PERHATIAN:
Disebabkan saya tidak memiliki keahlian dalam bahasa Arab, kemungkinan teks yang di dalam bahasa itu yang terdapat di sini telah disalin dengan kurang tepat. Kalau Tuan-tuan dan Puan-puan yang cekap bahasa Arab dapat membuat pembetulan (melalui BUKU TETAMU ), saya akan banyak berterima kasih.
KATA SAHIBUL HIKAYAT, sekali peristiwa, pada suatu malam Amirul Mukminin Harun al-Rasyid masyghul hatinya. Maka dititahkannya memanggil Ja’afar Barmaki dan Masrur al-Nasab . Maka orang itu pun pergilah. Hatta, maka keduanya pun datang mengadap Amirul Mukminin Harun al-Rasyid. Sabdanya, “Hai Ja’afar. Pada malam ini aku sangat masyghul hatiku. Mari kita bermain kepada segala jurang pekan yang dalam Baghdad ini.” Maka sembah Ja’afar, “Ya Tuanku Syah Alam. Mana titah Yang Maha Mulia diperhamba junjung.” Kalakian, maka Amirul Mukminin Harun al-Rasyid pun memakai pakaian saudagar menyamarkan dirinya. Lalu keluar ia bersama Ja’afar dan Masrur berjalan pada segala jurang Baghdad bersuka-sukaan. Hingga sampailah mereka itu ke tepi Sungai Dijlah , lalu mereka bertemu sebuah perahu tertambat. Dan dalam perahu itu seorang lelaki tua. Maka Amirul Mukminin Harun al-Rasyid pun bersabda kepada Ja’afar dengan perlahan-lahan, “Hai Ja’afar, bahawa aku hendak naik ke dalam perahu ini bermain-main.” Maka sembah Ja’afar, “Ya Tuanku Syah Alam. Mana kehendak Syah Alam dijunjung.”
Maka kata Ja’afar akan yang empunya perahu itu,“Hai orang tua, bawa kiranya kami bermain dalam Sungai Dijlah ini.” Maka sahut orang tua itu, “Tiada dapat hamba mengerjakan dia seperti kata tuan hamba itu.” Maka kata Ja’afar, “Apa sebabnya?” Maka sahut orang tua itu, “Bahawasanya beberapa harilah lamanya dilarangkan Amirul Mukminin Harun al-Rasyid bahawa jangan seorang pun bermain-main di Dajlah ini lain daripadanya. Bahawa pada ketika ini Amirul Mukminin Harun al-Rasyid datang dengan segala nadimnya dan beberapa perahu dihadapnya dan beberapa daripada orang bernyanyi.” Maka berseru-seru di haluannya perahu itu seorang laki-laki yang demikian bunyinya, “Bahawa jangan seseorang membuka tingkap rumahnya melainkan apabila lalu Amirul Mukminin.”
Maka tatkala didengar Amirul Mukminin Harun al-Rasyid kata orang tua itu demikian itu, maka ia pun berhadap kepada Ja’afar serta ia bersabda dengan perlahan-lahan. Katanya, “Hai Ja’afar adakah dalam Negeri Baghdad ini raja lain daripada aku?” Maka sembah Ja’afar, “Ya Tuanku Syah Alam diperhamba mohonkan ampun bahawa yang demikian itu tiada sekali-kali adanya.” Maka Amirul Mukminin Harun al-Rasyid pun memasukkan tangannya ke dalam kekandinya lalu dikeluarkan dinar segenggam. Maka diberinya akan yang empunya perahu itu serta katanya, “Hai yang empunya perahu, kau bawa apalah kiranya kami pada suatu tempat yang terlindung.” Maka sahut orang tua itu, “Bahkan, hamba kabulkanlah seperti kata tuan hamba itu.”
Hatta maka mereka itu pun naiklah ke dalam perahu, lalu dikayuhkannyalah mereka itu hingga sampai ke tepi sungai Dijlah. Tiba-tiba kedengaranlah suara demikian bunyinya, “Bahawa sabda Amirul Mukminin jangan seorang jua pun membuka tingkap rumah-nya hingga lalu Amirul Mukminin". Demi didengar empunya perahu itu suara yang demikian itu, maka iapun berkata, “Ah! Ah! Pada ketika ini datanglah karmaku. Yatimlah segala anak cucuku.”
