Maka sembahnya, “Ya Syah Alam, Fadzil inilah yang menganiayai akan diperhamba. Ada ia dengan yang diperhamba pada malam ini hingga sampai siang dan dicurinyalah sebelah cerpu diperhamba. Adakah ia berbuat aniaya atau tiadakah?”
Maka ditunjukkan cerpu yang sebelah itu kepada Sultan Ma’amun Al-Rasyid. Maka Sultan Ma’amun Al-Rasyid pun fikir dalam hatinya, lalu dilihatnya cerpu itu tiada terharga dan tiadalah dalam perbendaharaannya pun seperti cerpu itu.
Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Hai Fadzil, kerana engkau Wazirku, mengapa perbuatan yang demikian itu?”
Maka sembah Fadzil, “Di hadapan Syah Alam, tiada berani diperhamba datang sembah yang dusta dan tiada diperhamba mengambil dia dan tiada diperhamba melihat dia. Hanyalah pada sekarang ini jua.”
Maka kata perempuan itu, “Hai zalim, jikalau tiada engkau mengenal daku dan melihat daku, mengapa engkau menukas[1] daku. Tidakkah engkau takut akan Allah Ta’ala?”
Maka melihat Sultan Ma’amun Al-Rasyid kepada perempuan itu, maka sabdanya, “Hai perempuan, siapa engkau?”
Maka sembahnya, “Ya Tuanku Syah Alam, diperhambalah isteri Ali Jauhari.”
Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Bahawasanya Fadzil inilah yang dusta.”
Maka Fadzil pun menundukkan kepalanya. Maka sabdanya Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Uraikan tali di leher Ali Jauhari itu dan jeratkan pada leher Fadzil.” Maka dijerat oranglah leher Fadzil serta digantung orang akan dia. Maka ia pun matilah.
Maka Ali Jauhari pun dijadikan Sultan Ma’amun Al-Rasyid akan wazirnya yang khas.
*******
Nasihat:
Sayogianya hai segala hamba Allah, jangan menukas seseorang dengan zina kerana bahawasanya yang demikian itu datang murka Allah Ta’ala, seperti firman Allah Ta’ala dalam Quran:
والذين يرمون المحصنات ثم لم يأتوا بأربعة شهداء فاجلدو هم ثمانين جلدة
ولا تقبلوا لهم شهادت أبدا واولئك هم
الفاسقون[2] .
Ertinya: Segala mereka itu yang menukas perempuan yang berbuat zina, maka tiada didirikannya empat orang saksi, palu oleh kamu akan mereka itu delapan puluh kali dan janganlah kamu terima bagi saksi sekali-kali. Mereka itulah orang derhaka pada Allah Ta’ala.
Adanya.
Selesai bahagian yang mengkisahkan anekdot-anekdot yang berlaku di Lembangan Dajlah.
Teruskan Pelayaran Anda...
1. Menuduh tanpa bukti.
2. .وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚوَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