Kata yang empunya cetera, adalah adat Ja’afar pada tiap malam setubuh dengan seorang perempuan yang bikir. Telah diada hadhirkan Bondanya akan dia beberapa, ditebuskannya daripada kanak-kanak perempuan yang bikir. Ditaruhnya dan dipeliharanya akan Ja’afar.
Maka adat Ja’afar itu pun dikatakan Bondanyalah kepada Siti ‘Abbasah. “Tatkala hamba hantarkan Tuan kepada Ja’afar, maka hamba padamkan pelita. Pada masa itu masuklah kepada-nya.”
Maka Siti ‘Abbasah pun masuklah kepada Ja’afar. Maka pada sangka Ja’afar seperti adat pada tiap-tiap malam demikian jua. Lalu dijimaklah ia dengan Siti Abbasah. Setelah sudah ia jimak, maka kata Siti ‘Abbasah, “Hai Ja’afar, Tuan kenalkah akan hamba?”
Maka sahut Ja’afar, “Tiada hamba kenal siapa engkau.”
Maka katanya, “Hambalah Siti ‘Abbasah.”
Demi didengar Ja’afar nama Siti ‘Abbasah, maka ia pun terkejut dengan menyesal dirinya, serta katanya, “Akan ……… demikianlah perbuatan Tuan Hamba akan hamba. Sekarangpun janganlah Tuan Hamba harapkan anak Tuan Hamba hidup lagi.”
Maka kata Siti ‘Abbasah, “Hai Ja’afar, janganlah Tuan Hamba berbanyak kata. Jika diketahui Amirul Mu’minin sekali pun apatah salahnya. Bukankah Amirul Mu’miniun jua yang menikahkan kita.”
Kemudian dari itu pada ketika yang sunyi, maka datang pula Siti ‘Abbasah kepada Ja’afar hingga beberapa kali. Takdir Allah Ta’ala, berapa lamanya maka Siti ‘Abbasah pun hamillah. Tatkala itu genaplah bulannya maka ia pun mengatakan dirinya sakit tiadalah pergi mengadap Amirul Mu’minin Harun Al-Rasyid.
Maka ia pun beranaklah seorang lelaki, lalu disuruhnya hantarkan pada Panglima Mekah.
Syahdan, pada suatu hari, Siti Zubaidah, isteri Raja Harun Al-Rasyid pun mempersembahkan hal Yahya, bapa Ja’afar kerana dahulu pun berapa kali pernah dipersembahkannya Siti Zubaidah akan hal Yahya itu, demikian sembahnya, “Ya Amirul Mu’minin, bahawa Yahya sangatlah dihukumkannya akan diperhamba sekalian isi istana ini hingga dipicikkan biaya makanan dan minuman dan pakaian daripada barang yang diperhamba kehendaki dan amat kesukaranlah isi istana ini.”
Maka sahut Raja Harun Al-Rasyid, “Hai Zubaidah. Bahawa orang kepercayaan segala raja-raja itu demikianlah hendak diperbuatnya. Maka dapatlah segala raja-raja menaruh harapnya kepadanya. Bahawa perbuatan Yahya yang demikian itu berkenanlah kepadaku.”
Demi didengar Siti Zubaidah sabda Raja Harun Al-Rasyid yang demikian itu, maka ia pun makin sangat sakit hatinya akan Yahya, serta ia bersembah, “Ya Amirul Mu’minin, bahawa yang harap Tuan Hamba kepada Ja’afar akan saudara Tuan Hamba Siti’Abbasah itu manatah ada dipeliharakannya. Sekarang sudahlah ia beranak dengan Ja’afar seorang anak lelaki dan anaknya pun dikirimkannya ke Makkah.”
Demi didengar Raja Harun Al-Rasyid sembah Siti Zubaidah yang demikian itu, maka ia pun diamlah serta marahnya, tetapi tidak dizahirkan marahnya itu dan menaruh dendamlah ia akan Ja’afar. Tiada dikatakannya rahsianya itu kepada seorang jua pun, tetapi pada masa itu telah masyhurlah khabar itu dalam negeri itu sehingga takut jua orang persembahkan dia kepada Raja Harun Al-Rasyid.
Kata Syeikh اصمعي rahmat Allah alaih, sekali peristiwa pada suatu hari hamba bermain catur dengan Amirul Mu’minin Harun Al-Rasyid, maka hamba sah catur Amirul Mu’minin dengan bidak hamba, sah mati sekali ini telah sampailah sah bidak kepada Raja tidak dapat bergerak lagi.
Maka sahut Raja Harun Al-Rasyid, “Hai Aba Ishak, sekali-kali tiada sampai sah bidak kepada Raja.”
"Ditebuskannya daripada kanak-kanak perempuan yang bikir..."
...Sekali-kali tiada sampai sah bidak kepada Raja
Teruskan Pelayaran Anda...