Maka ia pun pergilah kepada Amirul Mukminin Harun al-Rasyid. Hingga sampailah ia, maka sembahnya, “Ya Tuanku Syah Alam. Tiadakah ada raja dalam negeri ini?” Maka sabda Amirul Mukminin Harun al-Rasyid[1], “Apa kehendakmu maka engkau berkata demikian?” Maka sembahnya, “Ya Tuanku Syah Alam, adalah dalam sebuah rumah terlalu banyak perempuan muda-muda lagi elok parasnya serta pakaiannya. Dalam antara mereka itu ada seorang perempuan terlalu elok parasnya dan pakaiannya itu terlebih daripada pakaian perempuan-perempuan itu. Duduk ia di atas hamparan yang indah-indah. Maka segala perempuan yang lain itu sekeliannya menghadapi dia, masing-masing memalu bunyi-bunyian. Maka yang diperhamba pun datang kepadanya meminta duduk. Jangankan diberinya, disuruhnya palu pula akan segala perempuan itu akan hamba.” Maka sabda Amirul Mukminin Harun al-Rasyid, “Sungguhkah seperti katamu itu?” Maka sahut fakir itu, “Sungguh dan jikalau tiada Syah Alam percaya akan diperhamba, baiklah Syah Alam sendiri melihat dia.” Maka sabda Amirul Mukminin Harun al-Rasyid, “Jika sungguh seperti katamu itu, kuberikan dikau seribu dinar. Baiklah pada malam esok, sendiri aku pergi melihat akan dia.”
Kata yang empunya cetera ini, perempuan itu anak saudagar, terlalu amat kaya. Tatkala matilah bapanya maka tinggallah harta itu akan anaknya. Maka pada malam esoknya, maka Amirul Mukminin Harun al-Rasyid pun memakai secara fakir. Maka berjalanlah ia bersama dengan fakir itu hingga sampailah ia ke kampung perempuan itu. Maka pergilah keduanya kepada tempat permainannya mereka itu lalu bersembunyilah keduanya ke dalam kelam. Dilihatnyalah segala hal ehwal segala perempuan itu. Maka Amirul Mukminin Harun al-Rasyid pun fikir, “Sanyalah perempuan itu seperti kata fakir ini”. Setelah itu kembalilah keduanya.
Maka pada keesokan harinya perempuan itu pun dipanggil Amirul Mukminin Harun al-Rasyid . Maka yang dijanjikannya dengan fakir itu pun diberikannyalah seribu dinar. Maka fakir itu pun mengucap syukurlah, katanya, “Alhamdu lillah syukur. Berbagai-bagai azab sudah kurasai. Sekarang adalah kurnia Allah akan daku seribu dinar. Baiklah aku duduk pada suatu tempat bersaudagar, berjual perniagaanlah aku daripada segala mata benda.” Setelah ia fikir demikian, maka dibelinyalah sebuah rumah dan diperbuatnyalah suatu kedai, lalu ia bersaudagar. Maka berjual perniagaanlah ia.
XXXXXXXX
RAJA YAMAN DAN WANITA PENIPU
Hatta, bebera lamanya, maka pada suatu hari datang kepadanya seorang perempuan yang tua lagi kaya, dan bijaksana pada berkata-kata dengan memakai cincin yang berpermata intan dan zamrud. Maka katanya, “ Hai, Anakku, apa ada di dalam kedaimu ini?” Maka sahut Saudagar itu, “Hai, Ibuku, aku ada jual sekadarnya, setengah daripada sakhlat dan mahmal dan
baldu dan lain-lainnya pun ada serba sedikit. “ Maka kata orang tua itu, “Hai, Anakku, putuskan harganya. Mari aku membeli dia semuanya.” Maka dikatanyalah harga seperti adat saudagar menawarkan perniagaannya.
Maka akan perempuan tua itu tiadalah ditawarnya lagi, sehingga katanya, “Baiklah, hamba membeli dia.” Maka kata orang tua itu, “Suruh bawalah harta ini ke rumah hamba. Marilah Tuan pun bersama-sama dengan hamba mengambil harganya.” Maka Saudagar itu pun memanggil segala upahan dan upahan pun datanglah lalu dimasukkannya sekelian mata benda itu ke dalam peti. Maka katanya, “Hai, upahan, tanggungkanlah segala hartaku ini bawa ke rumah orang tua ini.”
