Imam Syafie Dan Hamba Yang Lari
Maka kata Syeikh Mazani[1] rahmatullahialaih, iaitu murid Imam Syafie radiallahuanhu:
Sekali peristiwa pada suatu hari ketika bulan terang keluarlah kami bersama-sama Imam Syafie radiallahuanhu berjalan-jalan lalu masuk kami ke suatu masjid. Maka kami lihat di dalamnya beberapa orang tidur. Hatta, maka kami pun duduklah pada suatu penjuru masjid berkata-kata. Tiba-tiba masuk seorang lelaki dengan bersegera lalu diselidik-selidiknya pada muka tiap-tiap orang yang tidur itu. Kalakian, maka keluarlah ia.
Maka kata Imam Syafie akan hamba, “Hai Mazani, tahukah engkau akan kehendak lelaki itu?”
Maka kata hamba, “Ya Imam, tiada hamba ketahui akan kehendak lelaki itu.”
Maka kata Imam Syafie, “Bahawa lelaki itu mencari sahaya lari, lagi buta matanya kiri. Akan sekarang adalah sahayanya itu di dalam penjara. Panggil olehmu akan dia.”
Maka hamba pun panggillah akan lelaki itu. Maka ia pun datanglah. Maka bertanya hamba kepadanya, “Hai lelaki apa kehendakmu masuk ke dalam masjid ini?”
Maka sahutnya, “Ya Syeikh, bahawa hamba mencari seorang hamba sahaya Habsyi, lari. Maka hamba bertanya kepadanya, “Apa tandanya?”
Maka sahutnya, “Buta mata kiri.”
Maka kata hamba, “Bahawa sahayamu itu adalah ia sekarang dalam penjara. Pergilah engkau kepadanya.”
Maka ia pun pergilah. Maka didapatinya sahayanya itu di dalam penjara.
Kemudian daripada itu hamba bertanya, “Ya Imam, betapa Tuan Hamba mengetahui yang demikian itu? Dengan keramat Tuan Hambakah?”
Maka sahut Imam Syafie, “Hai Mazani, kuketahui ia mencari sahayanya itu sebab bersegera-segera ia masuk dan kuketahui sahayanya itu Habsyi sebab menilik ia kepada orang hitam dan kuketahui akan buta matanya kiri itu sebab cenderung ia menilik kepada pihak yang kiri dan kuketahui akan dia dalam penjara itu kerana sabda Nabi s.a.w.:
أن ألا أسواد اذ حاع سوق وأذا سبع زنا
Ertinya: Bahawasanya yang Zanji[2] itu, apabila ia lapar mencurilah ia dan apabila ia kenyang zinalah ia.
“Maka kukiaskanlah bahawa adalah ia lapar, apabila ia lapar nescaya larilah ia. Apabila ia lari mencurilah ia. Dan apabila ia mencuri nescaya dipenjarakan oranglah akan dia.”
Kata Arif, bahawa hati segala hukama itu mencium bau segala rahsia pada tiap-tiap kejip matanya dan apabila dilihatnya pada pertama-tama suatu pekerjaan maka diketahuinyalah akan kesudahannya.
Imam Syafie Dan Lelaki Bermata Biru
Kata Imam Fakhruddin Razi[3] rahmatullahialaih, bahawa adalah segala ilmu habis diketahui Imam Syafie radiallahuanhu, hanya ilmu firasat jua belum diketahuinya. Pada masa itu adalah terbanyak daripada segala ulama yang mengethui ilmu firasat itu di benua Yaman jua. Maka Imam Syafie pun pergilah ke benua Yaman.
Hatta maka Imam Syafie pun diamlah kira-kira setahun lamanya di benua Yaman. Maka segala ilmu firasat pun habis diketahuinyalah, dipercarinya. Dan beberapa ratus dinar yang dibiayakannya kerana membeli kitab ilmu firasat. Maka Imam Syafie pun kembalilah ke Makkah.
Maka adalah pada suatu negeri antara benua Yaman dengan Makkah, maka Imam Syafie pun kemalamanlah ia di sana. Maka bertemulah ia dengan seorang lelaki, berdirilah ia di halaman rumahnya. Demi dilihatnya akan Imam Syafie,maka katanya, “Ya Tuan Syeikh, dari mana Tuan Hamba berjalan ini?”
Maka sahut Imam Syafie, “Bahawa hamba dari benua Yaman hendak kembali ke Makkah.”
