Kata sahibul hikayat, sekali peristiwa pada suatu hari, Sultan Ma’amun Al-Rasyid[1] bersabda kepada Wazirnya, Fadzil ibn Abbas, “Hai Fadzil seratakanlah[2] olehmu dalam negeri Baghdad ini, jangan seorang jua pun memasang pelita dalam rumahnya dan membuka tingkap barang tiga malam.”
Maka disuruh Fadzil serantakanlah. Maka diserantakanlah oranglah seperti titah Sultan Ma’amun Al-Rasyid itu. Maka tiadalah dipasang isi negeri itu pelita rumahnya.
Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid pada Fadzil pada malam ketiga itu. “Aku masyghul, mari kita bermain-main dan bersuka-sukaan pada segala jurang negeri Baghdad ini.”
Maka sembah Fadzil, “Mana titah Amirul Mu’minin, diperhamba junjunglah.”
Maka kuda pun dihadirkan oranglah. Maka dikenderainya oleh Sultan Ma’amun Al-Rasyid, lalu berjalanlah. Maka Fadzil pun berjalan di hadapannya. Lalu keluar berjalan kedua-nya, berjalan pada pekan dan segala jurang Baghdad.
Kata yang empunya cetera, ada seorang saudagar pada masa itu terlalu kaya bernama Ali Jauhari. Adalah sangat ia hendak bertemu dengan Sultan Ma’amun Al-Rasyid, tiada jua perolehnya. Maka ia pun fikir dalam hatinya, katanya, “Mudah-mudahan pada malam inilah aku bertemu dengan Sultan Ma’amun Al-Rasyid.”
Maka, ia pun mengenderai baghalnya dan seorang sahayanya membawa suatu surat bersama dengan dia. Maka keluarlah ia pergi bermain-main pada segala jurang Baghdad. Daripada antara perjalanannya itu maka didengarnya bunyi kaki kuda berjalan di hadapannya, iaitu bunyi Sultan Ma’amun Al-Rasyid dan Fadzil berkuda. Maka tatkala hampirlah ia kepadanya, maka kata Ali Jauhari, “Tiadakah engkau dengar titah Amirul Mu’minin, pada ketika malam ini jangan siapa-siapa seorang pun keluar daripada rumahnya. Akan sekarang, mengapa kamu keluar?”
Maka sahut Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Kami orang dagang, tiada kami tahu ke mana perginya kami. Mudah-mudahan Tuan Hamba memelihara kami pada malam ini. Apabila siang hari, kami kembali ke tempat kami.”
Hatta, maka dibawa Ali Jauharilah akan Sultan Ma’amun Al-Rasyid dan Fadzil ke rumahnya. Maka tatkala itu duduklah keduanya. Maka disuruh Ali Jauhari membawa hidangan daripada makan-makanannya. Maka hidangan pun diangkat oranglah ke hadapan Sultan Ma’amun Al-Rasyid. Maka dipandang Sultan Ma’amun al-Rasyid kepada Fadzil, serta ia berkata dengan perlahan, “Hai Fadzil, engkau lihat akan lelaki ini betapa ia seorang daripada hulubalangkukah atau daripada seorang saudagar akukah? Lihat olehmu kepada majlisnya dan tertibnya dan pada kemuliaannya.”
Maka tatkala selesailah keduanya daripada makan, maka disuruh Ali Jauhari sahayanya membawa dua buah cerana emas dan pada suatu cerana itu dalamnya itu ma’anikam, qimah[3] harganya seratus ribu dinar. Maka dihantarkannya suatu cerana di hadapan Sultan Ma’amun Al-Rasyid dan suatu cerana lagi berisi ma’anikam jua, harganya lima ribu dinar dihantarkannya di hadapan Fadzil. Setelah itu Ali Jauhari pun khidmatlah. Lalu diciumnya kaki Amirul Mu’minin Ma’amun Al-Rasyid, serta sembahnya, “Tuankulah Amirul Mu’minin dan inilah Wazir لاسفاه Alam.”
