Lagi ... KISAH RAJA YAMAN (4)

atasnya. Maka Saudagar itu pun gugurlah ke dalam telaga itu. Sungguhpun ia gugur terdiri jua. Maka mabuknya pun makin sangatlah bertambah-tambah, tiadalah ia khabarkan dirinya. Sekira-kira sejam lamanya ia dalam telaga itu, maka iapun sedarlah daripada pengsannya. Maka dilihat dirinya dalam telaga. Maka fikirlah ia, katanya, “Bahawa sudahlah aku kena tipu.” Maka dilihatnya di dalam telaga itu beberapa bangkai manusia, bertindih-tindih terlalu amat busuk baunya. Maka insaflah ia akan dirinya. Katanya. “ Hai badan, engkau pun sekarang seperti orang inilah. Ke mana engkau mengata halmu melainkan kepada Allah Ta‘ala jua.” Hingga dua hari ia dalam telaga itu maka datang seekor binatang dubuk[1] (ضبع) namanya, rupanya seperti rupa serigala. Adalah adat binatang itu memakan bangkai jua kerjanya. Apabila mencium bau busuk jikalau dalam tanah sekalipun dikoreknya. Maka pada suatu hari binatang itu pun pergi ke dalam telaga itu. Pada tiap-tiap hari pun biasa ia memakan bangkai dalam telaga itu. Demi dilihat Saudagar binatang itu datang maka ia pun hebat[2] gementar segala sendi anggota tulangnya. Maka ia pun fikir katanya, “Apa kutahu syaitankah atau binatang.” Maka dilihatnya ia memakan bangkai maka diketahuilah ia itu binatang. Setelah kenyanglah binatang itu memakan bangkai, maka ia pun keluarlah, lalu diikut Saudagar itulah dari belakang binatang itu perlahan-lahan dari dalam tanah. Tiba-tiba ia keluar ke jalan raya. Serta keluar lalu pengsan tiada khabarkan dirinya kerana bekas mencium bau busuk itu.

Dengar takdir Allah Taala pada ketika itu ada seorang Hakim lalu dari sana. Maka dilihatnya seorang manusia terhantar dengan tubuhnya berlumuran darah. Lalu dihampirinya, serta ia fikir, “ Apa kutahu sebab manusia ini pengsan kerana mencium bau busuk inikah?” Maka katanya akan sahayanya, “ Ambil olehmu air mandikan orang ini.” Maka dimandikan sahayanyalah. Setelah sudah maka dibasuhnya muka dengan air mawar. Maka dibubuhnya sedikit daripada narwastu[3] . Maka Saudgar itupun sedarlah daripada pengsannya. Maka kata Hakim itu, “ Hai lelaki, apa halmu?” Maka sahutnya, “ Janganlah Tuan Hamba tanyakan hamba terlalu lanjut.” Setelah itu maka Saudagar pun kembalilah ke rumahnya. Maka dilihat pintu rumahnya sudah dimeterikan orang. Maka bertanya ia kepada orang di sisi rumahnya itu, “ Hai Tuan-tuan, siapa yang meterikan pintu rumah hamba ini?” Maka sahut orang itu, “ Bahawa yang meterikan pintu Tuan ini sakai Hakim negeri ini kerana dilihatnya Tuan Hamba berapa harilah tiada datang, kerana adat negeri ini apabila tuannya rumah tiada berketahuan maka dimeterikan sakai[4] Hakim pintunya. Jika tiadalah juga ia datang nescaya diambil oranglah hartanya akan khazanah segala Islam. Sekarang pun pergilah Tuan Hamba mengadap pada Hakim itu.”

Maka Saudagar itu pun pergilah kepada Hakim, serta katanya akan Hakim, “Hai hamba Allah Taala, berapa harilah ada kerja hamba tiada hamba kembali ke rumah hamba, sekarang pun pintu rumah hamba telah dimeteri oranglah.” Maka sahut Hakim, “Bahawa adat negeri ini demikianlah. Sekarang pun kembalilah Tuan ke rumah Tuan Hamba. Uraikanlah meterinya itu.” Maka Saudagar itu pun kembalilah ke rumahnya dan dilihatnyalah hartanya yang ada lagi tinggal, serta katanya, “Bahawa rumah ini aku sa’um[5] (سؤوم) . Baik aku pindah dari sini ke tempat yang lain.” Arakaian, maka ia pun

pindahlah kepada suatu tempat yang lain, dalam negeri itu jua. Maka dibuatnyalah sebuah rumah dan kedai. Maka duduklah ia berkedai seperti yang dahulu itu jua, tetapi dahulu banyak hartanya, sekarang sedikit jua tinggalnya.

