpahinya serta dipalunya akan dia.
Maka kata orang akan dia, “Hai Hamba Allah, pergilah engkau kepada Sultan ‘Adhud at-Daulah [3] . Maka persembahkan segala hal ehwalnya.”
Adalah Raja itu tahu pada ilmu firasyat.
Maka disurat Hajilah suatu surat daripada segala hal ehwalnya dengan Attar itu lalu diikatnya pada hujung tongkatnya itu. Maka pergilah ia ke medan Raja serta dengan harapnya.
Kalakian, maka hamba Raja pun menanyakan apa kehendaknya. Maka diceterakanlah segala hal ehwalnya. Maka dipersembahkannyalah oleh hamba Raja itu. Maka titah Sultan ‘Adhud at-Daulah, “Panggilkan Haji itu.”
Maka ia pun datanglah. Maka sabda Raja, “Pergilah engkau kepada Attar itu daripada pagi-pagi hari. Duduk engkau pada kedainya. Jika dinyahkannya akan engkau, duduk jua engkau pada kedainya itu berbetulan dengan dia, daripada pagi hari datang maghrib dan jangan engkau berkata-kata dengan dia. Maka perbuat olehmu tiga hari lamanya. Maka pada hari yang keempat aku pun datang kepadamu. Maka diam jua engkau jangan berdiri. Dan segala barang aku katakan kepadamu pun jangan kau sahuti. Apabila kembalilah aku pintalah olehmu rantai lehermu itu kepadanya. Kemudian dari itu, maka engkau beri tahu aku akan daripada barang yang dikatakannya kepadamu. Jika dipulangkan rantai lehermu itu, maka engkau bawa ia ke mari kepadaku.”
Kata yang empunya cetera ini, maka pergilah Haji kepada kedai Attar, lalu dikerjakannyalah segala barang yang diajarkan Raja itu. Maka datanglah kepada hari yang keempat, maka Sultan ‘Adhud at-Daulah pun berangkatlah dengan bala tenteranya.
Maka tatkala dilihat Raja akan Haji Kharsani duduk di kedai Attar itu, maka Raja ‘Adhud at-Daulah pun memberi salam. Maka ia pun menyahuti salam Raja itu, tetapi tiada ia bergerak daripada tempatnya duduk itu.
Maka sabda Raja, “Hai saudaraku, datang Tuan Hamba ke negeri Baghdad ini, mengapa Tuan Hamba tiada mengunjung hamba? Dan apa sebabnya Tuan Hamba tiada mengatakan hal ehwal Tuan Hamba dan segala hajat Tuan Hamba.”
Maka Haji Kharsani pun berdiam dirinya jua, tiada mahu ia berkata-kata. Maka sebagai jua ditanya ditanya Raja itu akan dia. Dan lashkarnya pun berdirianlah sekaliannya. Demi dilihat Attar akan hal ehwal yang demikian itu maka ia pun pengsanlah, daripada sangat takutnya.
Maka tatkala kembalilah Raja itu, maka Attar pun berhadaplah kepada Haji serta katanya, “ Hai Haji katakan olehmu masa mana engkau pertaruhkan rantai lehermu kepadaku, mudah-mudahan ingat aku.”
Maka dikatakan akan Hajilah akan peri rantai lehernya itu pada hari anu dan pada ketika anu. Demi didengar Attar kata Haji itu, maka ia pun bangkitlah pergi mencari rantai leher dalam taruhannya. Maka dibawa rantai leher itu kepada Haji serta katanya, “Bahawasanya adalah hamba lupa. Jika tiada Tuan Hamba ingatkan nescaya lupalah hamba.”
Maka diambil Haji Kharasani rantai leher itu serta katanya, “Apa faedah bagiku pergi memberi tahu Raja itu?” Maka fikir pula ia dalam hatinya, “Mudah-mudahan Raja itu memulia akan daku.”
Maka ia pun berjalanlah kepada Sultan ‘Adhud at-Daulah. Maka pada ketika itu jua dititahkan seorang sahayanya menyulakan Attar. Maka ia pun pergilah kepada kedai Attar. Maka ditangkapnyalah akan Attar, lalu digantungkannyalah rantai leher itu pada batang lehernya itu. Maka disulakannyalah di hadapan kedainya jua, serta dicanangkanya, demikian bunyinya: “Inilah balasan bagi barang siapa yang mungkir akan taruhan seseorang daripada barang sesuatu”.
Maka tatkala malamlah hari, maka diambil hamba Raja rantai leher itu lalu diberikannya kepada Haji itu, serta ia memberi salam. Maka disahuti Haji salamnya. Maka kata hamba Raja itu, “Pergilah Tuan Hamba kepada barang tempat yang Tuan Hamba kehendaki itu.”
