Lagi ... KISAH RAJA YAMAN (6)

Maka dikenal isteri Badwi itulah akan Saudagar itu, serta ia fikir dalam hatinya, katanya, “Sekarang penuhlah hasratnya!”

Hatta, maka dibawa Saudagar ke rumahnya, serta dihormatinya akan dia dan ditaruhnya dalam sebuah rumah diberinya dengan makan-makanan. Hatta, berapa lamanya Badwi itu pun senentiasa mencari isterinya pada segenap negeri dan segenap pekan. Maka pada suatu hari, bertemulah ia dengan Saudagar itu dalam pekan negeri Baitul Maqdis. Maka kata Saudagar, “Hai saudaraku, dari mana Tuan Hamba?” Maka sahutnya, “Hamba dalam masyghul mencari isteri hamba.” Maka kata Saudagar, “Ke mana isteri Tuan Hamba?” Maka sahutnya, “Ketika negeri kami diserang Hakim negeri, pada masa ini habis kami ditawannya. Tatkala itulah isteri hamba pun ditangkapnya bersama orang banyak. Sekarang ke mana tidak kuketahui ia dibawa orang.” Maka kata Saudagar, “Marilah Tuan Hamba dulu ke rumah hamba.” Maka sahutnya, “Jangan apa kiranya sekali ini Tuan Hamba bersusah kerana dalam masyghul.” Maka kata Saudagar itu, “Mari jua Tuan Hamba, mudah-mudahan dipertemukan Allah Ta’ala akan Tuan Hamba dengan isteri Tuan Hamba.”

Kalakian, maka Badwi pun pergilah ke rumah Saudagar itu dengan masyghulnya. Hingga sampailah ia ke kampung Saudagar itu, maka diperjamukannyalah akan dia. Setelah sudah diperjamu, lalu ditaruh masuk ke dalam gedung rumahnya tempat isterinya itu. Maka Badwi itu pun masuklah ke dalam rumah itu, lalu dikuncinya oleh Saudagar pintunya. Maka hari pun maghriblah. Pada sangka perempuan itu Saudagar itu jua yang datang kepadanya kerana belum lagi sampai hasratnya yang dahulu itu. Maka tatkala dilihatnya oleh Badwi itu seorang perempuan dalam rumah itu, maka ia pun duduklah pada sebelah penjuru rumah itu. Ia fikir-fikir dalam hatinya, lalu katanya,

“Semena-mena aku dikurung oleh Saudagar dengan perempuan ini apa juga kutahu maksudnya.” Lalu diamlah ia dengan dukacita. Demi didengar isterinya itu suara suaminya itu, maka ia pun fikir dalam hatinya, “Bahawa suara ini seolah-olah suara suamiku.” Serta katanya, “Hai lelaki, siapa Tuan Hamba dan dari mana Tuan Hamba datang ke mari ini?” Maka katanya, “Hai perempuan, hamba ini orang sudah binasa ditawan orang dan isteri hamba pun lenyaplah.” Maka katanya, “Siapa nama Tuan Hamba?” Lalu dikatakannyalah namanya Si Pulan anak Si Pulan. Demi didengar isterinya kata suaminya demikian, maka ia pun segera membawa pelita. Maka bertemulah, lalu bertangis-tangisanlah

Maka pagi-pagi hari Saudagar pun datang membuka pintu rumah itu didapati duduk berkata-kata keduanya. Maka dibawanya keduanyalah ke rumahnya serta diperjamunya makanan dan dipersalin akan keduanya. Dan ditebuskan untuk keduanya dua orang sahaya seorang daripada lelaki dan seorang daripada perempuan serta diberinya dengan unta akan kenderaan. Dan diberinya beberapa harta maka disuruhnya pulang. Hatta, Badwi itu pun kembalilah dengan sukacitanya[1] .

Nasihat:

Sayugianya segala mukmin yang percaya akan Allah Taala dan rasulnya mengetahui untung baik dan jahat daripada Allah Subhanahu wa Taala seperti firman Allah Ta’ala yang tersebut dalam Quran, قل كل من عندالله. Ertinya, katakan olehmu (ya Muhammad), segala perbuatan baik dan jahat itu dengan takdir Allah Ta’ala. Tetapi adalah ada bagi hamba itu kasab[2] (كسب) dan ikhtiar seperti sabda Nabi s.a.w: قدرالله المقادير قبل ان يخلق السموات والارض بخمسين [3] ألف سنة. Ertinya, telah ditentukan Allah Ta’ala segala takdir dahulu daripada Dia menjadi tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dengan lima puluh ribu tahun. Wallahua’alam.

Teruskan Pelayaran Anda...

https://sites.google.com/site/0361544/khalifah-palsu

1. Terhenti kisah Raja Yaman di sini sahaja.

2. Laba. Keuntungan.

3. " قَدَّرَ اللَّهُ الْمَقَادِيرَ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفِ سَنَةٍ (Allah telah menentukan segala takdir dahulu daripada Dia mencipta tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dengan lima puluh ribu tahun).