Dengan takdir Allah Taala, selang berapa lamanya, maka datang pula Orang Tua yang dahulu itu jua kepadanya. Daripada jauh dilihatnya, maka katanya, “Inilah Orang Tua yang memperdayaku itu.” Maka Orang Tua itu pun sampailah ke kedainya. Tetapi akan Saudagar itu tiada dikenalnya. Maka katanya, “Hai Orang Muda, apa-apa ada pada Tuan Hamba, mari kita berniaga.” Maka sahut Saudagar itu, “Baiklah, kerana hamba pun baharu datang dari benua Syam. Belum pun lagi hamba membuka peti perniagaan hamba.” Maka kata orang tua itu, “Baiklah Tuan tunjukkan kepada hamba suatu jenis daripada mata bendanya itu, supaya kita putuskan harganya.” Maka ditunjukkan Saudagarlah akan segala mata bendanya itu kepadanya. Hatta Saudagar itu pun dibawa ke rumahnya orang tua itu, maka pergi mengambil harga dagangannya seperti yang dahulu itu jua, serta diperjamu akan dia. Maka katanya, “Hai orang muda, Tuan Hamba dunia akhirat anaklah kepada hamba.” Maka sahut Saudagar, “Tuan Hamba pun ibulah kepada hamba dunia akhirat.” Maka hendak diperdayakannyalah Saudagar itu seperti yang telah dikerjakannya dahulu itu, tetapi kehendak Saudagar itu datang kepadanya pun hendak membunuh dia jua. Maka diberinyalah akan saudagar itu ubat bius dibubuhnya dalam makjun itu serta katanya, “Makanlah Tuan Hamba akan makjun ini supaya beristerihat tubuh Tuan Hamba.” Maka sahut saudagar, “Baiklah, marilah hamba makan.” Maka bangkitlah ia hendak meruah kadi seperti yang tersebut dahulu itu jua. Maka ditangkap Saudagar akan dia dari belakangnya, maka lalu dihempaskannya ke dalam telaga itu. Setelah itu maka Saudagar itu pun naiklah ke rumahnya kepada perempuan muda itu. Maka kata saudagar, “Hai orang muda, apa bicaramu sekarang?” Maka sahut perempuan muda itu, “Akan sekarang apatah lagi bahawa hamba akan isteri Tuan Hambalah. Dahulu pun bukan hamba anaknya. Adalah pada masa hamba kanak-kanak ditangkapnya akan hamba, dibawanya ke rumahnya. Beberapa sudah hamba Allah dibunuhnya seperti hendak diperdayakannya akan Tuan Hamba itu.” Kalakian, maka perempuan itu pun nikahlah[6] dengan saudagar itu.

Sekira-kira berapa lamanya ia duduk di sana ditakdirkan Allah Taala pada suatu hari duduk ia berkata-kata dengan isterinya, katanya, “Kerana beberapa kali hamba merasai bagai-bagai azab dalam negeri ini, sekarang marilah kita pergi ke Baitul Makdis. Di sanalah ziarah.” Maka sahut isterinya, “Mana bicara Tuan, hamba pun sertalah.”

Hatta, dimustaidkannyalah daripada unta memuat hartanya dan segala zuadahnya daripada makan-makanan dan buah-buahan. Maka rumahnya dijualnya. Pada ketika itu kafilah pun berjalanlah. Maka Saudagar itu pun berjalanlah dengan isterinya, disertai dengan hamba sahayanya.

Teruskan Pelayaran Anda...

https://sites.google.com/site/0361544/lagi-kisah-raja-yaman-5

Dubuk..."rupanya seperti rupa serigala..."

1. Binatang dari keluarga serigala. Inggeris, hyena. Nama saintifiknya Parahyaena brunnea.

2. Rasa ngeri. Sangat ketakutan.

3. Bau-bauan harum, daripada akar sejenis tumbuh-tumbuhan. Nama botanisnya Vevivera zizanioides.

4. Orang suruhan.

5. Tidak suka lagi. Jemu. Meluat.

6. Tidak pula dihuraikan dengan lanjut upaca pernikahan itu.