Sekali peristiwa, pada suatu hari, Raja Harun al-Rasyid pun murka akan mamaknya, bernama Khalid, daripada sebelah Ayahnya, dengan murka yang amat sangat. Maka dirampasnya segala hartanya dan tiada diberi ia datang mengadap kepadanya.
Hatta, beberapa lamanya Khalid dalam hal yang demikian, maka pada suatu malam fikir ia dalam hatinya, katanya, “Pada malam ini baik aku pergi mendapatkan Ja’afar kerana dia sekedudukan dengan Raja Harun al-Rasyid, mudah-mudahan ada ampun Amirul Mu’minin dosaku ini kerananya.” Setelah ia berfikir demikian, maka ia pun berjalanlah. Maka adalah Ja’afar pada malam itu ia bersuka-sukaan dengan segala biduannya, serta dengan bunyi-bunyian. Maka adalah pada ketika itu ia memakai pakaian kemerah-merahan, kerana pada ketika itu ia bersuka-sukaan dan dipesaninya orang yang mengawal pintunya, “Bahawa jangan kau benarkan seorang jua pun masuk kepadaku pada malam ini, melainkan jika dikatakan namanya Khalid, maka kau bawa ia masuk kemari kerana ada seorang biduannya yang akan datang kepadanya, bernama Khalid Mu’anni.”
Hatta, maka Khalid, Mamak Raja Harun al-Rasyid pun datanglah ke pintu Ja’afar. Maka kata orang yang menunggu pintu itu, “Hai lelaki, siapa Tuan Hamba?” Maka sahut Khalid, “Aku Khalid.” Demi didengar orang yang menunggu pintu nama Khalid itu, maka diberinyalah ia masuk. Lalu Khalid pun masuklah hingga sampailah ia kepada Ja’afar. Demi dilihat Ja’afar Khalid datang, maka ia pun sangatlah malunya akan Khalid serta hendak ditanggalkannya segala pakaiannya, dan hendak dinyahkannyalah segala bunyi-bunyian dan segala biduan itu.
Kata yang empunya cetera ini kerana adalah Khalid itu seorang hamba Allah yang salih lagi muttaqi[2] dan sangat dia memelihara dirinya daripada segala pekerjaan yang diharamkan Allah Ta’ala. Demi dilihat Khalid hal Ja’afar itu, maka katanya, “Hai Ja’afar, demi Tuhan Ka’abah, jikalau Tuan Hamba tanggalkan pakaian Tuan Hamba, nescaya tiadalah hamba mahu datang kepada Tuan Hamba.” Demi didengar Ja’afar katanya demikian itu, maka tiadalah jadi Ja’afar menanggalkan pakaiannya itu. Maka, Khalid pun duduklah.
Maka kata Ja’afar, “Hai Mamak Amirul Mu’minin, terlalu amat sangat biadab hamba duduk di hadapan Tuan Hamba ini.” Maka sahut Khalid, “Hai Ja’afar, marilah lagi hamba pun memakai pakaian seperti Tuan Hamba itu kerana memelihara akan hak Tuan Hamba. Dan hamba pun pada malam ini hamba samakanlah diri hamba dengan Tuan Hamba dan permainan ini.” Maka Ja’afar pun memberi pakaiannya akan Khalid seperti pakaian yang dipakainya itu. Maka pakaian itu pun dibawa oranglah. Maka diberi pakai Khalidlah. Maka pada malam itu duduklah Khalid dan Ja’afar bersuka-sukaan.
Sekira-kiranya berapa ketika lamanya maka kata Ja’afar, “Hai Mamak Amirul Mu’minin, apa jua ada sesuatu hajat Tuan Hamba datang ke rumah hamba ini?” Maka sahut Khalid, “Hai Ja’afar, suatu tiada ada hajat hamba datang ini melainkan kerana hendak mengunjung Tuan Hamba jua.”
Maka kata Ja’afar, “Hai Mamak Amirul Mu’minin, Tuan katakan jua kiranya daripada barang sesuatu kehendak Tuan Hamba supaya hamba berbuat khidmat akan Tuan Hamba.” Maka sahut Khalid, “Tiada ada sesuatu hajat melainkan empat perkara jua. Jikalau dapat Tuan penuhi hajat hamba itu, maka mahulah hamba mengatakan dia.” Maka kata Ja’afar, “Hai Mamak Amirul Mu’uminin, Tuan katakanlah hajat Tuan Hamba yang empat perkara itu mudah-mudahan jika dengan tolong Tuhan Rabbul ‘Alamin dan barkat kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. dapat jua hamba menghasilkan dia.”