Maka katanya, “Ya Tuan Syeikh, marilah Tuan Hamba singgah ke rumah hamba kerana hari pun telah malamlah. Berhentilah Tuan pada malam ini di sini.”
Maka tiada mahu Imam Syafie berhenti pada rumahnya. Maka ditahani jua akan Imam Syafie dengan bagai-bagai kata yang manis-manis lagi dengan sopannya. Dan adalah lelaki yang menahani Imam Syafie itu rupanya biru kedua matanya, janggutnya sedikit di bawah dagunya dan rendah tubuhnya. Maka pada pengetahuan Imam Syafie pada ilmu firasat bahawa barang siapa rupanya seperti yang demikian itu, tiada dapat tiada jahat jua pekertinya. Maka Imam Syafie pun hairanlah akan dirinya kerana melihat akan perangai lelaki itu berslahan dengan ilmu firasat.
Maka Imam Syafie pun fikir dalam hatinya, katanya, “Wah, sia-sialah segala ilmu firasat ini kupelajri tiadalah berguna segala barang aku usahakan dan tiada sesuatu jua pun faedahnya.”
Lalu masyghullah ia.
Kalakian, maka Imam Syafie pun bermalamlah di rumah lelaki itu. Maka didudukkannya akan Imam Syafie di atas permaidani yang indah-indah serta diperjamunya pelbagai makanan dan dihamparkannya akan ketiduran Imam Syafie itu berhiaskan mutia yang indah-indah. Maka dibelinyakan makanan untuk baghal Imam Syafie. Demi dilihat Imam Syafie hal lelaki itu demikian, maka bertambahlah masyghulnya kerana sia-sia ilmu firasat yang dipercarinya itu.
Hatta, maka hari pun sianglah. Maka kata Imam Syafie akan sahayanya, “Hai Sarraj[4], kenakanlah olehmu pelana baghal ini. Maka lalu dikenakanlah oleh Sarraj. Maka Imam Syafie pun turunlah daripada rumah itu. Demi dilihat lelaki itu Imam Syafie hendak naik ke atas baghalnya itu, maka katanya, “Ya Tuan Syeikh, Tuan berilah hak hamba.”
Maka kata Imam Syafie, “Apa jua hak Tuan Hamba?”
Maka kata lelaki itu, “Ya Tuan Syeikh, bukankah hamba biayakan pada malam ini empat dirham kerana makanan Tuan Hamba, dan dua dirham akan sewa permaidani hamba akan tempat Tuan Hamba duduk itu, dua dirham akan sewa tilam yang tempat Tuan Hamba tidur itu dan dua dirham akan bau-bauan Tuan Hamba itu dan dua dirham akan makanan baghal Tuan Hamba.”
Demi didengar Imam Syafie kata laki-laki itu, maka ia pun sukacitalah, kerana tiada sia-sia ilmu yang dipercarinya itu dan muafakatlah perangai lelaki itu dengan ilmu firasatnya. Maka jawab Imam Syafie akan dia, katanya, “Hai saudaraku, bahawa sekarang tiada sesutu jua pun pada hamba hanya sedikit jua kiranya akan bekal hamba. Insya Allah Ta’ala datanglah Tuan Hamba ke Makkah kepada rumah hamba. Tanyakanlah di mana rumah Muhammad ibn Idris nescaya dikata orang akan Tuan Hamba. Di sanalah hamba bayar hak Tuan Hamba.”
Demi didengar kata Imam Syafie demikian itu, maka ia pun marah, serta katanya. “Hai Syeikh yang tiada berakal, maka hakku tiada kauberi.”
Demi didengar Imam Syafie kata laki-laki itu demikian, maka ia pun memanggil sahayanya, serta katanya, “Hai Sarraj, berapa ada dinar padamu berikanlah semuanya akan lelaki itu, hanya kau tinggalkan sekira-kira bekal kita sampai ke Makkah jua.”
Maka diberi Sarrajlah akan lelaki itu.
Kata arif, bahawa hati segala hukama itu umpama cermin yang terupam kelihatan dalamnya segala sesuatu seperti adanya.
1. Tidak dapat dipastikan siapakah sebenarnya tokoh ini.
2. Zanggi; orang Habsyi
3. Abu Abdullah Muhammad ibn Umar ibn al-Husayn al-Taymi al-Bakri al-Tabaristani Fakhr al-Din al-Razi (1149-1209), ulama Parsi, pengarang Tafsir al-Kabir (atau dikenali juga sebagai Mafatih al-Ghayb)
4. Pembantu yang memasang pelana kuda..