Iyas Memerangkap Pendusta
Cetera daripada Muhammad Hariri[4] katanya, sekali peristiwa, ada seorang lelaki bertaruhkan hartanya pada seorang lelaki. Hatta beberapa lamanya maka dipintanyalah harta itu. Maka lelaki itu pun mungkirlah daripada menerima harta itu. Maka berbantahlah keduanya lalu pergi kepada Kadhi bernama Iyas bin Mu’awiyah[5].
Maka kata yang empunya harta itu, kepada Iyas, “Ya Tuan, bahawasanya hamba pertaruhkan kepadanya pada tempat anu pada hari anu. Tatkala itu tiada seseorang jua pun serta kami.”
Maka kata Iyas akan dia, “Benda apa ada di tempat yang engkau berikan hartamu itu?”
Orang itu menjawab, “Pohon besar, waktu itu kami duduk-duduk di bawahnya dan makan-makan bersama di bawah naungannya. Ketika kami ingin pulang, hamba menyerahkan benda itu kepadanya.”
Maka kata Iyas, “Pergilah engkau ke tempat itu sekarang. Mudah-mudahan dinyatakan Allah Ta’ala hartamu itu kepadamu di sana, takut siapa tahu ada engkau tanamkan di bawah pohon kayu itu. Kerana lupamu, apabila engkau lihat pohon kayu itu ingatlah engkau.”
Kalakian, maka lelaki yang empunya harta itu pun pergilah kepada pohon kayu itu.
Maka kata Iyas akan lelaki yang didakwanya itu, “Duduklah engkau di sini. Nanti olehmu hingga kembali yang mendakwa akan dikau itu.”
Maka ia pun duduklah. Iyas terus memberi perhatian kepada perkara-perkara yang berkaitan orang lain. Sambil itu Iyas membicarakan dalam hatinya serta ia menilik kepadanya berulang-ulang. Setelah agak lama dan dilihat Iyas orang itu diam dan tenang, maka kata Iyas akan dia dengan tiba-tiba, “Hai lelaki, sudahkah pada bicaramu taulanmu itu sampai kepada pohon kayu itu?”
Maka sahut lelaki itu dengan tidak berfikir terlebih dahulu, “Tentu ia belum sampai sebab tempat itu jauh dari sini.”
Maka kata Iyas, “Hai ‘adu Allah[6], bahawasanya engkau yang khianat akan harta taulanmu itu.”
Maka lelaki itu pun sedar ia telah diperangkap oleh Iyas, lalu mengaku.
Maka disuruh Iyas tahan akan dia. Maka ia pun ditahan oranglah.
Setelah itu maka lelaki itu pun datanglah. Maka kata Iyas, “Hai lelaki, terimalah olehmu akan hartamu”. Maka lelaki yang mungkir itu pun disuruh memulangkan harta itu kepada taulannya itu.
Shahdan, tiadalah fakir melanjutkan perkataan hingga mengambil sempenanya jua.
Satu halaman dari Muqamat al-Hariri, Keistimewaan MS ini adalah kerana dihiasi dengan ilustrasi. Pelukisnya ialah Yahya ibn Mahmud al-Wasiti.
[1] Mungkin Amir Izzaddin Muhammad ibn Bahauddin al-Juri, ahli sufi Parsi.
[2] Dalam manuskrip dituliskan “tali leher”. Pada hemat penyunting, yang dimaksudkan ialah rantai leher
[3] عضد الدولة أبو شجاع فنا خسرو بن ركن الدولة , pemerintah teragung dari Dinasti Buwaihid (Buyid), yang memerintah Iran dan Iraq. Baginda dikenali juga dengan gelaran al-Malik al-Adil Shahansyah.
[4] Muhammad al-Qasim ibn Ali ibn Muhammad ibn Uthman al-Hariri al-Basri (1054-1122), pengarang Maqamat al-Hariri, iaitu kumpulan kisah-kisah yang berasal daripada anekdot-anekdot sejarah.
[5] Iyas Ibn Muawiyah Al-Muzani; (إياس بن معاوية بن قرة بن المزني أبو واثلة) nama penuh Abu Wathilah Iyas bin Muawiyah ibn Korrah, Hakim Besar (Qadi al-Qudat) di Basra, dalam zaman pemerinthan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Dikatakan beliau memiliki kepintaran luar biasa dalam menyelesaikan kes-kes yang dikendalikannya.
[6] عدوالله musuh Allah.