Lalu duduklah ia di atas kerusi. Sekira-kira seketika lamanya maka mereka itu pun dibawa oranglah ke hadapannya. Maka dititahkan mereka itu, duduklah mereka itu pada suatu penjuru majlis itu. Maka disuruhnya orang membawa makan-makanan.
Maka makan-makanan pun diangkat oranglah. Maka ia pun duduklah makan, masing-masing pada hidangannya. Setelah sudah makan, maka orang yang menjadi dirinya Raja Harun al-Rasyid menyuruhkan orang memanggil seorang pedikir terlalu elok parasnya. Maka pedikir itu pun datanglah ke hadapannya lalu duduk serta دتعكنن kecapinya pada ribaannya lalu diperbaikinya talinya. Maka dimainkan tiga puluh daripada ragamnya yang pertama, serta ia bersyair demikian bunyinya: ما ينظرالعينين أحسن منظر من عاشقين على فراش واحدي Ertinya: Mata tidak pernah menyaksikan yang lebih indah daripada dua orang kekasih di atas sebuah katil مُتعَانِقَينِ عَليهما حُلَلٌ بِالرِضَا مُتَوَسِدَينِ بِمِعصَمٍ وبِسَاعِدِ Berpeluk-pelukan dengan perhiasan dan keredaan berbantalkan lengan dan bahu وَإذَا تَألّفَتِ القُلوبُ عَلى الهَوَى فَالنَاسُ تَضرِبُ فِى حَدِيدٍ بَارِدِ Apabila hati berpaut pada cinta biarkan manusia memukul besi yang sejuk.
Maka tatkala selesailah pedikir itu daripada bersyairnya, maka yang menjadikan dirinya Raja Harun al-Rasyid pun mengata, “Ah! Ah!” Serta katanya, “Beri akan daku sikin bahawa aku hendak membunuh diriku.” Lalu dicarikkan segala pakaiannya. Maka ia pun rebah pengsan. Maka sahayanya pun datang lalu digugurkan mereka itu tirai. Seketika lamanya maka ia pun siumanlah daripada pengsan. Maka dibawa oranglah segala pakaian yang lain. Maka ditanggalkannya pakaian yang carik itu. Maka dipakainya pakaian yang baharu. Maka disuruhnya berikan pakaian yang lama itu akan Ja’afar. Setelah sudah memakai maka tirai pun disingkap oranglah. Maka duduk pula ia di atas kerusinya. Lalu disuruh orang memanggil pedikir yang dahulu itu. Hatta, maka pedikir itu pun datanglah lalu ia duduk di hadapannya. Maka diambilnya kecapi serta diperbaiki talinya, lalu dipetiknya seraya ia bersyair: يا كتابي أذا قراءن حبيبي فيحقي عليك قبل يديه Ertinya, hai yang suratku ambil dibaca kekasihku akan dia maka cium apalah kiranya tangannya. منها ما تري من الشوق مني من عزام وا طول مراني عليه Dan aku sampaikan kiranya kepadanya barang yang kulihat daripada rinduku dan telah lamalah percintaanku akan dia adanya. فهو سرالي من الزمان ولكن غلبتني يد الفراقي عليه Maka itulah kehendakku pada masa hidupku tetapi mengerasi daku perceraianku dengan dia sanya.