Maka sabda Sultah Ma’amun Al-Rasyid, “Hai, lelaki. Apa sebab engkau perbuatkan yang demikian ini?” Maka sembahnya, “Ya, Tuanku Syah Alam. Bahawa yang diperhamba perbuat pekerjaan yang demikian kerana suatu hajat diperhamaba hendak mengadap Syah Alam, kerana bapa diperhamba pun adalah Jauhari kepada Amirul Mu’minin Harun Al-Rasyid. Maka ditinggalkan apabila
ia mati beberapa harta akan diperhamba. Tiada ia beranak lain daripada yang diperhamba. Hanya dengan hal inilah yang diperhamba beroleh menghadap Duli Syah Alam.”
Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Hai, Ali Jauhari. Engkaulah akan Jauhariku dan aku tinggikan martabatmu seperti martabat bapamu kepada Amirul Mu’minin Harun Al-Rasyid.”
Demi didengar Fadzil sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid akan Ali Jauhari demikian itu, maka ia pun fikir dalam hatinya, “Apabila ia diperbesar Sultan Ma’amun Al-Rasyid, nescaya kuranglah martabatku.” Lalu ia pun menaruh dendamlah dalam hatinya.
Hatta, setelah itu, maka Sultan Ma’amun Al-Rasyid pun kembalilah. Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid kepada Fadzil, “Kulihat lelaki itu dipermulia akannya daku. Demi Allah, tiada kutinggikan martabatnya seseorang jua lebih daripadanya.”
Kalakian, maka Fadzil pun melihat pada ma’anikam yang diberi Ali Jauhari akan dia kurang harganya daripada Sultan Ma’amun Al-Rasyid, maka ia pun fikir dalam hatinya serta katanaya, “Demi Allah. Ya Amirul Mu’minin bahawasanya lelaki itu orang yang mulia jua, tetapi ia dayus.”
Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Siapa berkata padamu hai Fadzil?”
Maka sembah Fadzil, “Diperhamba mohonkan ampun. Tiada diperhamba berdusta di hadapan Amirul Mu’minin bahawa lelaki itu amat murah, tetapi dayusnya tiada ia memingit isterinya.”
Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Betapa engkau tahu demikian itu?”
Maka sembahnya, “Ya, Syah Alam tiada diperhamba berdusta, bahawa isterinya itu telah adalah ia dengan diperhamba.”
Maka, Sultan Ma’amun Al-Rasyid pun kembalilah ke istananya.
Maka, pada keesokan harinya, maka dititahkan Sultan Ma’amun Al-Rasyid memanggil Ali Jauhari itu. Maka iapun datanglah. Demi dilihat Sultan Ma’amun Al-Rasyid akan Ali Jauhari itu, lalu dititahkan duduk hampir dengan dia dan dipermulianya.
Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Hai Ali Jauhari. Adakah engkau dengar akan barang kata Fadzil akan dikau. ‘Sudahlah isterinya dengan daku,’ kata Fadzil. Mengapa tiada membunuh isterimu itu.”
“Bahawasanya dia berdusta. Bahawasanya isteriku itu anak mamakku tiada pernah keluar daripada rumahnya seketika jua pun. Dan tiadalah pernah orang masuk ke rumahnya. Pintunya tujuh lapis. Dan tiap-tiap suatu pintu itu tujuh orang sahaya mengawal dia. Bahawa hamam dan cucian kain dalam kampungku tiada ia berkehendak keluar.”
Maka sahut Fadzil, “Hai, Ali Jauhari, jika engkau tidak percaya, kupertunjukkan suatu pertanda daripada isterimu, percayakah engkau atau tidak?”
Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “ Hai Fadzil, beri olehmu tanda yang sempurna seperti engkau kata ini. Jikalau tiada engkau bawanya nescaya kubunuh akan dikau.”
Teruskan Pelayaran Anda...
1. Abū Jaʿfar Abdullāh al-Ma'mūn ibn Hārūn al-Rashīd (786-833), Khalifah ketujuh Dinasti Abbasiah. Ibunya bernama Marajil, iaitu seorang gundik Harun Al-Rasyid.
2. Hebahkan.
3. Nilai