Lagi...KISAH RAJA YAMAN (2)

atas peti itu bersembunyi di balik batu. Apabila tidurlah jendera[1] ia, maka dengan taksir Tuan Hamba menghempaskan batu itu ke atas batang hidungnya dengan sekuat-kuat hatinya Tuan Hamba nescaya matilah ia ”.

Maka Raja Yaman pun naiklah ke atas peti itu bersembunyi. Hatta hari pun maghriblah. Maka kedengaranlah suara Jin itu seperti halilintar membelah bumi. Lalu naiklah ia ke atas mahligai itu terlalu hebatnya kelakuannya dan rupanya, terlalu lain daripada rupa manusia. Maka lalu didatangi akan segala anak raja-raja itu, serta dibawanya bersenda gurau, sudah seorang kepada seorang, seperti adatnya sehari-hari. Maka dengan hal yang demikian, suka-lah rasa hatinya. Setelah itu ia pun tidurlah cendera.

Maka bangkitlah Raja Yaman dengan perlahan-lahan. Diambilnya batu itu lalu dihempaskannya ke atas batang hidungnya Jin itu. Maka Jin itu pun matilah. Maka segala anak raja-raja yang di dalam mahligai itu pun sukacitalah. Maka anak raja-raja itu pun diambil Raja Yaman akan isterinya , melainkan saudaranya jua.

Syahdan, adalah dalam mahligai itu beberapa daripada bilik dan peti masing-masing dengan kuncinya. Maka kata Raja Yaman, “Hai Tuan-tuan sekelian, segala bilik dan peti ini apa isinya?” Maka sahut anak raja itu masing-masing, “Dengan kuncinya dan isinya ada yang berisi emas dan perak dan permata dan maknikam dan pualam[2] dan setengah berisi mahmal (محمال) dan sakhlat ainul banat[3] (صخلت عين البنات) dan masru (مصرو) dan dewangga qatifah[4] (قطيفة)daripada pelbagai jenisnya.”

Kelakian, maka sekalian bilik itu pun dibuka Raja Yaman. Maka dilihatnya tiada bersalahan seperti kata segala anak raja-raja itu. Maka dalam antara bilik yang banyak itu, ada suatu bilik yang amat teguh kuncinya dengan meterinya. Maka kata Raja Yaman, “Apa kutahu isi bilik ini?” Maka sahut segala anak raja itu, “Ada pun bilik yang suatu ini kami tiada ketahui akan isinya. Ada dipesannya akan kami tatkala barang ke mana ia pergi katanya, “Hai Dayang, jikalau kamu hendak mengambil daripada isi bilik ini barang yang kamu kehendaki, ambillah melainkan bilik yang termeteri ini. Hubaya-hubaya[5] jangan kamu buka nescaya datang kebinasaan bagi kamu”. Sehingga yang demikian jua katanya, maka tiada berani kami membuka dia. Sekarang bilik yang suatu ini jangan tuan hamba buka. Siapa tahu ada juga sesuatu bahaya di dalamnya”.

Maka kata Raja Yaman, “Barang hal apa sekali pun, yang bilik suatu ini hamba bukai jua”. Maka diambil suatu cokmar serta dipalunya kepada pintu bilik itu, lalu belah dua. Dengan takdir Allah Ta’ala, maka keluarlah Jin Ifrit, besar panjang lagi dengan hebat rupanya. Lalu ditamparnya akan Raja Yaman, maka Raja Yaman pun butalah sebelah matanya. Serta katanya, “Hai, manusia, sekarang kau kubunuh.” Maka sahut Raja Yaman, “Apa dosaku hendak engkau bunuh?” Maka datanglah insaf ke dalam hatinya Ifrit itu, “Sanya tiada harusnya ia kubunuh, bahawa aku pun lepas kerananya".

Maka kata Ifrit itu, “Hai lelaki, apa kehendakmu?” Maka sahut Raja Yaman, “Kau sampai kiranya aku ke negeri yang besar supaya dapat aku mencari kehidupanku.” Maka kata Ifrit itu, “Jika demikian kehendakmu, pejamkan kedua matamu.” Maka Raja Yaman pun memejam matanya, lalu diterbangkan Ifrit akan dia ke dalam negeri Baghdad[6].