Maka kata Amirul Mukminin Harun al-Rasyid, “Hai yang empunya perahu. Apa sebab katamu demikian?” Maka sahutnya, “Pada ketika ini jika didapatinyalah akan kita oleh Amirul Mukminin Harun al-Rasyid disuruhnya bunuh akan hamba dan akan tuan-tuan sekalian.” Maka kata Ja’afar, “Hai orang tua, kayuhkan kami kepada suatu tempat yang terlindung hingga lalu Amirul Mukminin.” Hatta, maka perahu pun dibawanyalah ke tempat yang terlindung. Seketika lamanya, maka perahu[2] orang yang menjadikan dirinya Raja Harun al-Rasyid itu pun lalulah dengan beberapa سورا daripada gaharu yang semerbak baunya. Maka duduklah orang yang menjadikan dirinya Raja Harun al-Rasyid itu pada sama tengah perahu itu dan beberapa nadimnya duduk kiri kanan dan hadapannya dan dengan berbagai-bagai lakunya dan ragamnya.
Maka ditanyai oleh Amirul Mukminin Harun al-Rasyid orang tua yang empunya perahu itu, “Siapa yang duduk di kanan Amirul Mukminin dan siapa yang di kirinya itu.” Maka sahutnya, “Bahawa duduk di kanan Amirul Mukminin itu iaitulah Ja’afar Barmaki, dan yang duduk di kiri itu iaitulah Masrur al-Nasab dan yang duduk di hadapannya Ibrahim Mousili , ialah yang amat tahu pada bermain kecapi.” Demi didengar Amirul Mukminin Harun al-Rasyid kata orang tua itu demikian, maka Baginda pun diamlah. Hatta, maka orang yang menjadikan dirinya Raja Harun al-Rasyid itu pun lalulah. Maka sabda Amirul Mukminin kepada Ja’afar, “Bahawa aku hendak melihat hal ehwal lelaki itu.” Serta katanya, “Hai yang empunya perahu, kayuhkan apalah kiranya kami dari belakang perahu Raja Harun al-Rasyid ini.”
Maka kata yang empunya perahu itu, “Tiada hamba berani kayuhkan dia.” Maka kata Amirul Mukminin Harun al-Rasyid, “Tidak mengapa, kau kayuhkanlah.”Serta dilontarkannya kepada keribaannya yang empunya perahu itu beberapa dinar. Dikayuhkannyalah perahu itu hingga dahululah ia. Kalakian, maka perahu Amirul Mukminin Harun al-Rasyid pun sampailah ia sebelah pulau bernama Raqiqah dalam sungai Dijlah jua. Hatta, Amirul Mukminin Harun al-Rasyid dan Ja’afar dan Masrur pun singgahlah kepada pulau itu, lalu mereka itu pada sama tengah jalan. Setelah itu orang yang menjadikan dirinya raja itu pun singgahlah kepada pulau itu. Maka dibawa oranglah kuda yang berpelanakan emas bertatahkan beberapa daripada ma’nikam ya’kut . Maka orang yang menjadikan dirinya Raja Harun al-Rasyid itu pun berkenderaanlah atas kuda itu. Dan dihadapanya berjalan Ja’afar dan Masrur dan Ibrahim Mousili dan nadimnya, yang bernama Ishak. Dan terpasanglah di hadapannya beberapa tanglung daripada emas. Dan beberapa orang muda belia kelilingnya. Sampailah ia kepada tempat Amirul Mukminin Harun al-Rasyid dan Ja’afar Barmaki dan Masrur.
Maka tatkala dilihat mereka itulah akan orang yang menjadikan dirinya Raja Harun al-Rasyid itu, maka ia pun memberi salam. Maka disahut salam mereka itu serta dihelanya kekang kudanya. Maka ia pun berhenti, lalu ditanyainya akan mereka itu, “Siapa kamu dan dari mana kamu datang dan hendak ke mana kamu pergi?” Maka Ja’afar Barmaki pun berdatang sembah, “Ya Tuanku Syah Alam, bahawa yang diperhamba sekalian itu orang Negeri Basrah datang berniaga ke Negeri Baghdad ini. Maka turun diperhamba daripada bahtera kepada sebuah sampan. Maka sekarang diperhamba hendak mendapatkan bahtera itu lalu diperhamba singgah kepada pulau ini.” Maka kata orang yang menjadikan dirinya Raja Harun al-Rasyid itu, “Sebagai manalah datang kamu?” Lalu ia turun berhadap kepada Ja’afar dirinya, serta katanya, “Hai Ja’afar, bawa orang ini bersama-sama dengan daku.” Hatta, maka ia pun berjalanlah hingga sampailah ke rumahnya.
1. Kisah ini terdapat dalam The Thousand Nights and One Night, Jilid 4, selenggaraan Richard Burton, dengan judul “The Mock Caliph”, dengan sedikit perbezaan tentang nama watak-watak utama.
2. Mengikut nota kaki pada edisi Burton, perahu diraja itu jenis yang dipanggil harrak.