Maka didengarnya syair pedikir itu, maka ia pun berkata, “Ah! Ah!” serta meminta senjata hendak membunuh dirinya dan membelah segala pakaiannya. Maka ia pun rebah pengsan. Maka sahayanya pun melabuhkan tirainya seperti adat yang dahulu itu jua. Seketika lamanya, maka ia pun sedarlah daripada pengsan itu, serta dihadirkan oranglah akan dia pakaian yang lain. Maka ditanggalkannyalah segala pakaian yang carik itu, maka diberi kepada Masrur. Hatta maka tirai pun disingkap oranglah, lalu duduklah ia seperti adat yang dahulu itu. Maka dititahkan pula pedikirnya yang lain terbaik daripada pedikir yang dahulu itu. Maka pedikir pun datanglah, lalu ia duduk di hadapannya. Maka diambilnya kecapi lalu di-petikkannya serta ia bersyair demikian
bunyinya: اذ كان لي في من احب مسار كان منعت اهواء روحي ولو تلفت وجلا إِذَا كانَ لِى فِيمَن أُحِبّ مُشارِكًا مَنَعتِ الهَوى رُوحِى لِيُتلِفَنى وَجدى Ertinya, apabila ada kekasihku itu mengasih yang lain maka ditegahkan berahiku akan dikau dan jikalau binasa nyawaku padahal berahiku sekali pun adanya. فقلت لها يا روحاموتي حبابة فلا خير في حب يكون له ضلا وقُلتُ لَها يا نَفسُ مُوتِى كَرِيهَةً فَلا خَيرَ فِى حُبّ يَكونُ مَع الضِدِّ Maka kataku akan nyawaku, “Hai nyawaku matilah engkau pada berahimu, maka tiadalah kebajikan pada kekasihku. Yang ada baginya kekasih yang lain.”
Setelah didengarnya syair pedikir itu, maka ia pun merebahkan dirinya serta ia meminta senjata hendak membunuh dirinya dan membelah-belah segala pakaiannya. Maka ia pun rebah pengsan. Maka sahayanya pun melabuhkan tirai seperti adat yang dahulu itu jua. Seketika lamanya maka ia pun siumanlah daripada pengsannya itu lalu ditanggalkannyalah pakaiannya. Maka disuruh berikan pakaian yang carik itu akan Ibrahim Mouseli. Diberinyalah. Setelah sudah ia memakai, maka tirai pun disingkap oranglah. Maka ia pun duduk di atas kerusi seperti adat yang dahulu itu jua. Ada pada suatu riwayat, dua belas orang pedikir dipanggilnya.
Setelah itu ia pun berpaling kepada Amirul Mu’minin Harun al-Rasyid maka dilihatnya berbisik-bisik dengar Ja’afar dan Masrur. Maka ia pun bersabda, “Hai orang dagang, tiada adat dalam majlis aku ini orang berbisik-bisik. Apa jua kamu bisikkan itu katakan kepadaku.” Maka Ja’afar pun berdatang sembah, “Ya Amirul Mu'minin, ya Tuanku, yang diperhamba ini terlalu ajaib sekali ia daripada melihat perbuatan Syah Alam ini dan membelah pakaian yang indah-indah tiada terharga.”
Demi didengar sembah Ja’afar demikian, maka ia pun bersabda, “Hai dagang, ketahui olehmu bahawa kisahku ini ajaib dan pekerjaanku terlalu amat sukar. Jikalau disuratkan dengan air emas pada kelopak mata nescaya adalah ia ibarat bagi barang siapa yang mengambil ibarat. Bahawa aku anak seorang saudagar. Bapaku terlalu amat kaya. Namanya Ali Jauhari. Hatta berapa lamanya, maka ia pun matilah. Mati ditinggalkan hartanya akan daku. Dan adalah hartanya itu tiada terkira-kira daripada sangat banyaknya. Maka sekalian harta itu akulah yang beroleh dia. Hatta maka aku pun duduklah bersaudagar berjual dengan senentiasa. Maka pada suatu hari datang seorang perempuan muda, terlalu amat elok parasnya, lagi bijaksana dan amat baik pakaiannya. Maka duduklah ia dalam kedaiku, serta katanya akan daku, ‘Tuan Hambakah Hasan anak Ali Jauhari?’ Maka sahutku, ‘Bahkan. Hambalah Hasan anak Ali Jauhari.’ Maka katanya akan daku, ‘Hai Hasan, Tuan beri kiranya hamba rantai leher yang harganya sepuluh ribu dinar.’ Maka kutunjukkan kepadanya suatu rantai leher itu lalu dipulangkan kepadaku