Maka kata Khalid, “Pertama permintaan hamba, segala dosa hamba terhadap Amirul Mu'minin barang diampuninya dan Amirul Mu'minin mengembalikan perasaan berbaik sangka terhadap Hamba. Kedua, segala harta hamba yang telah dirampas Amirul Mu’minin barang kembalikan akan hamba dengan sempurnanya.” Maka sahut Ja’afar, “Bahawa dosa Tuan Hamba kesemuanya telah diampuni oleh Amirul Mu'minin dan segala harta Tuan Hamba itu pun telah dikembalilah oleh Amirul Mu’minin akan Tuan Hamba.”
Maka, kata Khalid, “Ketiganya, bahawa bagi hamba berhutang dua belas ribu dinar barang dibayar Amirul Mu’minin kiranya hutang hamba itu dengan harta yang dalam khazanah-nya.” Maka sahut Ja’afar, “Maka hutang Tuan Hamba itu pun telah dibayar Amirul Mu’minin-lah dengan harta dirinya.” Maka kata Khalid, “Ketiganya, ada bagi hamba seorang anak lelaki[4], barang dikahwinkan Amirul Mu’minin kiranya dengan anaknya perempuan itu[5]. Kemudian dari itu, maka diberinya pula kerajaan Negeri Mesir.”
Maka sahut Ja’afar, “Hai Mamak Amirul Mu’minin, bahawa anakanda itu pun telah diambil Amirul Mu’minin akan menantunya dan kerajaan Mesirpun dikurniai akan dia, insya’ Allah Ta’ala. Dengan barkat sabda Al-Mursalin, hambalah menghasilkan dia segala maksud Tuan Hamba. Setelah sudah berjanji dengan Ja’afar demikian, maka ia pun kembalilah ke rumahnya. Maka pada sama tengah jalan, Khalid pun fikir dalam hatinya, “Sungguhpun Ja’afar telah berjanji dengan daku pada menghasilkan segala maksudku itu tiada akan سغله adanya kerana daripada sangat malunya kan daku jua, maka dikabulkannyalah barang segala kataku.”
Hatta, maka hari pun sianglah. Maka Ja’afar pun teringatlah akan janjinya dengan Khalid pada malam itu. Katanya, “Bahawa aku pada malam ini telah berjanjilah dengan orang yang mulia, maka seharusnyalah atasku mengerjakan dia seperti janjiku itu jangan aku kedapatan dusta kepada Khalid.” Kalakian, maka ia pun pergi mengadap Amirul Mu’minin Harun al-Rasyid. Dilihat Raja Harun al-Rasyid akan Ja’afar, maka iapun tersenyum, serta ia bersabda, “Hai Ja’afar, siapa jamumu datang kepada malam ini?” Maka sembah Ja’afar, “Ya Tuanku Syah Alam, bahawa akan segala hal ehwal yang diperhamba itu telah ma’alumlah ke bawah duli hadhrat Syah Alam. Bahawa yang datang kepada diperhamba pada malam ini Ayahanda Khalid jua.”
Maka sabda Raja Harun al-Rasyid, “Apa dikatakannya kepadamu?” Maka sembah Ja’afar, “Ya Tuanku Syah Alam, disuruhnya akan yang diperhamba yang menghasilkan hajatnya empat perkara.”
Maka sabda Raja Harun al-Rasyid, “Apa-apa hajatnya itu” Maka sembah Ja’afar Barmaki, “Pertama-tama, Ayahanda Khalid mohon diampuni dosanya terhadap Tuanku Syah Alam. Keduanya, hartanya yang telah dirampas itu barang dikembalikan kepadanya.”
