Kata sahibul hikayat, ada seorang perempuan bernama Badarul Kabir, sahaya Ja’afar ibn Musa al-Hadi, anak saudaranya Raja Harun Al-Rasyid. Adalah ia terlalu elok parasnya, lagi tahu pada segala permainan dengan keruanan , lagi bijaksana. Hatta kedengaranlah khabar elok parasnya Badarul Kabir itu kepada anak Raja Harun Al-Rasyid, yang bernama Putera Muhammad Amin, anak Siti Zubaidah. Maka iapun terlalu berahi akan dia.
Sekali peristiwa, pada suatu hari, datang Ja’afar ibn Musa al-Hadi ke rumah Putera Muhammad Amin. Maka iapun teringatlah akan Badarul Kabir, serta katanya, “Hai saudara hamba, Tuan berilah apalah kiranya Badarul Kabir hamba tebus.”
Maka sahut Ja’afar ibn Musa al-Hadi, “Hai anak Amirul Mu’minin, hamba datang ke rumah Tuan Hamba ini kerana menjual sahaya hambakah dan adalah sahaya itu gundik hamba. Jikalau tiada demikian nescaya hamba perkenankan pinta Tuan Hamba itu. Tiadalah hamba sayang memberikan dia akan Tuan Hamba.”
Setelah itu, maka Ja’afar ibn Musa al-Hadipun kembalilah ke rumahnya.
Hatta, berapa lamanya, maka Putera Muhammad Aminpun pergilah ke rumahnya Ja’afar ibn Musa al-Hadi dengan membawa beberapa daripada segala nikmat makan-makanan dan segala alat perjamuan, serta dengan segala pedikiran. Lalu bersuka-sukaanlah Putera Muhammad Amin dengan Ja’afar ibn Musa al-Hadi.
Hatta, Badarul Kabir, pedikiran Ja’afar ibn Musa al-Hadi, disuruhnya bermainlah bersama-sama pedikiran Putera Muhammad Amin, bersuka-sukaan sama sendirinya. Maka makananpun disuruhnya peredarkan Ja’afar ibn Musa al-Hadi. Lalu diberi oleh Putera Muhammad Amin akan Ja’afar ibn Musa al-Hadi ma’ajun yang amat khayal. Maka dimakannyalah ma’ajun itu. Maka iapun khayallah dengan khayal yang amat sangat. Demi dilihat Putera Muhammad Amin hal Ja’afar sudah khayal itu, maka dipegang tangan Badarul Kabir itu, lalu dibawanyalah sama-sama dengan pedikirannya ke rumahnya, tetapi tidak dipercabuli akan dia.
Maka, pada esok harinya, disuruh Putera Muhammad Amin seorang khadamnya memanggil Ja’afar ibn Musa al-Hadi. Maka khadam itupun pergilah. Hinggalah sampailah ia ke rumahnya, maka katanya, “Bahawa Tuan Hamba dipanggil saudara Tuan Hamba, Putera Muhammad Amin. Maka iapun datanglah dengan sebuah perahu dalam sungai Dajlah.
Hatta, maka Ja’afar ibn Musa al-Hadipun pergilah hingga sampai ia ke rumah Putera Muhammad Amin. Lalu duduklah ia bersama-sama Putera Muhammad Amin dalam majlis, serta diperjamu Putera Muhammad Amin makan minum, bersuka-sukaan. Maka disuruh Putera Muhammad Amin Badarul Kabir bernyanyi di balik tirai. Maka iapun bernyanyilah.
Demi didengar oleh Ja’afar ibn Musa al-Hadi suara Badarul Kabir bernyanyi dari balik tirai, maka iapun berdiam dirinya, tiada berkata-kata sesuatu juapun, daripada sangat kemuliaan dan muhtasyamnya lagi tinggi himmahnya. Tiada dinyatakan suatu juapun. Setelah itu maka disuruh Putera Muhammad Amin akan orang yang memegang khazanahnya memenuh perahu Ja’afar ibn Musa al-Hadi dengan segala ككندي dirham. Maka dimuatkan orang yang memegang khazanah itulah.
Syahdan, adalah isi perahu itu dua ratus laksa kekendi, maka jadilah jumlahnya dirham yang di dalam kekendi itu dua puluh ribu laksa, hingga kata orang yang mengayuh perahu itu, “Tiadalah dapat termuat perahu ini sekian-sekian dirham.”
Disuruh Putera Muhammad Amin pula sahayanya berjalan dan membawa setengah daripada kekendi yang tiada muat dalam perahu ke rumah Ja’afar ibn Musa al-Hadi. Setelah itu, maka Ja’afarpun kembalikah ke rumah.
*******
Noktah: Dengarlah hai segala segala hamba Allah yang mulia-mulia, demikian perinya segala orang yang mulia pada zaman dahulu kala.
Hikmat: Sekali peristiwa, pada suatu hari ditanyai orang akan Hakim, “Siapa jua daripada segala manusia yang terbaik halnya?”
Maka sahut Hakim akan dia, “Barang siapa ada terlebih ilmunya dan tinggi himmahnya dan amat bijaksana dan baik kelakuannya.”
Maka ditanyai laki-laki itu pula, “Hai Hakim, ke mana patut seorang yang papa membawa dirinya supaya beroleh sekehendaknya?”
Maka sahut Hakim, “Iaitu kepada segala raja-raja dan kepada segala wazir dan kepada segala orang yang tinggi himmahnya dan yang baik kelakuannya.
Seperti kata hukama, جاوز بحرا وما لكا.
Ertinya: Layar oleh kamu laut atau berbuat khidmat kepada segala raja-raja.