Khalifah Palsu (2)

serta katanya, “Bahawa hamba pinta kepada tuan hamba itu yang terbaik daripada rantai leher ini.” Kemudian aku tunjukkan pula suatu rantai leher yang lain. Maka tatkala dilihatnya rantai leher itu, maka katanya akan daku, “Hai Hasan berapa harganya rantai leher ini?” Maka sahutku akan dia, “Bahawa harga rantai leher ini sepuluh ribu dinar.” Maka katanya akan daku, “Marilah ke rumah hamba. Di sanalah hamba bayar harganya akan Tuan Hamba.“ Demi kudengar katanya demikian, maka aku pun menutup pintu kedaiku, lalu pergilah aku sertanya.Hatta maka aku pun sampailah ke rumahnya. Maka katanya akan daku, “Duduklah Tuan Hamba di sini. Hamba pergi mengambil harga rantai leher Tuan Hamba.” Maka aku pun duduklah. Belum pun tetap aku duduk, tiba-tiba datang seorang perempuan muda keluar daripada rumahnya, serta katanya, “Hai Hasan. Tuan diperhamba menyuruhkan Tuan pindah daripada tempat ini. Masuklah Tuan Hamba pada pintu ini, lagi di sana dibayar hak Tuan Hamba, kerana tempat ini keji tiada patut Tuan Hamba duduk di sini.”

Hatta maka aku pun masuklah ke dalam pintu selapis lagi, lalu duduklah aku di sana. Dan tiadalah sesaat jua pun lamanya maka keluar pula seorang perempuan muda lagi. Maka katanya akan daku, Wahai Hasan, bahawa Tuan diperhamba menyuruhkan akan Tuan Hamba masuk kepada pintu yang selapis lagi. Di sanalah dibayarnya hak Tuan Hamba. ” Maka aku pun masuk ke dalam pintu yang ketiga lapis, lalu duduklah aku di sana. Maka perempuan yang menyuruhkan aku itu pun masuklah ke rumahnya itu. Kemudian maka keluar pula ia serta katanya akan daku, “Bahawa Tuan yang diperhamba menyuruh memanggil Tuan, ia hendak membilang akan dinar Tuan Hamba itu. ”

Hatta, maka aku pun masuk sertanya, lalu dibawanya aku kepada suatu tempat majlis, yang terhampar di atasnya hamparan. Maka ada pada sama tengah hamparan itu suatu mahligai daripada emas yang bertatahkan pelbagai jenis ma‘nikam dan batunya. Maka dihampar di atas mahligai itu daripada hamparan sutera dan dibaj yang berpakan emas. Maka tatkala kulihat yang demikian itu, maka aku pun terkejut lalu hairanlah akan diriku dan datanglah ketakutanku. Kalakian maka perempun yang membawa aku dari kedaiku itu pun datang serta katanya, “Hai Hasan, duduklah Tuan Hamba. Takut? Tiada ngapa. Adakah Tuan Hamba kenal siapa hamba?” Maka sahutku akan dia, “Hai Siti yang mulia, tiada hamba kenal Tuan Hamba.” Maka katanya akan daku, “Hai Hasan. Hambalah yang bernama Siti Dinar , saudara Ja’afar Barmaki. Bahawasanya hamba dengar khabar rupa Tuan Hamba sangat elok parasnya. Maka sangatlah hasrat hati hamba hendak melihat rupa Tuan Hamba. Maka sekarang telah sampailah maksud hamba. Sekarang pun hamba kehendaki bahawa hendaklah Tuan Hamba jadi suami hamba dan hamba jadi isteri Tuan Hamba. Dan ketahui oleh Tuan Hamba bahawa segala hal ehwal ikhtiar hamba dalam tangan hamba jua, tiada dalam tangan saudara hamba, Ja’afar.“ Setelah itu maka ia pun menyuruh orang memanggil kadhi.

Hatta, maka ia pun datanglah. Demi dilihat kadhi datang, maka ia pun melabuhkan tirai serta katanya, “Hai, Kadhi. Nikahkanlah hamba dengan Hasan anak Ali Jauhari. Bahawa isi kahwinnya hamba sudah diberinya kepada hamba, iaitu suatu rantai leher harganya sepuluh ribu dinar. ” Hatta, maka dinikahkan kadhilah ia dengan hamba, serta meminta doa akan kami kedua. Setelah sudah maka disuruhnya beri akan kadhi seratus dinar. Maka kadhi pun pulanglah ia. Dan majlis pun sunyilah. Maka disuruhnya orang membawa makanan. Maka makanan pun di-hadir akan oranglah ke hadapan kami kedua. Hatta, maka kami pun makan-minumlah hingga bersuka-sukaanlah kami dengan dia, seperti adat orang dua laki isteri. Diamlah hamba di sana hingga beberapi hari lamanya .