Maka ditanggung upahanlah segala hartanya itu. Maka ia pun berjalanlah sama-sama dengan orang tua itu hingga sampailah ia ke rumah orang tua itu. Maka dilihat rumah orang tua itu terlalulah besar dan permaidani pun terhampar di serambinya. Maka kata orang tua itu, “Hai anakku, duduklah tuan hamba makan makanan dan buah-buahan.” Maka tengah ia makan maka segala upahan pun minta upahnya pada saudagar. Maka kata orang tua itu, “Hai anakku, janganlah tuan hamba susah hambalah memberi upahnya. Kemudian tuan hisab akan hamba.” Maka Saudagar pun kabullah. Maka diberi perempuan tua itulah upahnya itu. Hatta, maka sekelian mereka itu pun kembalilah masing-masing kepada tempatnya. Maka kata orang tua itu, “Hai anakku, bahawa Tuan Hamba dunia akhirat anaklah kepada hamba.” Maka sahut saudagar, “Bahawa Tuan Hamba pun ibulah kepada hamba.” Maka kata orang tua itu, “Bahawa tempat ini tempat jamu hamba jua. Kerana Tuan Hamba sudah jadi anaklah kepada hamba, baiklah Tuan Hamba tidur istirehat ke rumah hamba.”
Maka Saudagar pun naiklah ke dalam rumah. Maka dilihat dalamnya rumah itu banyak peti terhantar dan harta yang lain pun banyak. Kelakian, maka terlihatlah ia seorang perempuan muda duduk di atas kerusi terlalu baik parasnya. Maka tatkala dilihat perempuan akan Saudagar itu iapun lari ke dalam bilik rumah itu. Hatta, maka hati Saudagar itu pun berahilah akan dia. Maka kata Saudagar, “Hai Ibuku, siapa perempuan muda ini?” Maka sahut perempuan itu, “Bahawa ia anak hamba.” Maka kata Saudagar, “Sudahkah ia bersuami?” Maka sahut orang tua itu. “Belum lagi ia bersuami kerana tiada seorang jua pun laki-laki berkenan pada hati hamba akan suaminya. Kerana itulah tiadalah hamba beri ia bersuami.” Maka kata Saudagar, “Hai Ibuku, Tuan beri kiranya anak Tuan Hamba itu akan hamba.” Maka sahut perempuan tua itu, “Bahkan, apatah salahnya, kerana Tuan pun anak kepada hamba. Sungguhpun demikian, baik jua hamba pergi memanggil kadhi supaya dinikahkannya Tuan Hamba dengan dia. Jangan haram kerjanya kita. Jikalau belum hamba datang jangan dahulu Tuan hampir kepadanya.” Maka kata saudagar, “Baiklah, pergilah Ibuku kepada kadhi.” Maka kata perempuan itu, “Hai Anakku, maka hamba lihat muka Tuan Hamba pucat seperti orang bangkit daripada sakit.” Maka diambil sekeping makjun[1] yang bercampur dengan ubat bius maka diberikan-nyalah ke tangan saudagar itu. “Makanlah oleh Tuan Hamba makjun ini supaya istirehat rasa tubuh Tuan Hamba.” Maka makjun itu pun dimakannyalah.
Hatta, ia pun mabuklah. Maka perempuan tua itu pun turunlah, pura-pura pergi meruah[2] kadhi. Setelah ia keluar duduklah ia di sana sehingga menantikan mesra ubat bius itu jua. Tatkala mesralah, maka perempuan tua itu pun kembalilah ke rumahnya. Maka didapati Saudagar itu mabuklah ia. Maka katanya, “Hai Anak hamba, tuan kadhi yang hamba panggil itu telah datanglah ia sekarang di belakang hamba. Baiklah Tuan Hamba pindah dari sini ke tempat yang lebih khalwat. Seharusnya kita permulia kerja nikah itu kerana kerja nikah itu syarak Allah.” Maka Saudagar itupun bangkitlah dengan mabuknya dengan rebah-rimpahnya hendak berjalan ke tempat yang baik. Maka tengah jalan itu ada sebuah telaga diperbuat perempuan tua itu dihamparinya permaidani di
Teruskan Pelayaran Anda...
HARUN AL-RASYID..."sembahnya, 'Tiadakah ada raja dalam negeri ini?...' "
1. Harun Al-Rashid (763-809), Khalifah Bani Umaiyyah ke5, dan paling terkemuka kerana semasa kekhalifahannya Baghdad berada dalam zaman keemasannya. Bapanya ialah al-Mahdi (Abū Jaʿfar Abdullāh al-Maʾmūn ibn Harūn).
1. Inggeris, Aphrodiasiac. Jenis ubat yang mengkhayalkan dan membangkitan nafsu syahwat..
2. Memanggil.