Maka sabda Raja Harun Al-Rashid, “Yang dua perkara lagi itu, apa dia?” Maka sembah Ja’afar Barmaki, “Ya Tuanku Syah Alam, ketiga perkara hajatnya katanya, bahawa dibaginya hutang dua belas ribu dinar, barang dibayar Tuanku Syah Alam kiranya hutangnya dengan harta yang di dalam khazanahnya Syah Alam jua.” Maka sabda Raja Harun al-Rasyid, “Apa sahutmu akan dia?” Maka sembah Ja’afar, “Ya Tuanku Syah Alam, bahawa sahut yang diperhamba bahawa hutang Tuan Hamba dibayar Amirul Mu’mininlah dengan harta yang di dalam khazanahnya.”
Maka sabda Raja Harun al-Rasyid, “Hai Ja’afar, telah kukabulkanlah seperti sahutmu itu akan dia.” Maka sembah Ja’afar, “Ya Tuanku Syah Alam, keempat perkara hajatnya itu katanya bahawa anaknya lelaki itu barang dikahwinkan Syah Alam dengan paduka anakanda . Kemudian dari itu, dianugerahi Syah Alam pula akan anaknya itu kerajaan di Negeri Mesir.” Maka sabda Raja Harun al-Rasyid, “Apa sahutmu akan dia?” Maka sembah Ja’afar, “Ya Tuanku Syah Alam, bahawa sahut diperhamba akan dia, bahawa ankanda itu pun telah diambilnya Amirul Mu’mininlah akan menantunya dan kerajaan Negeri Mesir pun dianugerahinyalah akan anakanda itu.” Maka sabda Raja Harun al-Rasyid, “Hai Ja’afar, telah kukabulkannyalah seperti sahutmu itu akan dia.”
Maka pada ketika itu jua Amirul Mu’minin Harun al-Rasyid pun mengampun dosanya Khalid, lalu dipanggilnya akan dia serta dihormatinya dan didudukkannya di kanannya dan dikembalikan hartanya dan hutang pun dibayar Amirul Mu’mininlah dengan harta yang dalam khazanahnya. Kalakian, maka Raja Harun al-Rasyid pun menitahkan orang memanggil kadhi Abu Yusof[1] akan menikahkan anaknya dengan anak Khalid. Maka orang memanggil itu pun pergilah. Hatta, maka kadhi Abu Yusof pun datang mengadap Raja Harun al-Rasyid. Maka Raja Harun al-Rasyid pun menitahkan ia menikahkan anaknya dengan anak Khalid. Maka dinikahkan kadhilah akan dia. Setelah sudah nikah, maka dititahkan oleh Raja Harun al-Rasyid orang mentabalkan anak Khalid ke Negeri Mesir dengan alat kerajaannya. Maka ditabalkan oranglah akan dia.
Hatta, maka Raja Harun al-Rasyid pun bertambahlah kasihnya akan Ja’afar Barmaki dan tiada ia bercerai barang seketika jua pun.
Tamat Kisah Harun Al-Rasyid Dan Mamaknya, Khalid
Teruskan Pelayaran Anda...
[1] Anekdot ini memberi gambaran keadaan sebenar hubungan Harun al-Rasyid dengan Ja'afar Barmaki. Jelas Ja'afar tidak ragu-agu langsung yang Amirul Mu'minin akan mengkabulkan permintaan Mamakandanya nanti.
[2] Jurji Zaidan dalam novelnya,عباسة أخت الرشيد , memberi nama Mamakanda Harun al-Rasyid itu sebagai 'Abd al-Malik bin Salih.
[3] Dalam novel Zaidan, namanya ialah "Abd al-Malik bin Bahran", seorang kakitangan rumah Ja'afar dan tetamu yang datang itu "Abd al-Malik bin Salih (Mamakanda Harun al-Rasyid)..
[4] Dalam novel Zaidan, Mamakanda Harun al-Rashid itu yang kebiasaannya "sangat dia memelihara dirinya daripada segala pekerjaan yang diharamkan Allah Ta’ala" pada kali ini dalam majlis Ja'afar telah "melanggar" kebiasaannya dan bersama-sama meneguk minuman anggur; malah selepas seketika meminta ditambah lagi arak itu. Selain daripada itu dia turut juga memakai bau-bauan yang dibawa oleh pelayan majlis, atas arahan Ja'afar serta menyanyi bersuka-sukaan bersama sekelian yang hadir.
[5] Nama Anakanda kepada Mamanda Harun al-Rasyid itu ialah Ibrahim, mengikut Zaidan.
[6} Nama Puteri kepada Khalifah Harun al-Rasyid itu ialah "al-'Aliya"..