Khalifah Palsu (3)

Maka kembalilah Amirul Mukminin ke istana. Maka tatkala pagi-pagi, maka Ja’afar dan Hasan pun hadirlah menghadap Amirul Mukminin Harun al-Rasyid. Maka dijadikan Amirul Mukminin akan dia wazirnya. Maka sabda Amirul Mukminin Harun al-Rasyid, “Pergi engkau panggil akan daku saudaranya Siti Dinar.” Maka Ja’afar pun pergilah memanggil saudaranya Siti Dinar, lalu dibawanya mengadap Amirul Mukminin Harun al-Rasyid. Maka sabdanya Amirul Mukminin, “Hai Dinar, apa kau perbuat akan Hasan ibn Ali Jauhari ini?” Maka Siti Dinar pun memohonkan ampun serta persembahkan hal ehwalnya kepada Amirul Mukminin Harun al-Rasyid. Maka dititahkan Amirul Mukminin Harun al-Rasyid berbuat jamuan dan membaharui nikah Siti Dinar dengan Hasan ibn Ali Jauhari itu. Setelah sudah pekerjaan itu, maka Hasan pun berbuat khidmatlah kepada Raja Harun al-Rasyid. Dan adalah ia damping kepada Raja Harun al-Rasyid daripada segala wazir yang lain hingga datang kepada mautnya.

HARUN AL-RASYID DAN SAHAYA PEREMPUANNYA

KATA SAHIBUL HIKAYAT, adalah adat Raja Harun al-Rasyid pada tiap-tiap Hari Raya Haji dikurnianya akan segala hamba sahayanya lelaki dan perempuan daripada harta dan persalinan. Maka pada suatu Hari Raya Haji maka dititahkannya orang mengisi beberapa tabak daripada dinar dan pakaian daripada baju yang berpakankan emas dan berbagai-bagai jenis kain. Setelah itu, maka dititahkan Raja Harun al-Rasyid menghimpunkan daripada segala sahayanya. Maka sahayanya pun berhimpunlah. Maka sabda Raja Harun al-Rasyid, “Hai segala sahayaku yang muda-muda. Pilihlah kamu daripada segala barang yang kamu gemari. Maka barang siapa daripada kamu menjabat dia, ialah empunya dia.”

Maka masing-masing segala sahayanya itu pun menjabat tabak yang digemarinya, melainkan ada seorang sahayanya perempuan muda, maka dijabatnya akan Raja Harun al-Rasyid. “Apa jua kehendakmu menjabat daku ini?” Maka sembahnya, “Ya Tuanku Syah Alam. Kerana sabda Syah Alam akan sekalian, ‘Ambil olehmu barang yang kamu gemari.’ Maka sekarang tiadalah ada kemahuan yang diperhamba akan sesuatu jua pun melainkan akan Syah Alam jua. Sebab itulah diperhamba jabat akan Syah Alam.” Maka sabda Raja Harun al-Rasyid, “Bahawa aku dan segala hartaku engkaulah empunya dia.” Tatkala itu jua dijadikan Raja Harun al-Rasyid akan perempuan itu penghulu segala sahayanya perempuan yang banyak serta dimerdehekakannya.

NASIHAT: Sayugianya bagi segala hamba Allah hendaklah ia berpaling kepada Tuhan yang menjadikan dia dan jangan ia memilih kepada sesuatu yang lain daripadanya supaya dimerdehekakannyalah ia daripada api neraka dan maafkannyalah akan dia ke hadhratnya dan dianugerahinya akan dia رويت dalam syurga . Bahawa segala makhluk samanya makhluk dengan sepatah kata jua daripada yang tulus ikhlas nescaya diperolehnya sekian-sekian martabat istimewa pula Tuhan Rabbul ‘Alamin ditebus akan hambanya. Dan firman Allah Ta’ala dalam Quran: (إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة) Ertinya, bahawasanya Allah Ta’ala menebuskan segala mukminin itu segala dirinya mereka itu dan segala harta mereka itu bahawasanya dikurniainya bagi mereka itu syurga. Dan seperti sabda Nabi s.a.w. (لايحب من احب ألله) Ertinya, barang siapa kasih akan Allah tiada kasihnya hanya ia jua.


Tamat Kisah Harun Al-Rasyid Dan Sahaya Perempuannya

“Hai Dinar, apa kau perbuat akan Hasan ibn Ali Jauhari ini?”

TAMAT KISAH "KHALIFAH PALSU"

Teruskan Pelayaran Anda...

https://sites.google.com/site/0361544/harun-al-rashid-dan-qamaruzzaman