MUKADDIMAH

Wajah CIKGU HADI,

Pembangun & Admin Laman Sesawang Ini

Assalamualaikum wa rahmatullallahi wa barakatuh.

Saya memanjatkan syukur ke hadhrat Allah swt kerana, setelah beberapa lama mencari-cari jawapannya, maka kini tergeraklah hati saya membangunkan Laman Sesawang, PESAKA IBN ABDILLAH, ini.

“ PESAKA IBN ABDILLAH ” yang dimaksudkan di sini adalah merujuk khusus kepada sebuah manuskrip (MS) tulisan tangan peninggalan moyang saya (Ayah kepada Datuk saya) yang saya anggarkan berusia lebih daripada seratus tahun (malah, ada kemungkinan mencecah usia 200 tahun;wallahu aklam). MS ini bersaiz fullscap dan setebal melebihi 300 halaman. Walau bagaimanapun, 9 halaman awal dan beberapa halaman akhir sudah tiada, dimakan zaman.

Untuk sesekian lama saya terasa terpanggil untuk mengenengahkan isi kandungan MS ini kepada masyarakat dengan tujuan berkongsi kandungannya. Terasa benar ruginya jika kandungan MS ini dibiarkan terpendam begitu saja.

Kata orang, jauhari juga yang mengenal maknikam. Bagi kita orang awam (termasuk diri saya yang serba cetek ilmu pengetahuan) amat mudah nilai MS ini di anggap remeh sahaja, tidak lebih dari sebuah artifak dari zaman lampau. Namun, bagi golongan sarjana sekecil mana sebuah artifak itu, ia tetap mempunyai nilai sejarahnya. Berpegang kepada premis inilah, maka saya memberanikan diri untuk menyelenggarakannya sebagaimana terpapar di sini.

Saya membiarkan penilaian ke atas MS ini dan ke atas pemilik asalnya (iaitu yang empunya MS ini) kepada pertimbangan Tuan-tuan dan Puan-puan yang menaruh minat untuk menerokai hasil buah tangan saya ini.

Saya menyediakan BUKU TETAMU sebagai platform untuk Tuan-tuan dan Puan-puan yang ingin memberi pendapat/ berkomunikasi dengan saya. Penglibatan anda amat dialu-alukan.

Teruskan pelayaran anda ...

https://sites.google.com/site/0361544/siapakah-ibn-abdillah