(BAHAGIAN 2: RAJA YAMAN DI KOTA BAGHDAD)


SETELAH SUDAH DIBUKA MATANYA, tiba-tiba dilihatnya dirinya dalam sebuah negeri yang besar. Seketika ia datang, hari pun maghriblah. Maka hairan Raja Yaman akan dirinya sebab kelam kabut. Matanya yang buta pun berhiliran darahnya tiada berputusan. Maka berjalanlah ia di pekan negeri itu. Maka kata orang pekan itu, “Hai fakir, ke mana engkau berjalan pada malam ini?” Maka sahutnya, “Hamba orang sesat baharu datang ke negeri ini. Bahawa nama negeri ini tiada hamba ketahui.” Maka kata orang pekan itu, “Inilah negeri Baghdad. Bahawa adat negeri kami ini, tiada dapat orang berjalan malam, kerana kawalan amat keras. Apabila didapatinya Maka ia pun pergilah mencari kedai yang khali. Setelah didapatinya maka duduklah ia dalam kedai yang khali itu.

Antara itu kelihatanlah cahaya pelita dari jauh, lalu ia bangkit dari duduknya pergi mendatangi cahaya pelita yang dilihat itu. Hingga sampailah ia maka dilihatnya pelita itu dalam sebuah rumah dan yang empunya rumah itu pun ada duduk. Maka kata Raja Yaman akan yang empunya rumah itu, “Hai, Tuan-tuan isi rumah, bahawa hamba seorang dagang lagi fakir dengan lapar dahaga hamba. Apa dikurnia Allah Ta’ala, Tuan bagi apalah kiranya akan hamba barang sedikit makanan.” Maka diberi orang akan dia ‘aul[7]] kadarnya. Maka dimakannyalah. Setelah sudah ia makan, maka katanya, “Tuan beri apalah hamba tidur di halaman rumah ini.” Maka sahut orang itu, “Hai fakir, tidurlah engkau pada malam ini di sini. Esok hari pergilah engkau barang ke mana.” Maka tidurlah ia di sana pada malam itu.

Maka pada ketika tengah malam, terkejut ia dari tidurnya. Maka dilihatnya dalam rumah itu ada suatu tempat majlis. Terlalu banyak perempuan muda-muda lagi dengan elok parasnya. Masing-masing dengan pakaiannya. Maka dalam antara perempuan yang banyak itu, ada seorang perempuan terlalu elok parasnya daripada yang lain itu dan pakaiannya pun terlebih daripada pakaian sekelian mereka itu. Maka segala perempuan yang banyak itu menghadapi dia memalu bunyi-bunyian. Demi didengar Raja Yaman sekelian bunyi-bunyian itu, maka terlalu berahinya hatinya hendak mendatangi dia. Maka ia pun pergilah menghampirkan dirinya pada orang itu. Hingga sampailah ia ke majlis itu, maka kata mereka itu akan dia, “Hai, fakir, ke mana engkau datang ke mari ini?” Maka sahutnya, “Sangatlah hasrat hamba hendak mendengar bunyi-bunyian dan duduk dalam majlis ini.” Maka kata segala perempuan itu, “Hai fakir, gilakah engkau? Adakah seorang fakir lagi buta hendak ke dalam majlis kami. Tiadakah engkau fikir akan dirimu. Sekarang pun nyahlah engkau dari sini pergi barang ke mana.” Maka sahutnya, “Jikalau dinyahkan hamba pun esok harilah kiranya.” Maka kata penghulu segala perempuan itu, “Tolakkan fakir ini keluar.”

Maka ditolakkan oranglah dia. Setelah itu maka ia pun menaruh dendamlah. Maka katanya, “Baiklah, esok hari aku pergi kepada raja negeri ini.” Maka hari pun sianglah.

Teruskan Pelayaran Anda...

https://sites.google.com/site/0361544/lagi-kisah-raja-yaman-3

1. Nyenyak, cendera.

2. Sejenis batu yang bercahaya-cahaya.

3. Sejenis kain daripada bulu biri-biri.

4. Kain daripada bulu biri-biri.

5. Kata-kata untuk mengukuh tegahan. Sekali-kali.

6. Sampai di sini berhentilah kisah tentang gadis-gadis tawana Afrit itu.

7. Cukup; عول