Pada pada suatu hari, ia pun pergi mandi kepada hamam dengan segala hamba sahaya-nya. Maka dalam antara itu, tiba-tiba datang seorang perempuan serta katanya akan daku, “Hai Hasan, bahawa Siti Zubaidah[1] memanggil tuan hamba.” Maka sahutku akan dia bahawa aku tidak mahu berpindah daripada tempat ini, hingga dibenarkan kepadaku Siti Dinar. Maka katanya akan hamba, “Hai Hasan, karam[2] bagimu. Mahukah engkau menyakiti hati Siti Zubaidah? Marilah engkau pergi kepadanya dahulu supaya jangan sakit hatinya. Kemudian kembali pula engkau ke tempat ini.” Hatta, maka aku pun pergilah serta dengan dia kepada Siti Zubaidah. Maka tatkala dilihat Siti Zubaidah akan daku, maka katanya, “Hai Hassan, sepatutnyalah Siti Dinar kasih akan dikau. Sekarang pun kembalilah engkau dengan sejahteranya. ”

Hatta, setelah itu, aku pun kembalilah. Maka kulihat akan Siti Dinar telah kembalilah dari hamam. Lagi kudapati ia tidur di atas getanya. Maka aku hampir kepadanya serta kujabat kakinya. Maka ia pun jagalah lalu menghela kakinya, lalu digusarnya akan daku, serta katanya, “Hai makar tiada setiawan. Engkaulah orang yang mengubah janjinya.” Maka kataku akan dia, “Penghulu segala perempuan, tiada yang demikian itu dengan kehendak hamba dan dengan ikhtiar hamba. Tetapi yang demikian itu dengan kehendak Siti Zubaidah. Disuruhnya seorang perempuan memanggil hamba. Maka dibawanya kepada Siti Zubaidah. Digagahinya dan diperdayakannya hamba.” Kalakian, maka Siti Dinar pun memanggil segala sahayanya. Maka sahayanya pun datanglah ia kehadapannya. Maka katanya, “Kamu helalah ia ini dan kamu buangkan ke dalam parit. Maka bunuhlah ia di sana.” Hatta, maka aku pun dihela oranglah. Maka datang kepadanya seorang perempuan pengasuhnya, serta katanya. “Hai Siti Dinar, jangan apa kiranya Tuan Hamba mamang menyuruh membunuh dia. Nanti takut menyesal pula Tuan Hamba. Jika hendak Tuan Hamba memuaskan hati Tuan Hamba, baik Tuan Hamba suruh palu akan dia dengan palu yang amat sangat.” Demi didengar pengasuhnya kata demikian, maka aku pun dipalu oranglah dengan palu yang amat sangat hingga cucurlah darahnya dari tubuhku. Setelah itu disuruhnya buangkan aku ke jalan raya. Maka aku pun dibuang oranglah. Pada ketika itu adalah aku dalam pengsanku. Maka tatkala sembuhlah aku dari pengsanku, maka aku pun kembalilah ke rumahku.

Maka duduklah aku serta aku ubatilah segala lukaku itu. Sekira-kira beberapa hari lamanya, maka lukaku pun nyamanlah. Setelah itu maka kujuallah segala emasku dan segala milikku dan kubukalah segala petiku yang peninggalan bapaku akan daku itu. Maka mustaidkan segala kelengkapan kerajaan supaya melalaikan daku daripada percintaanku bercerai dengan Siti Dinar itu. Maka kunamai diriku Amirul Mukminin Harun al-Rasyid. Sekarang ini tiga bulan lamanya aku mencari daya upaya hendak bertemu dengan Siti Dinar tiada bertemu jua dengan dia. Dan tiada kedengaran daripadanya sesuatu khabar jua pun. Serta bercerita itu maka diamat-amati akan dagang itu. Maka dikenalnyalah akan Amirul Mukminin Harun al-Rasyid. Maka katanya, “Ya Syah Alam. Bahawasanya Tuankulah Amirul Mukminin dan inilah Ja’afar dan inilah Masrur. Serta ia meniarap di kaki Amirul Mukminin. Maka sabda Amirul Mukminin Harun al-Rasyid, “Hai Hassan, tiada mengapa. Ku maafkanlah akan dikau.” Maka ia pun berpalinglah kepada Ja’afar, serta ia bersabda, “Hai Jaafar. Bahawa orang muda ini padamulah. Dari kerana bahawasanya engkaulah yang pertama-tama beroleh persalin daripadanya. Bawalah ia ke rumahmu.” Hatta, maka Amirul Mukminin Harun al-Rasyid pun bangkit, lalu naik ke dalam perahu itu, serta Ja’afar dan Hasan ibni Ali Jauhari


https://sites.google.com/site/0361544/khalifah-palsu-3

1. Zubaidah binti Ja'afar (mangkat TM 831) permaisuri Harun al-Rasyid. Datuknya Khalifah al-Mansur.

2. Kemuliaan.