Lencana ini diberikan kepada Ahli Pengakap Kanak-kanak sebagai mengakui pengetahuan dan kesungguhan memberikan perkhidmatan pertolongan cemas seperti memberhentikan pendarahan, membalut luka, menjaga peti pertolongan cemas dan membalut anduh.
Untuk LULUS Lencana Pertolongan Cemas, seseorang Pengakap Kanak-kanak itu perlu LULUS ujian seperti berikut :
Mengetahui isi kandungan dan cara menggunakan serta menjaga peti pertolongan cemas;
Mengetahui keupayaan memberi pertolongan cemas dan mengetahui mustahaknya mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang berpengalaman;
Mengetahui cara bertindak memberi rawatan sementara kepada mangsa kemalangan yang dalam keadaan terkejut (shock);
Menunjukkan bagaimana cara memberhentikan darah keluar dari hidung;
Mengetahui sekurang-kurangnya LIMA (5) tempat nadi terpenting dan tahu cara menahan darah yang keluar dari badan pesakit. Sebagai perawat sementara, Pengakap Kanak-kanak hendaklah menunjukkan cara penahanan darah keluar dari bahagian arteri paha, lengan, selangka, leher, muka, belakang dan kepala;
Mengetahui bagaimana mencuci dan membalut luka serta mengetahui cara menggunakan jenis pembalutan termasuk pembalut segi tiga atau balutan anduh;
Menunjukkan cara merawat pesakit dalam hal memberi kerehatan, keselesaan dan keriangan;
Mengetahui cara memadamkan pakaian yang terbakar dan merawat secara kecemasan kulit yang terbakar atau melecur;
Mengetahui cara mengubati gigitan dan sengatan serangga selain daripada gigitan ular, kala jengking dan semburan racun;
Mengetahui cara menolong orang pengsan / pitam selain daripada terkena kejutan elektrik; dan
Mengetahui cara membuat panggilan kecemasan memanggil POLIS, BOMBA dan AMBULAN dengan jelas dan betul serta tindakan yang perlu diambil apabila menemui kemalangan atau lain-lain kecemasan pelanggaran kenderaan yang menyebabkan kemalangan.
Catatan untuk Buku Log ;
Selesaikan perkara 1 hingga 11 (wajib LULUS kesemua perkara).
Setelah selesai, sila hantar Buku Log untuk disemak oleh Pemimpin atau Penolong Pemimpin.
Jika memenuhi kreteria, kamu akan dianugerahkan lencana ini.